Tuesday 12 June 2012

Dana Khas RM150 juta untuk bangunkan kawasan-kawasan tinggalan LKWJ dan DARA


… atau kira-kira RM50 juta setahun (2010 – 2012) bagi menjayakan 291 projek berorientasikan atau demi manfaat rakyat
BERSAMA-SAMA PENYEWA GERAI... Cerianya para penyewa dengan kunci olok-olok yang mereka terima sebelumnya daripada Dato' Sri DiRaja Adnan. Antara yang turut kelihatan ialah Dato' Jebasingham (rambut putih di belakang), Dato' Fazilla, Dato' Ismail dan Wan Salman. 
 

ANJUNG SELERA JENGKA, JENGKA, MARAN – Kerajaan telah menyalurkan RM150 juta bagi membangunkan kawasan-kawasan tinggalan Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pahang Tenggara (DARA) sejak 2010 hingga kini.

Penyaluran ini di bawah Dana Khas Kerajaan Persekutuan, ialah menerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) kepada pihak berkuasa tempatan-pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan meliputi Maran, Temerloh, Bera, dan Jerantut, serta Rompin dan Pekan.

Kedua-dua LKWJ dan DARA – yang semasa kewujudannya bertanggungjawab membangun dan menyediakan perkhidmatan perbandaran di kawasan-kawasan yang diliputinya dengan dana diperolehi daripada Kerajaan Persekutuan juga; telah dibubarkan pada tahun 1997.

Sejak itu hinggalah 2009, kawasan-kawasan liputan dan tinggalan LKWJ dan DARA ini kembali dipertanggungjawabkan ke atas PBT-PBT terbabit namun oleh sebab kekangan kewangan, kawasan-kawasan ini seperti dipinggirkan. 

Dan di pekan kecil Jengka ini sahaja, RM10 juta disalurkan bagi membangunkan Terminal Pengangkutan Bersepadu Jengka Sentral (Jengka Sentral) dan RM2.66 juta lagi bagi pembinaan medan selera Anjung Selera Jengka ini.

TANDATANGAN DITURUNKAN... Tanda, rasmilah sudah Anjung Selera Jengka ini. 


JENGKA SENTRAL DIJANGKA SIAP NOVEMBER INI

Jengka Sentral yang sedang dalam pembinaan, dijangka siap dan mula beroperasi November ini manakala Anjung Selera Jengka telah siap, yang perasmiannya disempurnakan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pada pagi Isnin, 4 Jun lepas.

Kedua-dua projek Jengka Sentral dan Anjung Selera Jengka ini dijangka memberi manfaat kepada keseluruhan kira-kira 50,000 penduduk Jengka termasuk kira-kira 10,000 pelajar UiTM Kampus Khazanah Alam yang berhampiran.

Jengka Sentral ialah terminal pengangkutan bersepadu berkeluasan 46,000 kaki persegi, mempunyai ciri-ciri kemudahan modern termasuk gelanggang boling, lot-lot kedai runcit dan medan selera, selain kawasan menunggu berhawa dingin.

Anjung Selera Jengka pula dengan 24 lot gerai berserta kemudahan surau dan tandas, ialah pembinaan semula tapak asalnya dikenali sebagai Medan Selera Tapak Ekspo yang menempatkan gerai-gerai makan dari binaan kayu dan beratapkan zink.  

Selain kedua-dua projek ini ialah pelaksanaan projek-projek kecil termasuk pembinaan serta menaik-taraf jalan, balai raya dan perparitan di kampung-kampung serta kawasan-kawasan berkenaan.

TAK PERLU RISAU TENTANG KEMUDAHAN PERKHIDMATAN

Kesemua 291 projek ini kata Dato’ Sri DiRaja Adnan pada persidangan media kemudiannya, adalah di bawah penyeliaan dan pengawasan ECERDC dan Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (B-PEN) di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Kedua-dua entiti ini akan menyelia, menyelaraskan segala keperluan dan akan memantau pelaksanaaan projek-projek. Setakat ini kita puas hati (dengan peranan kedua-duanya) untuk pastikan projek dapat berjalan lancar dan dilaksanakan cepat,” katanya.

B-PEN juga katanya, akan membuat pemantauan mengenai tahap serta mutu projek-projek tersebut agar ia dapat benar-benar memanfaatkan rakyat di kawasan-kawasan yang terlibat.

“Maknanya, penduduk di dua kawasan ini iaitu (kawasan tinggalan) LKWJ dengan DARA, tak perlu risau tentang kemudahan perkhidmatan yang ada seperti pembesaran jalan, membersihkan kawasan, membina dan membaiki gerai-gerai,” katanya lagi.

Dalam pada itupun katanya, Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak ada mengarahkan agar Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) turut membantu  penduduk di kampung-kampung tradisional yang berhampiran, dengan membaiki rumah-rumah mereka.

RIANG-GEMBIRA PENYEWA DI GERAI BAHARU DIRASMIKAN... Inilah suasana selesa di Anjung Selera Jengka.  


FELDA DIARAH BANTU KAMPUNG TRADISIONAL BERDEKATAN

“Perdana Menteripun beritahu baru-baru ini, kampung-kampung tradisional berhampiran Felda, Felda akan bantu untuk memperbaiki. Beliau akan minta Felda kendalikan sedikit-sebanyak kawasan kampung tradisional yang berhampiran Felda misalnya, Kampung Rumpun Makmur dekat sini,” katanya lagi.

Selain Ketua Pegawai Eksekutif, ECERDC, Dato’ Jebasingam Issace John, yang turut hadir pada perasmian Anjung Selera Jengka ini ialah Pegawai Daerah-Pegawai Daerah Maran dan Jerantut, Dato’ Fazillah Salleh dan Dato’ Syed Mutalib Syed Hassan;

serta, Ahli Parlimen Kuala Krau, Dato’ Ismail Said, wakil-wakil rakyat Wan Salman Wan Ismail (BN-Jengka), Dato’ Shahaniza Shamsuddin (BN-Kuala Sentul) dan, Dato’ Ahmad Munawar Abdul Jalil (BN-Luit) serta Ketua Pergerakan Wanita UMNO Negeri, Dato’ Rosni Zahari. – Khabar


MATA KE MATA ;

*** Di pekan kecil Jengka ini sahaja, RM10 juta disalurkan bagi membangunkan Terminal Pengangkutan Bersepadu Jengka Sentral (Jengka Sentral) dan RM2.66 juta lagi bagi pembinaan medan selera Anjung Selera Jengka ini.

*** Kedua-dua projek Jengka Sentral dan Anjung Selera Jengka ini dijangka memberi manfaat kepada keseluruhan kira-kira 50,000 penduduk Jengka termasuk kira-kira 10,000 pelajar UiTM Kampus Khazanah Alam yang berhampiran.

*** Selain kedua-dua projek ini ialah pelaksanaan projek-projek kecil termasuk pembinaan serta menaik-taraf jalan, balai raya dan perparitan di kampung-kampung serta kawasan-kawasan berkenaan.

*** Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak ada mengarahkan agar Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) turut membantu  penduduk di kampung-kampung tradisional yang berhampiran dengan membaiki rumah-rumah mereka.