Saturday 15 September 2012

23-tokoh ternama anggotai Majlis Penasihat Ekonomi Negeri (MPEN) Pahang


… mesyuarat pertama dipengerusikan Menteri Besar pada 13 September

MESYUARAT SULUNG MPEN PAHANG... Diapit oleh Dato' Sri Muhammad Safian dan Dato' Sri Idris (kiri dan kanannya), Dato' Sri DiRaja Adnan sedang memperkatakan sesuatu pada mesyuarat sulung MPEN Pahang. 

Antara yang turut kelihatan ialah bekas Ketua Pegawai Eksektif, TNB, Dato' Sri Che Khalib; bekas menteri, Dato' Sri Mohd Effendi; bekas timbalan menteri besar, Tan Sri Abdul Aziz; serta Tengku Dato' Zulkifly.


HOTEL ZENITH, KUANTAN – Ke arah meningkatkan lagi kemajuan ekonomi menerusi pendekatan bermusyawarah dengan mereka yang lebih arif mengenainya, Pahang mengorak langkah sebagai negeri pertama mewujudkan Majlis Penasihat Ekonomi Negeri (MPEN).

Pengwujudan MPEN Pahang ialah antara resolusi utama yang telah dipersetujui pada Konvensyen Ekonomi Negeri Pahang (KENP) yang dianjurkan antara 29 Februari dan 1 Mac lepas.

Dengan keanggotaan 23 orang, dipengerusikan oleh Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob; mesyuarat sulung MPEN Pahang telah diadakan pada petang Khamis, 13 September, di sini.

“… kita ingin mendapatkan pandangan, akal fikiran, kepakaran yang ada di kalangan mereka ini untuk bersama-sama gemblingkan dengan input daripada Kerajaan, supaya kita dapat mempertingkatkan lagi pembangunan ekonomi negeri Pahang.

“Hari ini ialah mesyuarat pertama dan kita telah bersetuju untuk mengadakan mesyuarat tiga bulan sekali, empat bulan sekali; dan tadi kita telahpun kenalpasti beberapa perkara yang perlu kita beri perhatian.

KEKUATAN PAHANG DAN KEPERLUAN UNTUK ‘PRIORITISE’

“Antara lainnya ialah, Pahang banyak kekuatan (dan) kita kena ‘prioritise’,  memberikan keutamaan,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan pada persidangan media sejurus tamat mesyuarat MPEN Pahang tersebut.

Kerajaan Negeri katanya, memang mengharapkan anggota-anggota MPEN Pahang memberikan pandangan profesional masing-masing tentang apakah lagi yang harus dilakukan bagi memajukan bidang ekonomi di negeri ini.

Sementelah pula katanya, “Kadang-kadang kita lakukan perkara yang kita rasa betul, itu sebaik-baiknya. Tetapi, ada masanya perkara yang kita rasa betul itu tidak berapa betul. Untuk membetulkan ini, kita perlukan orang luar (yang menganggotai MPEN Pahang).”

“Bukan pula bermakna selama ini Kerajaan melakukan perkara yang tidak betul, tidak...,” tegas Menteri Besar itu.

Sehubungan itu, beliau mengumumkan jangkaan kemasukan pelaburan sehingga bernilai RM30,000 juta menjelang tahun 2020 atau kira-kira lapan (8) tahun sahaja daripada sekarang.

NILAI PELABURAN RM30,000 JUTA MENJELANG TAHUN 2020

“Dari sekarang sampailah ke 2020, nilai pelaburan yang kita jangkakan akan kita dapat ialah bernilai RM30 billion. Untuk 2011 sahaja, sudah RM6 billion. Tidak mustahil menjelang 2020, sampai sebanyak RM30 billion,” katanya.

Selain Dato’ Sri DiRaja Adnan, keanggotaan lain MPEN Pahang ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail; serta Pengarah, Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (B-PEN), Dato’ Mahadiah Mohamad.

Yang lain ialah, Presiden, Majlis Bekas-bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK), Tan Sri Abdul Aziz Rahman; Pengerusi, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Dato’ Sri Idris Jusoh; Pengerusi Eksekutif, Encorp Bhd, Dato’ Sri Mohd Effendi Norwawi;

Ketua Pegawai Operasi, Kewangan, Strategi dan Perancangan, DRB-Hicom Bhd, Dato’ Sri Che Khalib Mohamad Noh; Pengarah Eksekutif, YTL Corporation Bhd, Dato’ Sri Michael Yeoh Sock Siong; Presiden, Pesatuan Dewan-dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina (ACCCI) Pahang, Dato’ Sri Lim Sing @ Lam Kam Sang;
 
Pengerusi, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Pahang, Tengku Dato’  Zulkifly Tengku Ahmad; Penasihat Sains kepada Perdana Menteri, Prof Emeritus Dato’ Dr Zakri Abdul Hamid; Ketua Eksekutif, Institut Strategi dan Pengajian Antarabangsa (ISIS), Dato’ Dr Mahani Zainal Abidin;

CAMPURAN PELBAGAI LATAR DAN KEPAKARAN

Ketua Pegawai Eksekutif, Tenaga Nasional Bhd (TNB), Dato’ Ir Azman Mohd; Ketua Setiausaha, Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN), Dato’ Dr Norma Mansor; Naib Canselor, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof Dato’ Dr Daing Mohd Nasir Daing Ibrahim;  

Wakil rakyat (BN – Sabai), Dato’ Davendran a/l Murthy; dan seorang lagi wakil rakyat (BN – Guai), Encik Norol Azali Sulaiman;

Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Dato’ Jebasingam Issace John; Pengerusi, Pusat Pembangunan Kemahiran Pahang (PSDC), Dato’ Lahuree Sudiran; Pengerusi, Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia cawangan Timur, Dato’ Mas’ut Awang Samah; Ketua Pegawai Eksekutif, Amanah Saham MARA Bhd, Dato’ Kamaruddin Mohammed;

Pengerusi, Bandar Raya Development Bhd, Dato’ Mohamed Moiz Jabir Mohamed Ali Moiz; serta, Ketua Pegawai Eksekutif, Bandar Raya Development Bhd (BRDB), Dato’ Jaganath Derek Steven Sabapathy.

Pada mesyuarat pertama ini, tiga (3) orang sahaja yang tidak hadir kerana sama ada berada di luar negara atau atas urusan lain yang tidak dapat dielakkan iaitu Dato’ Dr Mahani, Dato’ Ir Azman dan Dato’ Sri Mchael Yeoh. – Khabar


MATA KE MATA;

*** “… kita ingin mendapatkan pandangan, akal fikiran, kepakaran yang ada di kalangan mereka ini untuk bersama-sama gemblingkan dengan input daripada Kerajaan, supaya kita dapat mempertingkatkan lagi pembangunan ekonomi negeri Pahang.”

***  “Kadang-kadang kita lakukan perkara yang kita rasa betul, itu sebaik-baiknya. Tetapi, ada masanya perkara yang kita rasa betul itu tidak berapa betul. Untuk membetulkan ini, kita perlukan orang luar (yang menganggotai MPEN Pahang).”

“Bukan pula bermakna selama ini Kerajaan melakukan perkara yang tidak betul, tidak...”

*** “Dari sekarang sampailah ke 2020, nilai pelaburan yang kita jangkakan akan kita dapat ialah bernilai RM30 billion. Untuk 2011 sahaja, sudah RM6 billion. Tidak mustahil menjelang 2020, sampai sebanyak RM30 billion.”

*** Selain Dato’ Sri DiRaja Adnan, keanggotaan lain MPEN Pahang ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail; serta Pengarah, Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (B-PEN), Dato’ Mahadiah Mohamad.

Yang lain ialah, Presiden, Majlis Bekas-bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK), Tan Sri Abdul Aziz Rahman; Pengerusi, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Dato’ Sri Idris Jusoh; Pengerusi Eksekutif, Encorp Bhd, Dato’ Sri Mohd Effendi Norwawi.