Thursday 23 January 2014

"Di mana letak barakahnya nanti, kehidupan kita...?"


… apabila nama Allah SWTpun tidak dapat umat Islam jagainya, sanggah Menteri Besar berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam

HADIAH BUAT PESERTA... 


HOTEL M.S.GARDEN, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob membangkitkan tentang barakahnya kehidupan umat Islam hari ini dengan mengaitkan peranan mereka dalam mempertahankan kalimah Allah daripada digunakan oleh bukan Islam.

“Saya takut, dari satu sudut, Allah Ta‘ala akan murka kepada kita. Nama Allah Taalapun kita tak boleh jaga.

“Di mana letak barakahnya nanti, kehidupan kita…? Ini yang perlu kita fikirkan selaku orang Islam,” tegasnya dalam ucapan luar teks 20-minit mewakili KDYMM Sultan Pahang merasmikan penutupan Tilawah al-Quran Saudara Baharu Peringkat Kebangsaan malam Rabu, 22 Januari, di sini.

“Kita orang Islam, pemimpin-pemimpin yang ada; mesti bangkit, kita mesti bertegas…,” katanya lagi.

Beliau nyata kecewa apabila menyebut mengenai tindakan beberapa pihak termasuk golongan profesional bukan Islam, yang mempertikaikan titah-titah oleh DYMM Sultan Selangor kemudian SPB Yang Dipertua Agong yang juga Sultan Kedah, bertegas tentang kalimah Allah untuk umat Islam semata-mata.

SESI FOTO BERKUMPULAN... 


“KALAU DAHULU, TAK TAHULAH APA YANG AKAN BERLAKU…”

“Kalau dahulu,” katanya, “… tak tahulah apa yang akan berlaku…” “Kita berharap supaya pihak berkuasa, yang berkuasa untuk menguatkuasakan undang-undang ugama ini, mesti bertegas,” katanya lagi.

Dato’ Sri DiRaja Adnan menyanggah pendapat sesetengah pihak kononnya kalimah Allah telahpun lama digunakan termasuk sebelum Nabi Muhamad SAW diutuskan sebagai Rasul lagi.

Namun katanya,  Baginda telah telah datang serta membetulkan kekeliruan dengan menetapkan bahawa, Tuhan yang maha esa yang merupakan pencipta alam ini adalah dikenali sebagai Allah.

Jika di Sabah dan Sarawak katanya, memang umat Islam dan juga penganut Kristian, tidak menjadi masalah kepada mereka menggunakan kalimah Allah yang sama dan mereka tahu membezakan antara kitab-kitab al-Quran dan Injil.

“… Islam telah sampai dahulu ke Sabah dan Sarawak, kemudian (baharu) datang pendakwah-pendakwah Kristian.

JUARA... Suaranya yang lunak, bacaannya yang lancar dan berlagu, tidak langsung dapat kita bezakannya seorang saudara baharu, dengan kita yang - meminjam istilah yang Dato' Sri DiRaja Adnan sebut -'saudara lama'. Inilah, orang Sabah ba... Encik Akop Abungkil.   


SINGKAP PERISTIWA NATRAH DI SINGAPURA

“Oleh sebab Bumiputera di sana telahpun mengetahui Tuhan sebagai Allah dan mereka menerima juga apabila orang Kristian menggunakan istilah Tuhan sebagai Allah; tidak timbul perselisihan (dan) ini telah terjadi zaman-berzaman.

“Tetapi di Semenanjung ini, dari dahulu sampai sekarang, kita tahu Allah adalah kegunaan orang Islam. Tidak patut sebagai contoh, penganut-penganut agama Kristian, orang lain daripada bukan Islam, yang cuba tiba-tiba muncul menggunakan istilah Allah, semata-mata untuk menimbulkan persengketaan,” katanya.

Dato’ Sri DiRaja Adnan kemudian menyingkap peristiwa Natrah – anak daripada ibubapa berbangsa Belanda, diserah dan dijadikan anak angkat oleh keluarga Melayu/Islam semasa Perang Dunia Kedua ketika Jepun memerintah negara termasuk Singapura.   

Yang apabila perang tersebut tamat, Natrah dituntut kembali oleh ibubapa Belandanya hingga mencetuskan kekacauan oleh Melayu/Islam termasuk pembunuhan, ekoran mahkamah yang dikuasai orang Inggeris ketika itu, telah membuat keputusan menyebelahi kedua-dua ibubapa Belanda beragama Kristian itu.

Dan mujur katanya, keadaan sepertimana peristiwa Natrah, tidak berlaku dalam negara ini sekarang dalam menghadapi isu kalimah Allah oleh kerana, menurutnya; “… kita terima dengan penuh kesabaran, kerana Allah, tak apa…”.  

DI MEJA UTAMA... Kelihatan bersama-sama di meja utama mengiringi Cik Puan Muda Pahang (tengah, bertudung biru) ialah Dato' Sri DiRaja Adnan dan Dato' Sri Wan Wahid; selain Dato' Ishak (sebelah kanan Dato' Sri DiRaja Adnan); YM Tengku Dato' Zulkifli (kanan sekali); dan, Dato' Abdul Rahman (kiri sekali). 


KEMURTADAN JUGA SATU ISU SEMASA UMAT ISLAM

Beliau juga menyentuh tentang isu murtad dan menyatakan betapa, seolah-olahnya soal ini boleh dipermain-mainkan oleh pihak-pihak tertentu. “Boleh keluar-masuk ugama dan boleh pula dikritik oleh golongan cerdik-pandai, golongan mereka yang berpendidikan tinggi, profesional seperti peguam-peguam.

“Walaupun kita ada undang-undang tetapi apabila ada pihak yang cuba memperkecilkan, memperlekehkan ekoran dari kejadian ini maka umat Islam sepatutnya sedar, bangun daripada tidur dan sama-sama bersatu untuk mempetrtegakkan soal Islam ini,” tegasnya.

Mengenai Tilawah al-Quran Saudara Baharu Peringkat Kebangsaan yang julung-julung kali dianjurkan ini katanya, beliau bangga kerana yang menjadi peserta dan membaca al-Quran ialah saudara-saudara baharu.

“Kita yang saudara lama(pun) tak pandai baca macam saudara baharu baca tadi,” katanya merujuk kepada bacaan yang diperdengarkan oleh johan qari dari Sabah, Encik Akop Abungkil sebelum itu.

Isteri kepada YAM Tengku Muda Pahang, Cik Puan Muda Pahang, Cik Puan Julita Aishah Abdul Latif, telah turut berangkat hadir ke majlis penutupan tilawah yang disertai oleh 38 qari dan qariah saudara baharu dari seluruh negara.

YANG TURUT HADIR…

Yang turut hadir ialah Timbalan Yang Dipertua, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Orang Kaya Indera Pahlawan Pahang, Dato’ Sri Wan Wahid Wan Hassan; Speaker, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Ishak Muhamad; Mufti Negeri, Sahibus Samahah, Dato’ Abdul Rahman Osman;

Ketua Hakim Syarie, Dato’ Abdul Rahman Yunus; YM Dato’ Setia Perkasa Pahang, Tengku Dato’ Zulkifli Tengku Ahmad; Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Encik Mohd Nordin Ibrahim; ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri; ahli-ahli Jemaah Pangkuan DiRaja Pahang; dan Pengarah, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Mohamad Roslan Harun. – Khabar