Wednesday 3 September 2014

Ketepikan politik, pastikan projek pembekalan air Pahang-Selangor siap ikut jadual pada 2017



… tegas Dato’ Sri DiRaja Adnan sempena lawatan ke tapak pembinaan Empangan Kelau – satu daripada empat komponen Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (PPAMPS), yang sudahpun 97 peratus siap.  

TAKLIMAT DI TAPAK... Berlatar belakangkan kawasan yang akan ditenggelami air membentuk Empangan Kelau ini, Dato' Sri DiRaja Adnan sedang ditaklimatkan lanjut mengenainya. Yang turut memerhatikan ialah Dato' Sri Mahadzir; Dato' Sri Muhammad Safian; dan, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas Negeri, Dato' Ir Soffi Abdul Razak (kanan sekali). 


TAPAK PEMBINAAN PROJEK EMPANGAN KELAU, LEMBAH KELAU, RAUB – Ketepikan soal politik, sebaliknya bekerjasama memastikan Projek Pembekalan Air Mentah Pahang-Selangor (PPAMPS) bernilai lebih RM3,900 juta dapat siap ikut jadual pada tahun 2017.

Ini ditegaskan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pada persidangan media selepas mendengar taklimat sempena lawatan kerja anggota-anggota Exco Kerajaan Negeri yang diketuainya, ke sini pada petang Rabu, 3 September.

Ketegasan ini dibuat berlatar-belakangkan senario semasa di Selangor, yang menyaksikan Kerajaan Negeri pimpinan ‘pakatan’ pembangkang, sedang mengalami krisis bagi menggantikan Menteri Besar sedia ada – Tan Sri Khalid Ibrahim, kepada yang lain.

Dan, setelah tertangguh sekian lama, Tan Sri Khalid ialah orangnya yang mewakili Kerajaan Negeri itu, menanda tangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kerajaan Persekutuan pada Rabu, 26 Februari lepas, berkenaan dengan Penstrukuran Semula Industri Bekalan Air Selangor.  

Yang menerusi MoU inilah juga antara lain dipersetujui bahawa Kerajaan Selangor akan mengeluarkan kebenaran untuk merancang pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (LRAL2) serta sistem agihannya berkuatkuasa tarikh itu.

TEKUN MENGIKUTI TAKLIMAT... 


MB PUAS HATI DENGAN KEMAJUAN PPAMPS

“Setakat ini seperti yang kita dengar taklimat tadi, kita puas hati. Daripada empat (4) komponen yang dibina, dua (2) sudah siap 100 peratus. Dua lagi tu hanya sikit sahaja lagi.

“Hanya kita berharaplah, ini atas kesedaran untuk membekalkan air ke Selangor dan ‘rate’ yang dikenakan oleh Pahangpun sangat rendah – 10 sen untuk satu (1) meter padu; jadi kita berharap semua pihak akan memikirkan kepentingan rakyat dan mengenepikan soal-soal politik,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

Menurut rekod, empat (4) komponen di bawah PPAMPS (bagi membekalkan kira-kira 1.89 juta meter padu sehari air mentah) ialah pembinaan Empangan Kelau setinggi 30 meter ini sendiri; terowong bawah tanah berdiameter 5.2 meter dan sejauh 44.6 km menghubungi Karak ke LRAL2;

Pembinaan sebuah muka sauk dan rumah pam di Sungai Semantan yang berhampiran; serta, ‘overland’ paip berkembar di jajaran yang tertentu, bagi turut menyalurkan air mentah yang sama.

Menurut Menteri Besar, tidak semua perkara boleh dipolitikkan sementelah pula apabila ianya berkaitan dengan kehidupan harian rakyat, keselamatan serta kesejahteraan mereka seperti soal pembekalan air dan makanan.  

BAHAGIAN 'SPILLWAY'... Sebahagian daripada struktur utama yang terdapat pada Empangan Kelau ini.


“… THIS HAS GOT TO BE ABOVE POLITICS”

“Jadi saya berharap, pihak yang berkenaan terutama sekalinya pihak Kementerian dan juga Kerajaan Negeri Selangor, akan bekerjasama untuk pastikan projek ini dapat disiapkan pada masa yang telah ditentukan iaitu tahun 2017.

“Siap maknanya, air dibekalkan melalui terowong dari Pahang dan kemudian dirawat di sebelah Selangor di Loji Rawatan (Air Langat2) di sebelah sana. Ini perlukan kerjasama semua pihak. Kita berharap ianya dapat dilaksanakan sepenuhnya untuk faedah rakyat,” katanya lagi.

Kepada soalan wartawan The Star mengenai kemungkinan berlaku kelewatan dalam penyiapan projek PPAMPS dan LRAL2 khususnya, ekoran pertukaran dalam tampuk jawatan Menteri Besar di sana katanya;

“If there is any change or whatever at all in Selangor, I hope this project will not be affected. As I have said, not all things can be politicised. Things like supply of water… this has got to be above politics”.

Beliau turut ditanya tentang kemungkinan Kerajaan Negeri membuat semakan semula kepada kadar jualan air mentah sebanyak 10 sen semeter padu di bawah perjanjian yang telah ditanda tanganinya dengan Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 2007, yang ketika itu masih dipimpin oleh Barisan Nasional (BN) di bawah Menteri Besar, Dato’ Sri Dr Khir Toyo.

TEMPOH SEMAK SEMULA KADAR DAH ‘OVERDUE’ DAH

Memang di bawah perjanjian yang sama menurutnya, kadar itu boleh disemak semula setiap lima (5) tahun dan sekarang katanya, “Dah ‘overdue’ dah. InsyaAllah, (Mesyuarat) Exco (Kerajaan Negeri) yang akan datang, kita bawakan perkara ini”.

Sebelum itu, semasa sesi taklimat, Dato’ Sri DiRaja Adnan masih membangkitkan soal kehendak Kerajaan Negeri untuk turut memiliki ekuiti dalam projek LRAL2 dan diberitahu bahawa ianya diambil maklum.

Pada awal Mac lepas, semasa ditanya reaksinya terhadap MoU yang ditanda tangani oleh Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan pada akhir bulan Februari itu, Dato’ Sri DiRaja Adnan turut berkata;

“Sayapun telah menyatakan di beberapa forum dan kita akan (lakukan) ‘follow-up’, kita akan jual air mentah tetapi pada ketika yang sama, mungkin kita juga perlukan sikit-sebanyak kerjasama dari pihak yang berkenaan, untuk memberikan kita ekuiti dalam syarikat yang merawat dan juga menjual air.

“Kita perlukan juga sikit. Takkanlah, 10 sen satu meter padu (sahaja, bagi membekal air mentah)? 10 sen satu meter padu yang akan mendatangkan hasil lebih kurang RM70 ke RM80 juta setahun, tak banyak tu.

BAYAR GAJIPUN LEBIH DARIPADA RM70 JUTA

“Kita bayar gajipun (untuk kakitangan kerajaan) lebih dari itu,” katanya pada persidangan media sempena Majlis Penghargaan Projek Pemodenan Lesen Perniagaan peringkat negeri, tengah hari Isnin, 3 Mac di Kompleks Yayasan Pahang, Kuantan.

Taklimat ringkas mengenai kemajuan terkini PPAMPS khususnya projek pembinaan Empangan Kelau ini telah disampaikan oleh Pengarah Projek, Ir Dr Zullkifle Nordin.

Selain Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Dato’ Sri Mahadzir Khalid; yang turut hadir sempena lawatan kerja petang Rabu ini ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail;

Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri dan ahli-ahli ex-officio; Ketua Polis Negeri, Dato’ Sharifuddin Abdul Ghani; serta ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan. – Khabar