… semuanya kerana pelakuan operator bauksit yang masih tidak serik-serik juga lagi.
Alamaya, INDERA
MAHKOTA 5, KUANTAN –
Salahkan diri sendiri! Inilah yang harus diinsafi oleh pengusaha-pengusaha
bauksit di daerah Kuantan ini, ekoran lanjutan demi lanjutan tempoh moratorium
ke atas pengeluaran/pelombongan bahan mineral tersebut.
Sehingga
kini, sudah lima (5) kali tempoh itu dilanjutkan yang dengan itu, sudah
kira-kira setahun, dua (2) bulan dan dua (2) minggu bahan mineral berkenaan
dilarang daripada dilombong.
Kali
pertama ialah antara 15 Januari dan 14 April lepas; kedua, antara 15 April dan
14 Julai lepas; ketiga, antara 15 Julai dan 14 September lepas; keempat, antara
15 September dan 31 Disember lepas; dan kelima, antara 1 Januari dan 31 Mac
ini.
Kini,
selain daripada Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob membayangkan tempoh
itu akan dilanjutkan lagi, begitulah juga yang disuarakan oleh Menteri Sumber
Asli dan Alam Sekitar Dato’ Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Dan
Dato’ Sri Dr Wan Junaidi turut membayangkan betapa pelanjutan kali ini – yang keenam,
mungkin mengambil masa lebih lama daripada sekadar antara dua (2) dan tiga (3)
bulan sebelum ini.
SEGELINTIR
OPERATOR SAH TURUT MELOMBONG HARAM?
Semuanya
kerana perlakuan operator bauksit yang masih tidak serik-serik juga lagi.
Mereka – termasuk segelintir dalam kalangan operator yang sah, masih melombong sedangkan
tempoh moratorium tidak membenarkannya melainkan aktiviti mengangkut keluar
stok simpanan yang ada sahaja, serta mengeksportnya.
Dalam
tempoh moratorium kelima sekarang (1 Januari hingga 31 Mac), jumlah stok
simpanan yang masih ada yang sepatutnya sebanyak 2.95 juta tan metrik sahaja
lagi, perlu diangkut dan dieksport ke China menerusi Pelabuhan Kuantan.
Dengan
38 Permit Kelulusan (AP) Khas yang Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar
(NRE) telah keluarkan – setiap satu dibenarkan mengeskport 100,000 tan maka
dengan 38 AP Khas sepatutnya boleh melupuskan sehingga 3.8 juta tan metrik atau
lebih daripada 2.95 juta tan metrik stok simpanan itu.
Sudah
semestinyalah, dengan pengeluaran AP Khas ini, Kerajaan turut mengenakan
beberapa syarat ketat antaranya, pemilik AP Khas perlu membayar ‘upfront’
terlebih dahulu caj-caj yang ditetapkan sebelum pengeksportan.
Sebelum
ini, caj-caj tersebut dibenarkan untuk dibayar selepas pengeksportan yang
menyebabkan ada antara operator yang culas, tidak membuat apa-apa pembayaran
langsung kepada Kerajaan.
OPERATOR BELUM
DAPAT PENUHI SYARAT-SYARAT KETAT
Selain
itu, mereka juga mesti patuh kepada Prosedur Operasi Piawaian (SOP) yang
semakin diperketatkan syarat-syaratnya antaranya ialah, jenis lori yang
digunakan sebagai pengangkutan hendaklah yang ber‘badan’ besi yang lebih kukuh
daripada jenis kayu sebelumnya.
Syarat-syarat
yang lebih ketat inilah yang dikatakan menjadi punca kepada kelengahan para
operator bauksit untuk melaksanakan kerja-kerja pengangkutan dan pengeskportan
bahan mineral tersebut.
(Sementelahan
pula harga di pasaran bahan mineral itu tidak begitu memberangsangkan –
cuma
kira-kira AS24 dolar setan metrik berbanding kira-kira AS40 dolar setan metrik
semasa waktu puncak pada tahun 2014).Sedangkan, syarat-syarat ketat ini perlu demi membendung gejala pelombongan dan pengangkutan yang ‘caca-marba’ hingga mencemarkan alam sekitar serta membahayakan nyawa orangramai khususnya di atas jalan yang menjadi laluan pengangkutan dari kawasan stok simpanan ke Pelabuhan Kuantan.
Malah, syarat-syarat ketat inilah juga yang terhasil daripada bengkel-bengkel yang telah Kerajaan Negeri anjurkan, yang turut disertai dan telah dipersetujui oleh operator-operator bauksit yang sama.
Jika syarat-syarat ketat ini belum dapat dipenuhi maka eloklah tempoh moratorium terus dilanjutkan selagi mana perlu. Dan para operator – sama ada yang sah atau haram, tidak perlulah mengeluh serta menyalahkan Kerajaan melainkan diri mereka sendiri. – Khabar