Friday, 2 November 2018

ECRL – Kerajaan Negeri sambut baik penggantungan untuk kaji semula kos, bukan pembatalan


“Harapan Kerajaan Negeri ialah agar kajian ini dapat dilaksana dan disiapkan segera, supaya penyambungannya kembali dapat berjalan lancar dan siap dalam tempoh yang sewajarnya,” kata Menteri Besar.

ECRL - DITANGGUH BAGI KAJI SEMULA KOS, BUKAN DIBATALKAN... 


PEJABAT MENTERI BESAR, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Kerajaan Negeri menyambut baik ucapan Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan Encik Lim Guan Eng khususnya tentang projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang digantung pelaksanaannya, sementara kajian ke atas kos dilakukan.

Bahawa projek ini tidak terus dibatalkan sebaliknya digantung sahaja katanya, menunjukkan projek ini masih lagi berdaya-maju, yang bakal memberi manfaat besar kepada rakyat khususnya di negeri-negeri Pantai Timur. 

“Harapan Kerajaan Negeri ialah agar kajian ini dapat dilaksana dan disiapkan segera, supaya penyambungannya kembali dapat berjalan lancar dan siap dalam tempoh yang sewajarnya,” katanya.

Dato’ Sri Wan Rosdy berkata demikian sebagai mengulas ucapan salama dua (2) jam sembilan (9)  minit Encik Lim di Parlimen petang Jumaat, 2 November khususnya berkenaan ECRL yang menurutnya, “… kerja pembinaan ECRL berjumlah RM 81 bilion telah digantung dan kini kosnya sedang dirunding semula”.

Projek ECRL sepanjang 688 KM bakal menghubungkan Pelabuhan Kelang, melalui negeri-negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan dengan berakhir di Kota Bharu. Ia telah dilancarkan tahun lepas dan dijadualkan siap pada 2024.

PERDANA MENTERI KATA ECRL BATAL PADA 21 OGOS

Pada 23 Ogos lepas, Dato’ Sri Wan Rosdy merayu agar Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan semula keputusan ekoran kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Beijing, China dua (2) hari sebelumnya (21 Ogos) yang berkata bahawa projek-projek ECRL dan Saluran Gas Paip Trans-Sabah (TSGP), dibatalkan.

Tun Dr Mahathir telah memberitahu wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan lima (5) harinya ketika itu bahawa, Presiden China Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Keqiang memahami sebab-sebab pembatalan dua (2) projek yang disokong Kerajaan China itu.
  
Dalam rayuannya ketika itu, Dato’ Sri Wan Rosdy berkata, selain menyebabkan ramai orang kehilangan pekerjaan, pembatalan itu akan turut merugikan ketiga-tiga negeri – Pahang, Terengganu dan Kelantan, yang mana kerja-kerja awal pelaksanaannya telahpun bermula.

“Di Pahang sahaja, kemajuan yang dicapai ialah antara 13 dan 14 peratus setakat ini. Malah, di tapak-tapak seperti Genting dan Bentong, kerja-kerja pengorekan terowong bagi laluan ECRL telahpun bermula.

“Malah, kerja-kerja untuk pengambil-alihan tanah sudahpun berada di peringkat Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri dan ini termasuk bagi tanah-tanah milik persendirian yang perlu kemudian diwartakan untuk ditetapkan jumlah pampasan kepada mereka,” katanya.

BSH IALAH GANTIAN KEPADA BR1M

Menurut rekod, seluas 1,394.4 hektar tanah melibatkan 1,545 lot tanah menerusi jajaran sepanjang 232.5 KM merentasi daerah-daerah Bentong, Temerloh, Bera, Maran dan Kuantan; yang akan terlibat dengan projek ECRL ini.

Daripada 1,394.4 hektar ini pula, kira-kira 385 hektar atau 27.6 peratus ialah Tanah Kerajaan manakala yang lain ialah tanah-tanah milik persendirian, tanah-tanah rizab Melayu dan Hutan Simpan Kekal.   

“Oleh itulah, saya merayu bagi pihak Kerajaan Negeri serta mereka yang terkesan teruk dengan pembatalan ini khususnya pekerja-pekerja yang bakal diberhentikan, agar Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan semula keputusan tersebut,” katanya lagi ketika itu.

Kerajaan Negeri juga menurut Dato’ Sri Wan Rosdy, menyambut baik pengenalan Bantuan Sara Hidup (BSH) dalam Belanjawan 2019 yang sebenarnya, ialah gantian kepada Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di bawah Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelumnya. 

“Jelas sekali, BSH disasarkan untuk membantu golongan B 40 yang berpendapatan bulanan isi rumah di bawah RM 4,000 yang seramai 4.1 juta orang. Dengan ini – BSH bernilai antara RM500, RM750 dan RM1,000; dapat meringankan sikit beban kehidupan seharian mereka,” katanya. – Khabar