Tuesday 25 June 2019

Kabinet telah luluskan Kuantan dinaik-taraf sebagai bandaraya


“… dan tindakan lanjut kita akan buat persediaan ke arah (menjadikan Kuantan sebagai) bandaraya,” kata Menteri Besar

MENANDA TANGANI PADA PLAK... Dato' Sri Wan Rosdy sedang menurunkan tanda tangannya pada plak tanda rasmilah sudah Kem Nemo yang dibeli oleh PKPP daripada pemilik asalnya - Pelangi Beach Resort pada 2014 dengan nilai RM8 juta tetapi kini, setelah diubah suai berkonsepkan penginapan ala perkhemahan telah mencecah Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM10 juta. 

Antara yang turut kelihatan ialah Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato' Fakharuddin Mohd Arif (tiga dari kiri); wakil rakyat BN masing-masing dari Kuala Semantan dan Dong, Dato' Nor Azmi Mat Ludin (kiri sekali) dan Dato' Sri Shahiruddin Ab Moin (dua dari kiri, separuh terlindung); serta, Ketua Pegawai Eksekutif PKPP, Dato' Suhaimi Mohd Yunus (kanan sekali, separuh terlindung).   


KEM NEMO, PANTAI BALOK, SUNGAI KARANG, KUANTAN – Kabinet Kerajaan Persekutuan telahpun meluluskan kenaikan taraf Kuantan sebagai sebuah bandaraya, kata Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

Menurutnya, keputusan tersebut telah disampaikan kepadanya menerusi surat daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan baru-baru ini.  

“Kita telah mendapat surat daripada pihak kementerian iaitu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bahawa kabinet telahpun meluluskan Kuantan dinaikkan taraf sebagai bandaraya.

“Dan YB Setiausaha Kerajaan Negeri telahpun (turut) mendapat surat tersebut dan tindakan lanjut kita akan buat persediaan ke arah (menjadikan Kuantan sebagai) bandaraya,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy.

Beliau berkata demikian pada persidangan media sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidil Fitri Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan Perasmian Kem Nemo milik PKPP ini tengah hari Selasa, 25 Jun di sini.

DEMI MENYEMPURNAKAN GIMIK PERASMIAN... 


BANYAK LAGI PERLU DILAKUKAN

Sungguhpun kelulusan telah diberi tetapi pengisytiharannya kata Dato’ Sri Wan Rosdy, tidak mungkin dapat berlaku dalam jangka masa terdekat ekoran lebih banyak lagi yang perlu dilakukan ke arah merealisasikannya.
  
“Dan perkara ini tidak boleh terjadi dalam masa yang singkat. Banyak lagi perkara yang perlu dipatuhi, yang perlu kita ikuti dan beberapa siri lagi perbincangan masih perlu diadakan antara Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“InsyaAllah, apabila tiba masanya nanti, akan dilaksanakan. Tapi tidaklah dalam masa yang terdekat ini,” katanya lagi.

Beliau seterusnya percaya betapa banyak manfaat dan kesan positif yang akan diperolehi oleh penduduk Kuantan serta juga kepada MPK dan Kerajaan Negeri, dengan kenaikan taraf tersebut kelak.

Kepada soalan wartawan mengenai politik pula khususnya berkaitan kerjasama semakin erat antara UMNO dengan PAS susulan perbincangan dan penerimaan baik oleh ahli-ahli PAS pada Muktamar parti itu ke-65 di Kuantan ini minggu lepas kata Dato’ Sri Wan Rosdy yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO serta Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Negeri dan Barisan Nasional (BN) Negeri;

SESI BERFOTO KUMPULAN DENGAN TENAGA KERJA DE RHU BEACH RESORT... Tenaga kerja yang sama ini juga yang akan mengendalikan operasi seharian Kem Nemo. Di sebelah kanan Dato' Sri Wan Rosdy ialah Pengurus Besar, De Rhu Beach Resort, Encik Reza Abdul Rashid dan sebelah kirinya ialah Pengurus, Bahagian Makanan dan Minuman (F&B)nya, Encik Azman Abdul Talib.

De Rhu Beach Resort yang bersebelahan Kem Nemo, ialah juga milik PKPP yang dibelinya dengan nilai RM42 juta pada tahun 1997 tetapi kini - dengan segala pengubahsuaian termasuk mengadakan kemudahan lif, telah berGDV kira-kira RM60 juta.   



JALIN HUBUNGAN UMNO/PAS DI PAHANG SEJAK SELEPAS PRU-14

“Kita dah menjalin hubungan yang baik dengan PAS ini, sejak selepas Pilihanraya (Umum Ke-14) lagi dan setakat ini – sama ada PAS ataupun UMNO, BN; kita tidak ada apa-apa masalah.

“Saya bersama-sama dengan PASpun – ada masa-masa tertentu kita duduk semeja berbincang, dan sebagainya. Jadi kerjasama antara PAS dengan UMNO di Pahang ini sangat baik”.

Menjawab soalan wartawan yang sama tentang apakah penerimaan ahli-ahli akar-umbi UMNO pula terhadap kerjasama dan usaha penyatuan UMNO/PAS itu katanya, beliau percaya ianyapun tiada masalah.    

“Sebab kita faham bahawa ini adalah soal penyatuan ummah. Dan saya fikir, ahli-ahli UMNOpun faham bahawa kekalahan kita (BN) di lima (5) kerusi Parlimen (sebelum ini) adalah kerana undi antara UMNO dengan PAS itu berpecah.

“Kalau kita gabungkan UMNO dengan PAS ini undinya, kelima-lima Parlimen yang sekarang ini kita kalah – Kuantan, Indera Mahkota, Bentong, Raub dan Temerloh; insyaAllah, kita akan boleh mencapai kemenangan.

SEBAGAI MEMENUHI AMALAN CSR OLEH PKPP... Pemilik sebuah pusat pengajian Islam berdekatan sedang menerima sumbangan PKPP menerusi Dato' Sri Wan Rosdy, yang juga Pengerusi perbadanan tersebut. 


KEKALAHAN DULU SEBAB UNDI MELAYU-ISLAM PECAH

“Kekalahan kita tempoh hari (pada PRU -14 ialah) kerana undi Melayu-Islam ini berpecah. Ada yang Barisan Nasional, ada yang pergi ke PAS. Akibat perpecahan ini pihak parti lawan menang,” katanya lagi.

Beliau seterusnya tidak menolak kemungkinan parti lawan terutamanya, akan berusaha untuk menggagalkan usaha penyatuan UMNO/PAS ini dan perkara itu adalah kepadanya, biasa.  

“Sudah tentu yang tidak senang dengan penyatuan UMNO dan PAS akan berusaha (untuk menggagalkannya) kerana merekapun tahu, sekiranya berlaku perpaduan, penyatuan antara UMNO dengan PAS, laluan adalah sukar untuk mereka mempertahankan kerusi yang boleh memudahkan UMNO dan PAS untuk menang,” katanya.

Maka, apakah usaha oleh kedua-dua UMNO dan PAS untuk mengelak pihak ini menggagalkan usaha penyatuan UMNO dan PAS? tanya wartawan yang sama, yang secara spontan Dato’ Sri Wan Rosdy menjawab;

“Kita terus buat kerjalah, kita terus buat kerja. Kita tunjukkan keikhlasan kita sebab perkara ini kita tahu; kalau kita bersatu, kita akan menjadi kuat”


ANTARA KEMUDAHAN PERKHEMAHAN YANG DISEDIAKAN... 
– Khabar