Friday 20 September 2019

Pahang bakal terima pelaburan lagi RM1,386 juta dari China


“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan pencapaian ini yang dengannya, pasti memberi impak sosio-ekonomi yang besar kepada negeri dan rakyat Pahang,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy

PADA SESI KUNJUNG HORMAT... ke atas Gabenor Chen Wu di pejabatnya, sebelum ke sebuah hotel terkemuka di bandar Nanning untuk menyaksikan majlis menandatangani MoU antara Kerajaan Negeri dengan pelabur-pelabur negara tembok besar itu. 


kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Pahang bakal menerima kemasukan pelaburan lagi RM1,386 juta dari Negara China ekoran termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri dengan enam (6) syarikat dari negara tersebut.

Majlis menandantangani MoU ini berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Nanning, Republik Rakyat China tengah hari Jumaat, 20 September, yang disaksikan oleh Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

Dato’ Sri Wan Rosdy berada di sana kerana mengetuai rombongan Kerajaan Negeri dalam lawatan kerja, termasuk ke Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia (CMQIP) – taman perindustrian berkembar kepada Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP), serta menghadiri China-ASEAN Exposition (CAEXPO) Nanning 2019.

Menurut kenyataan media oleh Pejabat Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar di sini, keenam-enam syarikat terlibat ialah ND Paper (M) Bhd, bernilai pelaburan RM522.2 juta yang akan membina kilangnya di Bentong bagi pengeluaran kertas dan palpa (paper and pulp).

TNP Power Sdn Bhd, bernilai pelaburan RM341.74 juta bagi membina kilang di Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) 1, Kuantan bagi penjanaan bersepadu tenaga dan haba (combined heat and power generation).

'SIGNED & SEALED'... 


USAHA WUJUDKAN ‘ECO TOURISM CITY’ DI BUKIT TINGGI

China Travel Service Meixian Company Limited, bernilai pelaburan RM200 juta bagi pengwujudan ‘Eco Tourism City’ di Bukit Tinggi, Bentong.

Zhongxin Resources Regeneration Technology Sdn Bhd, bernilai pelaburan RM122.48 juta bagi projek pengeluaran kertas dan habuk plastik (paper and plastic particles manufacturing project) di MCKIP 1 juga.

Wuxi Jinxie Industrial Company Limited, bernilai pelaburan RM100 juta bagi projek pembinaan turbin angin berkelajuan rendah untuk menjana tenaga 800kw (800kw ultra-low wind speed wind turbine) di Pulau Tioman, Rompin.

Dan, Power China Construction Group, bernilai pelaburan RM100 juta juga bagi pembinaan kilang pengeluaran panel solar untuk kediaman (solar home panel) di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan pencapaian ini yang dengannya, pasti memberi impak sosio-ekonomi yang besar kepada negeri dan rakyat Pahang,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy sebagai reaksi kepada majlis hari ini. .

LAWATAN KE PELABUHAN QINZHOU... Lawatan pagi Khamis, 19 September.   


HARAP MoU DAPAT DIREALISASIKAN

“Yang amat saya harapkan ialah agar MoU yang ditandatangani hari ini, dapat diterjemahkan secara realitinya kelak. Ini sepertimana lapan (8) daripada 11 MoU yang ditandatangani di Singapura awal Ogos lepas, yang telahpun pada peringkat akhir untuk dilaksanakan, insyaAllah,” katanya lagi.

Sebelum itu, Dato’ Sri Wan Rosdy telah membuat kunjung hormat ke atas Gabenor, Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, Encik Chen Wu di pejabatnya.

Banyak perkara dibincangkan pada sesi kunjung hormat itu termasuklah cadangan mengadakan penerbangan terus Kuantan-Nanning yang dengannya dijangka dapat memendekkan lagi masa, serta menambah-mudah sehingga boleh membanyakkan lagi kunjungan oleh rakyat antara kedua-dua bandar. 


MAKAN MALAM BERSAMA MENTERI MITI... Foto ini dirakam pada malam Khamis, 19 September pada majlis makan malam yang dihoskan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dato' Darell Ignatius Leiking. 

Menteri tersebut juga berada di sana untuk hadir pada CAEXPO Nanning 2019 yang perasmiannya ialah pada Sabtu, 21 September– Khabar