kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Kemudahan Pembuangan Tetap (PDF; Permanent Disposal Facility) untuk sisa kilang Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) milik Lynas Malaysia Sdn Bhd, hanya akan dibina selepas menerima kelulusan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB).
Kajian ‘Preliminary’ tentang kesesuaian tapak PDF itu di Bukit Ketam yang telah dibuat dan dikemukakan oleh pihak Lynas kepada AELB sebelum ini, telahpun dinilai dan lawatan tapak dilakukan oleh sebuah Jawatankuasa Teknikal lembaga tersebut.
Susulan itulah – menurut sumber yang terlibat dengan urusan ini, “… AELB telah memberi kebenaran untuk Lynas menjalankan Kajian Terperinci ke atas tapak cadangan tersebut.”
“Dan hanya selepas Kajian Terperinci ini siap, kemudian dikemukakan kepada AELB semula dan pula ia memberikan kelulusan atas Kajian Terperinci ini, barulah PDF di tapak berkenaan akan dibina,” kata sumber yang sama.
Menurutnya, antara kajian-kajian yang dijalankan di bawah Kajian Terperinci yang sedang dilakukan sekarang ialah berkaitan topografi, geologi, hidrogeologi dan, geoteknik;
KAJIAN OLEH PAKAR-RUNDING DALAM BIDANG-BIDANG BERKAITAN
Rekabentuk, Penilaian Kesan Radiologi (RIA; Radiological Impact Assessment), Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA; Environmental Impact Assessment), Penilaian Kesan Masyarakat (SIA; Social Impact Assessment) dan, Penilaian Kesan Kesihatan (HIA; Health Impact Assessment).
“Kajian Terperinci ini merangkumi aspek keselamatan dan kesihatan manusia dan alam sekitar, semasa tempoh pembinaan dan selepas ia (PDF) ditutup (post closure).
“Kesemua kajian ini akan dijalankan oleh pakar-runding dalam bidang-bidang berkaitan, dan yang mana berkaitan berdaftar dengan pihak berkuasa seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), berlandaskan peruntukan undang-undang, garis panduan dan ‘international best practices,” menurut sumber itu lagi.
Mengulas apa yang disebutkan oleh seorang profesor mengenai perkara sama, beliau berkata betapa pencemaran air sungai atau air bawah tanah ditentukan oleh banyak faktor maka tidak betul bagi profesor itu untuk membuat kesimpulan berdasarkan satu faktor sahaja.
Antara faktor-faktor yang banyak itu ialah jenis dan sifat bahan yang hendak dilupus, keadaan topografi, geologi dan hidrogeologi kawasan/tapak cadangan pelupusan, reka bentuk kejuruteraan, pembinaan dan operasinya sehinggalah pasca operasi.
‘AIRSISA’?
“Kesemua faktor ini diambil kira. Semasa penilaian risiko dijalankanpun, ‘worst case scenario’ diambil-kira dengan menjangkakan kesannya sekiranya, tidak ada sebarang kawalan kejuruteraan disediakan untuk mengawal berlakunya pencemaran.
“Kajian-kajian ini akan dilakukan sebelum sesuatu cadangan tapak pelupusan itu diluluskan pembinaan, bukan setakat menentukan ‘airsisa’ meresap atau tidak sahaja,” menurut sumber itu lagi.
Dalam hantaran ‘tweet’nya sebelum ini, profesor berkenaan antara lain menyebut, “… sikit atau banyak, air, airsisa, air larian etc dari lokasi ini akan akhirnya masuk ke Sungai Kuantan di hulu Kobat Barrage, lokasi muka sauk (water intake) punca air mentah utama untuk penduduk Kuantan.” – Khabar