Saturday, 22 May 2021

Yayasan Pahang, pembela pendidikan anak negeri

Bagi tiga (3) tahun terakhir – 2020, 2019 dan 2018; di bawah pentadbiran Menteri Besar Dato Sri Wan Rosdy Wan Ismail sahaja, nilai perbelanjaannya ialah RM191.7 juta, dimanfaati oleh 391,424 pelajar. 

UCAPANNYA PADA SATU PROGRAM ANJURAN YP...

 

Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – RM1,350 juta atau, RM1.35 bilion! Inilah nilai yang telah Kerajaan Pahang belanjakan menerusi Yayasan Pahang (YP), demi pendidikan anak negeri sejak 1983 hinggalah sekarang.

Seramai 1.74 juta pelajar kesemuanya – tanpa mengira latar kaum, agama mahupun pegangan fahaman politik keluarga, telah mendapat manfaat daripada perbelanjaan yang besar ini.

Bagi tiga (3) tahun terakhir – 2020, 2019 dan 2018; di bawah pentadbiran Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail sahaja, nilai perbelanjaannya ialah RM191.7 juta, dimanfaati oleh 391,424 pelajar.

Sasaran yang beliau tetapkan untuk tahun 2021 ini ialah, YP akan berbelanja RM65 juta lagi yang dijangka dapat memanfaatkan kira-kira 135,000 pelajar di seluruh negeri ini.

Nilai-nilai perbelanjaan ini adalah secara ‘gradual’ meningkat dari setahun ke setahun, membuktikan besarnya tahap kepedulian Kerajaan Negeri terhadap pendidikan khususnya dalam kalangan pelajar daripada keluarga-keluarga yang memerlukan. 

PADA PROGRAM HADIAH PELAJAR CEMERLANG UPSR DI RAUB... Selain Dato' Sri Wan Rosdy, yang turut kelihatan dalam foto pada majlis 16 Januari 2019 ini ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato Sri Dr Salehuddin Ishak; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri - Dato Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Dato Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak dan Dato Abd Aziz Mat Kiram; Pegawai Daerah Raub, Dato Hamdan Husin; dan Dato Mahmud. 

KOMPLEKS YAYASAN PAHANG DIBINA GUNA WANG SENDIRI

Ini berlaku sejak penubuhan YP oleh Menteri Besar, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak (1982 – 1986), disusuli Tun Mohd Khalil Yaakob (1986 – 1999), dan Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob (1999 – 2018); hinggalah sekarang di bawah Dato’ Sri Wan Rosdy.

Menteri Besar – sepertimana termaktub dalam enakmen berkaitan dan secara tradisinya; ialah juga Pengerusi, Lembaga Pemegang Amanah YP. Masing-masing dengan ‘style’ dan pendekatan tersendiri namun akhirnya, bagi menjayakan aspek pendidikan golongan sasaran.

Secara fizikal, YP turut menjadi kebanggaan susulan terbina dan tersergam bangunan 6-tingkat bernilai RM35 juta dengan perbelanjaan sendiri, di Tanjung Lumpur, Kuantan. Kos ini termasuk bagi pembinaan Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) bersebelahan yang keseluruhannya dikenali Kompleks YP.

Kompleks ini disempurnakan perasmiannya oleh Almarhum KDYMM Sultan Pahang Sultan Hj Ahmad Shah pada Jun 2007 atau selepas 24 tahun Baginda merasmikan penubuhan YP pada 29 September 1983 – ketika itu hanya terletak dan beroperasi di Tingkat 19, Kompleks Teruntum di pusat bandar Kuantan.

Malah secara fizikal juga, YP turut mengeluarkan perbelanjaan sendiri kira-kira RM106 juta bagi membina, menyiap dan mula beroperasinya sebuah institusi pendidikan pada 2017, yang boleh menampung sehingga 2,000 pelajar dalam kawasan kompleks sama dan kini dikenali Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP).

ARTIKEL SAMA TERSIAR DALAM AKHBAR UTUSAN MALAYSIA HALAMAN 17, 25 MEI 2021...

PELBAGAI PROGRAM BANTUAN PENDIDIKAN DILAKSANAKAN

Sasaran YP dalam menyalurkan bantuan pendidikan antara lain ialah untuk memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus dalam kalangan pelajar berusia antara 17 dan 23 tahun, memperolehi pendidikan peringkat ‘tertiary’ atau pengajian tinggi.

Selain bantuan pendidikan yang turut diberikan di peringkat sekolah, sasarannya juga ialah bagi melaksanakan program-program kecemerlangan pendidikan bagi menambah-ramaikan anak-anak negeri melanjutkan pengajian ke menara gading.

Seterusnya, YP juga berusaha untuk menyeimbangkan antara pemberian bantuan  kewangan di bawah program-program berasaskan akademik, dan kemahiran diri.

Oleh itulah, pelbagai program bantuan pendidikan diperkenal dan dilaksanakannya seperti Biasiswa Sekolah – Biasiswa Sekolah Rendah (BSR), Biasiswa Sekolah Menengah (BSM) dan Biasiswa Kecemerlangan Sukan (BKS).

Di bawah Biasiswa Pengajian Tinggi pula meliputi Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar (BKMB), Biasiswa Tahfiz Profesional (BTP), Biasiswa Anak Yatim dan Skim Pelajar Cemerlang.

YP MENANG BANYAK ANUGERAH – NEGERI, NEGARA DAN ANTARABANGSA

Program-program lain seperti bagi mengiktiraf pencapaian pendidikan pelajar sebagai daya penggalak, serta yang melibatkan ekonomi dan kemasyarakatan turut YP laksanakan secara konsisten.

Program-program ini ialah seperti Anugerah Kecemerlangan Akademik, Dermasiswa Pelajar Miskin, Geran Pra Siswazah dan Pasca Siswazah, Program Pembangunan Mahasiswa menerusi penubuhan Majlis Mahasiswa Anak Pahang (MAMPAN), Program Pembangunan Tamadun Masyarakat Asli (PETAMA) dan Program Pengajian Islam Tafaqquh Fiddin.

Demi meningkatkan kualiti pendidikan pelajar, beberapa lagi program dilaksanakan seperti Jawab Untuk Jaya (JUJ), Projek Intervensi Semua Subjek A (PiSSA), Program Anak Yatim Permata Hati (PERHATI), Program Perancangan Harus Lulus (PERHALUS) dan Program Peningkatan Pendidikan Khas (PrKasih).

Oleh itu, tidak menghairankanlah apabila YP sendiri telah memenangi banyak anugerah sama ada peringkat negeri, negara mahupun antarabangsa dengan terbaharu penerima People’s Choice Stevie Awards 2020, dan pada tahun 2017 – ‘Best Social Services in Asia Pacific & APBEST Social Responsibility Driver of the year’ daripada APBEST Hong Kong.   

Semua kebaikan oleh YP dan kejayaan ini sebenarnya – Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang, melainkan “… semuanya adalah dirancang. Kalau tak rancang, YP tak akan jadi berjaya macam ini,” sepertimana kata Dato’ Sri DiRaja Adnan pada program Hadiah Kecemerlangan Pendidikan YP pada 15 Mei 2017.

BERMULA DENGAN PERUNTUKAN HANYA RM1.5 JUTA

“Bermula dengan peruntukan hanya RM1.5 juta pada tahun 1983, kini YP berjaya mendapatkan sumber pendapatannya sendiri untuk diagihkan kepada anak-anak Pahang,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy pula pada Majlis Penyampaian Sumbangan Pendidikan YP untuk Anak-Anak Pahang, 10 Mac lepas.   

Sepertimana kita ‘angkat tabik’ kepada kepemimpinan tertinggi YP terdahulu – Dato’ Sri Mohd Najib, Tun Mohd Khalil dan Dato’ Sri DiRaja Adnan serta barisan pengurusannya; yang sama kita berikan kepada kepemimpinan sekarang diterajui Dato’ Sri Wan Rosdy dan pihak pengurusan diketuai Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Mahmud Nawawi.

Semoga dengan ini, YP – genap 38 tahun penubuhannya September ini, akan dapat terus dimantap dan digerakkan, demi membela pendidikan anak negeri terutamanya dalam kalangan mereka dan keluarga yang memerlukan. – Khabar