Tuesday, 14 January 2014

"Tanpa Islam, Melayu akan kehilangan segala-galanya termasuk maruah dan keperibadian," titah KDYMM Sultan Pahang



“Sebarang usaha meninggalkan Islam juga bererti menghilangkan nilai keMelayuan itu sendiri,” titah Baginda sempena Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri tahun 1435H/2014M

MENTERI BESAR BERSAMA-SAMA PEMENANG... Sempena Sambutan Maulidur Rasul ini, pertandingan sepanduk turut dianjurkan dan inilah antara para pemenang yang bergambar bersama-sama Menteri Besar yang diiringi Dato' Syed Ibrahim dan Dato' Mohamad Roslan (kiri dan kanan Dato' Sri DiRaja Adnan). 


DEWAN JUBLI PERAK SULTAN HJ AHMAD SHAH, KUANTAN – KDYMM Sultan Pahang menitahkan agar orang Melayu di negeri ini, sedar akan keMelayuan mereka sepertimana termaktub dan diistilahkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan mendefinasikan Melayu sebagai seseorang yang beragama Islam, boleh bertutur dalam Bahasa Melayu serta mengamalkan adat-resam, budaya Melayu.

Oleh itu titah Baginda sempena Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri pada pagi Selasa, 14 Januari di sini, “Tanpa Islam, Melayu akan kehilangan segala-galanya termasuk maruah dan keperibadian.

“Sebarang usaha meninggalkan Islam juga bererti menghilangkan nilai keMelayuan itu sendiri,” titah Baginda dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob yang turut mewakili Baginda.

Sehubungan itu, Baginda menitahkan agar Kerajaan Negeri membantu Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) untuk memperluaskan usaha meningkatkan kefahaman Islam kepada masyarakat di negeri ini demi membanteras apa juga bentuk ajaran sesat atau kumpulan yang menyelewengkan akidah umat Islam.

LHDN, JOHAN PERTANDINGAN SEPANDUK KATEGORI JABATAN/AGENSI PERSEKUTUAN DAN NEGERI...


PERANGI IDEOLOGI BERTENTANGAN ISLAM

“Tanpa kerjasama, bantuan dan kesedaran daripada semua pihak, ia tidak akan berjaya. Program-program dan aktiviti-aktiviti yang menjurus kepada penghayatan Islam perlu dilaksanakan kepada masyarakat Islam di negeri ini agar mereka lebih memahami tentang cara hidup Islam yang sebenar-benarnya,” titah Baginda lagi.

Hanya dengan ilmu keagamaan yang mantap, dan jatidiri yang teguh dalam kalangan Melayu titah Baginda, dapat mengelakkan mereka terjebak dan terpengaruh dengan ideologi-ideologi yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Baginda kemudian memetik firman Allah SWT, dalam Surah Ali-Imran, ayat 103 yang menitik-beratkan soal kesepakatan sesame Melayu dan umat Islam sepertimana maksudnya; “Dan berpeganglah kamu semua dengan tali Allah, dan jangan berpecah-belah”.

Mengenai Sambutan Maulidur Rasul ini titah Baginda, tarikh 12 Rabiul Awal atau tarikh kelahiran Nabi Muhammad SAW, merupakan satu detik istimewa dan bermakna buat seluruh umat Islam lalu meraikannya.

Sementelah ia (sambutan ini) titah Baginda, berkait rapat dengan keunggulan dan kemuliaan Baginda Rasulullah SAW sebagai pemimpin terunggul, yang begitu menyayangi umatNya dengan meninggalkan al-Quran dan Sunnah sebagai petunjuk kehidupan manusia sepanjang zaman.

DATANG CAHAYA KEBENARAN – NABI MUHAMAD SAW

Baginda turut memetik firman Allah SWT, Surah Al-Maidah, ayat 15 yang bermaksud; “Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran yakni Nabi Muhamad dari Allah, dan sebuah kitab yakni al-Quran yang jelas nyata keterangannya”.

Menurut Baginda, Nabi Muhamad SAW telah diutuskan kepada umatNya, untuk memberi sinar keimanan agar mereka patuh kepada Allah SWT, setelah begitu lama mereka berada dalam kejahilan dan kekufuran.

Islam yang dibawa oleh Nabi Muhamad pula titah Baginda lagi, tidak menolak pembangunan material tetapi mementingkan pembangunan material dan rohani, yang mampu diselaraskan demi melihat kejayaan umatnya di dunia dan akhirat.

“Pada hari ini kita dapat melihat, pembangunan  material begitu hebat dan canggih dari masa ke semasa, bertambah maju dan modern. Tetapi apa yang berlaku, pembangunan rohaniah makin menurun, semakin merosot.

“Tidak ada lagi kejujuran, sifat amanah, pemurah dan kasih sayang sesama insan. Perkembangan ideologi-ideologi seperti liberalisme dan ajaran-ajaran sesat, telah mula meracuni mentaliti masyarakat Islam yang kian mengambil mudah mengenai hukum-hukum, syariat Islam.

JADIKAN SAMBUTAN INI SEBAGAI TITIK-TOLAK

“Malah, sesetengah masyarakat pada hari ini, sudah tidak menitik-beratkan tuntutan syariat hingga semakin terbawa-bawa dengan cara pemikiran terbuka yang mengikut budaya Barat tanpa mengira halal dan haram, seterusnya mencalar kesucian ugama Islam sebagai sebuah ugama yang mulia,” titah Baginda.

Oleh itulah, Baginda menitahkan agar Sambutan Maulidur Rasul kali ini, dapat menjadi titik-tolak untuk umat Islam mengambil contoh keperibadian dan perjuangan Nabi Muhamad SAW, bagi mempertingkatkan usaha mempertahankan ugama, bangsa dan negara.

Selain Dato’ Sri DiRaja Adnan sendiri yang hadir ditemani isteri, Datin Sri DiRaja Junaini Kassim; antara yang turut hadir ialah YAM Tengku Besar Pahang dan isteri; Speaker, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Ishak Muhamad dan isteri;

Timbalan Yang DiPertua, Dewan Rakyat yang juga wakil rakyat parlimen (BN – Kuala Krau), Dato’ Ismail Mohamad Said dan isteri; Timbalan Menteri Sumber Manusia yang juga wakil rakyat parlimen (BN – Maran), Dato’ Ismail Abdul Mutalib dan isteri;

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail; Pengerusi, Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas Negeri, Dato’ Syed Ibrahim Syed Ahmad; dan, Pengarah, JAIP, Dato’ Mohamad Roslan Harun. – Khabar

Monday, 13 January 2014

Terus akrabnya hubungan Pahang/UAE



… selain meneruskan program penghantaran guru Bahasa Arab UAE ke negeri ini, juga sumbangan USD10 juta bagi pulihkan prasarana asas akibat banjir.

Ini ekoran akrabnya hubungan persahabatan antara KDYTM Tengku Mahkota Pahang dengan Tengku Mahkota Abu Dhabi, UAE

AKRABNYA... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang bersalaman dengan delegasi dari UAE khususnya Yayasan Khalifa Zayed Al Nahyan, sambil Abdullah Matar (kiri) menyaksikan.


HOTEL HYATT REGENCY, KUANTAN – Keakraban hubungan diplomatik antara negeri Pahang dengan negara Semenanjung Arab – Emiriyah Arab Bersatu (UAE), terserlah lagi.

Selain penerusan program penghantaran guru-guru Bahasa Arab dari UAE – 14 orang guru tersebut berada di sekolah-sekolah agama di seluruh negeri, dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) mengenainya pada pagi Isnin, 13 Januari, di sini;

Kerajaan negara itu juga telah menyatakan komitmen untuk menyumbang kira-kira USD10 juta (RM32.5 juta) bagi membantu negeri ini dalam kerja-kerja membaik-pulih prasarana asas yang rosak akibat bencana banjir baru-baru ini.

Dan ini adalah ekoran akrabnya hubungan persahabatan yang telah lama terjalin antara KDYTM Tengku Mahkota Pahang dengan Tengku Mahkota Abu Dhabi, UAE, Jen Sheikh Mohamad Zayed Al Nahyan.

Perkara-perkara ini dinyatakan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pada persidangan media selepas hadir menyaksikan majlis menandatangani MoU berkenaan antara Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dengan Yayasan Khalifa Zayed Al Nahyan, UAE.

HUBUNGAN PERIBADI TERJALIN SEKIAN LAMA

Yang turut menyaksikan ialah Duta Besar UAE ke Malaysia, Abdullah Matar Al Mazrouei. Selain itu ialah, Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas Khas Negeri, Dato’ Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengarah, JAIP, Dato’ Mohamad Roslan Harun; serta, Naib Presiden, Yayasan Khalifa Zayed Al Nahyan, Mohamed Al Bastaki.

“Hubungan peribadi yang terjalin sejak sekian lama antara KDYTM Tengku Mahkota Pahang dan Tengku Mahkota Abu Dhabi menyebabkan kerajaan UAE berbesar hati membantu Pahang menangani masalah berkaitan banjir,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

Menurutnya, hubungan akrab antara KDYTM Tengku Mahkota Pahang dengan Tengku Mahkota Abu Dhabi itu telah membuka ruang untuk bantuan berkenaan disalurkan demi meringankan beban semua pihak dalam mengharungi bencana banjir yang melanda negeri ini.

Sehubungan itu katanya, Kerajaan UAE akan menghantar wakilnya dijangka mingggu depan, bagi menilai kerosakan prasarana membabitkan sistem perparitan dan jalan raya, perumahan serta harta benda, sebelum menyalurkan sumbangan berkenaan.

Beliau juga berkata, sumbangan Kerajaan Negeri termasuk berbentuk barangan elektrik seperti televisyen dan peti ais kepada mangsa-mangsa banjir di negeri ini, ditangguhkan berikutan usaha-usaha bagi melengkapkan butiran serta maklumat terkini mengenai mangsa.

… AGAR, TIADA MANGSA BANJIR KETINGGALAN

Ia agar tiada mangsa banjir yang ketinggalan daripada menerima sumbangan-sumbangan berkenaan, katanya.

“Pada awalnya kita hendak bagi semalam dan hari ini, tetapi saya minta tangguh sebab kita hendak siapkan semua dahulu. Kita akan cari tarikh yang sesuai kelak,” katanya lagi. – Khabar


Wednesday, 8 January 2014

'The Blame Game'

… salahkan sahaja kepada seseorang/sesuatu (bukan diri sendiri) atas kejadian yang menimpa.

KARIKATUR SINDIRAN... Masih menyalahkan yang lain disebalik segala nikmat yang diperolehi daripada Kerajaan. Karikatur ini dikutip dari sebuah blog yang menceritakan tentang 'blame game'.  


kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – ‘The blame game’ – inilah yang sering dilakukan oleh kita – sedar atau tidak, bagi mudah melepaskan diri sendiri daripada dipertanggung jawabkan terhadap sesuatu perkara buruk, yang berlaku.

Mutakhir ini, ‘the blame game’ tersohor adalah berkaitan bencana banjir khususnya di daerah Kuantan yang menimpa pada awal bulan lepas (Disember, 2013) serta berkenaan bantuan-bantuan kepada mangsa-mangsa banjir yang menyusul selepasnya.

Mudah sahaja. Salahkan semuanya kepada Kerajaan yang ada, dan inilah yang sangat gemar dilakukan oleh pihak-pihak pencemuh Kerajaan terutamanya parti-parti pembangkang.

Yang paling tidak masuk akal antara banyak-banyak ‘blame game’ tersebut ialah mengaitkan bencana besar tersebut dengan kuasa Allah. Kononnya bencana banjir itu berlaku tanda kemurkaan Allah terhadap kononnya kelulusan Kerajaan Negeri bagi sebuah projek keagamaan bukan Islam di Gambang.

Sedangkan, Kerajaan Negeri sudah awal-awal lagi menyebut tentang tiada kelulusannya bagi projek berkenaan. Yang diluluskan hanya tanah kepada sebuah syarikat Bumiputera, yang kemudian baharu membuat perundingan dengan sebuah syarikat lain tetapi syarikat inilah telah  ‘jump the gun’ mengumumkan tentang projek keagamaan tersebut.


'I FEEL THE EARTH MOVE, UNDER MY FEET'... Inilah antara lirik lagu 'I feel the earth move' oleh penyanyi wanita, Carole King dalam albumnya 'Tapestry' keluaran 1970-an. Dan Beckham salahkan bumi yang bergerak kerana kegagalannya.  


SALAHKAN KERAJAAN

Dan masyarakat yang tanpa usul-periksapun, mudah terpesona dengan projek keagamaan yang kononnya menjanjikan nilai keuntungan yang baik; lalu melakukan pelaburan masing-masing ke dalamnya.

Apabila kemudiannya baharu menyedari kesilapan, menyesal kerana tertipu sedangkan wang telah banyak dilaburkan ke dalamnya; siapa yang dipersalahkan? Kerajaanlah juga…     

Dalam membicarakan tentang ‘blame game’ ini, kita mungkin tidak lupa akan apa yang pernah dipersalahkan oleh kapten pasukan bolasepak England ketika itu, David Beckham, atas kegagalannya menjaringkan gol daripada sepakan penalti menentang Portugal pada perlawanan suku akhir Piala Euro tahun 2004.

“The earth move,” ialah alasan spontan beliau, yang diterjemahkan bermaksud, “Bumi bergerak”  ketika ditanya tentang kegagalannya melakukan sepakan yang baik untuk menjaringkan gol.

Dan England tewas 5-6 menerusi penentuan sepakan penalti, selepas terikat 2-2 pada perlawanan 90-minit sepenuh masa sebelum itu.

SIAPA PENJAGA GOLNYA? PETER SHILTON, ENGLAND ATAU MARADONA?...


“HAND OF GOD”

‘Blame game’ oleh penyerang sensasi Argentina, Maradona pula merujuk kepada gol yang dijaringkan dengan menggunakan tangan yang tidak disedari pengadil pada perlawanan suku akhir menentang England bagi kejohanan Piala Dunia 1984.

“Hand of God,” kata Maradona, atau diterjemahkan bermaksud  “Tangan Tuhan”, sebagai punca kepadanya menjaringkan gol tersebut, yang kemudian menyaksikan Argentina menang, 2-1.

Masih mengenai ‘blame game’ ini juga, seseorang ada menulisnya dalam sebuah blog sepertimana berikut;

How the world works lately…

If a man cuts his finger off while slicing salami at work;
He blames the restaurant.

BLAME OTHERS BUT ME

If you smoke three packs a day for 40 years and die of lung cancer;
Your family blames the tobacco company.

If your neighbour crashes into a tree while driving home drunk;
He blames the bartender.

If your grandchildren are brats without manners;
You blame television.

If friends are shot by a deranged madman;
You blame the gun manufacturer for having too many rounds in the magazine.

And,

BLAME ON BILL GATES  


If a crazed person breaks into the cockpit and tries to kill the pilot at 35,000 feet,
and the passengers kill him instead;
The mother of the crazed deceased blames the airline.

I must have lived too long to understand the world as it is anymore.

So,

If I die while my old wrinkled ass is parked in front of this computer;
I want all of you to – blame Bill Gates. – Khabar

Tuesday, 7 January 2014

Terminal kelas 1, jalan kelas 3

KEBANGGAAN KITA... Bahagian luar yang menarik, Jengka Sentral kita.  


BANDAR TUN ABDUL RAZAK, MARAN – Kunjungan ke bandar ini yang dahulunya dikenali Bandar Jengka Pusat, tentu membanggakan dengan melihat tersergam indah dan beroperasinya terminal pengangkutan awam Jengka Sentral.

Bernilai kira-kira RM10 juta dengan peruntukan Kerajaan Persekutuan yang disalurkan menerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), projek yang bermula Ogos 2011 telah siap dan mula beroperasi pada suku terakhir tahun lepas.

Dibina di atas tapak lama stesen bas yang dirobohkan, Jengka Sentral 2-tingkat dengan kemudahan sepasang ‘escalator’ ini berkeluasan 46,000 kaki persegi atau menyamai saiz empat (4) buah gelanggang futsal.

Selain petak-petak untuk bas dan teksi, antara kemudahan lain yang terdapat padanya ialah tempat menunggu awam yang selesa serta lot-lot kedai dan medan selera berhawa dingin, serta sebuah gelanggang boling yang dijangka dibuka bulan depan.

Tahniah tentunya kita berikan kepada ECERDC terutamanya Sekretariatnya yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Jebasingham Issace John serta para pegawai dan kakitangannya.

BAHAGIAN DALAM YANG BERSIH LAGI MODERN... Foto ini dirakam kira-kira 8 pagi Selasa, 7 Januari. Kelihatan seorang pengguna hendak menempah tiket bas bagi perjalanan ke destinasinya. Aspek penyelenggaraan tentu akan dititik-beratkan demi mengekalkan kebersihan khususnya. 


PROJEK-PROJEK KECIL TURUT JADI TUMPUAN SEKRETARIAT ECERDC

Selain peruntukan oleh Kerajaan Persekutuan disalurkan menerusinya bagi membangunkan projek ini, ia (Sekretariat ECERDC) juga dipertanggungjawabkan untuk menyelaras dan memantau pelaksanaannya.

Selain projek Jengka Sentral ini, Sekretariat ECERDC juga terlibat dalam membangunkan projek bernilai RM2.66 juta – Anjung Selera Jengka, yang dirasmikan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pada Isnin, 4 Jun 2012 lagi.

Dan, Sekretariat ECERDC juga dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan projek-projek kecil termasuklah menaik-taraf jalan-jalan, balai raya serta perparitan di kawasan-kawasan berkenaan dalam kawasan Jengka yang dahulunya di bawah pentadbiran Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ).

Dengan perlaksanaan projek-projek ini, akan dapat mensejahterakanlah penduduk di sini yang dianggarkan kira-kira 50,000 orang, 10,000 daripadanya sahaja ialah komposisi pelajar yang menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kampus Khazanah Alam yang berdekatan.

Dalam pada itu, tentu banyak lagi yang harus dilakukan oleh Sekretariat ECERDC dan satu daripadanya ialah dengan berusaha sedaya-mungkin, untuk menaikkan taraf jalan kira-kira 50 KM antara persimpangan Kampung Awah-Bandar Tun Abdul Razak-Simpang Jengka 8, khususnya antara persimpangan Plaza Tol Chenor ke sini, kira-kira 25 KM.

JALAN YANG BERTAMPAL-TAMPAL... Sungguhpun tidak dinafikan, ada juga jajaran di laluan dari persimpangan Plaza Tol Chenor-Bandar Tun Abdul Razak ini yang diturap tetapi hanya untuk beberapa jarak sahaja. 

Yang kekal ialah sempit dan beralun-alunnya, serta ada jaraknya yang ditampal-tampal manakala yang lain, berlubang-lubang hingga membahayakan pengguna terutamanya yang berkenderaan dua-roda. 
  

PERUNTUKAN RM50 JUTA DI BAWAH RMK-10?

Jalan dua-lorong sedia ada bukan sahaja sempit, beralun-alun menurut muka bumi kawasan yang dilalui, malah ada sesetengah kawasan yang dilalui jalannya berlubang-lubang khususnya di bahagian-bahagian sebelah kiri-kanannya.       

Ada laporan berita menyebut, peruntukan RM50 juta telah diminta daripada Kerajaan Persekutuan untuk menaik-taraf jajaran Kampung Awah-Bandar Tun Abdul Razak- Simpang Jengka 8 ini di bawah Rancangan Malaysia ke-10 (2011-2015) yang akan tamat kira-kira dua (2) tahun sahaja lagi.

Sekretariat ECERDC hendaklah serius berbuat sesuatu dalam hal ini. Bukanlah sangat untuk menjaga imej Bandar Tun Abdul Razak yang sering dikunjungi oleh ibubapa kepada 10,000 pelajar UiTM Kampus Khazanah Alam dari serata pelosok negara;

Tetapi lebih kepada soal keselamatan dan keselesaan penggunanya, yang dalam kalangan pelbagai latar kaum, usia dan punca pendapatan.

Sekretariat ECERDC tentunya tidak boleh terus tertumpu kepada projek-projek ‘glamour’ atau berperanan seumpama ‘event manager’ sahaja (itupun di'outsource' dengan yuran tertentu kepada pihak 'consultant'), demi mendapatkan KPI yang baik daripada Kerajaan Persekutuan. – Khabar

Friday, 3 January 2014

Ole, pengurus baharu Cardiff City



… semoga berakhirlah kontroversi, berjayalah kelab yang kita (rakyat Malaysia) sama-sama taja kit pakaian ‘Visit Malaysia’nya

OLE... OLE, OLE, OLE... 'The baby-faced assassin' - gelaran yang pernah dilekatkan padanya semasa menyarung jersi Manchester United, ekoran kegarangannya menjaringkan gol disebalik wajah keanak-anakannya. 


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Semoga berakhirlah kontroversi melanda kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) milik jutawan Tan Sri Vincent Tan – Cardiff City, dengan pelantikan bekas pemain pasukan kelab Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengurus baharunya.

Ini diumumkan pada Khamis, 2 Januari menerusi laman sesawang kelab yang setakat Jumaat, 3 Januari, berada pada kedudukan antara terbawah EPL (ke-17 daripada 20 pasukan, dengan cuma empat (4) menang, enam (6) seri, dan 10 kalah).

Ole, 40, yang berbangsa Norway dengan jawatan terakhir sebagai pengurus kelab Molde FK dari negara Scandinavia itu, mengambil alih daripada Malky Mackay yang dipecat pada Jumaat, 27 Disember ekoran hubungan hambarnya dengan Tan Sri Vincent.

“Kelab Bolasepak Cardiff City sukacita untuk umumkan bahawa Ole Gunnar Solskjaer telah menyertai kelab ini sebagai pengurus pasukan utama.

“Hasil perbincangan dengan Tan Sri Vincent Tan dan pengerusi kelab, Melmet Dalman, Ole menyertai Cardiff City dari Molde FK pada hari ini, bertemu dengan pemain-pemain di padang latihan Vale dan akan segera didedahkan kepada wartawan di Stadium Cardiff City,” menurut pengumuman tersebut.

CAN SOMEONE GET THIS FIXED?... Terlalu besarkah permintaan kepada Tan Sri Vincent - pemilik yang kini telah menyerahkan konglomerat Berjaya Corporation kepada anaknya, Dato' Robin; untuk memperbaiki keadaan di surau dalam Kompleks Membeli-belah Berjaya Megamall di Kuantan ini?  


BERTUAH DAPAT KEMBALI KE EPL

Ole, yang juga bekas pemain kebangsaan Norway, seperti yang dilaporkan menerusi laman sesawang yang sama sebagai berkata, beliau berasa bertuah kerana dapat kembali dalam EPL, kali ini sebagai seorang pengurus pula.

“Sudah tentu saya perlu berbincang mengenainya (tawaran sebagai pengurus Cardiff City) dengan keluarga dan nyata sekali, ini peluang yang hebat,” Ole dipetik sebagai berkata. – Khabar

Thursday, 2 January 2014

Tekad jadi hamba Allah lebih baik


… sempena Tahun  Baharu 2014 – tema utama khutbah Jumaat di Masjid Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan.

ALUNAN AZAN... Bilal sedang mengumandangkan azan sempena solat Jumaat, 3 Januari di Masjid Sultan Ahmad Shah, UIAM kampus Kuantan.   


MASJID SULTAN AHMAD SHAH, UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA (UIAM), INDERA MAHKOTA 8, KUANTAN – Sempena Tahun Baharu 2014 pada Rabu, 1 Januari lepas, khutbah yang disampaikan pada Jumaat, 3 Januari di sini, turut memperkatakan mengenainya.

Yang membuktikan betapa sambutan kedatangan tahun baharu masehi tidak bertentangan dengan Islam selagi ia tidak melibatkan maksiat atau apa-apa perkara yang ditegah oleh ajaran agama kita.

Sehubungan dengan itu, khutbah yang sama menyarankan umat Islam supaya menyambut Tahun Baharu dengan menanamkan tekad untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik daripada tempoh-tempoh sebelumnya.

“Kita patut gunakan kedatangan Tahun Baharu, bersyukur dan berterima kasih kerana dipanjangkan kehidupan untuk muhasabah diri ke arah yang lebih baik,” demikian antara yang diucapkan oleh khatib menyampaikan khutbah tersebut.

Beliau turut menjelaskan maksud ‘muhasabah diri’ iaitu menilai diri sendiri dan betapa ini wajar dilakukan setiap malam sebelum tidur sementelah kita banyak melakukan dosa termasuklah dosa-dosa mata (penglihatan), mulut (percakapan) dan telinga (pendengaran).   

INDAH DAN TENANGNYA, DI TAMAN HOTEL EDC-UUM, SINTOK, KEDAH... Penulis menyambut ketibaan Tahun Baharu 2014 di sini, kerana mengambil-pulang anak yang selesai kertas peperiksaan terakhir, tahun terakhir pengajiannya di universiti ini pada Selasa, 31 Disember (2013).  


BANYAK JUGA MANUSIA BERHAK DITIMPA AZAB

Beliau kemudian mengungkapkan Surah Al-Haj, ayat 18 yang antara lain bermaksud;

“Tidakkah engkau mengetahui bahawa segala yang ada di langit dan di bumi, tunduk sujud kepada Allah dan (antaranya, termasuklah) matahari, bulan, bintang-bintang, gunung-ganang, pokok-pokok kayu, binatang-binatang dan sebahagian besar manusia?

“Dan banyak pula (antara manusia) yang berhak ditimpa azab (disebabkan kekufurannya dan maksiatnya). (Ingatlah) sesiapa yang dihinakan oleh Allah, maka dia tidak akan  beroleh sesiapapun yang dapat memuliakannya.

“Sesungguhnya Allah tetap melakukan apa yang dirancangkannya”.

Sepertimana menyambut Tahun Baharu masehi tidak menjadi kesalahan, khatib juga mengkhutbahkan betapa menanam azam Tahun Baharu begitulah juga.

“Apapun juga yang baik dibenarkan oleh Islam asalkan bukan maksiat atau yang ditegah Allah,” katanya dan menambah, “Sebaik-baik azam ialah untuk tingkatkan ibadah bagi menghadapi alam barzakh dan akhirat”.

KOLEJ KEDIAMAN BANK RAKYAT, BUKIT KACHI, SINTOK, KEDAH... Antara beg milik anak penulis pada pagi Rabu, 1 Januari yang sedang 'menanti' untuk diangkat ke bonet kereta bagi perjalanan kira-kira 9-jam Sintok-Butterworth-Tanjung Malim-Batang Kali-Genting-Karak-Gambang-Kuantan. – Khabar