Wednesday 8 February 2012

Lulus lot rumah bagi permohonan lebih 5 tahun


… dan kena bayar cuma 50 sen sekaki persegi, demi ringankan beban rakyat


RIANG-GEMBIRANYA... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menyampaikan sumbangan di bawah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada rakyat berbilang kaum pada petang Jumaat, 27 Januari lepas di Raub. 


Lihatlah betapa riang dan cerianya mereka yanag menerimanya menandakan terima kasih mereka terhadap Kerajaan. Adalah dijangkakan, ini akan dapat diterjemahkan dalam bentuk sokongan kepada parti memerintah pada pilihanraya umum akan datang. 




kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN -- Kata dikota, janji ditepati. Dan apabila Kerajaan Negeri umumkan keputusan meluluskan secara otomatik bagi permohonan melebihi lima (5) tahun untuk lot rumah di atas tanah kerajaan dengan kenaan bayaran (premium) cuma 50 sen sekaki persegi, maka itulah yang sedang dilaksanakannya.

Semakan oleh editor Khabar Pahang dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri mendapati, proses untuk merealisasikan keputusan ‘mesra-rakyat’ itu sedang giat dijalankan.

“Kami sedang mengumpul maklumat mengenainya. Arahan juga telah dikeluarkan kepada seluruh pejabat daerah dan tanah untuk mengemas-kinikan permohonan-permohonan lot rumah yang melebihi tempoh lima (5) tahun itu.

“Setakat ini, tak dapat kita hendak pastikan jumlah permohonan yang sedemikian apatah lagi keluasan tanah ataupun nilai yang terlibat pada keseluruhannya,” demikian menurut satu sumber.

Adalah difahamkan, usaha-usaha tersebut bermula sebaik-baik Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, membuat keputusan mengenainya pada 14 Disember lepas (2011) dan disahkan pula pada mesyuarat berikutnya pada 5 Januari (2012).

PM SENDIRI UMUMKAN

Pertama kali pula keputusan ini diumumkan ialah pada perjumpaan tertutup antara Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak dengan kepemimpinan komponen-komponen BN Negeri pada tengah hari Sabtu, 21 Januari lepas di Kompleks Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur, dekat sini.

Pengumuman ini dibuat sendiri oleh Dato’ Sri Mohd Najib dengan membacakan nota ringkas yang dihulurkan kepadanya oleh Dato’ Sri DiRaja Adnan, semasa berucap pada perjumpaan itu.

Nota yang dibacakan itu antara lain turut menyebut bahawa lot-lot rumah berkenaan hendaklah yang bukan terlibat dengan sebarang rizab seperti rizab-rizab jalan, hutan, hidupan liar,padang ragut, sungai, pantai ataupun rizab landasan keretapi, laluan kabel Tenaga Nasional Bhd (TNB); dan tidak pula berupa permohonan bertindih.

Manakala kenaan kadar cuma 50 sen sekaki persegi itu pula adalah secara ‘across the board’ yakni, tanpa membezakan sama ada lot rumah di atas tanah kerajaan berkenaan terletak di kawasan bandar mahupun luar bandar.

Adalah difahamkan, kenaan bayaran cuma 50 sen sekaki persegi itu boleh dikatakan amat murah malah, ‘as good as free!’ memandangkan kenaan bayaran di kawasan luar bandar sebelum ini sahaja yang paling rendahpun ialah kira-kira RM10 sekaki persegi.   

TIADA PREMIUM TAMBAHAN UNTUK TEMPOH PAJAKAN DILANJUTKAN

Katakanlah luas lot rumah berkenaan ialah 5,000 kaki persegi X 50 sen sekaki persegi baharu hanya RM2,500 yang perlu dibayar, berbanding katakanlah juga 5,000 kaki persegi X RM10 sekaki persegi, yang mencecah hingga RM50,000, atau perbezaan 20 kali ganda! (atau 2,000 peratus).

Selain daripada itu, Kerajaan Negeri turut memutuskan untuk tidak mengenakan bayaran premium tambahan bagi lot-lot rumah yang telah Kerajaan Negeri setuju untuk dilanjutkan tempoh pajakannya daripada 66 tahun kepada 99 tahun berkuatkuasa tahun ini.

Keputusan ini juga melibatkan sama ada bagi lot-lot rumah di kawasan bandar dan luar bandar.

Dato’ Sri DiRaja Adnan yang ditemui wartawan pada majlis penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada lebih 800 orang pada petang Ahad 5 Februari di Dataran Pelangai, Bentong telah diminta mengulas mengenai keputusan Kerajaan Negeri itu.

Menurutnya, keputusan tersebut diambil ekoran sikap mengambil berat Kerajaan Negeri bagi membantu meringankan beban mereka dalam memperolehi dan menduduki lot-lot rumah di negeri ini.

Sambil itu, Dato’ Sri DiRaja Adnan menasihatkan mereka agar tidak menjual lot-lot rumah berkenaan kerana ia akan hanya menggagalkan usaha murni Kerajaan Negeri bagi membantu mereka untuk memiliki hartanah yang boleh terus menjamin kehidupan selesa keluarga masing-masing. – Khabar  


MATA KE MATA;

*** PTG serta pejabat-pejabat daerah dan tanah sedang memproses maklumat dan urusan bagi kelulusan permohonan lot rumah lebih 5 tahun. 

*** Keputusan dibuat oleh MMK pada 14 Disember, 2011 dan disahklan pada mesyuarat MMK pada 5 Januari 2012.

*** Pertama kali keputusan ini diumum dan mula diuar-uarkan oleh Perdana Menteri sendiri pada 21 Januari, 2012.

*** Kenaan bayaran cuma 50 sen sekaki persegi dianggap amat murah berbanding kenaan bayaran sebelum ini, itupun di kawasan luar bandar yang paling rendahpun, RM10 sekaki persegi!