Sunday 26 February 2012

Transformasi ekonomi demi kemakmuran negeri, kesejahteraan rakyat


sempena Konvensyen Ekonomi Negeri Pahang, 29 Februari dan 1 Mac
'BUNTING' KONVENSYEN... Ini ialah antara 'bunting' yang disediakan sempena konvensyen ekonomi yang julung-julung kali diadakan. 


Oleh Ahya Alimuddin

Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Mengambil iktibar daripada Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dicadang dan sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak, negeri Pahang turut mengorak langkah untuk meneladaninya.

Ekoran itulah, pada 29 Februari dan 1 Mac ini, Kerajaan Negeri pimpinan Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, akan menganjurkan Konvensyen Ekonomi Negeri Pahang bertempat di sebuah hotel terkemuka di sini.

Diurusetiakan oleh Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (B-PEN) di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, konvensyen ini dijangka melibatkan penyertaan kira-kira 1,000 orang dari negeri ini mahupun luar Pahang.

Secara khusus, peserta-peserta konvenyen akan dijurus bagi membincangkan sembilan (9) kluster utama yang dilihat dapat membantu merancakkan lagi pembangunan serta ekonomi negeri secara keseluruhannya.

Kesembilan-sembilan kluster tersebut ialah pembuatan, pertanian, pelancongan, infrastrukur dan perumahan, pendidikan dan latihan kemahiran, utiliti dan teknologi hijau, ICT dan bioteknologi, pembangunan luar bandar, dan, seni kreatif.

PAHANG AMALKAN ‘BUSINESS-FRIENDLY’
   
Dato’ Sri DiRaja Adnan yang diminta mengulas mengenai konvensyen yang julung-julung kali diadakan ini berkata, adalah wajar bagi Kerajaan Negeri menganjurkan konvensyen ini sebagai usaha lanjutan untuk menjayakan ETP di peringkat negeri ini pula.

Ke arah itu juga katanya, konvensyen ini bertujuan untuk mendapatkan input dan juga maklumat balas dari semua ‘stakeholders’ iaitu semua pihak yang mempunyai kepentingan dalam hal pelaburan di negeri Pahang ini.

“(Konvensyen ini juga bertujuan) untuk kita menunjukkan bahawa kita telah mengamalkan sikap ‘business-friendly’ dan dengan demikian kita berharap akan lebih banyak lagi pelabur datang melabur di negeri Pahang sama ada pelabur dari luar negeri ataupun pelabur tempatan,” katanya.

Oleh itulah katanya lagi, beliau mengalu-alukan apa juga pandangan termasuklah yang menunjukkan kekuatan mahupun kelemahan kerajaan dalam memacu kemajuan ekonomi di negeri ini demi kesejahteraan rakyat-jelata.

“Kita tidak mahu kata-kata atau ucapan yang semata-mata mengampu ataupun mengeluarkan puji-pujian. Tapi kalau boleh, kalau ada pujian tu pujilah juga. Kalau dua hari kita berkonvensyen, dua hari kerajaan kena kritik , tak ada apa yang dibuat yang dikatakan betul maka kita akan berasa lemah semangat juga,” katanya.

REKOD PELABURAN PAHANG AGAK CEMERLANG

Kritik atau tidak, satu hakikat yang tidak boleh dinafikan disebalik Pahang – sebuah negeri di pantai timur yang dilihat agak terkebelakang daripada segi kemasukan pelaburan terus asing (FDI) dan pelaburan terus tempatan (DDI); memiliki rekod yang agak cemerlang juga dalam hal berkenaan.

Ini disebalik Dato’ Sri DiRaja Adnan sendiri sering mengakui yang beliaulah Menteri Besar yang paling sedikit ke luar negara bagi mengetuai siri-siri misi menarik pelaburan asing ke negeri ini.

Sebaliknya, Pahang katanya, lebih gemar menghantar pegawai-pegawainya menyertai secara ‘piggy-riding’ dalam misi pelaburan anjuran agensi Kerajaan Persekutuan seperti Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia (MIDA) yang di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).   

Diam tak diam, kemasukan pelaburan-pelaburan tersebut ke Pahang ialah pada purata RM1,200 juta setahun dalam tempoh 10 hingga 15 tahun kebelakangan ini. Pada tahun lepas (2011) sahaja sehinggalah Januari tahun ini, Pahang mencatatkan kemasukan pelaburan kira-kira RM6,020 juta!  

Antara penyumbang terbesar kepada angka ini ialah pelaburan baharu kira-kira RM1,300 juta oleh Lynas Malaysia Sdn Bhd – pengeluar bahan bagi keperluan pelbagai industri daripada logam tanah jarang.

SILAP SIKIT TAK UAR-UARKAN

Begitu juga dengan pelaburan tambahan kira-kira RM600 juta oleh syarikat Polyplastics Asia Pacific Sdn Bhd – pengeluar plastik kejuruteraan (plastic engineering); dan pelaburan tambahan kira-kira RM305 juta oleh syarikat Solutia Incorporated – pengeluar bahan kimia sulfur terlarut ‘crystex’ dan lapisan ‘polyvinyl nutyral’ (PVB).

Syarikat W.R.Grace & Co – pengeluar bahan-bahan kimia, turut membuat pelaburan tambahan kira-kira RM23 juta selain pelaburan baharu kira-kira RM240 juta oleh syarikat Eco Tower Sdn Bhd – pengeluar menara angin (wind tower) untuk pasaran dunia. 

Syarikat tempatan – DRB-Hicom pula, sedang berusaha meluaskan lagi fungsi dan peranan Kolej Automotif Antarabangsanya di Pekan dengan tambahan pelaburan hingga RM480 juta.  

Dalam hal ini, Dato’ Sri DiRaja Adnan akui, “Kita ada melakukan sedikit kesilapan iaitu kita tidak menguar-uarkan, menunjuk-nunjukkan apa yang telah kita buat dan apakah sambutan yang telah diberikan oleh pelabur-pelabur”.

Dalam pada itupun, Kerajaan Negeri masih tidak meminggirkan sektor pertanian – sektor ekonomi yang dilihat ‘lebih dekat’ dengan masyarakat luar bandar yang seringkali pula dikaitkan dengan pulangan ekonomi yang tidak seberapa ataupun kemiskinan.

ORANG ASLI DAPAT MANFAAT JUGA

Senario itu bagaimanpun semakin cuba dihakiskan menerusi program pembangunan tanah seumpama Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dan sehingga kini, seluas 2,902 hektar telah diluluskan dan dimajukan menerusi pengawasan Majlis Pembangunan Wlayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

TKPM-TKPM ini ialah seluas 2,300 hektar di Jemeri, Rompin yang melibatkan perladangan nanas bersepadu; 388 hektar di Chegar Perah, Lipis bagi pembukaan ladang herba dan bioteknologi; 200 hektar di Muadzam Shah, Rompin bagi penubuhan pusat penyelidikan dan inovasi lembu tenusu; 10 hektar di Merchong, Pekan bagi pusat pembenihan dan pemasaran ikan dan udang; serta, empat (4) hektar di Tanah Putih, Kuantan bagi pusat pemprosesan ilan.

Tambahan kepada itu ialah pengenalan projek-projek agropolitan dan di Pahang ini sahaja, tiga (3) projek diperkenalkan iaitu di Bebar, Pekan yang dibangunkan oleh ECERDC dan dua (2) lagi iaitu di Chemomoi, Bentong, dan Gahai, Lipis – kedua-duanya dibangunkan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Kesemua projek ini melibatkan golongan miskin dan penyertaan mereka di dalamnya telah menyebabkan diri terlepas dari paras kemiskinan sepertimana nasib 313 peserta dalam kalangan Orang Asli di Pekan, yang aktiviti mereka menternak kambing biri-biri jenis ‘Dorper’ telah berjaya meningkatkan pendapatan bulanan kepada RM1,000 sebulan.     

Program-program pembangunan tanah yang sebeginilah sepertimana juga dengan Rancangan Tanah Felda dipercayai, telah menyumbang secara signifikan kepada penurunan kadar miskin tegar di negeri ini kepada cuma 0.07 peratus sahaja pada tahun lepas!

CENTRAL SPINE ROAD SEDANG DIBINA

Selain daripada itupun, unsur-unsur ‘enablers’ (pemudah-cara) yang boleh menyumbang ke arah memajukan lagi keseluruhan ekonomi negeri seperti keperluan prasarana asas jalan yang baik, turut diberikan keutamaan.

Sebab itulah, projek Central Spine Road (CSR) yang menghubungkan Kampung Relong di Lipis, melalui bandar Raub seterusnya ke Simpang Pelangai di Bentong, adalah sedang dalam rangka pembinaan.

Begitulah juga dengan usaha membina jalan menghubungkan Sungai Lembing di Kuantan, ke bandar Jerantut di sebelah timurnya, yang dipercayai boleh meningkatkan lagi kemudahsampaian lalu memajukan lagi kawasan-kawasan berkenaan.

Dengan segala usaha ini maka tidak hairanlah, pada tahun lepas sahaja, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri ini mencapai 4.9 peratus atau dalam nilai kira-kira 26,000 juta, berbanding tahun sebelumnya (2010) cuma 4.5 peratus atau kira-kira RM24,800 juta.

Jangkaannya pada tahun ini pula – apatah lagi dengan kesan positif yang diharap dapat diperolehi daripada penganjuran Konvensyen Ekonomi Negeri Pahang ini, ialah pertumbuhan yang meningkat kepada kira-kira 5.2 peratus.

“Saya agak, kita boleh capai pertumbuhan ini. Menerusi transformasi yang diharap dapat berlaku selepas melaksanakan cadangan-cadangan yang dikemukakan pada konvensyen ini; Pahang boleh melakukannya, Insya-Allah,” kata seorang pegawai tertinggi Kerajaan Negeri. – Khabar


MATA KE MATA;

*** Sembilan kluster berkenaan ialah pembuatan, pertanian, pelancongan, infrastrukur dan perumahan, pendidikan dan latihan kemahiran, utiliti dan teknologi hijau, ICT dan bioteknologi, pembangunan luar bandar, dan, seni kreatif.

*** Konvensyen ini turut bertujuan untuk mendapatkan input dan juga maklumat balas dari semua ‘stakeholders’ iaitu semua pihak yang mempunyai kepentingan dalam hal pelaburan di negeri Pahang ini.

*** Lebih murah maka lebih gemar menghantar pegawai-pegawainya menyertai secara ‘piggy-riding’ dalam misi pelaburan anjuran agensi Kerajaan Persekutuan seperti Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia (MIDA) yang di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).   

*** Kerajaan Negeri masih tidak pinggirkan sektor pertanian – sektor ekonomi yang dilihat ‘lebih dekat’ dengan masyarakat luar bandar yang seringkali pula dikaitkan dengan pulangan ekonomi yang tidak seberapa ataupun kemiskinan.