Thursday 12 July 2012

Kemeriahan alunan 'vuvuzela' dan keceriaan 'family-outing'


sempena Sukan Malaysia XV Pahang 2012

'FAMILY-MAN AND HIS FAMILY-OUTING'... Lelaki berbaju-T merah ini ialah seorang daripada ketua keluarga yang datang bersama-sama ahli-ahli keluarganya. Masih ramai lagi yang lain yang menjadikan acara sukan yang dikunjungi sempena Sukan Malaysia XV Pahang 2012 ini sebagai acara 'family-outing' mereka.   


STADIUM DARUL MAKMUR, KUANTAN – Apakah yang boleh dilakukan oleh serunai plastik – ‘vuvuzela’, yang dijual dengan harga RM5 satu kepada kejohanan Sukan Malaysia XV Pahang 2012?

Tidak banyak tetapi, dengan alunannya yang ditiup oleh para pengunjung ke beberapa ‘venue’ sukan pada kejohanan ini, telah sedikit-sebanyak memeriahkan suasana sungguhpun tidak dinafikan, ia agak membingitkan.

Inilah yang dapat dirasai semasa kunjungan penulis ke Kompleks Kolam Renang, Wisma Belia di Indera Mahkota pada Ahad, 8 Julai, apatah lagi ke sini, malam Khamis, 12 Julai untuk menyaksikan perwalanan bolasepak peringkat separuh akhir menemukan Sabah dan Negeri Sembilan.

Ribuan pengunjung/penonton hadir menyaksikan perlawanan bolasepak ini yang akhirnya dimenangi Sabah dengan jaringan 2 – 1, disebalik ketinggalan 0 – 1 seawal minit keenam lagi sebelum berjaya membuat 'comeback' dengan bergaya sekali.   

Setengah jam sebelum perlawanan bermula lagi, para pengunjung yang membeli alat serunai ini daripada anak-anak muda yang mundar-mandir menjualnya dalam kalangan mereka, telahpun meniup-niupnya.

YANG MENANG SABAH BA... Inilah perlawanan menemukan Sabah, berjersi biru dan Negeri Sembilan, berjersi putih, pada malam Khamis itu. 


ALUNAN SEMAKIN ‘MERIAH’

Sebaik-baik pemain dari kedua-dua pasukan memasuki padang seterusnya bermulanya perlawanan tepat 8.45 malam, tiupan serta alunan itu semakin ‘meriah’ kedengaran apatah lagi dengan bilangan pengunjung semakin ramai, bertambah ramailah juga yang membeli lalu meniup-niupnya.

Paling kuat kedengaran ialah ketika berlaku kekasaran pemain ke atas pemain lawan, kesilapan-kesilapan kecil yang dilihat tidak cerdik yang dilakukan oleh pemain, dan, sudah tentulah apabila gol dijaringkan!

Oleh kerana perlawanan malam ini tidak melibatkan pasukan tuanrumah yang sebelum itu tewas kepada Negeri Sembilan di peringkat suku akhir, pengunjung/penonton  seperti tidak kisahkan sangat pasukan mana yang akan menang.

(Sungguhpun tidak dinafikan, penulis dapat hidu sedikit perasaan dendam dalam kalangan pengunjung/penonton terhadap Negeri Sembilan dengan suara-suara kecaman serta tiupan ‘vuvuzela’ yang lebih kuat terhadap pemain-pemain negeri itu apabila sahaja mereka melakukan kekasaran atau kesilapan).         

Selain memeriahkan, satu aspek positif tentang ‘vuvuzela’ ialah, ia dapat mengurangkan ruang dan kesempatan untuk para penonton  melepaskan geram dengan membuka mulut bagi mengeluarkan kata-kata kesat terhadap para pemain mahupun pengadil dan penjaga garisan di atas padang!

SERUNAI PLASTIK, VUVUZELA... Memeriahkan dan membingitkan. Penulis turut membeli dan meniup-niupkannya pada malam Khamis itu tetapi diberitahu oleh anak yang turut bersama, ada anak kecil dengan 'vuvuzela' dalam genggaman bertanya kehairanan kepada emaknya tatkala melihat penulis meniup, 'Pakcik tupun tiup juga?'.  


‘FAMILY-OUTING’ YANG MEMBAHAGIAKAN

Penulis juga seronok menyaksikan betapa dalam kalangan penonton ialah kalangan ibu, bapa dan anak-anak mereka hingga jelas kelihatan, betapa kunjungan mereka ke ‘venue-venue’ kejohanan sepertimana malam ini, merupakan satu ‘family-outing’ yang membahagiakan.

Lalu, jika tema Sukan Malaysia XV Pahang 2012 ini ialah Sukan Menjana Perpaduan, maka penulis bolehlah menambahkannya kepada, Sukan Menjana Perpaduan serta Kebahagian Sekeluarga. – Khabar  


MATA KE MATA;

*** Ribuan pengunjung/penonton hadir menyaksikan perlawanan bolasepak ini yang akhirnya dimenangi Sabah dengan jaringan 2 – 1, disebalik ketinggalan 0 – 1 seawal minit keenam lagi sebelum berjaya membuat 'comeback' dengan bergaya sekali.   

*** Selain memeriahkan, satu aspek positif tentang ‘vuvuzela’ ialah, ia dapat mengurangkan ruang dan kesempatan untuk para penonton  melepaskan geram dengan membuka mulut bagi mengeluarkan kata-kata kesat terhadap para pemain mahupun pengadil dan penjaga garisan di atas padang!

*** Penulis juga seronok menyaksikan betapa dalam kalangan penonton ialah kalangan ibu, bapa dan anak-anak mereka hingga jelas kelihatan, betapa kunjungan mereka ke ‘venue-venue’ kejohanan sepertimana malam ini, merupakan satu ‘family-outing’ yang membahagiakan.

*** Jika tema Sukan Malaysia XV Pahang 2012 ini ialah Sukan Menjana Perpaduan, maka penulis bolehlah menambahkannya kepada, Sukan Menjana Perpaduan serta Kebahagian Sekeluarga.