Wednesday 4 July 2012

Kemeriahan Sukan Malaysia XV Pahang 2012


… mulai terasa khususnya di Kuantan, yang bakal menyambut kehadiran lebih 6,000 atlit dan pegawai dari seluruh negara serta negara jiran, Brunei Darussalam

PERARAKAN MASUK... Inilah suasana pada raptai malam Rabu, 4 Julai. Dengan persembahan kemas dan menarik malam itu, penuh dengan elemen-elemen tradisional tetapi tidak membosankan, dan jika segala-galanya lancar pada malam perasmian sebenar, Sabtu, 7 Julai; ia tentunya akan mendapat reaksi positif daripada hadirin yang menyaksikan.    


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Kehangatan Sukan Malaysia XV Pahang 2012 mulai terasa terutamanya di Kuantan, dengan jalan-jalan utama kelihatan lebih sesak daripada biasa;

Kerja-kerja untuk mengenakan sentuhan terakhir kepada ‘venue-venue’ pertandingan rancak dijalankan, manakala kerja-kerja pengindahan kawasan-kawasan tumpuan orangramai giat diusahakan oleh kakitangan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK);

Latihan serta raptai sedang asyik dilangsungkan, manakala beberapa acara sukan telahpun bermula – seperti bolasepak, yang mula dipertandingkan pada Rabu, 4 Julai, dan acara-acara sukan seperti karate, taekwando dan wushu sudahpun bermula, 1 Julai dan berakhir keesokannya.

Penulis berkesempatan menjengah ke Stadium Darul Makmur pada malam Rabu, 4 Julai, bagi menyaksikan raptai untuk Majlis Perasmian Sukan Malaysia XV Pahang 2012 yang bakal berlangsung pada malam Sabtu, 7 Julai.

Menjejak kaki ke dalam stadium ini sahaja sudahpun mendatangkan keghairahan – teruja dengan sistem lampu limpah baharu yang menerang-benderangkan seluruh pelosok stadium; kemudahan layar LED (light-emitting diode) yang serba canggih, satu di sebelah kiri dan satu lagi, memanjang betul-betul bertentangan dengan tempat duduk utama, dan juga trak/balapan berwarna biru menggantikan yang lama berwarna merah.

SEBAHAGIAN LAGI AKSI RAPTAI...  


SISTEM AUDIO YANG MENGGETARKAN

Sistem audionyapun kedengaran lebih bagus – cukup menggetarkan sungguhpun kerana tahap ‘decibel’ yang tinggi, agak sukar untuk mendengar dengan jelas, ‘biji-butir’ yang diungkapkan terutamanya ketika dendangan nyanyian.

Yang lebih mengujakan ialah menyaksikan persembahan di atas dan sekeliling padang, terutamanya segmen yang dipenuhi dengan dendangan lagu-lagu tradisonal dengan iringan paluan gendang yang tersusun disertai gerak-tari serta kombinasi pergerakan yang agak baik oleh anak-anak muda kita.

Turut hadir menyaksikan raptai ini ialah Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Shafik Fauzan Sharif yang juga Pengerusi, Jawatakuasa Kecil Persembahan Kebudayaan dan Kesenian, serta mengambil alih jawatan Pengerusi, Jawatankuasa Kecil Perasmian – Pembukaan dan Penutupan ekoran kematian Ahli Exco Kanan Kerajaan Negeri, Dato’ Tan Aminuddin Ishak pada Selasa, 19 Jun lepas.

Yang turut kelihatan ialah Pengarah, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri, Encik Mohd Sukarno Abdul Wahab, serta pegawai dan kakitangan dari Bahagian Khidmat Pengurusan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri. – Khabar
     
MATA KE MATA;

*** Menjejak kaki ke dalam stadium ini sahaja sudahpun mendatangkan keghairahan – teruja dengan sistem lampu limpah baharu yang menerang-benderangkan seluruh pelosok stadium; kemudahan layar LED (light-emitting diode) yang serba canggih, satu di sebelah kiri dan satu lagi, memanjang betul-betul bertentangan dengan tempat duduk utama, dan juga trak/balapan berwarna biru menggantikan yang lama berwarna merah.

*** Sistem audionyapun kedengaran lebih bagus – cukup menggetarkan sungguhpun kerana tahap ‘decibel’ yang tinggi, agak sukar untuk mendengar dengan jelas, ‘biji-butir’ yang diungkapkan terutamanya ketika dendangan nyanyian.