Thursday 9 August 2012

Sanjungan dan cercaan



… ekoran penyertaan julung-julung kali dalam sejarah, dua (2) atlet wanita wakili negara Arab Saudi ke Sukan Olimpik London 2012

TERCOROT TETAPI TIDAK GAGAL... Sarah kelihatan ketinggalan jauh di belakang daripada tujuh pelari lain dalam acara 800 meter ini. Ada komentar tentang aspek pakaian? 



kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Dunia mungkin menyanjung tinggi penyertaan pertama kalinya dua (2) atlet wanita Arab Saudi – pelari, Sarah Attar dan judoka, Wojdan Ali Seraj Abdulrahim Shaherkani, pada Sukan Olimpik London 2012.

Bagaimanakah penerimaan kedua-duanya dalam kalangan pemerintah dan kira-kira 16 juta rakyat negara Arab tersebut? Ia sebelum ini melarang keras penyertaan wanita dalam sukan;

Sehinggalah dikatakan tekanan dikenakan oleh Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) yang memberi kata-dua – sama ada turut hantar atlet wanita atau seluruh kontinjen negara itu akan ditegah menyertai Sukan Olimpik London ini.

Akhirnya, dua (2) atlet berkenaan dibenarkan bertanding dan Presiden IOC, Jacques Rogge dilaporkan menyambut baik keputusan tersebut dengan berkata; “Saya sangat gembira untuk melihat dialog berterusan yang diadakan telah membuahkan hasil”.

(Atlet wanita dari negara-negara Qatar dan Brunei juga dihantar julung-julung kalinya ke Sukan Olimpik London 2012 iaitu; Nada Arkaji, Noor al-Maliki, Aya Magdy dan Bahiya al-Hamad dari Qatar, masing-masing dalam sukan renang, olahraga, ping pong dan menembak; serta Maziah Mahusin dari Brunei, dalam acara olahraga). 
PERMULAAN YANG BAIK...
SEORANG LAGI ATLET WANITA ARAB SAUDI... 


PENGALAMAN BERSEJARAH

Dan pada Rabu lepas, 8 Ogos bersamaan 19 Ramadan, di Stadium Olimpik, London, wanita 19-tahun Sarah, menyertai perlumbaan 800 meter tetapi seperti diduga, menghabiskannya di tempat terakhir dalam kalangan lapan pelari.

Sebuah laporan berita antarabangsa bagaimanapun menyebut; “Tetapi, perhatian khalayak pada perlumbaan 800 meter itu ialah kepada Sarah Attar, yang merasai pengalaman bersejarah yang tiada kaitanpun dengan emas, perak atau gangsa.”

“Ini adalah penghormatan terbesar dengan berada di sini mewakili wanita-wanita Arab Saudi. Ia saat yang bersejarah. Saya harap ia akan mencipta kelainan. Ia satu langkah ke depan yang besar.

“Ia adalah satu pengalaman yang cukup menakjubkan,” menurut laporan berita mengutip Sarah – kelahiran California kepada ayahnya, rakyat Arab Saudi dan ibunya, Judy, warganegara Amerika Syarikat, sebagai berkata. 
“Untuk melihat bagaimana reaksi khalayak ketika dia berlari adalah sangat menyentuh hati dan mengujakan,” kata pula ayah Sarah, Amer. Adalah difahamkan, Sarah masih merupakan pelajar di Universiti Pepperdine, Los Angeles County, California. – Khabar