Thursday 18 October 2012

'Kuantan Waterfront Resort City' - projek bernilai pembangunan kasar (GDV) RM1,600 juta yang bakal dibina


… di atas kawasan tebus-guna tanah seluas 202.5 hektar di Tanjung Lumpur, yang dengan itu tidak melibatkan pemindahan penduduk sedia ada mahupun pengambilan balik tanah mereka.

Mampu mendatangkan kesan-kesan sampingan ekonomi (economic spin-off effects) yang turut memanfaatkan penduduk tempatan serta negeri ini amnya.

PROJEK TEBUS-GUNA TANAH 202.5 HEKTAR... Dengan konsep pembangunan sebegini, tidak memerlukan penduduk asal perkampungan nelayan Tanjung Lumpur berpindah dan pula tidak akan ada pengambilan balik tanah yang mungkin menyusahkan penduduk. Sebaliknya, ia akan dapat merancakkan kegiatan ekonomi persekitaran yang turut bakal dimanfaati oleh penduduk sedia ada. 
  

HOTEL ZENITH, KUANTAN –  Bandar Kuantan bakal mempunyai mercutanda baharu lagi gah apabila projek bernilai pembangunan kasar (GDV) RM1,600 juta – Kuantan Waterfront Resort City, bakal dibangunkan menerusi konsep tebus-guna tanah seluas 202.5 hektar bersebelahan Tanjung Lumpur dekat sini, yang dijangka siap sepenuhnya antara 10 dan 15 tahun lagi.

Sebagai memulakan langkah, satu majlis menandatangani perjanjian telah diadakan antara pihak-pihak terlibat – Kerajaan Negeri, Newston International Group Sdn Bhd dan Ideal Heights Development Sdn Bhd, pada pagi Khamis, 18 Oktober di sini.

Kerajaan Negeri dan Newston International Group Sdn Bhd menandatangani perjanjian usahasama, manakala Newston International Group Sdn Bhd dan Ideal Heights Development Sdn Bhd menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) rakan strategik.

KDYMM Sultan Pahang telah berkenan berangkat menyaksikannya, diiringi Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob. Antara yang turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail; dan ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri.

Begitu juga dengan kehadiran Pengerusi, Newston International Group Sdn Bhd, Tan Sri James Fong; serta Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Zailan Abdul Ghafar.  

SEPARUH DARIPADA KELUASAN PROJEK ALAH UNTUK PELANCONGAN

Antara ciri-ciri yang terdapat pada ‘Kuantan Waterfront Resort City’ atau Bandar Resort Pinggir Air Kuantan ini kelak ialah taman tema air dan taman tema ‘aquaria’; pusat membeli-belah; kedai bebas cukai; terminal kapal layar dan marina; restoran terapung.

Hotel, resort dan spa; pusat konvensyen; bangunan-bangunan kediaman seperti vila bersambung 2 ½ dan 3 tingkat, vila berkembar 2 ½ dan 3 tingkat, banglo dan vila antarabangsa.

Pusat perubatan dan penjagaan kesihatan, pusat terminal ‘cruise liners’, selain daripada pusat komersil meliputi menara korporat dan ruang pejabat, serta ‘hypermarket’.

Pada keseluruhannya, keluasan 202.5 hektar kawasan tebus-guna tanah ini akan dibangunkan – 50 peratus daripadanya dengan kemudahan-kemudahan tarikan pelancong; 25 peratus dengan kediaman; 15 peratus dengan ruang komersil; dan selebihnya 10 peratus dengan kemudahan perubatan dan penjagaan kesihatan.

Dalam ucapan 9-minitnya, Dato’ Sri DiRaja Adnan bekata; “Kuantan Waterfront Resort City ini, Ampun Tuanku, Beribu-ribu Ampun, Sembah Patik, Mohon Diampun; sedikit-sebanyak mencipta satu kegiatan ekonomi yang baharu.

PROJEK TEBUS-GUNA TANAH MAKA TAK LIBATKAN PERPINDAHAN

“Projek ini apabila dilaksanakan kelak, akan menyediakan bukan sahaja kemudahan (pelancongan, komersil, kediaman dan kesihatan) tetapi juga turut memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

“Projek bernilai (GDV) RM1.6 billion ini akan menjana kegiatan ekonomi, termasuklah dalam sektor perkhidmatan,” katanya dan menambah betapa Kerajaan Negeri telah mengambil masa yang ‘tidak begitu lama, tidak juga begitu pendek’;

“Dalam tempoh lebih kurang lima (5) bulan bagi membincangkan projek ini, telah diberikan ‘presentation’ kepada Exco dan patik serta rakan-rakan dalam Exco mendapati bahawa projek ini adalah ‘viable’,” katanya.

Bahawa projek ini menggunakan konsep tebus-guna tanah katanya, akan mewujudkan satu kawasan baharu yang tidakpun melibatkan kawasan-kawasan tanah sedia ada khususnya di perkampungan nelayan Tanjung Lumpur.

“Jika ada pihak yang bimbang tentang pertempatan rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku di Tanjung Lumpur, sebenarnya, kegusaran itu tak perlu timbul kerana projek ini tak akan ada perpindahan penduduk dan tidak akan ada pengambilan balik tanah,” tegasnya. – Khabar


MATA KE MATA ;


*** Kerajaan Negeri dan Newston International Group Sdn Bhd menandatangani perjanjian usahasama, manakala Newston International Group Sdn Bhd dan Ideal Heights Development Sdn Bhd menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) rakan strategik.


*** Pada keseluruhannya, keluasan 202.5 hektar kawasan tebus-guna tanah ini akan dibangunkan – 50 peratus daripadanya dengan kemudahan-kemudahan tarikan pelancong; 25 peratus dengan kediaman; 15 peratus dengan ruang komersil; dan selebihnya 10 peratus dengan kemudahan perubatan dan penjagaan kesihatan.


*** “Projek ini apabila dilaksanakan kelak, akan menyediakan bukan sahaja kemudahan (pelancongan, komersil, kediaman dan kesihatan) tetapi juga turut memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

“Projek bernilai (GDV) RM1.6 billion ini akan menjana kegiatan ekonomi, termasuklah dalam sektor perkhidmatan,”


*** Bahawa projek ini menggunakan konsep tebus-guna tanah katanya, akan mewujudkan satu kawasan baharu yang tidakpun melibatkan kawasan-kawasan tanah sedia ada khususnya di perkampungan nelayan Tanjung Lumpur.

“Jika ada pihak yang bimbang tentang pertempatan rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku di Tanjung Lumpur, sebenarnya, kegusaran itu tak perlu timbul kerana projek ini tak akan ada perpindahan penduduk dan tidak akan ada pengambilan balik tanah.”