Monday 16 September 2013

Penyertaan berat sebelah!


… Menteri Besar luahkan rasa kecewanya dengan penyertaan masyarakat Cina ‘yang dapat dibilang dengan jari’ berbanding masyarakat Melayu, pada sambutan Hari Malaysia peringkat negeri.

MENTERI BESAR DENGAN ANAK-ANAK HARAPAN MALAYSIA... 


TAMAN GELORA, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob meluahkan kekecewaannya dengan penyertaan masyarakat Cina ‘yang dapat dibilang dengan jari’ pada sambutan perayaan Hari Malaysia peringkat negeri, pagi Isnin, 16 September, di sini.

Ini berbanding penyertaan masyarakat Melayu yang jelas lebih ramai, hingga beliau menyebutnya sebagai ‘penyertaan berat sebelah’ yang perlu diperbetulkan pada sambutan seumpamanya pada masa depan.

Dato’ Sri DiRaja Adnan meluahkan kekecewaan ini dalam ucapan luar teks 13-minitnya, yang diminta mengulas lanjut mengenainya pada persidangan media yang diadakan kemudian.

“Saban tahun saya perhatikan, penyertaan Hari Ulangtahun Kemerdekaan dan juga Hari Malaysia di negeri Pahang ini, dapat sambutan yang baik; tapi pada kali ini saya lihat, penyertaan ini berat sebelah.

“Yang ramai ialah kaum Melayu. Kaum Cina dapat dibilang dengan jari. Kaum India memang tidak ramai tapi mereka datang juga. Orang Aslipun ada sikit,” katanya pada persidangan media itu.

MESRANYA... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menyanyakan sesuatu kepada kanak-kanak India ini, yang sebelum itu turut menyertai rakan-rakan Melayunya, menjayakan persembahan pentas bersama.
   

‘INI SATU PERKARA YANG TIDAK BAIK’

Beliau tidak menafikan acara ‘jogathon’ – juga merupakan sebahagian daripada acara sambutan perayaan tetapi telah diadakan pada awal pagi, disertai oleh ramai orang dalam kalangan kaum Cina dan India;

“… tapi, sambutan Hari Malaysia yang di bawah khemah ini, kebanyakan orang Melayu. Menaripun (pada segmen persembahan pentas) nampaknya orang Melayu (tetapi) pakai (pakaian kaum) Cina, orang Melayu pakai (pakaian kaum) India.

“Ini satu perkara yang tidak baik,” katanya sambil mengungkit tentang sambutan Hari Kemerdekaan baru-baru ini apabila Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) sendiri yang terpaksa mengambil insiatif mencat semula dan ‘tolong pasang bendera’ pada premis-premis perniagaan berkenaan di banda ini, demi menyemarakkan sambutan .

“Saya harap ini kali terakhirlah perkara ini berlaku. Pada masa akan datang, perkara ini tidak akan berlaku lagi. Saya harap dapat semua pihak menyertai sama ada pekedai, tuanpunya kedai, mereka yang berniaga; menyertai sambutan Hari Kemerdekaan dan juga Hari Malaysia,” katanya lagi.

Kepada soalan wartawan akhbar Star – sebuah akhbar arus perdana milik parti politik Persatuan Cina Malaysia (MCA) tentang elemen perkauman, berikut reaksi tegas Dato’ Sri DiRaja Adnan;  

MESRANYA, DENGAN PARA PENIAGA CINA... Sungguhpun 'boleh dibilang dengan jari', namun, kerana berpakaian seragam dan pula Dato' Sri DiRaja Adnan sudi bersama-sama mereka seketika; kehadiran segelintir mereka dari Dewan Perniagaan Cina ini boleh juga di'rasai'.
   

‘… TAK BOLEH SAYA KATA ORANG CINA TAK DATANG?’

“Saya cakap betul… Kalau Melayu semua datang, orang Cina tak datang; tak boleh saya kata orang Cina tak datang? Perkauman pula? Kalau orang Cina sahaja datang, Melayu tak datang, (kalau) saya tanya; kenapa Melayu tak datang? Perkauman pula?

“… Ini bukan masa, bukan zamannya. Yang kita cakap betul, cakap betullah. Yang (dimaksudkan bersifat) perkauman; (ialah jika) saya mengapi-apikan. 'Melayu…, pergi kacau Cina. Cina…, kacau Melayu. India, Orang Asli; mari kacau Cina, mari kacau Melayu'. Baharulah (boleh disifatkan perkauman).

“Ini saya menyatakan hakikatnya bahawa sambutan Hari Malaysia pada hari ini, yang ramai orang Melayu. Orang Cina dapat dibilang. Nasib baik ada wakil dari Dewan Perniagaan Cina, Dewan Perniagaan India. Kalau tidak, tak ada… Itupun perkauman juga?”

Dato’ Sri DiRaja Adnan turut ditanya tentang majlis pengumuman Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak yang turut dihadirinya pada Sabtu, 14 September lepas di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, yang berkenaan dengan usaha Kerajaan untuk memperkasakan ekonomi Bumiputera.

Usaha tersebut katanya, adalah baik namun yang lebih penting ialah berkaitan dengan pembahagian dan pengagihan peluang-peluang ekonomi yang telah diumumkan, termasuklah aspek pemantauannya.

BARISAN KEPIMPINAN NEGERI KITA...


BIMBANG DENGAN TABIAT GEMAR JUAL LESEN/PERMIT

“Ia sangat baik apabila Perdana Menteri sendiri akan mengetuai dua jawatankuasa dan akan memantau sendiri. Dan, ini baiklah untuk upah kepada orang Melayu, Bumiputera (yang) menyokong Kerajaan,” katanya.

Beliau turut menyatakan kebimbangannya kepada tabiat orang Melayu yang gemar ‘menjual lesen dan permit’ dengan mengambil contoh pengeluaran permit bot laut dalam kepada Melayu tetapi dijual kepada ‘tauke’ Vietnam dengan pekerjanya juga ialah warganegara Vietnam.

Mengenai ‘mogok’ oleh pemandu-pemandu lori yang membantah kerja penguatkuasaan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) khususnya di kawasan perindustrian Gebeng baru-baru ini katanya, beliau telah mengadakan perbincangan dengan mereka – pemandu lori dan SPAD, termasuklah pengusaha/pemilik lori, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Kita telah bincangkan dari segi kehendak undang-undang dan juga keperluan pemandu-pemandu lori. Rupanya, golongan yang teruk ini pemandu lori… Mereka agak sukar untuk orang putih kata, ‘to make ends meet’lah, untuk cukup belanja tiap-tiap bulan.

“Saya telah minta wakil SPAD bawa ke atas untuk pastikan undang-undang itu dilaksanakan dengan lebih saksama dan juga dapat menjaga kepentingan pemandu-pemandu lori,” katanya.

HARAPAN BANGSA DAN NEGARA... 


TEMPERING JUSTICE WITH MERCY’

Dalam pada itupun katanya, beliau turut memberi amaran kepada pemandu-pemandu lori betapa mereka tidak boleh melanggar undang-undang dan betapa undang-undang tetap undang-undang.

“Sekarang ini kita cari jalan bagaimana contoh, sekali (dikenakan) kompaun RM15,000, harga lori RM40,000 – dua kali (dikenakan) kompaun, (terpaksa) jual lorilah… Ha itu yang kita nak tengok (perlu kajian).

“Undang-undang memang undang-undang. Tapi, kalau kita dapat baca buku sikit, semua pihak baca buku apa ni, cara-cara ‘dispensing justice’, ‘tempering justice with mercy’ contohnya;

“… mungkin dapat laksanakan undang-undang tapi pada ketika yang sama, menjaga semua pihak, pengguna jalanraya yang lain, dan dapat membela sikit-sebanyak, nasib pemandu lori. ‘Win-win’lah,” katanya.

Yang turut hadir pada sambutan perayaan Hari Malaysia ini ialah Speaker, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Ishak Muhamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail; Pengerusi, Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Dato’ Johari Husin;

Timbalan Yang Dipertua, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Dato' Sri Wan Wahid Wan Hassan; Ketua Hakim Syarie, Dato' Abdul Rahman Yunus; ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri dan wakil-wakil rakyat; serta ketua-ketua Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan. – Khabar