Wednesday 11 September 2013

Pusat Pentadbiran Baharu Negeri di KotaSAS


… di atas tanah berkeluasan 53 ekar, menggantikan pusat pentadbiran sedia ada meliputi Wisma Sri Pahang/Wisma Persekutuan di kawasan seluas 8 ekar yang telah beroperasi lebih 46 tahun lepas sejak 1967

MENGAMATI MODEL BERSAMA... Dato' Sri Mohd Najib sedang mengamati model, sambil diiringi dan kelihatan dalam foto ini ialah isterinya, Datin Sri Rosmah Mansor; Menteri Besar Dato' Sri DiRaja Adnan Yaakob; dan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato Sri Muhammad Safian Ismail.  

RIANG BERSAMA... Dato' Sri Mohd Najib kelihatan riang-suka menerima cenderamata daripada Dato' Sri DiRaja Adnan, berupa gambar lakaran pusat pentadbiran baharu tersebut. 
  

kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Dengan jangkaan siap dalam tempoh tiga (3) tahun atau pada tahun 2016, pembinaan sebuah pusat pentadbiran baharu negeri ini dengan kos kira-kira RM400 juta di KotaSAS dekat Bandar Indera Mahkota, tentulah dialu-alukan.

Ini sementelah pusat pentadbiran sedia ada di sini, meliputi kedua-dua Wisma Sri Pahang dan Wisma Persekutuan bersebelahan, sudah terlalu lama. Usia Wisma Sri Pahang sahaja ialah lebih 46 tahun sejak dibuka pada tahun 1967.

Ke arah merealisasikannya, majlis pecah tanah telah diadakan yang disempurnakan sendiri oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak pada pagi Sabtu, 7 September lepas di tapak berkenaan.

Pusat pentadbiran baharu ini nanti akan berkeluasan lantai kira-kira 9.98 ekar atau 434,900 kaki persegi, yang meliputi bangunan empat-tingkat Dewan Undangan Negeri berkeluasan lantai 1.96 ekar atau 85,500 kaki persegi.

Pembinaan bangunan tiga-tingkat Pejabat Menteri Besar yang berkeluasan lantai 0.85 ekar atau 37,200 kaki persegi.

APA AGAKNYA YANG MENARIK PERHATIAN?...

HADIRIN SEKELIAN...


RM27.704 JUTA IALAH KOS TANAH

Pembinaan bangunan tujuh-tingkat Pejabat Setiausaha Kerajan Negeri bagi jabatan-jabatan Kerajaan Negeri berkeluasan lantai 3.58 ekar atau 156,100 kaki persegi, dan,

Pembinaan bangunan tujuh-tingkat Persekutuan bagi jabatan-jabatan Kerajaan Persekutuan berkeluasan lantai juga 3.58 ekar atau 156,100 kaki persegi.

Bereka bentukkan Jata Negeri, kos pembinaan kira-kira RM400 juta menerusi pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan itu meliputi kira-kira RM212.878 juta bagi komponen negeri (termasuk Dewan Undangan Negeri, Pejabat Menteri Besar dan Pejabat Setiausaha Kerajan Negeri), dan, lagi kira-kira RM159.212 juta bagi komponen persekutuan.

Lagi kira-kira RM27.704 juta ialah sebagai menampung kos pembelian tanah yang seluas 53 ekar, atau kira-kira RM12 sekaki persegi.

Keseluruhan projek akan dibangunkan oleh syarikat pemaju – Kreatif Sinar Gabungan Joint Venture, iaitu gabungan tiga syarikat – Kreatif Selaras Sdn Bhd (dahulunya Kurnia Setia Sdn Bhd, pemilik dan pemaju KotaSAS) serta, Sinar Realiti Sdn Bhd dan Gabungan AQRS Sdn Bhd.

SENDA GURAUAN SESAMA PEMIMPIN... Tentu ada sesuatu yang melucukan yang dikatakan oleh Dato' Sri Mohd Najib hingga menyebabkan pemimpin negeri kita, Dato' Sri DiRaja Adnan, tersenyum.

Yang turut kelihatan dalam foto ini pada majlis sebelah tengah hari Sabtu yang sama sempena perasmian projek peluasan Pelabuhan Kuantan itu ialah Menteri Besar Johor, Dato' Sri Mohd Khaled Nordin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Sri Abdul Wahid Omar (kanan sekali); dan, Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Dato' Jebasingam Issace John. – Khabar