Tuesday 5 November 2013

Masih tiada yang baharu tentang sikap buruk dan tamak segelintir penduduk termasuk penanam sayur dan bunga di Cameron Highlands


… disebalik saranan dan tindakan tegas bagi menyedarkan mereka tentang pentingnya amalan penanaman yang baik, yang tidak mencemarkan alam sekitar.

INDAH DAN NYAMANNYA, CAMERON HIGHLANDS... Disebalik laporan yang menggambarkan kawasan tanahtinggi ini tercemar teruk alam sekitarnya akibat karenah segelintir penanam sayur/bunga, namun tidak boleh dinafikan, panorama sebegini masih kedapatan padanya.

Ianya sepertimana jugalah kita melihat segelas kandungan air; ingin melihatnya secara positif sebagai 'half-filled' atau secara negatif sebagai 'half-empty'.


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Apakah lagi yang boleh diperkatakan tentang sikap buruk sesetengah penduduk Cameron Highlands jika di dalam Empangan Sultan Abu Bakar di sana, yang tercemar bukan sahaja kerana mendapan teruk akibat aliran lumpur daripada kerja-kerja tanah yang tidak bertanggungjawab oleh sesetengah penanam di sana.

Yang lebih mengejutkan ialah penemuan bahan-bahan tidak sepatut di dalamnya – peti sejuk, televisyen, sofa dan tilam buruk, selain tong gas terpakai, hingga memburukkan lagi isu pencemaran di empangan bagi menjana elektrik hidro milik dan seliaan Tenaga Nasional Bhd (TNB) itu.

Ini didedahkan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob ketika ditemui wartawan dan diminta mengulas lanjut mengenai kejadian banjir lumpur hingga mengorbankan nyawa di Lembah Bertam, Cameron Highlands baru-baru ini.

Banjir lumpur berkenaan berlaku ekoran pelepasan air yang berlebihan dari Empangan Sultan Abu Bakar – empangan yang dibina sejak 1962 dan terletak di Ringlet, iaitu kawasan yang lebih tinggi, kira-kira tiga (3) kilometer dari Lembah Bertam yang terletak di hilirnya, menerusi Sungai Bertam.    

“Sebenarnya ini bukan perkara baharu, tapi kita sukar untuk menerapkan pendidikan dikalangan penanam-penanam sayur dan bunga Cameron Highlands ini. Kita buat kenyataan (dan tindakan) yang keras mereka mengatakan kita tidak bersimpati dengan mereka,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

PENDUDUK/PENANAM SENDIRI PERLU BERETIKA

“Saya difahamkan hari itu, semasa kita (kontraktor TNB) membersihkan empangan ini; apa ada dalam? Peti sejuk buruk, televisyen buruk, tilam, tong gas, sofa – yang diperangkap dalam perangkap yang berkenaan tu.

“Tapi, setakat mana kita boleh nak meneruskan operasi untuk mengambil (dan mengeluarkan) benda-benda ini? Jadi, penduduk sendiri kena ada sikit perasaan ataupun etika. Fikirkan sikit,” katanya lagi.

Kata-kata Menteri Besar ini mungkin dilihat sebagai meletakkan kesalahan sepenuhnya ke atas bahu para penanam sayur-sayuran dan bunga-bungaan, termasuklah segelintir penduduk Cameron Highlands yang tidak bertanggungjawab. Tetapi, itulah hakikatnya.

Bukannya dengan berkata demikian, beliau langsung hendak melepaskan tanggungjawab Kerajaan Negeri dalam menangani dan mengatasi masalah pencemaran alam di kawasan tanhtinggi yang sensitif itu.

Telah banyak usaha yang Kerajaan Negeri lakukan, termasuk menambah bilangan anggota penguatkuasa bagi memantapkan lagi penguatkuasaan ke kawasan-kawasan yang terlalu sukar dihampiri.

TINDAKAN MENUKAR-NUKAR ANGGOTA-KERJA BAGI ELAK RASUAH

Selain itu ialah tindakan menukar-nukar anggota-anggota ini menurut tempoh tertentu, bagi mengelakkan rasuah – dakwaan yang kerap didengari berlaku lalu dikatakan turut menyumbang kepada masalah yang tiada kesudahan ini.

Lama sebelum itu juga, Kerajaan Negeri telah mengeluarkan garis panduan khusus tentang kerja-kerja tanah di sana termasuklah, melarang sama sekali penggunaan jentera berat atau menarah bukit pada gradien yang curam. 

Maka selebihnya, tentulah peranan penduduk Cameron Highlands sendiri dalam menjagai alam sekitar dengan mengamalkan kerja-kerja tanah yang tertib, yang tidak mengganggu-gugat alam sekitar.

Memang tidak dinafikan, sumbangan penanam sayur-sayuran dan bunga-bungaan ini kepada pendapatan negara adaklah besar, menerusi pengeskportan bahan-bahah mentah ini yang bernilai ratusan malah, ribuan juta ringgit setahun.

Namun, yang dikesali serta tidak dapat diterima ialah, kerakusan dan ketamakan segelintir mereka yang melaksanakan amalan-amalan pertanian yang buruk – alasan dan tindakan bagi menjimat lagi kos lalu meningkatkan margin keuntungan.  

ENGGAN KELUAR BELANJA SIKIT BAGI BINA PERANGKAP KELODAK

Satu daripadanya ialah keengganan untuk berbelanja lebih sedikit – tak sampaipun RM5,000, untuk membina perangkap-perangkap kelodak di tapak-tapak tanaman masing-masing, bagi mengelak lumpur atau kelodak mengalir masuk ke sungai seterusnya empangan tersebut.

Ada pula dalam kalangan mereka, yang melakukan penerokaan secara haram ke atas kawasan-kawasan bersebelahan yang di luar dari kawasan yang diluluskan lesen pendudukan sementara (TOL) mereka.

“Semua bukit ditarah, ditarah habis. Tak dapat nafikan bahawa mendapan di empangan itu adalah disebabkan oleh kesan tarahan bukit yang berleluasa. Sekarang ni, tepuk dada tanya selera.

Mereka, penduduk Cameron Highlands – penanam-penanam bunga, penanam-penanam sayur ini. Adakah mereka memilih untuk (terus) mengamalkan amalan pertanian yang buruk ini?” tanya-sinis Dato’ Sri DiRaja Adnan yang menampakkan kekecewaannya dengan sikap buruk mereka yang berkenaan.

Jika sikap penanam-penanam ini mengecewakan Dato’ Sri DiRaja Adnan, yang mencewakan kita pula ialah sikap parti politik tertentu yang selama ini asyik dengan gelagat mereka mempertahankan para penanam ini kononnya demi populariti mereka di sana.

KACAU-DAUN PARTI POLITIK

Lalu acapkali, kerja-kerja penguatkuasaan seperti hendak merobohkan bangunan-bangunan kekal yang dibina secara haram di atas tanah-tanah Kerajaan seperti rizab jalan atau sungai; selalu sahaja terpaksa dihentikan ekoran saranan daripada parti politik berkenaan.

Malah, atas permintaan parti politik yang sama jugalah beberapa tahun lepas, maka Kerajaan Negeri terpaksa akur bagi melanjutkan tempoh pembaharuan TOL oleh penanam-penanam daripada asalnya setahun sekali, kepada dua (2) tahun sekali.

Kononnya, ini agar tidak membebankan penanam-penanam untuk melakukan urusan pembaharuan, yang dengan tempoh dua (2) tahun dapat memberi kelegaan kepada mereka untuk tenang bertanam dalam tempoh yang dipanjangkan itu.
 
Demi populariti kononnya tetapi, tidak juga memperolehinya sepertimana keputusan pilihanraya umum Mei lepas yang menyaksikan calon yang disokong oleh parti itu tidak juga terpilih untuk mewakili kawasan di situ!  

Begitulah juga dengan sikap beberapa badan bukan kerajaan (NGO), yang mana setiap kali kejadian buruk menimpa, merekalah juga yang akan menampakkan diri sebagai juara dengan mengeluarkan kenyataan yang asyik menuding jari ke arah Kerajaan semata-mata.

ADA PULA NGO YANG KOKOK SAHAJA BERDERAI-DERAI

Yang ironinya ialah, akhbar milik parti politik berkenaanlah juga yang gemar menemu-bual NGO-NGO ini, dan hasilnya seperti yang tersiar; salahkan Kerajaan. Sedangkan parti politik yang juga milik akhbar inilah juga yang me‘manja’kan sangat penduduk di situ khususnya para penanam berkenaan.

Ada pula antara NGO-NGO yang dijulang-julang ini – disebalik kelantangan mereka hingga seolah-olah menampakkan keikhlasan mereka untuk memelihara alam sekitar Cameron Highlands; rupa-rupanya, ‘kokok sahaja berderai-derai’.

Oleh itulah, penulis masih percaya betapa penanam serta penduduk Cameron Highlands sendiri harus lebih sedar dan lebih bertanggungjawab terhadap usaha memelihara alam sekitar di sana.

Bak kata Dato’ Sri DiRaja Adnan; “Kerajaan boleh menyekat setakat had tertentu. Lebih daripada itu kena dari kita sendiri, dari rakyat sendiri, dari penanam sayur (dan bunga) sendiri.” – Khabar