Monday, 25 August 2014

Insaflah, bersatu-padulah!



… saranan Menteri Besar kepada kita semua, dalam pada mengenang peristiwa malang yang menimpa negara serta kehidupan sengsara umat Islam di bumi Arab 

MENTERI BESAR YANG JUGA MESRA-KANAK-KANAK... Semuanya kelihatan seronok melihat gelagat Menteri Besar menyampaikan duit Raya kepada kanak-kanak kurang upaya, yang menjadi turut menjadi tetamu pada Majlis Hari Raya Pejabat Menteri Besar/Setiausaha Kerajaan Negeri pada pagi Isnin ini. 
 

PERKARANGAN, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Insaflah! Inilah saranan Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob kepada kita dalam pada mengenang peristiwa malang yang menimpa dalam beberapa bulan ini, serta kehidupan sengsara umat Islam di bumi Arab khususnya Gaza.

Dan keinsafan itu pula menurutnya, mesti berasaskan kepada kesedaran betapa semangat perpaduan sesama umat Islam itu penting yang jika tidak, bersedialah untuk merasai akibatnya.
 
“Sekadar mengimbas kembali kejadian yang menimpa negara kita – peristiwa MH 370, MH17 dan berbagai-bagai lagi; kita sepatutnya berasa insaf bagaimana kecilnya kita ini, kita tidak tahu apa sebenarnya perkara yang berlaku.

“Kalau kita bandingkan pula dengan negara-negara lain, kalau kita tengok apa yang berlaku di Palestin, di Gaza, di Syria – sesama Islam berbunuh, dan di beberapa tempat yang lain; kita sepatutnya berasa insaf,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

“Kalau (umat) Islam tidak bersatu-padu, inilah akibatnya,” katanya dalam ucapan luar teks 8-minitnya, pada Majlis Hari Raya Pejabat Menteri Besar dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri pagi Isnin, 25 Julai bersamaan 29 Syawal, di sini.

DUIT RAYA UNTUK YANG MEMERLUKAN... 
 

PALESTIN DIKELILINGI NEGARA-NEGARA ARAB KAYA

Menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan, beliau percaya betapa jika umat Islam bersatu-padu, tiada sebab kenapa rakyat Palestin boleh tertindas sementelah ia dikelilingi oleh negara-negara Arab yang kaya-kaya.

Dan negara-negara kaya ini tentu mampu membeli dan memiliki pelbagai jenis persenjataan yang boleh membantu negara Arab Palestin dalam memperjuang serta mempertahankan negara mereka.

“Tetapi, oleh kerana tidak bersatu maka penduduk Arab Islam Palestin telahpun didera, diseksa dan dizalimi. Perdana Menteri Israelpun telah menyatakan dengan jelas yang mereka akan terus menyerang ataupun buat serangan ke atas tempat-tempat awam termasuklah hospital, masjid.

“Dan mereka akan membunuh seberapa ramai yang boleh. Ini telah dinyatakan oleh Perdana Menteri (Benjamin) Netanyahu, dan disaksikan sendiri oleh Hilary Clinton,” katanya.

Dalam pada itupun kata Menteri Besar, penduduk Islam Palestin itu sendiri yang harus dipersalahkan kerana asalnya, ‘boleh dikatakan semua tanah di Palestin’ adalah kepunyaan umat Islam di situ tetapi telah dijual kepada orang Yahudi.

ANTARA HADIRIN PAGI ISNIN... 


ISRAEL = TANAH ORANG ARAB YANG DIJUAL KEPADA YAHUDI

“Dan apabila pihak British dengan Amerika dan pihak bersekutu selepas pilihanraya kedua pada tahun 1947, hendak membentuk negara Israel, mereka telah memilih Palestin dan mereka telah ambil tanah orang Arab yang dijual kepada orang Yahudi itu sebagai tapak negara Israel,” katanya.

Beliau kemudian menempelak seorang pendakwah yang dalam ceramahnya menyebut tentang, “Negara Israel ini, negara kita (umat Islam), tanah kita (umat Islam). Patut orang Islam ambil balik. Kalau orang Islam tak nak ambil balik, orang Islam tak tahu sejarah’.

“Betullah tanah orang Islam tapi tanah orang Islam (yang) dah dijual kepada orang Yahudi. Ini kita kena faham. Macam kitalah… hari ini lulus je (permohonan) tanah, esok jual. Lulus, esok jual,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

“Inilah bahananya menjual harta-benda. Walaupun kita ada harta benda yang tak boleh dibangunkan sekarang ini, jangan dijual sekurang-kurangnya untuk kemudahan anak-cucu.

“Oleh sebab jual harta-benda, itulah yang berlaku kepada orang Arab Palestin. Ini semua kita kena ambil iktibar… Sampai masa, kita menyalahkan orang lain,” katanya lagi.

SPEAKER DAN TIMBALAN TURUT HADIR

Antara yang turut hadir pada majlis pagi Isnin ini ialah Speaker, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Ishak Mohamad dan timbalannya, Dato’ Mohamad Jaafar; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail;

Ketua Polis Negeri, Timbalan Pesuruhjaya Dato’ Sharifuddin Abdul Ghani; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri I, Dato’ Roslan Harun; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri II, Dato’ Toantowee Mohd Lotfie; Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri, Dato’ Azizan Ahmad; dan, Pegawai Daerah Kuantan, Dato’ Norhayad Ahmad. – Khabar