Wednesday 6 August 2014

RM556 juta! Kutipan cukai di Pahang untuk tujuh bulan pertama tahun 2014 ini sahaja




“... jelas menunjukkan bahawa pelbagai projek pembangunan yang telah dirancang dan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dengan kerjasama erat Kerajaan Persekutuan dan pelbagai pihak, turut memberikan impak yang besar terhadap peningkatan hasil kutipan cukai negara di bumi Pahang ini khasnya,” kata Menteri Besar.

SEMINAR BAGI DAPATKAN PENJELASAN LANJUT TENTANG GST... Dari belakang rostrum, berlatar belakangkan 'backdrop' yang terpampang wajah Menteri Besar; Dato' Zaleha sedang menyampaikan taklimatnya. 

Banyak soalan dibangkitkan termasuk oleh ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri kita seperti; Dato' Mohd Sharkar Shamsuddin, Dato' Shahiruddin Ab. Moin dan Dato' Noorul Azali Sulaiman; dan dijawab oleh Dato' Zaleha dengan tenang sungguhpun masih tidak begitu difahami sepenuhnya juga oleh para khalayak.


DEWAN UTAMA, KOMPLEKS YAYASAN PAHANG, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – Satu seminar mengenai percukaian dimaklumkan betapa hasil kutipan cukai di Pahang sahaja bagi tempoh tujuh (7) bulan pertama tahun ini, sudah mencecah RM556 juta.

Selain turut dimaklumkan betapa dalam tempoh lapan (8) tahun antara 2006 dan 2013, hasil kutipan itu yang dilaksanakan oleh Jabatan Kastam DiRaja Malaysia Negeri Pahang, melonjak 267 peratus daripada cuma RM290 juta kepada RM774 juta.

“Angka-angka tersebut jelas menunjukkan bahawa pelbagai projek pembangunan yang telah dirancang dan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dengan kerjasama erat Kerajaan Persekutuan dan pelbagai pihak, turut memberikan impak yang besar terhadap peningkatan hasil kutipan cukai negara di bumi Pahang ini khasnya,” kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob.

“Sehubungan itu, diharapkan dengan pelaksanaan GST kelak akan memberikan peningkatan kutipan hasil cukai yang lebih tinggi lagi bagi negeri Pahang dan seterusnya dipulangkan semula manfaatnya dalam bentuk pelbagai peruntukan dan bantuan kepada pembangunan negeri dan rakyat yang memerlukan,” katanya lagi.

Dato’ Sri DiRaja Adnan berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail yang mewakilinya pada Majlis Taklimat Khas ‘Goods & Services Tax’ (GST) peringkat negeri petang Rabu, 6 Ogos, di sini.

KHALAYAK BARISAN UTAMA KITA... Selain Dato' Sri Muhammad Safian serta ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri kita, yang turut hadir dan kelihatan dalam foto ini ialah Mufti Negeri, Sahibus Samahah Dato' Abdul Rahman Osman; Penasihat Undang-undang Negeri, Encik Shamsulbahri Ibrahim; dan, Ketua Hakim Syari'e Negeri, Dato' Abdul Rahman Yunus.  


HANYA MALAYSIA, BRUNEI DAN MYANMAR BELUM LAKSANA GST

Sepertimana semua sedia maklum, Kerajaan Persekutuan telahpun umumkan sebelum ini, untuk menguatkuasakan sistem percukaian baharu dikenali GST, menggantikan yang lama – Cukai Jualan dan Perkhidmatan; pada 1 April 2015.

Menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi, GST bukanlah sistem cukai yang baharu. Bermula di Perancis pada awal tahun 1950-an, kini katanya, lebih 160 negara sudah melaksanakannya termasuk negara jiran, Indonesia – negara pertama dalam rantau ASEAN yang mula melaksanakannya.

“Hanya tinggal Malaysia, Brunei Darussalam dan Myanmar yang belum melaksanakannya. Negara jiran kita Singapura yang sudah melaksanakan GST, telahpun merasai impak positifnya.

“Malah, Indonesia dan Vietnam yang melaksanakan GST, turut menunjukkan prestasi pertumbuhan ekonomi yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini,” tegasnya.

Pada asasnya kata Menteri Besar lagi, pelaksanaan GST ialah langkah dalam dasar fiskal Kerajaan bagi memperluas dan mempertingkatkan lagi sumber pendapatan negara setelah sekian lama, negara hanya bergantung pada cukai pendapatan individu dan korporat serta dividen petroleum daripada PETRONAS.

LAGI KHALAYAK PADA MAJLIS PETANG RABU...


CUMA 2 JUTA PENDUDUK LAYAK BAYAR CUKAI PENDAPATAN

Sementelah pula katanya, kira-kira dua (2) juta orang rakyat negara ini sahaja yang dikira layar untuk membayar cukai pendapatan, manakala hasil daripada petroleum keluaran PETRONAS pula semakin berkurangan.

“Justeru itu, GST sebagai satu bentuk cukai kepenggunaan dijangka akan berupaya meningkatkan hasil atau pendapatan Kerajaan.

“Peningkatan hasil Kerajaan nanti bukan sahaja dapat digunakan untuk tujuan pembangunan tetapi kerajaan akan dapat membantu lebih ramai golongan berpendapatan rendah,” katanya.

Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri, wakil-wakil rakyat negeri, ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan termasuk dari badan-badan berkanun serta syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan Negeri turut hadir pada majlis taklimat petang Rabu ini.

Mereka diberikan taklimat mengenai GST serta bersoal-jawan mengenainya, yang dkendalikan oleh Penasihat, Jabatan Kastam DiRaja Malaysia, Dato’ Zaleha Hamzah. – Khabar