Monday 13 October 2014

Pupuklah budaya inovasi dalam kalangan penjawat awam!



“Penerapan budaya inovasi memerlukan perubahan cara berfikir serta keperluan dan kebolehan untuk berfikir di luar kotak,” kata Menteri Besar.

GIMIK PERASMIAN... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang melaksanakan tugasnya selaku perasmi, sambil Dato' Sri Muhammad Safian dan Encik Aziph (berbaju merah) memerhatikan. 


DEWAN JUBLI PERAK SULTAN HJ AHMAD SHAH, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menyarankan agar budaya inovasi dipupuk dalam kalangan penjawat awam daripada pegawai tertinggi hinggalah kumpulan sokongan.

“… usaha menjadikan elemen inovasi sebagai pemangkin utama kecemerlangan perkhidmatan perlulah diterapkan ke dalam diri semua kakitangan kerajaan dengan  bermula dari pihak peringkat tertinggi, dan turun sehinggalah kepada kakitangan sokongan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam  ucapan luar teks 18-minitnya merasmikan Hari Inovasi peringkat negeri anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri berurusetiakan Unit Koporatnya pada pagi Isnin, 13 Oktober di sini.    

Menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan, pemupukan dan penerapan budaya inovasi pula  memerlukan perubahan cara berfikir serta keperluan dan kebolehan untuk berfikir di luar kotak dalam kalangan para penjawat awam.

“Penjawat awam khususnya, mestilah menanamkan sikap berinovasi dalam berfikir, daya menyelesaikan masalah, berfikiran terbuka, dinamik dan sentiasa kreatif yang selari dengan arus perubahan semasa yang memerlukan penjawat awam melaksanakan sistem penyampaian secara cepat dan efektif,” katanya.

ANTARA KHALAYAK YANG HADIR... 
 

INOVASI TADBIR URUS, PENGURUSAN KEWANGAN & PENJENAMAAN

Beliau seterusnya mengungatkian betapa skop inovasi dalam perkhidmatan awam adalah luas, yang merangkumi inovasi dalam tadbir urus, inovasi dalam pengurusan kewangan, dan inovasi dalam penjenamaan.

Yang oleh itulah katanya, inovasi dikenal pasti sebagai mekanisme utama untuk meningkatkan daya saing Malaysia bagi mencapai matlamat Model Baharu Ekonomi (MBE) dan Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) dan RMK-11 yang akan datang, sejajar dengan komitmen untuk menggerakkan agenda Inovasi Negara.

Dato’ Sri DiRaja Adnan turut memetik kajian oleh ‘The Global Innovation Index’ untuk tahun lepas (2013), yang menempatkan Malaysia pada kedudukan 32 dengan markah 46.92 peratus daripada seluruh 142 negara, sebagai negara berinovasi.

Negara Switzerland menduduki tempat pertama dengan 66.59 peratus, disusuli tempat kedua, United Kingdom dengan 61.25 peratus.

Pun begitu katanya, dalam kalangan negara yang berpendapatan kelas menengah atas, Malaysia, dengan markah 46.92 peratus tadi, menduduki tangga pertama, disusuli tempat kedua, negara Latvia (45.24 peratus).

KUAH 'SERBUK' TEMPOYAK.. Dato' Sri DiRaja Adnan serta Dato' Sri Muhammad Safian dan Encik Aziph, sedang mencuba kuah tempoyak yang telah diinovasikan menjadi serbuk.  


MALAYSIA UNGGUL DALAM KALANGAN NEGARA-NEGARA ISLAM

Dan dalam kalangan negara-negara Islam pula, Malaysia tetap unggul dengan berada di  tangga teratas, yang disusuli tempat kedua oleh negara Emiriyah Arab Bersatu (UAE) (41.87 peratus).

“Apa yang boleh dirumuskan berdasarkan kepada data tersebut, kedudukan Malaysia sebagai negara yang berinovasi, masih berada pada tahap sederhana sahaja jika dibandingkan dengan negara maju.

“Mungkin kita akan menyatakan bahawa perbandingan ini adalah tidak sekata memandangkan Malaysia merupakan negara berpendapatan kelas menengah atas, manakala Switzerland merupakan negara maju.

“Namun, pengertian inovasi ini tidak terikat kepada kemajuan taraf ekonomi negara. Apa yang penting ialah tahap kemajuan individu atau rakyat sesebuah negara dalam melaksanakan atau menghasilkan ciptaan yang berinovasi dan berteknologi,” tegasnya.

Selain Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail; yang turut hadir ialah Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Norol Azali Sulaiman; Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), Encik Aziph Mustapha; beberapa pegawai daerah, serta ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan. 

FOTO BERSAMA... Dato' Sri DiRaja Adnan turut melayani permintaan kakitangan YIM untuk bergambar berkumpulan. 

Selain Dato' Sri Muhammad Safian dan Encik Aziph, yang turut serta ialah pengasas sebuah syarikat produk kesihatan yang turut serta sebagai pempamer, Dato' Aliff Syukri Kamarzaman yang terkenal dengan 'tagline' - terlajak laris. – Khabar