FOTO FAIL; PERSIDANGAN MEDIA BERSAMA PADA 6 JANUARI... Ketika inilah, Kerajaan mengumumkan pengenaan tempoh moratorium selama tiga (3) bulan bermula 15 Januari dan berakhir 15 April.
NOTA
EDITOR;
Ekoran
keputusan Kerajaan Persekutuan untuk melanjutkan tempoh moratorium selama lagi
tiga (3) bulan, YOPE KEY-DARE telah menulis artikel berikut.
Sama-samalah
kita menelitinya serta mungkin – khususnya bagi mereka yang telibat secara
langsung ataupun tidak dengan aktiviti bauksit; dapat mengambil satu-dua
pengajaran daripadanya.
Alamaya, INDERA
MAHKOTA 5, KUANTAN
– Tahniah diucapkan kepada Kerajaan Persekutuan atas ketegasannya melanjutkan
lagi tiga bulan tempoh moratorium aktiviti bauksit di Kuantan, yang asalnya
berakhir Jumaat, 15 April, kini dipanjangkan kepada 15 Julai pula.
Ini
sepertimana diumumkan oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE), Dato' Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada persidangan media pasca-Mesyuarat
Kabinet di Kementeriannya di Putrajaya, pada Jumaat lepas (8 April).
Keputusan
ini menerima reaksi segera daripada Menteri Besar Dato' Sri DiRaja Adnan Yaakob yang menerusi
kenyataan medianya menyebut; “Saya telah
dihubungi dan dimaklumkan tentang keputusan Kabinet ini oleh Dato' Sri Dr Wan
Junaidi.
“Kerajaan Negeri
menyambut baik dan berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas keputusan
ini. Ia keputusan terbaik demi kesejahteraan rakyat – yang semestinya perlu
sentiasa diutamakan”.
Lanjutan
itu, rata-rata penduduk Kuantan yang diminta reaksi mereka oleh pihak media
telah menyatakan kegembiraan mereka dengan keputusan yang memang
dinanti-nantikan itu.
SUDAH TERHANTUK BARU
TERGADAH
Namun,
sepertimana yang diduga, para pengusaha aktiviti ini membantahnya. Seperti
sudah terhantuk baru tergadah, baharu sekarang hendak bersuara kononnya turut
memperjuangkan nasib serta periuk nasi para pekerja mereka.
“Masalah sebenar
bertunjang daripada pengusaha haram tetapi berakhir dengan kami pula menjadi
mangsa,”
demikian dakwa seorang daripada pemimpin sebuah persatuan – terdiri daripada 15
pengusaha bauksit, yang hanya akhir tahun lepas ditubuhkan itu.
Dan
beliau mahu kita semua mempercayai serta ‘menelan bulat-bulat’ kata-katanya
itu? Maaflah. Kita boleh sahaja katakan kepadanya supaya ‘go fly a kite’lah
dengan alasan untuk meraih simpati itu.
Bukanlah
rahsia lagi betapa, setiap pengeluaran mineral termasuklah bauksit, mestilah berserta
dengan dokumen-dokumen tertentu yang pada peringkat akhir untuk menjual atau
mengeksport; memerlukan Permit Kelulusan (AP) daripada NRE untuk
melaksanakannya.
Bagaimanakah
pengeluaran oleh pengusaha-pengusaha bauksit haram ini hendak menyaksikan
penjualan dan pengeksportan jika tidak secara menumpang dengan AP (semestinya
dengan kos) yang dimiliki oleh pengusaha-pengusaha yang sah?
NILAI EKSPORT STOK
SIMPANAN BAUKSIT, RM290 JUTA!
Jika
soal kehilangan pendapatan yang didakwa oleh persatuan yang sama – kira-kira
RM400 juta sebulan akibat daripada pengenaan tempoh moratorium ini; ia juga
tidak boleh diterima.
Selain
di Pelabuhan Kuantan sendiri, yang kini (setakat 11 April), jumlah stok
simpanannya tinggal 23,000 tan sahaja lagi; stok simpanan di 11 kawasan lain
masih kekal pada 1.3 juta tan manakala di persekitaran lombong-lombong bauksit
sendiri, kira-kira 2.3 juta tan. Kesemuanya, 3,623,000 tan atau kira-kira 3.62
juta tan.
Dalam
tempoh lanjutan tiga (3) bulan inilah (15 April – 15 Julai), kesemua stok simpanan
ini mesti dilupuskan dalam bentuk pengeksportan ke luar negara. Dengan harga
kira-kira RM80 setan, pendapatan daripada pengeksportan kesemua 3.62 juta tan nanti
ialah RM289,984,000 atau kira-kira RM290 juta!
Ke
manakah perginya wang sebanyak kira-kira RM290 juta ini jika tidak ke kocek
para pengusaha sendiri setelah membuat bayaran sebagai pendapatan bagi para
pekerja termasuk pemandu-pemandu lori pengangkut bahan mineral tersebut.
Sudah
tentulah cabaran kepada pengusaha-pengusaha ini ialah untuk terlebih dahulu
mendapatkan AP daripada NRE, yang dengannya baharulah boleh melakukan urusan
dengan pembeli dari Negara China untuk menjual dan mengeksportnya.
PERLU DAPATKAN
BORANG 13D SERTA AP
Dan
mereka tidak boleh lagi melakukan kerja-kerja pengangkutan atau pemindahan –
dengan perlu pula mendapatkan Borang 13 D (dokumen pemindahan mineral) daripada
Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri; secara ‘gelojoh’ dan tergesa-gesa.
Bagi
setiap pengeluaran sama ada AP oleh NRE atau sebelum itu, Borang 13D oleh PTG;
Kerajaan mungkin boleh bersetuju dengan permintaan sebuah lagi persatuan yang
lebih lama kewujudannya – Persatuan Pengusaha Bijih Besi Pahang; untuk terlebih
dahulu mendapat pengesahan daripadanya.
Dengan
ini, tahap kebertanggungjawaban persatuan adalah lebih demi memastikan
laku-gelagat ahli-ahli persatuannya termasuk para pengusaha bauksit; sentiasa
dalam ‘radar’ kepatuhan syarat-syarat di bawah Prosedur Operasi Piawaian (SOP)
yang akan Kerajaan perkenalkan.
Di
Pelabuhan Kuantan sendiri, menurut pihak berkuasanya, kapasiti pengendalian di
empat dermaganya hanyalah 1.5 juta tan sebulan atau 4.5 juta tan dalam masa
tiga bulan. Maka, dengan jumlah stok simpanan sebanyak kira-kira 3.62 juta tan,
kesemuanya boleh diselenggara untuk pengeksportan dalam tempoh tiga bulan ini
atau lebih awal lagi.
Masalahnya
di Pelabuhan Kuantan sebelum ini ialah apabila pada satu ketika, stok simpanan
hingga mencecah tiga juta tan – melebihi sekali ganda daripada kapasiti
sebenar.
1.5 JUTA TAN IALAH
KAPASITI DI EMPAT DERMAGA PELABUHAN KUANTAN
Dan
ketika itu, terdapat sehingga 2,000 ‘trip’ lori mengangkut bahan mineral
tersebut ke pelabuhan berkenaan dalam sehari, yang oleh kerana itulah berlaku
pencemaran tersangat teruk sehingga menyebabkan limpahan ke laut berdekatan, menjadikannya
kemerah-merahan.
Dengan
ketegasan nanti - akur kepada kapasiti Pelabuhan Kuantan sebanyak 1.5 juta tan sebulan,
maka, jumlah ‘trip’ lori di atas jalanraya sebelum memasuki kawasan pelabuhan
pun boleh dikurangkan yang mungkin tidak begitu menyesakkan serta membahayakan
nyawa pengguna jalanraya lain.
Lori-lori
ini pula – selain perlu melalui peringkat pembersihan di kawasan ‘washing bay’
yang lebih teratur dan berkesan yang para pengusaha perlu sediakan, muatannya mesti
tidak melebihi had dan ditutup kemas; ia juga perlu dipastikan bergerak pada
kelajuan 60 KM sejam sahaja.
Soalnya
sekarang, mahu atau tidak mereka – para pengusaha serta operator
pengangkutannya, akur kepada syarat-syarat yang ditetapkan yang akan
perkukuhkan lagi apabila SOP menyeluruh mengenainya siap dan dikuatkuasakan
kelak? – Khabar