Thursday, 9 June 2016

Sungai Tembeling kembali ‘normal’

ALIRAN SUNGAI TEMBELING DI KUALA TAHAN... Ini merupakan foto fail yang memaparkan Sungai Tembeling di Kuala Tahan yang semasa cetek melampaunya, kurang kira-kira dua meter daripada kedalaman normal antara lima dan enam meter.   


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Dengan turunnya hujan dalam beberapa hari lepas di bahagian hulu Sungai Tembeling; air sungai itu kini hampir kepada paras biasa yang sebelum ini dikatakan terlalu cetek akibat fenomena kepanasan El-Nino dan kononnya dimudaratkan lagi oleh kerja-kerja pembalakan tidak terkawal di persekitarannya.
 
Paras kedalaman ‘normal’ Sungai Tembeling khususnya di Kuala Tahan, Jerantut ialah antara lima dan enam meter tetapi telah turun ke paras terendah dengan kedalaman antara tiga dan empat meter semasa tempoh kemuncak kepanasan, Mac lepas.
 
Kini, menurut laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang, paras itu mencatat kedalaman yang baik yang jika hujan terus turun sebagaimana biasa, ia akan kembali mencecah paras ‘normal’ antara lima dan enam meter itu dalam jangka masa terdekat.
 
Dan semasa tempoh kemuncak kepanasan itu juga – dengan bacaan diambil pada Mac dan April lepas, JPS Pahang turut melaporkan turunan hujan yang rendah di kawasan Hulu Tembeling pada 68.73 mm sahaja.
 
Turunan hujan ini merupakan yang terendah dalam tempoh dua bulan yang sama dalam jangka masa 10 tahun ini. Malah, ia jauh lebih rendah daripada catatan terendah sebelum ini dengan 187.89 mm dalam tempoh dua bulan yang sama tahun lepas (2015).
 
TURUNAN HUJAN RENDAH PUNCA AIR CETEK SUNGAI TEMBELING

Catatan pada tempoh sama tahun-tahun sebelumnya ialah 263.48 mm pada tahun 2014,  344.96 mm tahun 2013, 459.48 mm tahun 2012, 517.44 mm tahun 2011, 279.72 mm tahun 2010,  489.16 mm tahun 2009, 497.84 mm tahun 2008, dan 298.20 mm tahun 2007.

“Turunan hujan yang sangat rendah ini (68.73 mm) yang menjadi antara penyumbang kepada jumlah air yang kurang seterusnya paras air cetek di Sungai Tembeling,” kata seorang pegawai JPS Pahang.
 
Faktor turunan hujan luar biasa rendah ini sahaja mungkin jawapan kepada laporan-laporan berita sebelum ini yang menyebut tentang kecetekan paras air Sungai Tembeling seterusnya Sungai Pahang, juga disebabkan oleh pembalakan tidak terkawal di kawasan hutan Hulu Tembeling, selain El-Nino.
 
Sehinggakan ada yang mengandaikan Sungai Pahang – sungai sepanjang 496 KM yang bermula di Kuala Tembeling, Jerantut dengan pertemuan Sungai Tembeling (asalnya dari sempadan Pahang/Terengganu) dan Sungai Jelai (asalnya dari Banjaran Titiwangsa, Cameron Highlands) dan berakhir di Kuala Pahang, Pekan dengan mengalir ke Laut China Selatan; kini diambang kemusnahan ekoran gejala pembalakan itu.
 
“Jika kerana pembalakan, dari kawasan mana?” tanya pula seorang pegawai dari Jabatan Perhutanan Negeri.
 
HUTAN PERLINDUNGAN LEBIH 4 X GANDA LUAS PERLIS
 
Terdapat banyak sungai di kawasan Hulu Tembeling, yang turut mengalir masuk ke Sungai Tembeling iaitu; Sungai Lurut, Sungai Bata, Sungai Nenap, Sungai Sepia, Sungai Rek, Sungai Kembir, Sungai Senting, Sungai Sat, Sungai Relup, Sungai Keniyam, Sungai Perkai, Sungai Pengau, Sungai Terengan, Sungai Tahan, Sungai Temur, Sungai Tekai, dan Sungai Atuk.
 
Kecuali Sungai Kembir, Sungai Pengau dan Sungai Relup yang asalnya serta melalui tanah-tanah milik secara berasingan dua agensi Kerajaan Negeri; sungai-sungai yang lain adalah berpunca dan merentangi Hutan Taman Negara dan Hutan Simpan Gunung Ais.
 
Kedua-duanya - Hutan Taman Negara berkeluasan 248,123 hektar atau tiga kali ganda lebih besar daripada negeri Perlis; dan, Hutan Simpan Gunung Aais, bersaiz 92,156.75 hektar atau lebih sekali ganda keluasan negeri yang sama; merupakan Hutan Perlindungan yang langsung tidak boleh dibalak.  
 
Dalam hal ini, mungkin ada kekeliruan di pihak-pihak tertentu yang mengesyaki bahawa aktiviti yang dilakukan oleh agensi Kerajaan Negeri di atas tanah miliknya, telah turut mencerobohi Hutan Simpan Gunung Aais, sedangkan tidak.
 
Kebetulan, tanah milik agensi tersebut yang kini giat dengan usaha-usaha penanaman kelapa sawit, berada bersebelahan dengan Hutan Simpan Gunung Aais lalu disalah-anggap telah mencerobohi kawasan tadahan air yang penting itu.    
 
ENAM KE LAPAN HARI UNTUK KE GUNUNG AAIS
 
Menurut penduduk Kampung Mat Daling di kawasan Hulu Tembeling yang sama, untuk sampai ke kaki Gunung Aaispun, perlu mengambil masa antara enam dan lapan hari – itupun dengan menaiki kenderaan pacuan 4-roda kemudian berjalan kaki.
 
“Tak mungkin dalam tempoh cuma tiga hari, boleh sampai ke sana,” kata pegawai yang sama, merujuk kepada satu ekspedisi anjuran sebuah pertubuhan bukan Kerajaan yang ke kawasan terlibat baru-baru ini.
 
Jika ada yang mahu terus berbantah-bantah tentang kawasan Hulu Tembeling ini, ia seharusnya ditumpukan kepada agensi Kerajaan Negeri berkenaan secara ‘direct’ yang keluasan miliknyapun adalah jauh lebih kecil berbanding Hutan Taman Negara dan Hutan Simpan Gunung Aais yang lebih empat kali ganda saiz Perlis.
 
Dalam pada itu, kembalilah kita kepada kesedaran betapa kawasan hutan di Hulu Tembeling adalah masih terpelihara dengan adanya Hutan Perlindungan – Hutan Taman Negara dan Hutan Simpan Gunung Aais; yang bakal terus menjamin kelestarian Sungai Tembeling, seterusnya Sungai Pahang yang ada. – Khabar