Monday 12 June 2017

Tanda timbang-rasa Kerajaan Negeri; 1 – 2 hektar tanah TOL untuk pekebun kecil Cameron

“Kita akan tentukan mana-mana (pekebun kecil) yang benar-benar tulen kita akan berikan keputusan untuk mereka mengusahakan tanah dalam lingkungan satu (1), dua (2) hektar untuk satu famili, bergantung kepada jumlah tanggungan,” kata Menteri Besar.

KERJA-KERJA PEROBOHAN SEDANG DILAKSANAKAN... 


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Disebalik kemusnahan yang telah mereka ‘sumbang’kan terhadap tanahtinggi Cameron Highlands sebelum ini; mereka – penanam sayur dan buah-buahan haram khususnya, patut insaf dan berterima kasih kerana Kerajaan Negeri masih bertimbang-rasa terhadap mereka.

Kerajaan Negeri kini dalam usaha untuk mengeluarkan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) ke atas tanah-tanah berkenaan, yang telahpun diambil tindakan meroboh dan memusnahkan oleh Majlis Keselamatan Negera (MKN) dalam kedua-dua Ops Gading 1 dan 2 baru-baru ini.

Keluasan keseluruhan kebun-kebun haram yang telah dimusnahkan itu, dianggarkan 7,000 hektar atau kira-kira 10 peratus daripada keluasan Cameron Highlands yang seluas kira-kira 71,218 hektar.

Kerajaan Negeri hanya akan mengeluarkan TOL yang perlu diperbaharui setahun ke setahun, untuk kira-kira 2,000 hektar manakala selebihnya menjadi tanggungjawab Jabatan Perhutanan Negeri untuk ditanam semula dengan pokok-pokok yang sesuai.    

Bagaimanapun, sepertimana ditegaskan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, pengeluaran TOL ini hanya kepada pekebun kecil, yang dijangkakan lebih 1,000 orang – bukan pengusaha besar-besaran yang bukanpun penduduk asal tanahtinggi itu.
SUNGAI BERTAM YANG BERKELODAK... 


MAAF DAN DUKACITA BUAT PENGUSAHA BESAR

Pekebun-pekebun kecil ini pula hendaklah yang telah mengerjakan tanah-tanah berkenaan lebih 10 tahun. Dan setiap mereka akan diberikan TOL bagi tanah seluas antara sehektar dan dua (2) hektar sahaja, untuk ditanami sayur-sayuran dan buah-buahan.

“Kita akan tentukan mana-mana (pekebun kecil) yang benar-benar tulen kita akan berikan keputusan untuk mereka mengusahakan tanah dalam lingkungan satu (1), dua (2) hektar untuk satu famili, bergantung kepada jumlah tanggungan.

“Untuk pengusaha-pengusaha besar, dukacita, kita tak dapat melayan permintaan mereka,” Dato’ Sri DiRaja Adnan dilaporkan sebagai berkata.

“Dan matlamatnya ialah untuk kita membantu pekebun-pekebun kecil yang mencari makan, pada ketika yang sama, kita cuba menguatkuasakan agar jangan ada lagi penerokaan haram di Cameron Highlands,” katanya lagi.

Umum mengetahui betapa punca utama kepada kemusnahan di kawasan tanahtinggi itu ialah akibat sikap tamak para pekebun, sama ada melibatkan pekebun kecil apatah lagi pengusaha besar.

PEKEBUN ‘HALAL’PUN ADA YANG TEROKA HARAM

Ada dalam kalangan pekebun kecil yang ‘halal’pun; oleh kerana tamak, tanah yang dilulus TOL kepada mereka sebelum ini sekadar dua (2) hektar tetapi telah melangkauinya hingga meliputi kira-kira 8.1 hektar termasuk di kawasan yang mempunyai kecuraman yang tajam, hingga mencemarkan.

Oleh kerana sikap tamak jugalah; ada dalam kalangan mereka telah engkar kepada arahan supaya mengeluarkan sedikit perbelanjaan bagi membina kolam perangkap kelodak di kebun masing-masing bagi mengelak aliran turun kelodak ke dalam anak-anak sungai dan sungai-sungai di sebelah hilirnya.

Maka kini, tutuplah ‘bab’ yang lepas, bukalah lembaran baharu. Sebagai Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab, pekebun-pekebun kecil yang sudah mengerjakan tanah di situ ada antaranya hingga 30 tahun, akan dibantu mendapatkan TOL.

Difahamkan, Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands sedang bertungkus-lumus memproses permohonan TOL daripada lebih 1,000 pekebun kecil dan setakat ini, satu ‘batch’ mengandungi beberapa puluh permohonan telah siap untuk dibawa kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri bagi kelulusan.

Kadar bayaran yang dikenakan bagi TOL ini cuma RM200 seekar (0.405 hektar) setahun maka setiap pekebun kecil hanya perlu membayar antara kira-kira RM495 bagi sehektar dan kira-kira RM988 bagi dua hektar, setahun.   

UNTUNG BERSIH RM2,000 SEEKAR SEBULAN

Kadar bayaran ini tentunya tidak membebankan memandangkan pendapatan bersih yang boleh diraih daripada mengusahakan tanah TOL seluas sehektar dan dua hektar sahajapun adalah lumayan.

Menurut mereka yang arif tentang pengeluaran/pemasaran hasil sayur-sayuran dan buah-buahan di kawasan tanahtinggi itu, pendapatan bersih yang boleh dikaut itu ialah kira-kira RM2,000 untuk seekar atau 0.405 hektar.

Maka, untuk tanah seluas sehektar, pekebun kecil akan mampu memperolehi pendapatan bersih kira-kira RM4,900 sebulan atau kira-kira RM59,000 setahun, manakala bagi yang dua (2) hektar ialah kira-kira RM9,800 sebulan atau kira-kira RM118,000 setahun!

Oleh itulah kita mengharapkan agar pekebun-pekebun kecil yang bakal diberikan kelulusan TOL ini tidak beberapa lama lagi, agar sudah-sudahlah.

Janganlah diulangi perbuatan buruk yang lepas-lepas, sebaliknya mengusahakan tanah ini dengan menurut peraturan-peraturan yang ditetapkan demi kesejahteraan diri dan kelestarian Cameron Highlands juga. – Khabar