Sunday, 25 June 2017

Kira-kira 13,500 orang dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan latar, hadiri Rumah Terbuka Menteri Besar sempena Hari Raya Aidil Fitri

“Ianya memberikan petanda bahawa; pertama sekali – negara, negeri kita aman. Yang kedua, kita mampu mengadakan jamuan.

“Dan yang ketiganya, rakyat berbilang kaum, berbilang ugama datang secara tidak langsung menunjukkan perasaan muhibbah antara satu sama lain dan menunjukkan bahawa di Malaysia ini, perpaduan kaum begitu erat,” kata Menteri Besar.

KEBERANGKATAN TIBA KDYMM PEMANGKU RAJA... KDYMM Pemangku Raja diiringi Dato' Sri DiRaja Adnan, memasuki Dewan sambil bersalaman dengan mereka yang hadir. 

Yang turut kelihatan ialah KDYTM Tengku Puan Pahang; begitu juga Pesuruhjaya Kehakiman, Dato' Sharif Abu Samah (paling kiri, berkopiah putih) yang juga bekas Pegawai Khas (Undang-undang) kepada Menteri Besar. 


DEWAN JUBLI PERAK SULTAN HJ AHMAD SHAH, KUANTAN – Kira-kira 13,500 orang dalam kalangan rakyat pelbagai latar – kaum, ugama, usia dan kerjaya; hadir pada Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar sempena Hari Raya Aidil Fitri pada Ahad, 25 Jun @ 1 Syawal 1438 Hijrah di sini.

Inilah – sepertimana biasa, menggembirakan tuanrumah, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob. Dan beliau menyatakan kegembriaarn itu pada persidangan media yang diadakan kemudian;

“… sambutan Hari Raya Aidil Fitri yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri, Pejabat Menteri Besar sejak dahulu sehingga sekarang, telah mendapat sambutan yang baik.

“Kita menganggap apabila kita membuat sesuatu majlis jamuan dan keramaian, yang paling menggembirakan kita ialah apabila kedatangan (orangramai) sangat memuaskan.
Kita risau kalau kita buat kenduri-kendara, majlis; orang(ramai) tak datang.

“Tapi hari ini kita lihat, sebagaimana tahun-tahun yang lepas, lebih kurang 13,500 orang,” katanya merujuk kepada perkiraan secara manual yang diseliakan oleh pegawai dan kakitangan Pejabat Pembangunan Negeri (SDO).  

DI MEJA MAKAN... Selain KDYMM Pemangku Raja Pahang dan isteri, KDYTM Tengku Puan Pahang serta Dato' Sri DiRaja Adnan; yang turut kelihatan di meja utama ini ialah isteri Menteri Besar, Datin Sri DiRaja Junaini Kassim. 


PERPADUAN KAUM BERTAMBAH ERAT

Ianya memberikan petanda bahawa, pertama sekali – negara, negeri kita aman. Yang kedua, kita mampu mengadakan jamuan.

“Dan yang ketiganya rakyat berbilang kaum, berbilang ugama datang secara tidak langsung menunjukkan perasaan muhibbah antara satu sama lain. Dan menunjukkan bahawa di Malaysia ini, perpaduan kaum begitu erat,” katanya lagi.

Beliau turut berkata betapa selain Kerajaan Negeri/Pejabat Menteri Besar; KDYMM Sultan Pahang dan KDYMM Pemangku Raja Pahang turut menganjurkan Istana Terbuka sepertimana tahun yang sudah-sudah.

Kedua-duanya, masing-masing bertempat di Istana Abu Bakar, Bandar DiRaja Pekan dan di Istana AbdulAziz, Bandar Indera Mahkota dekat sini.   

“… dan saya setiap kali, akan menghadirinya, begitu juga ramai sangat yang datang. Pendek kata, ketiga-tiga majlis ini (Istana Terbuka dan Rumah Terbuka) sentiasa dihadiri oleh rakyat.

KESERASIAN PEMIMPIM 'NUMERO UNO' KITA DENGAN ANAK-ANAK KECIL... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang mengagah anak kecil ini sambil usahawan terkenal tempatan, Dato' Sri Peter Cheah (kiri sekali) memerhatikan. 


RAKYAT BERSAMA-SAMA KERAJAAN YANG ADA

“Dan ianya memberi petanda bahawa rakyat adalah bersama-sama dengan Kerajaan dalam mempertahankan keamanan dan mengeratkan perpaduan kaum dan pada ketika yang sama dapat lihat semangat setiakawan itu antara semua pihak dapat dijalinkan.

“Dan yang pentingnya, hari ini kita menjamu selera tanpa mengira kedudukan dan pangkat. Saya yakin dan percaya, tradisi Istana Terbuka ini dan juga tradisi Rumah Terbuka kepimpinan Kerajaan Negeri, insyaAllah akan diteruskan dari masa ke semasa,” katanya.

“Kita lihat pada hari ini, Istana Abu Bakar, Istana AbdulAziz dan Pejabat Menteri Besar mengadakan sambutan pada hari yang sama dan ianya memberikan kemeriahan kepada sambutan Hari Raya Aidil Fitri di Kuantan dan di Pahang amnya,” katanya lagi.

Pada persidangan media sama, beliau turut ditanya tentang hal-hal lain termasuk mengenai isu bauksit khususnya mengenai tempoh moratorium yang masih berkuatkuasa dan mengenai politik.

Mengenai isu bauksit, beliau mengulangi apa yang telah disebutnya sebelum ini betapa, “Apa-apa keputusan mengenai bauksit akan dibuat oleh pihak Menteri Sumber Asli. dan memang Menteri Sumber Asli sentiasa akan bertanya, merundingi Kerajaan Negeri serta melapor juga tindakan yang akan dibuat.

BERFOTO KUMPULAN DENGAN HADIRIN... Dato' Sri DiRaja Adnan turut sudi kepada permintaan hadirin untuk berfoto kumpulan. Yang turut kelihatan ialah Pengarah Pembangunan Negeri (SDO), Dato' Indera Zulkifli Yaakob (kanan sekali). 


BAUKSIT; TERSERAH KEPADA KEPUTUSAN KERAJAAN PUSAT

“Dan setakat hari ini, kita bersetuju supaya moratorium ini disambung sehingga (selepas) Pilihanraya Umum tetapi Kerajaan Negeri menyerahkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk membuat sebarang pertimbangan untuk disesuaikan dengan keadaan,” katanya.

Mengenai politik katanya, wakil rakyat Barisan Nasional (BN) memang bekerja setiap masa demi menjagai kepentingan rakyat yang mereka wakili di kawasan-kawasan pilihanraya masing-masing.

“Tinggal lagi apabila tempoh parlimen atau dewan undangan negeri itu hampir (tamat, lalu perlu diadakan pilihanraya) biasalah, kita kena kerja kuat lagilah. Kalau kita tak kerja kuat, orang pelik pula. Kenapa tak kerja kuat? Dewan nak hambis tempoh, pilihanraya dah dekat.

“Kalau kita kerja kuat pula, ‘ho tengok, wakil rakyat… MB naik basikal, dekat pilihanraya ler tu… MB buat rumah terbuka ini, dekat piliahanraya ler tu… Bukan begitu… pilihanraya-pilihanrayalah,” katanya lagi.

“Proses mengenalpasti calon (untuk hadapi pilihanraya) ini kita buat dari masa ke semasa. Tapi bagi kita di negeri Pahang ini, yang penting ialah prestasi dan juga kelayakan calon-calon itu sendiri.

LAGI KEMESRAAN MENTERI BESAR DENGAN YANG HADIR... 


PILIH CALON YANG RAKYAT SUKA, BUKAN YANG KITA SUKA

“Sebab saya sendiri berfikir cara mudah. Yang penting, menang. Yang penting parti mesti menang. Bagaimana parti mesti menang? Parti mesti disukai oleh orangramai. Bagaimana parti boleh disukai oleh orang ramai? Calonnya. Kalau calonnya disukai oleh orangramai , dipilih calon itu; ‘automatic’ parti itu menanglah,” katanya.

“Jadi sekarang ini, kembali kepada calon. Kita akan pilih calon yang orang suka. Kita tak boleh ketengahkan calon yang kita suka. Kita ketengahkan calon yang pengundi suka. Bukan pengerusi perhubungan suka. Bukan pucuk pimpinan suka, tak….

“Kalau kita pilih calon main siapa yang kita suka tanpa mengambil kita siapa calon pengundi suka, jawabnya beratlah.

“Jadi prinsipnya mudah. Saya akan memilih calon yang rakyat suka. Kalau wakil rakyat yang ada sekarang ini kesemuanya rakyat suka, prestasi memuaskan, ayuh jalan… ‘carry on’ bertanding, tak ada masalah,” katanya lagi. 

BERSAMA MENGAMINKAN DOA... Sebelum itu, KDYMM Pemangku Raja Pahang telah berangkat ke Masjid Negeri, Masjid Sultan Ahmad 1 dekat sini, bagi menunaikan solat sunat Aidil Fitri. – Khabar