Tuesday, 28 November 2017

Cadangan nilai hutan tadahan air 270,000 hektar atau lebih dua kali ganda keluasan Pulau Pinang, di‘offset’ dengan hutang Kerajaan Persekutuan


“I’ll put a strong case, YB Tuan Yang Dipertua, to the Prime Minister; so that the Federal Government can consider our debt (be reclassified) probably as a grant to the state, InsyaAllah,” kata Menteri Besar.

HUTAN KITA YANG TERUS TERPELIHARA... Foto hiasan menggambarkan ketenangan dan terpeliharanya hutan kita di Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut.
 

DEWAN UNDANGAN NEGERI, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob hari ini menzahirkan cadangan untuk meminta agar kawasan hutan tadahan air yang dipelihara dan diwartakan seluas kira-kira 270,000 hektar oleh Kerajaan Negeri, diberikan penilaian.

Yang dengan nilai itu diharap dapat di‘offset’ dengan nilai hutang Kerajaan Negeri terhadap Kerajaan Persekutuan kira-kira RM3,100 juta sehingga kini – termasuklah hutang kerana perbelanjaan bagi penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) serta bantuan untuk mangsa banjir tahun 2014.

“I’ll put a strong case, YB Tuan Yang Dipertua, to the Prime Minister; so that the Federal Government can consider our debt (be reclassified) probably as a grant to the state, InsyaAllah,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

Beliau berkata demikian pada penggulungan perbahasan atas Ucapan Bajet 2018 yang dibentangkannya Selasa lepas, 21 November. Penggulungan kira-kira 35-minit oleh Dato’ Sri DiRaja Adnan ialah pada hari terakhir persidangan bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Ke-13 lewat pagi Selasa, 28 November di sini.

Persidangan ini berlangsung selama enam (6) hari pada 20, 21, 22 dan 23 November, dan disambung semula pada semalam, 27 November dan berakhir pada hari ini. Persidangan kali ini menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan, dijangka terakhir jika Pilihanraya Umum Ke-14 berlangsung pada Mac tahun depan (2018) sepertimana yang dikhabar-anginkan.

TELAH CAKAP DENGAN MENTERI KEWANGAN II

Ketika berada di Melaka menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan, beliau berkesempatan menemui dan bercakap mengenai perkara sama dengan Menteri Kewangan II, Dato’ Sri Johari Abdul Ghani. 

(Beliau berada di Melaka hujung minggu lepas, kerana turut menghadiri Program Tahunan Isteri Wakil-wakil Rakyat Barisan Nasional Malaysia (PTIWRBNM) yang dirasmiklan penutupannya oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak).
 
Antara yang turut diutarakan katanya, ialah mengenai hutan tadahan air Pahang yang perlu dipelihara dan ‘tidak boleh disentuh’ yang patut dinilaikan, kemudian di‘offset’ dengan hutang Kerajaan Persekutuan itu. 
 
“Kerana, dengan adanya hutan tadahan air di negeri Pahang ini, ianya memberikan perlindungan bekalan air juga kepada negeri-negeri (bersempadan dengannya) seperti Kelantan, Terengganu, Perak, Negeri Sembilan, Johor; 
 
“Dan kesemuanya ini sikit-sebanyak, adalah disebabkan kita menyimpan (pelihara) hutan kita sebagai hutan tadahan air,” katanya lagi dan menambah kata betapa; 
 
SATU PERKARA TIDAK PATUT

“Saya akan mencadangkan kepada YAB Perdana Menteri supaya hutan ini dinilai dan mungkin dibuat nilai tahunan dan demikian kita boleh ‘offset’ dengan hutang Kerajaan Negeri yang ada dengan Kerajaan Persekutuan”. 

Dalam proses menyiapkan ucapan Bajet 2018 sebelum ini katanya, beliau turut menyemak dan meneliti tentang hutang Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan yang menurutnya lagi;

“… saya berasa tidak wajarlah kalau penganjuran SUKMA dan bantuan banjir 2014 yang dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri dianggap hutang kepada Kerajaan Persekutuan. Saya berasa ini satu perkara yang tidak patut”.

“Yang pentingnya,’ katanya lagi, “… siapapun jadi Kerajaan, mesti tumpu kepada rakyat sebab, kita Kerajaan yang dipilih oleh rakyat. Buat masa ini, rakyat masih berikan keyakinan kepada Barisan Nasional untuk mentadbir negeri ini maka kita uruskanlah sebaik-baiknya”.

Pada awal ucapan penggulungannya, beliau turut membangkitkan soal bajet lebihan – bagi Bajet 2018 ialah lebihan kira-kira RM600,000; dan juga mengenai bajet defisit pada tahun-tahun sebelumnya, yang sering dikritik ahli-ahli pembangkang.

AYAT-AYAT AL-QURAN

Beliaupun mengutip pandangan ahli ekonomi tersohor Inggeris – John Maynard Keynes (1883 – 1946) yang menurutnya, adalah seorang ‘advocate’ atau penyokong bajet deficit yang menyatakan tentang kebaikan bajet defisit tetapi dengan syarat-syaratnya.

Pada penggulungan ini, Dato’ Sri DiRaja Adnan turut mengungkap ayat-ayat al-Quran iaitu Surah Az-Zumar, Ayat 71 dan Surah An-Nisa, Ayat 78. Selain membacakan sepenuhnya dengan fasih, Surah An-Nisa, Ayat 78 itu, beliau turut menterjemahkannya;

“Di mana juga kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh. Jika mereka beroleh kebaikan (kemewahan hidup), mereka berkata, ‘Ini adalah dari sisi Allah’, dan jika mereka ditimpa bencana, mereka berkata, ‘(Sial) ini adalah dari sisi engkau (wahai Muhamad)’.

“Katakanlah (wahai Muhamad), ‘Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari sisi Allah’. Maka mengapa kaum itu hamper-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran) sedikitpun?”. – Khabar