“Dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) dan Perjanjian Sempadan antara negeri Pahang dan Selangor pada hari ini, maka jarak jajaran sempadan Pahang-Selangor adalah sepanjang 99.5 KM,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan
Yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Besar Pahang, Encik Kamarul Iskandar Nordin (kiri sekali) dan 'bodyguard', Encik Yaakob (tengah di belakang).
GRAND BALLROOM,
HOTEL CONCORDE, SHAH ALAM – Kedua-dua Menteri Besar Pahang dan Selangor hadir
pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Perjanjian
Sempadan antara kedua-dua negeri petang Jumaat, 9 Mac di sini.
Dato’
Sri DiRaja Adnan mengetuai delegasi Pahang manakala rakan sejawatnya, Dato’ Sri
Mohamed Azmin Ali mengetuai delegasi Selangor – masing-masing terdiri daripada
Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri serta Ketua Jabatan Kerajaan Negeri dan
Persekutuan.
Yang
turut hadir ialah kedua-dua Setiausaha Kerajaan Negeri – Dato’ Sri Muhammad
Safian Ismail dari Pahang, dan Dato’ Mohd Amin Ahya dari Selangor; selain
daripada Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato’ Sri
Azizan Ahmad dan Ketua Pengarah, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Dato’ Sr
Mohd Nor Isa.
Sebelum
itu, ketibaan Dato’ Sri DiRaja Adnan disambut oleh Dato’ Sri Mohamed Azmin di
lobi hotel sebelum ke Tingkat 1 bagi mengadakan perbincangan tertutup bagi
memuktamadkan perjanjian di sebuah bilik berdepanan Dewan ini.
Ini
disusuli sesi fotografi berkumpulan sebelum Dato’ Sri DiRaja Adnan yang
diiringi Dato’ Sri Mohamed Azmin, memasuki Dewan untuk menyempurnakan majlis
petang Jumaat ini.
MoU TAHUN 1994
Dalam
ucapan luar teks 14 1/2-minitnya, Dato’ Sri DiRaja Adnan antara lain menyebut
tentang asas penentuan sempadan antara kedua-dua negeri tersebut yang
menurutnya, bersandarkan kepada;
Pertukaran surat-menyurat antara Setiausaha Residen Pahang dan Setiausaha Residen Selangor antara tahun 1927 dan
1929, dan Warta Persekutuan No 112 dan No 3199 pada 14 Januari 1911 dengan
kedudukan legeh utama sebagai panduan.
“Dengan termeterainya
Memorandum Persefahaman (MoU) dan Perjanjian Sempadan
antara negeri Pahang dan Selangor pada hari ini, maka jarak jajaran sempadan Pahang-Selangor
adalah sepanjang 99.5 km,” katanya.
Pada 11 Julai 1994 kata Dato’ Sri
DiRaja Adnan lagi, dua (2) MoU telah ditandantangani oleh Menteri Besar bagi kedua-dua
negeri tersebut ketika itu, yang telah diadakan di Awana Golf & Country Resorts,
Genting Highlands.
MoU berkenaan menurutnya, melibatkan
tiga (3) kawasan iaitu; Kawasan A – dari titik sempadan tiga (3) negeri Selangor-Pahang-Negeri
Sembilan, ke Genting Sempah, dengan jarak 22.6 KM.
PENGHARGAAN BUAT JAWATANKUASA-JAWATANKUASA BERKENAAN
Kawasan B – dari Bukit Fraser ke
titik sempadan tiga (3) negeri Selangor-Pahang-Perak, dengan jarak 16.5 KM,
dan, Kawasan C – dari Bukit Fraser ke Genting Sempah, dengan jarak 60.4 KM.
Beliau seterusnya menyatakan penghargaan
Kerajaan Negeri kepada jawatankuasa-jawatankuasa yang terlibat dengan projek
penandaan dan pengukuran sempadan bersama antara negeri-negeri yang meliputi
tiga (3) iaitu;
Jawatankuasa Teknikal Penandaan dan Pengukuran
Sempadan Bersama Negeri-negeri (JBT) yang dipengerusikan oleh Pengarah Tanah Galian
Negeri; Jawatankuasa Penandaan dan Pengukuran Sempadan Bersama Negeri-negeri (JPPSBN)
yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri;
Dan, Jawatankuasa Kebangsaan Penandaan
dan Pengukuran Sempadan Bersama Negeri-negeri (JKPPSBN) yang dipengerusikan
oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.
“Usaha-usaha kepada penandaan dan pengukuran sempadan
negeri-negeri ini telah bermula sejak tahun 1993 lagi. Dan syukur, Alhamdulillah,
dengan bantuan Kerajaan Persekutuan yang menanggung sebahagian kos proses
penandaan sempadan ini telah membantu ke arah penandaan sempadan negeri-negeri
di Semenanjung Malaysia,” katanya.
BISIKAN KE TELINGA
Pada awal ucapannya, sebagai reaksi
kepada ucapan Dato’ Sr Mohd Nor sebelum itu, Dato’ Sri DiRaja Adnan telah menyebut
tentang ‘bisikan’nya ke telinga Dato’ Sri Mohamed Azmin semasa mendengar ucapan
Ketua Pengarah JUPEM itu agar kedua-duanya menghulurkan sumbangan kepada mereka
yang berkenaan.
Mereka ini dalam kalangan kakitangan
JUPEM yang menjalankan kerja-kerja pengukuran dan penandaan sempadan tersebut– seorang
dipanah petir tetapi terselamat manakala sekumpulan lain terperangkap di atas
kawasan tanahtinggi akibat cuaca buruk.
“Saya telah bisikkan kepada saudara saya, Dato’ Sri Mohamed
Azmin, bahawa Kerajaan Negeri Selangor akan beri jamuan sekali kepada pegawai JUPEM,” katanya yang menerima tepukan hadirin. “Dan, di Pahang kita juga akan buat jamuan”.
“Untuk yang dipanah petir, tapi Alhamdulillah selamat,” katanya lagi, “Saya
bercadang untuk beri sedikit ganjaran,” yang sekali lagi menerima tepukan, “… tunai dan saudara saya Dato’ Sri Azmin juga
akan beri ganjaran”.
“Bukan susah sangat… Kalau saya nak bagi RM10,000, kita
pakat bagi lima(5)-lima (5),”
yang tercetus ketawa hadirin. “Kalau nak
bagi RM20,000, kita pakat bagi 10-10. Kalau nak bagi RM500, RM250 seorang,”
katanya berseloroh yang sekali lagi menyebabkan hadirin tertawa.
BISIKAN IALAH ARAHAN
Dato’ Sri Mohamed Azmin pula dalam
ucapan 16-minitnya, telah antara lain turut menyentuh tentang cadangan sumbangan
ganjaran dan jamuan sepertimana yang Dato’ Sri DiRaja Adnan sebutkan.
“Atas arahan YAB,”
katanya yang menyebabkan hadirin ketawa, “Menteri
Besar Pahang, yang membisik tetapi sebenarnya dia cara British,” katanya
dan hadirin ketawa lagi;
“Sudah tentulah negeri Selangor, sebuah negeri yang Peduli
Rakyat,” yang menerima sorakan dan tepukan, “dengan ini saya nak umumkan negeri
Selangor adalah Peduli JUPEM,” disusuli tepukan.
“Saya tidak teragak-agak untuk bersama dengan YAB Dato’ Sri DiRaja
untuk menyumbangkan ganjaran di atas khidmat cemerlang pegawai yang berkenaan,” katanya dan menerima tepukan lagi.
Dan atas ‘arahan’ Menteri Besar
Pahang jugalah menurutnya, Kerajaan Negeri Selangor akan turut mengadakan
Majlis Makan Malam sebagai mengenang jasa dan perkhidmatan pegawai dan
kakitangan JUPEM.
PERWATAKAN MASIH SAMA – BERSAHAJA, SANTAI
Sebelum itu, Dato’ Sri Mohamed Azmin
turut menyebut tentang persahabatannya dengan Dato’ Sri DiRaja Adnan serta betapa
perwatakan baik yang terus ditunjukkan oleh beliau selama tempoh itu hingga
kini.
“Persahabatan kami telah melangkau satu tempoh yang begitu
panjang, saya ingat sudah hampir 40 tahun. Tapi saya lihat, perwatakan beliau
masih sama, bersahaja, santai,”
kata Dato’ Sri Mohamed Azmin yang secara spontan menerima tepukan hadirin.
“Tetapi memberikan mesej yang cukup bermakna kepada kita
semua pada petang ini supaya majlis yang penuh sejarah ini akan menjadi
lembaran baru kepada dua (2) buah negeri – Pahang dan Selangor, untuk menjalin satu
kerjasama yang lebih produktif di masa yang akan datang, InsyaAllah,” katanya lagi. – Khabar