Saturday 24 March 2018

BN yang terbaik untuk rakyat!

“… mulai daripada Perikatan sampai Barisan Nasional, sejak Merdeka sampai sekarang, kita boleh menguruskan negara ini dengan baik; maknanya, inilah parti terbaik untuk rakyat,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

PETANG SABTU YANG PENUH BERSEMANGAT... Selain Dato' Sri Mohd Najib dan Dato' Sri DiRaja Adnan; yang turut kelihatan ialah Dato' Sri Liow, Dato' Sri Wan Adnan, dan Dato' Sri Abdul Hamid atau lebih popular dengan panggilan, 'Hamid Mandela' (kiri sekali).  


PADANG SRI KEMUNTING, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menggalurkan kejayaan Parti Perikatan disusuli Barisan Nasional (BN) mentadbir negara selama ini ialah bukti betapa BN ialah terbaik, yang sentiasa menjadi pilihan rakyat.

Kejayaan ini disebalik kemajmukan rakyatnya – Melayu, India, Cina, Punjabi dan Orang Asli di Semenanjung Malaysia, serta pelbagai suku kaum seperti Iban, Dayak, Kadazan dan Murut di Sabah dan Sarawak.  

Sambil itu beliau yang juga Pengerusi BN Negeri menegaskan betapa kejayaan BN berpaksikan kepada dua (2) faktor utama iaitu kestabilan sosio-politik serta keyakinan ahli-ahlinya terhadap perjuangan gabungan 13 parti komponen berkenaan, yang harus terus dipelihara.

Ini dinyatakan dalam ucapan luar teks 15-minitnya pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya BN Parlimen Kuantan yang disempurnakan oleh Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN dan Presiden UMNO, Dato' Sri Mohd Najib Abdul Razak petang Sabtu, 24 Mac di sini.

“… mulai daripada Perikatan sampai Barisan Nasional, sejak Merdeka sampai sekarang, kita boleh menguruskan negara ini dengan baik; maknanya, inilah parti terbaik untuk rakyat,” katanya yang disambut tepukan oleh kira-kira 6,000 orang yang hadir.  

KESEPAKATAN, KESEPADUAN DALAM KALANGAN PEMIMPIN KITA... Antara yang turut kelihatan ialah (dari kiri) Dato' Sri Shafik Fauzan; Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Dato' Indera Mustaffar Kamal Ab Hamid; 

Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri - Dato' Sri Shahaniza Shamsuddin dan Dato' Sri Norol Azali Sulaiman; dan, Timbalan Menteri Sumber Manusia yang juga Ketua UMNO Bahagian Maran, Dato' Sri Ismail Mutalib. 
   

KENA FAHAMI SEMANGAT BN

“Untuk itu, kita kena memahami semangat Barisan Nasional, 13 adik-beradik dalam Barisan Nasional ini. Ayahnya seorang,” katanya lagi beranalogi, dipercayai merujuk kepada 13 parti komponen BN di bawah Pengerusi, Dato’ Sri Mohd Najib.

Mengenai faktor kestabilan katanya, ia penting kerana tanpanya – baik dalam sebuah organisasi seperti BN ataupun negara; ia tidak memungkinkan kejayaan negara sepertimana yang diperolehi sekarang.    
  
“Kestabilan ini mustahak. Dalam keluarga ke, dalam organisasi ke, apatah lagi dalam negara; kestabilan, keamanan ini penting. Kalau keluarga bercelaru macam mana kita hendak menghadapi kehidupan?

“Kalau organisasi kita bercelaru, macam mana kita hendak menghadapi organisasi-organisasi yang lain? Kalau kita di negeri Pahang ini pentadbiran bercelaru, bagaimana harapan rakyat kepada kita?

“Begitu juga di Malaysia ini tuan-tuan dan puan-puan sekelian. Kestabilan kita terletak kepada perpaduan, muhibbah antara kaum. Itu kita kena ingat. Bukan senang kita mentadbir Malaysia ini,” katanya lagi dengan merujuk kepada rakyat berbilang kaum yang ada.

PELEPASAN JELAJAH BERMOTOSIKAL... Selain Dato' Sri Mohd Najib, Dato' Sri DiRaja Adnan, serta Dato' Sri Wan Adnan dan Dato' Sri Abdul Hamid; yang turut kelihatan ialah Encik Nara @ Nikman (kiri sekali, di atas pentas). 


MAJORITI TAK BOLEH KETEPIKAN KEPENTINGAN MINORITI

Mengenai faktor keyakinan katanya, ia menjadi pendorong kepada seseorang untuk menjadi ahli UMNO seterusnya BN, dan betapa pula yakin bahawa parti inilah yang boleh menjaga kepentingan bangsa, agama dan negara.

“Kita dah yakin dengan perjuangan – masuk UMNO, masuk Barisan, sebab kita yakin inilah parti yang boleh menjaga kepentingan anak-cucu, bangsa dan negara.

“Kita berbagai-bagai kaum, kita tak mampu untuk bergaduh, tak boleh. Itu sebab kita kena kekalkan semangat muhibbah antara kaum dan salah satu caranya untuk menunjukkan ialah bahawa kita boleh berkongsi kuasa…

“UMNO jadilah pemerintah, jadilah ketua… Sebab, komposisi kaum di Malaysia ini memang majoriti Orang Melayu. Orang Cina, Orang India - dia minoriti tapi kita jangan pula oleh sebab kita majoriti, kita mengenepikan pula kepentingan minoriti. Tak boleh… takkan selamat,” tegasnya.

Sebelum itu, beliau turut menyentuh tentang isu tuntutan UMNO Bahagian Kuantan yang mahukan calon dalam kalangan UMNO diletakkan bertanding bagi kawasan Parlimen Kuantan – bukan calon daripada MCA seperti yang diura-urakan; pada Pilihanraya Umum (PRU) kali ini.

SAMA-SAMA KITA KIBARKAN BENDERA BN... Antara yang turut kelihatan ialah Dato' Sri Ishak; serta, Setiausaha UMNO Bahagian Kuantan, Dato' Wan Salihin Wan Hassan (kanan sekali).  


PERSPEKTIF BERBEZA PADA KEDUDUKAN BERBEZA

Menurutnya, mungkin ada yang terlupa tentang persefahaman antara kedua-dua UMNO dan MCA tatkala persempadanan semula dilaksanakan melibatkan Parlimen Kuantan hingga membahagikan kawasan itu kepada dua – Parlimen Kuantan dan Parlimen Indera Mahkota.

“Rupa-rupanya perjanjian pada masa itu; kalau pecah dua – UMNO (dapat) satu, MCA (dapat) satu. (Parlimen) Indera Mahkota bagi kepada UMNO, itu sebab Kuantan kita beri kepada MCA, Fu Ah Kiow.

“Kalau ikut sejarah memang – di zaman Dato’ Ali Sharif, Arwah; Dato’ Rahman Talib, Arwah; (Dato’) Rahim Bakar, (Tan Sri) Adam Kadir, Dato’ Fauzi, Tun Khalil; memang UMNO. Tapi apabila pecah kawasan tu, itu persefahamannya,” katanya.

“Minta maaflah pucuk pimpinan UMNO Bahagian. Saya cakap ini tak popular. ‘Apa ini UMNO, apa ini MB; dia Pengerusi UMNO, Pengerusi Barisan Nasional (Negeri) boleh pula tak menyokong’. Bukan tak menyokong…

“Tuan-tuan dan puan-puan tengok daripada bawah. Kalau naik helikopter nampak tinggi sikit, kalau naik kapalterbang lagi nampak tinggi. Nampak perspektif tu lain,” tegasnya sambil beranalogi lagi.

PARA PEMUDA PESERTA JELAJAH BERMOTOSIKAL KITA... 


TAK MUNGKIN MENANG, MENANG BESAR JIKA…

Beliau seterusnya mengulangi kenyataannya sebelum ini betapa jika berdasarkan majoriti kaum, tidak mungkin BN meletakkan calonnya dalam kalangan MIC kerana tidak ada satupun kawasan – baik Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN); yang kaum India ialah majoriti di kawasan-kawasan itu.

Oleh sebab itulah katanya, kawasan-kawasan yang majoriti kaum/pengundi Melayu yang sepatutnya ditandingi oleh calon UMNO, telah diberikan kepada calon-calon MIC sepertimana di kawasan Parlimen Cameron Highlands dan DUN Sabai.

Yang dengan itu juga menurutnya, masyarakat India melihat UMNO – sebagai tulang belakang BN; adalah sebuah parti yang bertolak ansur, bertimbang-rasa serta adil dan saksama lalu mereka mengundi pula calon UMNO yang bertanding di kawasan-kawasan lain.

“Kalau tidak, saya tak mungkin menang besar di Pelangai, Dato’ Sri Sharkar tak mungkin menang di Lanchang, Dato’ Sri Soffi tak mungkin menang di Benta; kalau tak ada Orang India menyokong.

“Orang India sokong fasal apa? Sebab Barisan Nasional patut, adil, saksama walaupun dia tak ada kerusi yang majoriti dia, dibagi juga kerusi Parlimen kepada MIC, dibagi juga sesetengah kerusi DUN kepada MIC. Yang ini kita kena faham,” tegasnya.

KEAKRABAN SESAMA ULUL-AMRI KITA YANG TERJALIN MESRA SEJAK SEKIAN LAMA... Tentu ada sesuatu mustahak yang dibisikkan oleh Dato' Sri DiRaja Adnan hingga mendapat perhatian penuh minat Dato' Sri Mohd Najib. 


PEMIMPIN PANDAI, BIJAKSANA

Pada penghujung ucapannya, Dato’ Sri DiRaja Adnan menegaskan betapa; “Jadi pemerintah ini bukan sahaja (mesti) cerdik, tetapi bijaksana.

“Siapa pemimpin yang pandai, bijaksana? Ha ini depan kita, Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Hj Abdul Razak,” katanya yang secara spontan mendapat tepukan dalam kalangan hadirin.

Selain Dato’ Sri Mohd Najib sendiri, antara yang turut hadir pada majlis penuh semangat petang Sabtu ini ialah Speaker, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Sri Ishak Mohamed; Menteri Pengangkutan yang juga Presiden MCA, Dato Sri Liow Tiong Lai; Timbalan Pengerusi BN Negeri, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin;

Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri serta beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri; kepemimpinan UMNO Bahagian Kuantan diketuai Dato’ Sri Wan Adnan Wan Mamat; Timbalannya, Dato’ Sri Abdul Hamid Nazahar;

Naib Ketuanya, Dato’ Sri Shafik Fauzan Sharif; serta, Ketua-ketua UMNO sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian, masing-masing Dato’ Zaiton Mat, Encik Nara @ Nikman Nordin, dan Datin Roslina Ibrahim. 


KEMESRAAN YANG TERSERLAH... Bak kata 'idiom' Inggeris, 'a picture is worth a thousand words' atau bermaksud, satu gambar memberi nilai ribuan kata. Dan ini tentu menandakan kemesraan yang terus terjalin antara kedua-dua pemimpin utama negara dan negeri kita. – Khabar