Saturday 13 October 2018

Lahirkan lebih ramai atlet Pahang yang cemerlang seperti pesilat, Al-Jufferi


“Jadi, kita harap SUKMA XX yang akan berlangsung di Johor, (prestasi atlet kita) akan dapat dipertingkatkan, akan jadi lebih cemerlang.

“Kita nak kalau boleh, ramai lagi atlet dari negeri Pahang seperti Al Jufferi Jamari – pesilat negara. Mungkin lebih ramai lagi dapat diketengahkan di peringkat Negara,” kata Menteri Besar.

MARI BERSENAMROBIK... Selain Dato' Sri Wan Rosdy, yang turut kelihatan dalam foto ini sedang melakukan senamrobik pagi Sabtu dalam cuaca hujan renyai-renyai ini ialah Dato' Sri Muhammad Safian (di belakang Dato' Sri Wan Rosdy); Timbalan Yang Dipertua Dewan Negeri, Dato' Sri Mohamad Jaafar (dua dari kanan) dan, Dato' Sri Mohd Johari (kanan sekali, separuh terlindung).  


KOMPLEKS BELIA DAN SUKAN NEGERI PAHANG, JALAN TUN ISMAIL, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menyatakan harapan agar Pahang dapat melahirkan lebih ramai atlet cemerlang sebagaimana pesilat bertaraf antarabangsa kelahiran Bukit Setongkol di sini – Mohd Al-Jufferi Jamari.

Ini serta dengan bantuan dan sokongan Kerajaan Negeri menurutnya, ialah sebagai persediaan kontinjen negeri bagi menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) XX Johor 2020 di Johor Bharu kelak.

“Jadi, kita harap SUKMA XX yang akan berlangsung di Johor, (prestasi atlet kita) akan dapat dipertingkatkan, akan jadi lebih cemerlang.

“Kita nak kalau boleh, ramai lagi atlet dari negeri Pahang seperti Al Jufferi – pesilat negara. Mungkin lebih ramai lagi dapat diketengahkan di peringkat negara,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan wartawan pada persidangan media sempena Majlis Perasmian Hari Sukan Negara 2018 Peringkat Negeri yang disempurnakannya pagi Sabtu, 13 Oktober di sini.


'BIGWALK' SEKELILING LUAR KAWASAN KOMPLEKS BELIA DAN SUKAN... 


INSENTIF RM3,000 BAGI SETIAP 33 ATLET PINGAT EMAS SUKMA  

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Pengerusi, Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Mohd Johari Hussain serta jabatan dan agensi terlibat, atas kejayaan kontinjen negeri pada SUKMA XIX Perak 2018 yang lepas.

Pada SUKMA itu katanya, atlet-atlet mewakili kontinjen negeri telah berjaya menduduki tempat keenam daripada 15 kontinjen negeri dan Negara Brunei, dengan pungutan 33 pingat emas, yang melebih sasaran asal.

Sehubungan dengan itu katanya, Kerajaan Negeri menerusi Majlis Sukan Pahang (MSP), telahpun menyalurkan sumbangan berupa insentif RM3,000, kepada setiap seorang yang memperolehi pingat emas tersebut.    

Mengenai Hari Sukan Negara katanya, ia bermula sejak tahun 2015 dan diadakan  serentak di seluruh negara pada Sabtu kedua dalam bulan Oktober setiap tahun.

“Jadi hari ini, negeri Pahang turut serta dan saya ucapkan syabas, tahniah kepada Exco Belia dan juga Jabatan Belia dan Sukan Negeri, kerana telah dapat menganjurkan program ini.

JERSI KUNING # 2 BUAT 'TOK WAN'... 


SAMBUTAN MERIAH WALAUPUN HUJAN

“Sambutanpun begitu ramai walaupun dalam keadaan cuaca hujan renya-renyai,” katanya.

Beliau juga berkata betapa kadar rakyat Negara ini yang aktif bersukan berada pada tahap yang rendah, cuma 40 peratus, berbanding lebih 50 peratus bagi rakyat di Negara-negara maju.

“Dengan adanya Hari Sukan Negara ini, ianya boleh menjadi ‘momentum’ untuk kita mengadakan lagi secara peringkat kecil-kecilan, yang akan memberi kesedaran secara langsung atau tidak langsung kepada rakyat negeri (untuk aktif bersukan),” katanya lagi.

Sementelah pula menurutnya, bersukan boleh menghindari seseorang daripada mengalami masalah kesihatan – darah tinggi dan tahap kolestrerol tinggi; termasuk gejala kegemukan atau obesiti.

“Saya harap dengan adanya Hari Sukan Negara ini akan beri kesedaran kepada rakyat negeri Pahang dan dalam masa yang sama, diharap (bersukan) akan menjadi budaya ataupun amalan kehidupan seharian,” katanya lagi.

Antara yang turut hadir ialah Yang Dipertua Dewan Negeri, Dato’ Sri Ishak Mohamed; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail; Dato’ Sri Mohd Johari sendiri; Pengarah, Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Encik Shamsuhaimie Basir, dan, Pengarah MSP, Encik Mohamed Rashdan Mohamed Razali. 


BER'WE-FIE'... Peserta - tua dan muda, tidak melepaskan peluang untuk ber'we-fie' dengan pemimpin nombor 1 negeri. – Khabar