Tuesday, 25 September 2018

Perjuangan harus terus berorientasikan rakyat, untuk kekal relevan.

 “Sesungguhnya saya percaya, nasi belum lagi menjadi bubur. Harapan masih ada untuk kita kekal bersatu membawa kembali kegemilangan parti yang selalunya sebelum ini, kita laungkan sebagai parti yang keramat ini,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy.

SANTAI BERSAHAJA, MAIN 'DAM AJI'... Kebetulan melihat beberapa penduduk di Tanjung Lumpur, Kuantan ini bermain 'dam aji', Dato' Sri Wan Rosdy turut melapangkan masa bermain dengan mereka. Nyata, kebersamaan ini telah menambah-mesrakan lagi pemimpin dan rakyat-jelata.

NOTA EDITOR ; 

Sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada hujuing minggu ini, Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Pengerusi bagi kedua-dua Barisan Nasional (BN) Negeri dan Badan Perhubungan UMNO Negeri telah diminta oleh Utusan Malaysia untuk menjawab lima (5) soalan yang dikemukakannya. 

Berikut disiarkan secara ‘verbatim’ soal-jawab itu yang soalannya disediakan oleh Ketua Biro Utusan Malaysia cawangan Pahang di Kuantan, Sdr Mohd Shariza Abdullah yang berkomunikasi dengan Dato’ Sri Wan Rosdy tengah hari Selasa, 25 September. 

Soal-jawab ini dijangka disiarkan dalam akhbar milik UMNO Malaysia ini, sebelum PAU pada 29 dan 30 September. Singkatan DSWR merujuk kepada Dato’ Sri Wan Rosdy manakala MSA ialah Sdr Mohd Shariza Abdullah.


MSA : Bagaimana ahli UMNO dan perwakilan perlu melihat kepentingan perhimpunan kali ini?

DSWR : Sewajarnya, pada perhimpunan inilah - kali pertama kita tidak lagi sebagai parti pemerintah; kita sama2 muhasabah diri dengan terutamanya menerima hakikat yang kita sudah kehilangan kuasa, kemudian mencari kaedah-kaedah betul supaya kita kembali diterima rakyat. 

Dalam usaha ini, jauhkan sama sekali untuk tuding-menuding jari, menyalah-nyalahkan pihak-pihak tertentu yang hanya akan mengundang lagi perpecahan antara kita. 

MSA : Apakah fokus yang perlu diberikan? 

DSWR : Fokus dan tumpuan seharusnya kepada persoalan tentang apa cara untuk mengukuhkan lagi parti serta meyakinkan ahli parti semua peringkat bahawa UMNO masih lagi relevan dan mempunyai hala tujunya yang tertentu untuk terus kekal relevan dan diterima rakyat. 

DI CAFE SANTAI LAN MAJU... Ekoran mesej ini yang dimuat-naik ke laman sosial beliaulah maka Dato' Sri Wan Rosdy telah sudi berkunjung ke gerai makan milik Sdr Mohd Azlan di Tanjung Lumpur, Kuantan ini untuk bertanya-khabar. 


KUPAS HALA TUJU PARTI SEMASA PERBAHASAN

Sudah tentulah beberapa kenyataan negatif dan tindakan pemimpin yang keluar parti sejak akhir-akhir ini telah sedikit sebanyak merencatkan usaha tetapi tetapi kita tidak boleh berputus-asa.

MSA : Ramai yang bercakap soal hala tuju UMNO. Apakah yang perlu dilakukan kepemimpinan agar kesempatan perhimpunan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya ke arah itu? 

DSWR : Saya percaya, soal hala tuju ini akan disebut secara jelas oleh Presiden parti, Dato’ Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam Ucapan Dasar pada Perhimpunan Agung malam Sabtu nanti.

Selanjutnya, sama-samalah kita para perwakilan, mengupasnya pada sesi perbahasan serta jadikannya sebagai pedoman untuk turut difahami oleh akar-umbi dalam kalangan ahli-ahli kita. 

MSA : Bagi Badan Perhubungan UMNO Pahang sendiri, ke arah mana atau apakah mesej yang akan dibawa?

KITA PERLU TERUS BERSAMA-SAMA RAKYAT KETIKA SENANG, APATAH LAGI SUSAH

DSWR : Pahang sebagai satu sahaja daripada dua negeri yang masih di bawah BN, bukanlah kita mahu mendabik dada, terlalu berbangga dengan hakikat itu.

Tetapi sekurang-kurangnya, tentunya ada sesuatu yang betul yang telah dilakukan oleh BN dan UMNO Pahang yang menyumbang kepada kejayaan ini. 

Maka, apa yang hendak Pahang tekankan ialah agar apa juga yang diperjuangkan oleh BN dan UMNO Negeri menerusi penguasaannya ke atas Kerajaan Negeri, hendaklah yang sentiasa berorientasikan rakyat. 

Dan pemimpinnya pula hendaklah betul-betul kelihatan bersama-sama rakyat sama ada semasa senang, apatah lagi ketika susah. 

Dengan adanya semangat kebersamaan inilah saya yakin BN dan UMNO akan terus diterima rakyat untuk menerajui negeri ini, InsyaAllah.

JANGAN LAGI BERADA DALAM ‘DENIAL SYNDROME’ 

MSA : Apakah harapan Dato’ Sri?

DSWR : Bersempena dengan PAU ini, saya berharap kita lupakan sahaja peristiwa pahit yang lalu - tetapi tidaklah berada dalam ‘denial syndrome’ lagi. 

Marilah kita bertekad untuk sama-sama mengembalikan kekuatan BN dan UMNO yang tercinta, yang terkesan teruk akibat tindakan pihak-pihak tertentu sebelum ini. 

Sesungguhnya saya percaya, nasi belum lagi menjadi bubur. Harapan masih ada untuk kita kekal bersatu membawa kembali kegemilangan parti yang selalunya sebelum ini, kita laungkan sebagai parti yang keramat ini. - Khabar