“Saya pula
sering mengingatkan rakan-rakan dalam Kerajaan Negeri mahupun rakan-rakan
politik betapa, jikapun kita perlukan publisiti, biarlah ianya yang membawa
kebaikan kepada diri bukannya setakat, ‘menang sorak’, tetapi ‘kampung
tergadai’.
“Ternyata
sekali, YB Ramli dalam tempoh 14-hari kempen PRK ini, tidaklah sangat ‘menang
sorak’ tetapi akhirnya, beliau keluar sebagai pemenang mengatasi calon lawannya
terutamanya daripada DAP itu,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy.
Ekoran
kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Encik Ramli Mohd Nor pada Pilihanraya
Kecil (PRK) P078 Cameron Highlands 26 Januari lepas, Pengarang Rencana, akhbar
Utusan Malaysia, Sdr Zulkifli Jalil telah mewawancara Menteri Besar, Dato’ Sri
Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Pengarah Pilihanraya untuk BN bagi PRK tersebut.
Berikut
disiarkan sepenuhnya hasil wawancara berkenaan. Wawancara yang sama yang
dijangka disiarkan dalam Utusan Malaysia
esok, Khamis 7 Februari hanyalah sebahagian tertentu daripadanya ekoran masalah
kekangan ruang (space constraint).
Singkatan
DSWR merujuk kepada Dato’ Sri Wan Rosdy manakala ZJ ialah Sdr Zulkifli Jalil.
ZJ (01) : Selaku
Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands tempoh hari, apa yang
dapat dikongsi oleh Dato’ Sri hasil kerjasama UMNO-Pas dalam memastikan
kemenangan calon BN?
DSWR : Sebelum
bercakap tentang kerjasama (‘collaboration’) UMNO-PAS ini, sukacita saya
katakan terlebih dahulu mengenai hubungan mesra (‘friendly relations’) antara
UMNO dengan PAS di negeri Pahang ini, yang telah lama terjalin dan menjadi
bertambah mesra lagi selepas Pilihanraya Umum (PRU) ke-14 yang lalu.
Dengan
mengambil pedoman (‘cue’) daripada hubungan mesra antara UMNO dan PAS di
peringkat kepemimpinan pusat yang ketika itu UMNO diketuai oleh Dato’ Sri Ahmad
Zahid Hamidi; saya sendiri telah mengambil inisiatif agar hubungan mesra
UMNO-PAS di Pahang diperkukuhkan lagi.
Ekoran
itulah, beberapa siri perjumpaan formal dan tidak formal telah diadakan antara
saya dengan kepemimpinan PAS peringkat negeri yang diketuai oleh
Pesuruhjayanya, YB Rosli Abdul Jabar yang juga wakil rakyat Tanjung Lumpur.
Daripada
siri-siri perjumpaan inilah telah wujud seperti keserasian antara kedua-duanya
sehinggakan, apabila saya melawat kawasan dilanda banjir di Beserah tahun
lepas, telah turut diiringi oleh wakil rakyat di situ yang juga Timbalan Pesuruhjaya
PAS Negeri, YB Andansura Rabu.
HUBUNGAN MESRA BERTUKAR
JADI KERJASAMA PULA
Momentum
hubungan mesra ini yang tentunya berasaskan kejujuran, terus kekal hinggalah
ketika mana PRK P078 Cameron Highlands perlu diadakan, yang dengan itu, bak
kata orang – ‘Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal’.
Maka,
hubungan mesra inipun diterjemahkan pula kepada bentuk kerjasama, yang dengan
itulah, PAS membuat keputusan untuk tidak meletakkan calonnya bertanding pada
PRK ini. Dan yang lebih penting lagi, undi lebih 3,000 undi yang diperolehi
calonnya pada PRU lepas telah diberikan kepada calon UMNO/BN pada PRK ini.
Pemberian
undi yang besar ini saya harus akui, bukanlah sesuatu yang mudah untuk
dilakukan – setelah lebih 60 tahun UMNO/BN dianggap musuh sepertimana Encik Wan
Mahadir Wan Mahmud, AJK PAS Cameron Highlands katakan.
Namun
oleh sebab wala’ mereka terhadap arahan pemimpin parti dan saya percaya, ia
turut ada kena-mengena dengan kepercayaan mereka kepada kejujuran oleh
kepemimpinan UMNO Negeri sendiri, maka undi merekapun diberikan.
Saya
sendiri dapat merasai bahawa kerjasama UMNO-PAS ini adalah sesuatu yang ‘real’
tatkala saya tiba awal pagi (Sabtu, 26 Januari) ke Sekolah Kebangsaan Tanjung
Gahai, Lipis untuk mengundi.
KEPUTUSAN ‘LUAR
KOTAK’
Dalam
perjalanan pulang, saya didatangi penyokong/pengundi PAS yang sudi bersalaman
dan berpelukan dengan saya, yang tentunya menandakan sesuatu yang positif
sedangkan ini tidak pernah berlaku pada pilihanraya-pilihanraya sebelumnya.
Malahan,
ketika pegumuman dibuat (pada malam Sabtu, 26 Januari dalam Dewan Gemilang,
Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Hj Ahmad Shah, Tanah Rata),
penyokong-penyokong PAS tetap setia berada dalam dewan serta datang kepada saya
mengucapkan tahniah, termasuklah Encik Wan Mahadir. Takbir dilaungkan pula ketika
saya hendak meninggalkan Dewan.
ZJ (02) : Bagaimana
tercetus idea mencalonkan Encik Ramli Mohd Nor. Bolehkah kongsi kisah-kisah ‘human
interest’ mengenai detik-detik pemilihan beliau dan kriteria yang dimilikinya?
DSWR : Segala-galanya
berlaku ekoran calon BN dari MIC yang diuar-uarkan untuk bertanding semula,
rakan saya, Datuk C.Sivarraajh, telah diisytiharkan oleh Suruhanjaya
Pilihanraya (SPR) tidak layak berbuat demikian atas peraturan-peraturan yang
telah ia nyatakan.
Memanglah
jika menurut tradisi, kerusi Cameron Highlands dikhaskan untuk MIC. Namun,
dengan senario terkini apatah pula dengan segala sentimen negatif ekoran
kejadian tidak diingini berlaku di Selangor, saya telah terfikir, sesuatu yang
di luar daripada kebiasaan atau ‘out of the box’ harus diambil dalam penentuan
calon kita.
TERIMA KASIH
BUAT MIC
Dalam
pada itu, saya telah terbayangkan kemungkinan meletakkan seseorang dalam
kalangan Orang Asli sebagai calon dan kebetulan, nama Encik Ramli Mohd Nor
telah timbul lalu saya berjumpa dengannya, kemudian cuba meyakinkan semua
bahawa Encik Ramlilah orangnya.
Saya
akui, saya ada sebut dalam ucapan saya pada majlis 9 Januari lepas di Laman
Sejahtera, Sungai Koyan, Lipis betapa, bukanlah mudah untuk mendapatkan calon
ini “apabila kita hendak buat perubahan” yang melibatkan perjumpaan dan
perjumpaan hingga awal pagi.
“Akhirnya
pagi semalam (8 Januari), kita mendapat kata putus – adalah calon yang memenuhi
selera orangramai dalam Parlimen Cameron Highlands,” kata saya tanpa menyebut
lagi nama calon kita Encik Ramli ketika itu.
Selain
beliau Orang Asli yang dengan pemilihannya akan menjadikannya Orang Asli
pertama sebagai Ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat, beliau juga beragama Islam
yang dengan ini memudahkan pengundi yang sebahagian besarnya ialah Melayu/Islam,
untuk mengundinya.
Dalam
hal ini, saya berterima kasih kepada MIC khususnya Presidennya, Tan Sri
Vigneswaran, yang telah sudi mengorbankan kerusi untuk diserahkan kepada UMNO.
Juga terima kasih saya kepada pemimpin-pemimpin MIC peringkat pertengahan dan
bawahan serta ahli-ahlinya, yang terus berkempen demi kemenangan calon kita.
KURANG BERCAKAP,
ELAK KESILAPAN
ZJ (03) : Kelihatan
segala percaturan calon DAP/PH tidak menjadi. Ada sahaja apa yang dibuat
sepanjang kempen 14 hari itu tidak menjadi. Apa yang dapat dikongsi Dato' Sri
akan hal ini?
DSWR : Dalam menjawab
soalan ini, saya teringatkan kata-kata YB Ramli sendiri yang ditanyakan
wartawan tentang keengganannya untuk lebih banyak bersuara atau bercakap dengan
pihak media, tidak sepertimana lawannya dari DAP itu.
Dan
YB Ramli menjawab yang beliau tidak boleh berbuat demikian kerana bimbangkan
apa yang dicakapkanya itu mungkin tersilap, hingga menimbulkan kontroversi.
Dan
calon DAP yang ‘kerana pulut, santan binasa, kerana mulutlah badan binasa’.
Lihat sahaja kontroversi yang diakibatkannya apabila menyentuh tentang kononnya
‘kuih’ yang Orang Asli jual tak akan dibeli oleh orang Melayu.
Begitu
jugalah apabila calon DAP itu mempertikaikan tentang pelbagai perkara termasuk
kononnya saya sebagai wakil rakyat Dewan Negeri Jelai, tidak berbuat apa-apa
untuk membina jalanraya di kawasan saya.
PENGUNDI LEBIH
FAHAMI PEMBANGUNAN YANG DIBAWA
Sedangkan,
Jalanraya Tanahtinggi Ringlet-Sungai Koyan sejauh 79.1 KM yang dilaluinya dari
Tanah Rata untuk sampai berkempen ke kawasan Jelai, ialah jalanraya yang dibina
oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan siap semasa saya berada dalam penggal
kedua saya sebagai wakil rakyat di situ.
Jadi,
bila kita menjawab balik dengan fakta-fakta pula itu, dan pengundi pula lebih
memahaminya; ia sudah jadi satu ‘backlash’ yang teruk juga terhadap kempen
pilihanrayanya.
Saya
pula sering mengingatkan rakan-rakan dalam Kerajaan Negeri mahupun rakan-rakan
politik betapa, jikapun kita perlukan publisiti, biarlah ianya yang membawa
kebaikan kepada diri bukannya setakat, ‘menang sorak’, tetapi ‘kampung
tergadai’.
Ternyata
sekali, YB Ramli dalam tempoh 14-hari kempen PRK ini, tidaklah sangat ‘menang
sorak’ tetapi akhirnya, beliau keluar sebagai pemenang mengatasi calon lawannya
terutamanya daripada DAP itu.
ZJ (04) : Biarpun
Pakatan Harapan menurunkan Menteri-menteri Hal Ehwal Ekonomi, Menteri Kewangan,
waima TPM dan PM sekali pun, apa yang cuba `dijual’ oleh mereka kepada pengundi
dan masyarakat di Cameron Highlands tidak `dimakan’ oleh mereka. Mengapa?
SEBAB PENGUNDI
TAK TERPENGARUH
DSWR : Sebabnya,
sepertimana saya pernah sebut sebelum ini lagi, mereka gemar ‘memutarkan semula
piring hitam lama’ yang kepada pengundi di sini, sudahpun terlebih maklum
mengenainya.
Oleh
sebab itulah, apabila PM sendiri yang turun ke Sungai Koyan sehari sebelum hari
mengundi, dan membangkitkan hal-hal berkaitan kepemimpinan bekas Perdana
Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak; ia langsung tidak dapat mempengaruhi
pengundi.
Begitu
juga apabila Menteri Kewangan berceramah, mempertikaikan kedudukan kewangan
Kerajaan Negeri pimpinan saya yang kononnya tidak mungkin dapat mentadbir
negeri dengan baik kerana hutang besar kami kepada Kerajaan Persekutuan;
Inipun
tidak dipedulikan oleh pengundi dan penduduk setempat. Kenapa? Sebab ini bukan
perkara baharu. Dalam persidangan Dewan Negeri sebelum inipun telah dijelaskan
khususnya apabila hutang-hutang ini adalah berkaitan keperluan asas berkenaan
sistem bekalan air.
Selepas
itu, Menteri yang sama juga ada ‘tendency of shifting the goalpost’. Apabila
soal hutang tidak ambil kisah, dituduhnya pula Kerajaan Negeri mengalami bajet
deficit terkumpul sebanyak RM228.37 juta bagi tempoh empat (4) tahun (2014
– 2017), yang dengan itu kononnnya, tidak memungkinkan Kerajaan Negeri ini
mentadbir negeri dengan baik.
MAMPUKAH
KEJAYAAN DIULANGI DI SEMENYIH?
Dalam mengatakan soal itu, beliau
mungkin ingat pengundi/rakyat tidak tahu betapa defisit bajet Pulau Pinang
pimpinan DAP untuk tahun 2019 ini sahaja ialah kira-kira RM352.8 juta, manakala
defisit tahun 2018nya ketika mana Menteri itu ialah Ketua Menteri, ialah
kira-kira RM748.5 juta!
Daripada segi itu sahajapun,
pengundi sendiri tahu betapa Menteri berkenaan rupa-rupanya ‘dulang paku
serpih, mengata orang aku yang lebih’! Makanya, apa juga yang di‘jual’nya tidak
‘dibeli’ atau ‘ditelan’ orang di Cameron Highands khususnya di Dewan Negeri
Jelai.
ZJ (05) : Mampukah buah kemenangan di Cameron Highlands ini laku
sekali lagi di PRK DUN Semenyih 2 Mac depan?
DSWR : Dengan
kebangkitan BN yang sebenar-benarnya di Cameron Highlands, apatah pula dengan
kerjasama kukuh daripada PAS, pada pandangan saya, tidak mustahil bagi BN untuk
meraih kejayaan yang sama di sana.
Tetapi,
kita harus sentiasa ingat bahawa – ‘lain padang, lain belalang, lain orang,
lain ragamnya’. Apapun, kejujuran yang sentiasa menjadi asas kepada kerjasama
UMNO-PAS harus terus dititik-beratkan.
KATA KUNCI ;
KESEPAKATAN DAN KESETIAKAWANAN
ZJ (06) : Berhubung
keutuhan UMNO Pahang dalam mengharungi cabaran semasa politik tanah air
mampukah bertahan/berdaya saing.
DSWR : InsyaAllah,
kita akan terus mampu mempertahankannya, hendak-hendak pula kita sentiasa
mementingkan kesepakatan – bekerja sebagai satu pasukan, sebuah keluarga besar
dan kesetiakawanan dalam parti.
Ini
sepertimana pada PRK di Cameron Highlands apabila tokoh-tokoh besar kami
seperti Dato’ Sri Mohd Najib, dan ‘mentor’ saya, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob,
telah turut turun padang membantu jentera parti menjayakan misi perjuangan
kami.
ZJ (07) : Apa yang
sepatutnya/wajar dilakukan/diteruskan oleh barisan kepemimpinan UMNO/BN Pahang
dalam menjamin survival parti di Pahang memandangkan Pahang selain Perlis, kini
menjadi kubu kuat UMNO.
DSWR : Kata kuncinya
di sini ialah – kesepakatan (‘unity’) dan bekerja sebagai satu pasukan, sebuah
keluarga, serta kesetikawanan (‘comradeship).
SEMOGA
PERJUANGAN DIBERKATI ALLAH SWT
UMNO
Pahang sendiri telah buktikan selama ini betapa dengan kesepakatan dan
kesetiakawanan antara pemimpin dengan pemimpin tidak kira di peringkat mana
sekalipun; serta, antara pemimpin dengan ahli-ahlinyalah yang menyumbang kepada
kekukuhan parti – dulu, kini dan selama-lamanya.
Dan
kita di Pahang, tidak suka malah benci kepada rasmi ketam, yang tidak
membenarkan dalam kalangan mereka untuk ‘naik ke atas’ dan berjaya.
Kita
juga tidaklah teruja sangat untuk dikenali sebagai kubu kuat UMNO. Yang
penting, kita perlu sentiasa pelihara kekuatan ini menerusi kedua-dua
‘kesepakatan’ dan ‘kesetiakawanan’ ini.
Moga-moga
perjuangan kita di negeri ini, diberkati Allah Subhanahu Wata‘ala. Amin. – Khabar