Thursday 21 February 2019

Tindakan bersepadu tangani aktiviti perlombongan dekat Tasik Chini


“Aduan diterima ialah menerusi panggilan telefon daripada seorang penyelidik yang bertugas di tasik tersebut pada 14 Februari, dan daripada JAS sehari selepas itu (15 Februari),” kata Menteri Besar.

KE MANA MENGALIRNYA KELODAK DARI TAPAK YANG TELAH DICEROBOHI INI JIKA TIDAK KE TASIK DI BAHAGIAN BAWAH SANA... Beberapa pegawai dan kakitangan jabatan kerajaan kita sedang meninjau tapak yang diceroboh pada petang semalam. 

kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Kerajaan Negeri mengesahkan satu tindakan susulan bersepadu melibatkan beberapa jabatan kerajaan berkaitan telah dilakukan petang semalam (Rabu, 20 Februari) ekoran aduan mengenai aktiviti perlombongan berhampiran Tasik Chini, Pekan.

“Aduan diterima ialah menerusi panggilan telefon daripada seorang penyelidik yang bertugas di tasik tersebut pada 14 Februari, dan daripada JAS sehari selepas itu (15 Februari).

“Aduan oleh penyelidik berkenaan antara lain menyebut tentang aktiviti perlombongan yang tiba-tiba meningkat di sebuah daripada lombong yang ada di situ, yang telah melarat hingga menghampiri perairan Tasik Chini,” kata Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy dalam kenyataan media petang Khamis, 21 Februari.

Penyelidik itu juga menurutnya, mengadu berlakunya pergerakan secara tiba-tiba lori-lori mengangkut tanah yang berkemungkinan bijih besi, masuk dan keluar di atas tapak Pusat Latihan Kemahiran Negara (PLKN) selepas jam 10 malam setiap hari.

Ekoran itu, tindakan bersepadu melibatkan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Perhutanan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Pekan telah dijalankan petang semalam ke tapak PLKN berkenaan dan kawasan lombong yang dimaksudkan.

LAGI KAWASAN YANG DICEROBOH... 


ADA BEKAS KERJA-KERJA PENEBANGAN/PENGOREKAN

Ketika tindakan tersebut didapati, tiada kerja-kerja ataupun jentera yang terdapat di atas tapak tetapi yang didapati ialah bekas kerja-kerja penebangan pokok dan aktiviti mengorek tanah dipercayai untuk maksud penjualan.

Status tanah pula menurut Dato’ Sri Wan Rosdy lagi, merupakan masih Tanah Kerajaan yang dalam proses untuk pertukaran hakmilik kepada Perbadanan Setiuasaha Kerajaan (PSK).

“Berdasarkan perbincangan bersama oleh jabatan-jabatan terlibat telah memutuskan agar PTG, PDT Pekan dan JMG mengambil tindakan penguatkuasaan berkaitan sambil menyediakan laporan lengkap mengenainya.

“Keputusan juga dibuat agar satu pasukan pengawasan penguatkuasaan PTG ditempatkan di tapak lain dalam kawasan yang dipercayai telah diceroboh untuk tujuan perlombongan tersebut,” katanya. 


APA YANG HANYA TINGGAL... – Khabar