NOTA EDITOR ;
Berikut ialah
artikel mengenai Lynas Advanced Material Plant (LAMP) yang pada 15 Ogos lepas,
telah diberikan lesen pembaharuan operasi untuk selama enam (6) bulan oleh
Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB).
Intipati artikel
ini ialah untuk menyanggah sangkaan yang salah kononnya puak anti-Lynas yang sejak
dahulu lagi bilangannya adalah segelintir, seolah-olah mewakili seluruh
penduduk Kuantan. Ini sepertimana juga dengan seorang Ahli Parlimen puak
tersebut yang sering mendabik dada dan dengan angkuhnya mendakwa betapa
kononnya “I represent the people of Kuantan”.
Sedangkan,
dianya hanyalah tergolong dalam kalangan ‘minoriti lantang’ tetapi dengan
kelantangannya telah disalah persepsi sebagai mewakili seluruh penduduk Kuantan
yang seramai 580,000 orang ketika ini terutamanya yang ‘majoriti senyap’.
Sama-samalah
kita ikuti kupasannya. Sementara itu, akhbar Utusan Malaysia terbitan esok, Jumaat,
23 Ogos dijangka turut menyiarkan artikel yang sama ini pada halaman 14nya.
LAGAK PUAK 'MINORITI LANTANG' PAGI AHAD... Yang semakin hilang sokongan mereka daripada dalam kalangan penduduk Kuantan.
Oleh YOPE
KEY-DARE
Alamaya, INDERA
MAHKOTA 5, KUANTAN
– Apakah makna apabila di kawasan pentas yang sama yang terbahagi dua oleh
dinding konkrit – sebelah sana puak anti-Lynas cuma 300 orang dengan ceramah
berapi-api, manakala di sebelah sini kumpulan mingguan lebih 500 orang sedang ceria
bersenamrobik menurut alunan lagu rancak?
Inilah
yang berlaku pada pagi Ahad lepas (18 Ogos) di Taman Gelora dekat sini. Dan
puak anti-Lynas berada di situ – setelah sekian lama tidak melakukannya; ialah kerana
membantah keputusan Kerajaan Persekutuan mengenai kilang Lynas Advanced
Material Plant (LAMP).
Tiga
hari sebelum itu (15 Ogos), Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tersebut menerusi
Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB), telah mengumumkan pembaharuan lesen
operasi selama enam bulan bagi LAMP milik Lynas Malaysia Sdn Bhd di kawasan
perindustrian Gebeng, dekat sini.
Sebagai
menjawab persoalan awal tadi; Ini bermakna betapa apa yang dilakukan oleh puak
segelintir anti-Lynas, memang langsung tidak dihiraukan oleh kumpulan peserta
senamrobik yang jumlahnya lebih ramai daripada mereka pagi itu.
Maka,
jika ada yang berpandangan puak ini ialah pembawa pandangan popular mengenai
LAMP, sebenarnya tidak betul. Mereka sekadar ‘minoriti lantang’ yang kerana
kelantangan telah disalah anggap sebagai popular, kononnya mewakili seluruh penduduk
Kuantan seramai 580,000 orang, yang sebahagian besarnya ialah ‘majoriti
senyap’.
APALAH SANGAT
300 ORANG BERBANDING 580,000 PENDUDUK KUANTAN
“Apalah sangat
300 orang berbanding lebih 500,000 penduduk Kuantan. Malah, dulu (26 Februari,
2012), mereka anjurkan bantahan – Himpunan Hijau 2.0 di Padang Kemunting dekat
sini, tapi ramai yang datangpun ialah mereka dari luar Kuantan.
“Jadi, macam
mana mereka boleh kata (sebagai) mewakili penduduk Kuantan sedangkan penduduk
Kuantan terutama di Beserah dekat kilang Lynas, tidakpun membantah dengan
kewujudan kilang ini,” kata seorang ketua kampung di Beserah itu.
Dan
inilah keadaan sebenarnya. Majoriti penduduk Kuantan tidak membantah LAMP kerana
mereka telahpun faham menerusi kenyataan dan tindakan oleh pakar-pakar sendiri
serta beberapa jawatankuasa yang ditubuhkan, yang mengesahkan tentang
selamatnya operasi LAMP ini.
Sejak
2011 lagi, Panel Pakar dari Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang beribu
pejabat di Vienna, Austria telah melakukan kerja-kerja menyiasat dalam isu
kesihatan dan keselamatan berkaitan dengan LAMP dan mendapatinya selamat.
Ketika
Pengarahnya, Encik Yukiya Amano yang mengunjungi Kuala Lumpur pada tahun 2015,
telah turut mengesahkan bahawa LAMP selamat dan tidak memberi kesan pencemaran
kepada alam sekitar.
TAHAP RISIKO
LYNAS RENDAH
“Setiap
pembangunan teknologi nuklear mempunyai peraturan dan tahap keselamatan yang
mesti diikuti. Lynas telah mengikuti garis panduan tersebut. Malah, tahap
risiko dalam projek Lynas adalah rendah. Ia telah diperiksa oleh IAEA dan
didapati selamat,”
kata Encik Yukiya.
Jika
pandangan-pandangan pakar-pakar tadi ialah semasa era pemerintahan Kerajaan
Persekutuan pimpinan Barisan Nasional (BN), pandangan yang sama juga disuarakan
selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil-alih susulan kemenangan mereka pada Pilihanraya
Umum Ke-14 (PRU-14) Mei 2018.
Kira-kira
enam (6) bulan sahaja selepas itu (pada Disember 2018), Jawatankuasa Penilaian
yang ditubuhkan oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan
Perubahan Iklim (MESTECC) membuat keputusan bahawa, operasi LAMP adalah
berisiko rendah dan mematuhi peraturan-peraturan berkenaan.
Manakala,
kemudahan penyimpanan residu atau sisa dikendalikan olehnya (LAMP) menurut
Jawatankuasa Penilaian yang sama, adalah dengan cara yang selamat dan
diluluskan oleh pengawal selia.
Jawatankuasa
yang sama juga menyatakan bahawa LAMP merupakan syarikat pengeluar tanah jarang
yang tidak boleh dibandingkan dengan loji nuklear atau kilang yang menghasilkan
‘thorium’ atau ‘uranium’.
KENYATAAN PAKAR,
BUKAN KITA SEBAGAI ‘LAYMEN’
Oleh
itulah, Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail telah menyebut pada
persidangan Dewan Negeri Isnin lepas (19 Ogos) betapa; “Ini adalah kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pakar-pakar,
bukan kita sebagai ‘laymen’.
“Atau, bukan
kita sebagai hanya nak tunjuk kita ini kononnya menentang ataupun mencari
populariti dan sebagainya. Ini adalah kenyatan yang dikeluarkan oleh mereka
yang berkelayakan,”
katanya.
Daripada
segi undang-undangpun telah diambil oleh puak anti-Lynas namun itupun gagal
sepertimana Mahkamah Rayuan putuskan pada 19 Disember 2012 lagi, mengenepikan
rayuan oleh gerakan yang dikenali sebagai Save Malaysia Stop Lynas (SMSL), yang
menentang pengeluaran Lesen Operasi Sementara (TOL) oleh AELB kepada LAMP
ketika itu.
Dua
(2) tahun kemudian (2 September, 2014), LAMP mula diberikan Lesen Tahap Operasi
Penuh (FOSL) yang perlu diperbaharui menurut tempoh-tempoh yang ditetapkan
termasuklah yang terbaharu selama enam (6) bulan lagi, berkuatkuasa 1 September
ini.
Keputusan
terbaharu yang AELB keluarkan pada 15 Ogos itu – dengan syarat-syarat yang
dikenakan; bagaimanapun dilihat lebih merupakan satu bentuk hukuman atau
ancaman secara halus terhadap LAMP.
LYNAS MENGGAJI
900 PEKERJA, 850 DARIPADANYA MELAYU
Antara
syarat itu ialah kemestian untuk Lynas Malaysia Sdn Bhd atau syarikat induknya,
Lynas Corporation Ltd – syarikat awam yang tersenarai di Australian Securities Exchange
(ASX) sejak 1986 lagi; mendirikan kilang meretak dan larut lesap (cracking and
leaching) di Australia sendiri.
Mereka
diberikan tempoh empat (4) tahun yang dengan siapnya kelak, aktiviti berkenaan
(meretak dan melarut lesap) tidak lagi boleh dilakukan di LAMP lalu tidak
lagilah menghasilkan residu atau sisa pembersihan keluluhan air (WLP) di sini.
Sepertimana
umum mengetahui, LAMP menggaji kira-kira 900 tenaga kerja – 850 orang daripadanya
pekerja Melayu; yang sebahagian besarnya pula terlibat dalam operasi meretak
dan melarut lesap itu.
Apakah
nasib mereka sekiranya nanti operasi tersebut dihentikan di LAMP, sesudah
siapnya kilang bagi maksud pemprosesan yang sama di Australia Barat khususnya
di Mount Weld, Perth kelak?
LAMP
juga disyaratkan supaya mencari dan mengenal pasti lokasi ‘specific’ untuk
pembinaan Kemudahan Pelupusan Kekal (PDF) bagi WLP yang telah dihasilkan, yang
setakat ini dikatakan sebanyak 580,000 tan, dan akan bertambah selagi operasi
meretak dan melarut lesap berlaku di LAMP.
LYNAS SUDAH
LABUR RM3,000 JUTA, BERBELANJA RM600 JUTA SETAHUN
Dan
LAMP diberi tempoh enam (6) bulan ini juga untuk mencari dan mengenal pastinya.
Untuk mendapatkan tapak bagi PDF ini, mungkin tidak begitu sukar memandangkan
sejak September 2011 lagi, Kerajaan Negeri Pahang menerusi surat oleh Setiausaha
Kerajaan Negeri ketika itu, telahpun memberi ‘lampu hijau’nya.
Dalam
hal ini, Dato’ Sri Wan Rosdy juga telah memaklumkan betapa selain kepentingan
keselamatan, Kerajaan Negeri juga akan mengambil kira perjanjian yang telah
dilakukannya sebelum ini dengan syarikat tersebut.
Dan
ini pula tentunya turut bersandarkan kepada hakikat betapa pelaburan kira-kira
RM3,000 juta telah dicurahkan, selain Perbelanjaan Operasi (Opex) tahunan
sebanyak RM600 juta disumbangkan oleh LAMP kepada ekonomi negeri ini selama
ini. – Khabar