Thursday 8 August 2019

Diplomasi Pahang jaya tarik pelaburan Singapura, RM1,134 juta!


“Menteri Besar tentukan hala tuju, kami penjawat awam membantu merealisasikannya,” demikian kata seorang pegawai kanan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (B-PEN) di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri.

'DIPLOMASI WAN ROSDY'... Diplomasinya melangkaui masa dan juga tempat. 

Foto santai ini dirakam secara 'wefie' oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (TSUK) yang juga Pengarah B-PEN, Dato' Fadzilla Salleh (kanan sekali, separuh terlindung) pada petang Jumaat, 2 Ogos dalam Restoran Zam Zam di Arab Street (lebih kurang bersamaan Restoran Hameediyah di Campbell Street, Pulau Pinang) sebelum mengambil 'flight' pulang ke tanahair.

Selain Dato' Sri Wan Rosdy sendiri; antara yang turut kelihatan ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Dato' Zainol Rahim Zainuddin (duduk bertentangan Dato' Sri Wan Rosdy), serta Dato' Sri Dr Salehuddin, Dato' Sri Ir Mohd Soffi, serta Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP), Dato' Mohd Suhaimi Yunus.         


NOTA EDITOR ;

Artikel ini ditulis sebagai rumusan kepada kejayaan besar Kerajaan Negeri susulan misi perdagangannya ke Singapura pada 1 dan 2 Ogos lepas serta menganjurkan Forum Pelaburan Pahang 2019 (PIF 2019), hingga mampu menarik pelaburan bernilai RM1,134 juta atau RM1.134 billion.

Ini sepertimana persetujuan tercapai menerusi 11 Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani dengan pelbagai pelabur di sana. Besarlah harapan kita juga agar pelaburan ini benar-benar dapat direalisasikan, InsyaAllah.

Sementara itu, adalah dijangkakan, akhbar Utusan Malaysia terbitan esok, Jumaat, 9 Ogos akan turut menyiarkan artikel yang sama ini pada halaman 18.

Sama-samalah kita mengambil iktibar daripada isi kandungan artikel ini.   


Oleh ALAMAYA

kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Diplomasi Pahang – inilah ramuan utama kejayaan negeri ini dalam menarik pelaburan kira-kira RM1,134 juta (RM1.134 billion) dari Singapura, susulan penganjuran Forum Pelaburan Pahang 2019 (PIF 2019) selama dua (2) hari pada 1 dan 2 Ogos lepas di kota singa tersebut.

Daripada pelaburan kira-kira RM1,134 juta hasil menandatangani 11 Memorandum Persefahaman (MoU) inilah, dijangka menghasilkan kira-kira RM2,372 juta (RM2.372 billion) Nilai Pembangunan Kasar (GDV), apabila kesemua projek siap kelak.

Diplomasi Pahang ini pula didorong dan dimungkinkan oleh hala tuju yang jelas sepertimana digariskan oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail sejak menjadi Ketua Eksekutif negeri pada Mei 2018.

“Menteri Besar tentukan hala tuju, kami penjawat awam membantu merealisasikannya,” demikian kata seorang pegawai kanan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (B-PEN) di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri.

Oleh itulah maka, tidak sampaipun tiga (3) bulan selepas ‘engagement’ pertama dilakukan menerusi penganjuran Seminar Pelaburan Pahang yang berskala kecil pada Mei lepas, kejayaan ini tercapai.   

ANALOGI – MERISIK, PERTUNANGAN & PERNIKAHAN

“Kalau Mei lepas majlisnya ‘merisik’ tapi kali ini – dengan delegasi Pahang yang lebih besar seramai 51-orang, ia merupakan majlis ‘pertunangan’ yang rundingannya termasuk dalam menentukan ‘wang hantaran’.

“Kini, hanya menanti hari ‘pernikahan’ sahaja lagi yang tentunya usaha ke arah itu harus diambil untuk benar-benar merealisasikannya,” demikian analogi seorang pegawai Kerajaan Negeri berkaitan misi pelaburan yang kedua-duanya – pada Mei dan awal Ogos ini; diketuai oleh Dato’ Sri Wan Rosdy.

Demi merealisasikan pelaburan-pelaburan itu, hanya sehari-dua sekembali dari Singapura, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak telahpun mengarahkan B-PEN supaya menyelesaikan proses selanjutnya berkenaan 11 MoU berkenaan, dalam tempoh dua (2) bulan.

Sebelum itu – pada mesyuarat yang sama, Dato’ Sri Dr Salehuddin telah menyampaikan ucapan tahniah daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang juga Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, atas kejayaan menarik pelaburan Singapura tersebut. Beliau turut menyampaikan ucapan tahniah daripada Dato’ Sri Wan Rosdy sendiri.

“Inilah istimewa kita di Pahang. Inilah diplomasinya. Daripada Raja Pemerintah sehingga ke Menteri Besar dan penjawat awam menunjukkan sikap ambil berat serta komitmen tinggi dalam menjayakan hal-hal berkaitan kepentingan negeri,” kata pegawai Kerajaan Negeri yang sama.

ADA DIPLOMASI DALAM PEMBUKAAN TAMAN PERINDUSTRIAN BAHARU  

Malah, dalam tindakan dan keputusan Kerajaan Negeri membuka taman perindustrian baharu seperti Taman Perindustrian Antarabangsa Kuantan (KIIP) seluas 1,215 hektar (3,000 ekar) berhampiran Pelabuhan Kuantan, turut ada diplomasinya.

Dalam hal ini, Dato’ Sri Wan Rosdy ada memberitahu penulis betapa pembukaan KIIP ialah bagi mengimbangi kewujudan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) 1,2 dan 3; yang tumpuannya tentulah kepada pelabur-pelabur dari Negara China.

Untuk terus mewujudkan kesimbangan itulah juga, beliau turut menyebut mengenai pembukaan sebuah lagi taman perindustrian – Taman Perindustrian Pahang-Singapura (PSIP) sepertimana dinyatakan dalam Ucaptamanya sempena PIF 2019 tersebut.

Yang turut menarik tentang diplomasi Pahang ini ialah dengan mengikuti sesi-sesi perjumpaan perniagaan (business meetings) yang Dato’ Sri Wan Rosdy pengerusikan, dengan pelabur-pelabur berkenaan. Sepanjuang sesi tersebut, beliau telah menunjukkan kepimpinan yang bijaksana dan luhur.

Seolah-olahnya pula, seperti sudah ada peranan yang ditentukan termasuk kepada Ahli-ahli Exconya – Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin dan Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak; terutamanya dengan watak-watak ‘good cop/bad cop’.

WATAK-WATAK ‘GOOD COP/BAD COP’

Sudah tentulah sebagai Menteri Besar, beliau harus berwatakan ‘good cop’ maka menjadi tanggungjawab Ahli-ahli Exconya itu untuk memainkan peranan ‘bad cop’ – itupun dengan penuh berhemah tatkala misalnya, mempersoalkan tentang harga pajakan tanah yang dilihat terlalu rendah sepertimana diminta oleh pelabur-pelabur tertentu.

Namun akhirnya, ‘alls well that ends well’. Daripada kesemua 11 MoU yang telah ditandatangani itu, antara terbesar ialah oleh Golden Prosperous International Pte Ltd bagi pengeluaran tahunan 600,000 tan metrik aloi mangan (manganese alloy).

Bahan mineral ini pula kemudiannya ialah untuk pasaran dan dibekalkan kepada kilang keluli bersepadu sedia ada di MCKIP 1 iaitu Alliance Steel Sdn Bhd (ASSB), yang juga ialah pelaburan terbesar di seluruh MCKIP setakat ini.

Begitu juga oleh Hercules Technologies Sdn Bhd dengan persetujuan untuk melabur dalam tiga (3) projek berlainan iaitu bagi membangunkan pusat pembekalan simen dan konkrit; pembinaan kilang bio-komposit; serta bagi penubuhan pusat latihan, kawalan kualiti dan pensijilan produk. Ketiga-tiganya ialah di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan.

Sasaran utama pasaran bahan-bahan pengeluaran syarikat ini pula ialah China Communications Construction Company Ltd (CCCC) – syarikat milik China yang merupakan kontraktor utama bagi projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).  

CADANG BINA TAMAN TEMA DI KAMPUNG MERCHONG

Satu lagi ialah oleh Zhong Hai Resources Group Pte Ltd, dengan hasrat untuk membangunkan kawasan seluas 264.87 hektar (654.51 ekar) di Muadzam Shah, Rompin sebagai Ladang Solar.

IBN Corporation Pte Ltd pula bercadang terlibat dalam projek pembinaan kolam takungan serta pembekalan air terawat bagi memenuhi keperluan seluruh kawasan Genting Highlands.
Ketika ini, air terawat di sana dibekalkan oleh Genting Utilities & Services Sdn Bhd namun ia sahaja tidak mampu membekal ke keseluruhan kawasan maka projek oleh IBN ialah sebagai pelengkap bukan pesaing, kepada pembekal sedia ada.

Juga terlibat ialah pelaburan oleh South Ocean LLP, yang bercadang membangunkan sebuah taman tema dikenali – LovOcean Eco Theme Park di Kampung Merchong, Pekan yang termasuk pulau kecil kira-kira 7.4 km bertentangannya.

Jelaslah bahawa pelaburan-pelaburan yang dilakukan ini meliputi pelbagai sektor yang tentunya turut mengambil-kira negeri ini yang banyak sumber dan potensi, yang boleh diterokai.  

Apatah pula dengan usaha terus menerus bagi mengurangkan karenah birokrasi dengan misalnya kewujudan Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) sebagai Pusat Sehenti (OSC), telah memungkinkan lagi tarikan pelabur ke negeri ini. – Khabar