Wednesday 4 December 2019

Kerajaan Negeri masih berharap MPKKP tidak ditubuhkan


“… saya sangat dukacitalah sebab selama inipun, MPKK ini tidak ada masalah. Yang masalahnya cuma mereka (Pakatan Harapan) gagal menghantar lima (5) orang ahli untuk duduk di dalam MPKK ini,” kata Menteri Besar

PERSEPAKATAN PADU MENENTANG PENUBUHAN MPKKP... Selain Dato' Sri Wan Rosdy dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negerinya; yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Indera Mohd Roslan Harun (barisan depan, tiga dari kiri), serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato' Dr Mohd Zakaria Ibrahim (barisan kedua, paling kanan). 


DEWAN JUBLI PERAK SULTAN HJ AHMAD SHAH, BENTONG – Kerajaan Negeri masih berharap agar Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) tidak meneruskan cadangan menubuhkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) yang keahlian sepenuhnya dikuasai oleh PH, bermula 1 Januari 2020.

“Saya masih mengharapkan supaya MPKKP ini tidak ditubuhkan,” kata Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail pada persidangan media sempena Majlis Transformasi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) 2020 pada tengah hari Rabu, 4 Disember di sini.

Dalam ucapan luar teks 24-minitnya sebelum itu, beliau telah menegaskan betapa Kerajaan Negeri akan mewujudkan kembali JKKK di negeri ini – menggantikan perkataan Keselamatan kepada Kemakmuran; jika hasrat penubuhan MPKKP tersebut diteruskan.

Untuk rekod, semasa Barisan Nasional (BN) menerajui Kerajaan Persekutuan selama lebih enam (6) dekad lepas, JKKK atau sebelum itu JKK – Jawatankuasa Kemajuan Kampung; ialah entiti tunggal yang mewakili suara penduduk kampung di seluruh negara.

Sejak mengambil-alih tampuk pemerintahan selepas Pilihanraya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018 bagaimanapun, PH telah menukarkan JKKK tersebut kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

MESEJ JELAS YANG DATO' SRI MENTERI BESAR SAMPAIKAN... Dan khalayak yang dalam kalangan bakal-bakal Pengerusi JKKK - terdapat 542 kesemuanya; memberikan perhatian serius atas apa yang diamanatkan oleh Menteri Besar mereka.     


MPKKP BOLEH SEBABKAN PERPECAHAN

Bagi negeri-negeri bukan di bawah penguasaannya sepertimana Kerajaan Negeri pimpinan BN di Pahang, ia (Kerajaan Persekutuan PH) juga yang menetapkan agar Kerajaan Negeri melantik sendiri kesemua 13 Ahli MPKK dengan tambahan lima (5) lagi Ahli mesti dalam kalangan yang dicadangkan oleh PH.       

Mengulas lanjut tentang ketidak-setujuan Kerajaan Negeri terhadap cadangan penubuhan MPKKP tersebut, kata Dato’ Sri Wan Rosdy; “Kerana saya melihat; andainya MPKKP ini ditubuhkan di dalam satu kampung itu (akan) ada dua (2) pertubuhan yang mana kebanyakan kampung tidak ramai penduduk”.

“Dan ini kemungkinan besar akan berlaku sedikit-sebanyak percanggahan pendapat, berpecah-belah di dalam masyarakat,” katanya lagi.

Beliau turut berkata betapa; “… saya sangat dukacitalah sebab selama inipun MPKK ini tidak ada masalah. Yang masalahnya cuma mereka (Pakatan Harapan) gagal menghantar lima (5) orang ahli untuk duduk di dalam MPKK ini”.

Kepada soalan wartawan tentang apa tindakan Kerajaan Negeri jika Kerajaan Persekutuan pimpinan PH menarik balik cadangan pengwujudan MPKKP itu katanya, Kerajaan Negeri juga akan menarik balik usaha mewujudkan kembali JKKK berkenaan.


KEMESRAAN DAN BERHEMAHNYA... Dato' Sri Wan Rosdy sedang bersalaman dengan khalayak semasa tiba, memasuki Dewan Jubli Perak Sultan Hj Ahmad Shah ini.   


KERAJAAN PH U-TURN

Beliau turut ditanya tentang bentuk elaun serta insentif lain yang akan dinikmati oleh Ahli-ahli JKKK sekiranya ditubuhkan kelak yang menurut Dato’ Sri Wan Rosdy, belum masanya lagi beliau mengumumkannya.

“Saya tak boleh umumkan lagi sebab belum sampai tempoh (masa)nya lagi. Macam-macam boleh jadi, ada masa banyak hari lagi ini (sebelum 1 Januari 2020). Ada 26 hari lagi…

“Dan kitapun dah tahu, Kerajaan Pakatan Harapan ini terkenal dengan Kerajaan U-Turn. Yang ditubuh MPKKP inipun U-Turn juga (selepas menukarkan daripada JKKK kepada MPKK).

“Jadi, tidak mustahil MPKKP ini tidak ditubuhkan,” katanya.

Beliau juga berkata, cadangan Kerajaan Negeri mewujudkan kembali JKKK ialah sebagai langkah awalan dan persediaan, bagi menghadapi kemungkinan penubuhan MPKKP tersebut

ANTARA KHALAYAK TENGAH HARI RABU... 


HANYA TERIMA PAKAI JKKK
Dengan ini katanya, akan memudahkan penduduk kampung untuk menyalurkan aduan atau permohonan untuk mendapatkan bantuan kepada pihak-pihak berkaitan termasulah Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), Pejabat Penghulu atau wakil rakyat-wakil rakyat setempat.

“Kerajaan Negeri (juga) telah buat keputusan andainya MPKKP ditubuhkan, saya telah maklumkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri supaya semua agensi-agensi Kerajaan Negeri khususnya, hanya menerima-pakai surat-surat yang ditandatangani oleh Pengerusi Jawatan Kemajuan dan Kemakmuran Kampung.

“Ini adalah bagi tujuan memudahkan aliran pentadbiran supaya salurannya dapat dikenalpasti dan yang mana yang perlu diutamakan. Jadi, arahan ini adalah untuk memudahkan semua pihaklah termasuk juga pihak JKKK,” tegasnya. 

Selain Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri, yang turut hadir pada majlis sederhana tetapi penuh bersemangat ini ialah rakan-rakan dalam Muafakat Nasional dalam kalangan wakil rakyat-wakil rakyat PAS diketuai Timbalan Pesuruhjaya Negeri, Encik Andansura Rabu (PAS - Beserah). 


RAKAN 'STRATEGIK-LUHUR' MUAFAKAT NASIONAL KITA... Ahli-ahli MMK Negeri (dari kanan) - Dato' Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Dato' Sri Norol Azali Sulaiman, Dato' Abd Aziz Mat Kiram, Encik Abd Rahim Muda, dan Dato' Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, dan Ex-Officio, Dato' Indera Mohd Roslan; bersama-sama wakil rakyat-wakil rakyat PAS diketuai Encik Andansura (lima dari kiri). – Khabar