HARIMAU MALAYA... Demi memelihara kehidupannya maka beberapa lagi keputusan positif diambil oleh Kerajaan Negeri yang jelas bukan setakat 'mesra-rakyat' malah juga 'mesra-hidupan liar'.
kamarSUA, WISMA
SRI PAHANG, KUANTAN
– Kerajaan Negeri meluluskan kawasan seluas kira-kira 127.893 hektar di Sungai
Yu, Mukim Batu Yon, Lipis sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) demi melindungi
hidupan liar termasuk Harimau Malaya.
Dengan
ini, ia akan dapat menghubungkannya dengan HSK-HSK sedia ada iaitu HSK Ulu
Jelai dan HSK Tanum, seterusnya membentuk apa yang dikenali sebagai Koridor
Ekologi di bawah Pelan Induk Ekologi (CFS 1) yang terlibat secara langsung
dengan rangkaian ‘Central Forest Spine’ (CFS).
Keputusan
‘mesra-alam’ dan ‘mesra-hidupan liar’ ini dibuat pada mesyuarat Majlis
Mesyuarat Kerajaan (MMK) pagi Rabu, 27 November di Wisma Sri Pahang di sini, kata
Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dalam kenyataan media yang
dikeluarkan petang ini.
Selain
itu kata Dato’ Sri Wan Rosdy, Kerajaan Negeri juga bersetuju menutup Jalan Lama
Sungai Yu sepanjang kira-kira 5.2 KM di situ, serta merizabkan Tanah Kerajaan
seluas kira-kira 2.05 hektar sebagai Pusat Pembangunan, Penyelidikan dan Pusat
Sehenti CFS Negeri Pahang.
Mengenai
penutupan Jalan Lama Sungai Yu katanya, ia wajar kerana jalan ini sudah jarang
digunakan penduduk kampung berkenaan berikutan siapnya ‘Central Spine Road’ di
kawasan itu.
KAWASAN ‘ECO-VIADUCT’
Menurutnya,
kalaupun Jalan Lama Sungai Yu ini digunakan, ia hanya sebagai jalan alternatif
untuk penduduk kampung berkenaan mereka ke kebun-kebun masing-masing.
Penutupan
itu juga katanya wajar, berdasarkan cadangan oleh Perikatan Pemuliharaan
Harimau Malaysia (MYCAT) – sebuah gabungan badan-badan bukan Kerajaan
melibatkan Malaysian Nature Society (MNS), Traffic South East Asia, Wildlife
Conservation Society-Malaysia Programme dan World Wildlife Fund (WWF)-Malaysia.
MYCAT
memaklumkan bahawa, terdapat laporan menyatakan pemburu haram, penceroboh tanah
dan pembalak haram menggunakan Jalan Lama Sungai Yu untuk menjalankan
aktiviti-aktiviti tidak sihat mereka.
Dengan
penutupan Jalan Lama Sungai Yu dapat menghindarkan kemasukan secara mudah oleh
pemburu haram, penceroboh hutan dan pembalak haram ke kawasan hutan
bersebelahan ‘Eco-Viaduct’ – projek Kerajaan Persekutuan bernilai RM 60 juta di
situ.
Menurut
MYCAT kata Dato’ Sri Wan Rosdy lagi, memang terdapat bukti bahawa harimau
belang – Harimau Malaya, serta hidupan liar lain menggunakan ‘Eco-Viaduct’ ini
dalam tempoh antara Februari dan April lepas (2019) yang menjadi sasaran bagi
pemburu-pemburu haram.
CONTOH 'ECO-VIADUCT'... Menjadikan kawasan rayauan hidupan liar di bahagian bawahnya, tidak terbatas atau terganggu.
PENYELIDIKAN
TENTANG HUTAN SERTA FLORA & FAUNA PAHANG
“Oleh itu
tepatlah keputusan Kerajaan Negeri ini yang dengannya juga, membuktikan
komitmen tinggi Kerajaan Negeri bagi menjayakan Pelan Induk CFS yang dihasilkan
menurut keperluan harimau belang yang memerlukan landskap hutan yang luas dan
bersambung, terutamanya di Pahang,” tegasnya.
Mengenai
keputusan merizabkan Tanah Kerajaan seluas kira-kira 2.05 hektar sebagai Pusat
Pembangunan, Penyelidikan dan Pusat Sehenti CFS Negeri Pahang katanya, ia
melibatkan Taman Rekreasi Sungai Yu sedia ada.
Keputusan
ini dibuat memandangkan kemudahan asas yang terdapat di Taman Rekreasi Sungai
Yu katanya, telahpun uzur selain tahap kebersihannya kurang memuaskan akibat
daripada peningkatan jumlah pelawat pada hujung minggu dan musim cuti sekolah.
Menurutnya,
dengan menjadikan Taman Rekreasi ini sebagai Pusat Pembangunan, Penyelidikan
dan Pusat Sehenti CFS Negeri Pahang akan dapat memberi peluang kepada para
penyelidik – dalam dan luar negara, untuk membuat penyelidikan berkaitan hutan
serta flora dan fauna negeri ini.
Menerusinya
juga katanya, kerja-kerja menguruskan koridor ekologi CFS Negeri Pahang dapat
dilakukan dengan lebih cekap termasuk aspek kewangan, menerusi fi penyelidikan
yang bakal dikenakan.
PADA MESYUARAT MINGGUAN MMK PAGI RABU, 27 NOVEMBER... – Khabar
PADA MESYUARAT MINGGUAN MMK PAGI RABU, 27 NOVEMBER... – Khabar