Saturday 22 February 2020

Hutan Tadahan Air Pahang seluas lebih tiga (3) kali ganda saiz Pulau Pinang


… pengwartaan yang Kerajaan Negeri laksanakan demi memelihara alam sekitar

MENDAMAIKAN... 


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Ramai yang menjangkakan, dengan Pahang sebagai negeri terbesar di Semenanjung Malaysia, ia memliki tanah yang luas untuk dimajukan hingga mengenepikan aspek penjagaan alam sekitarnya.

Namun jangkaan itu meleset jika mereka tahu betapa, Kerajaan Negeri telah mewartakan lagi 132,212.58 hektar pada Mei lepas (2019), menjadikan keseluruhan 386,971.14 hektar sebagai Hutan Tadahan Air di negeri ini.

Dengan keluasan ini (386,971.14 hektar) sepertimana disebutkan oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, ia merupakan lebih tiga (3) kali ganda keluasan seluruh negeri Pulau Pinang (yang seluas 103,104 hektar).

Untuk makluman, Hutan Tadahan Air ialah di bawah pengelasan Hutan Perlindungan yang bermakna, tiada langsung penebangan pokok apatah pula pengeluaran balak dibenarkan di kawasan ini. 

Kawasan Hutan Tadahan Air ini ialah sebahagian daripada kira-kira 1.5 juta hektar hutan yang di bawah Hutan Simpanan Kekal (HSK), yang menjadikan Pahang negeri yang mempunyai kawasan HSK terluas di Semenanjung Malaysia.

KAWASAN BERHUTAN PAHANG IALAH 2.05 JUTA HEKTAR

Oleh itulah tidak menghairankan betapa, luas kawasan berhutan (forested area) sahaja ialah kira-kira 2.057 juta hektar atau, 57 peratus daripada keluasan tanah negeri Pahang yang seluas kira-kira 3.6 juta hektar.

Keluasan kawasan berhutan ini pula (2.057 hektar) ialah kira-kira bersamaan saiz seluruh negeri Perak – negeri kedua terbesar di Semenanjung Malaysia, yang seluas 2.1 juta hektar.

Kenapa Kerajaan Negeri membuat keputusan atau pengorbanan besar ini? Ia tidak lain demi memelihara dan menjamin kelestarian alam sekitar, seterusnya turut menjamin bekalan air mentah yang mencukupi.  

Dan menurut Dato’ Sri Wan Rosdy; “Kepentingan sumber hutan negeri Pahang – sepertimana sumber air mentahnya; bukan sahaja memenuhi keperluan negeri Pahang, tetapi juga untuk negeri-negeri yang bersempadanan dengannya seperti Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan, Perak dan Johor”.  

Berdasarkan satu kajian, air mentah yang diperolehi dari lembangan sungai-lembangan sungai di Pahang khususnya Sungai-sungai Pahang, Kuantan dan Rompin sahaja, menyumbang kira-kira 12.661 juta meter padu sehari.

KEPERLUAN AIR DIRAWAT CUMA 1.888 JUTA METER PADU SEHARI

Keperluan penduduk Pahang untuk bekalan air dirawat sehingga tahun 2050pun, ialah sekadar kira-kira 1.888 juta meter padu sehari. Maka, jumlah besar air mentah (12.661 juta meter padu sehari) itu adalah lebih daripada memadai untuk diproses bagi menampung keperluan air terawat di negeri ini.

Selebihnya, boleh dimanfaatkan dengan menjualnya ke negeri-negeri memerlukan sepertimana menerusi Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (PPAMPS) bagi penyaluran kira-kira 1.893 juta meter padu sehari ke negeri tersebut.

PPAMPS ialah projek Kerajaan Persekutuan bernilai RM3,751 juta (RM3.751 billion) yang melibatkan beberapa komponen termasuk terowong bawah tanah berdiameter 5.2 meter, sepanjang 44.6 km dari Karak, Bentong ke Loji Rawatan Air Langat (LRA) 2 di Hulu Langat, Selangor.

Telah siap sejak 2017 lagi, hanya menunggu siapnya LRA2 sahaja lagi – yang tertangguh sekian lama dan kini dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2023; untuk menerima bekalan air mentah menerusi PPAMPS tersebut.

Pada tahun 2007 lagi, perjanjian telah ditanda tangani antara Kerajaan Negeri Pahang dengan Kerajaan Negeri Selangor bagi pembekalan air mentah 1.893 juta meter padu sehari itu pada kadar 10 sen semeter padu.

PAHANG DIJANGKA DAPAT RM69.094 JUTA SETAHUN

Dengan itu, jangkaan pendapatan tahunan kepada Kerajaan Negeri Pahang menerusi perjanjian tersebut yang boleh disemak-semula menurut jadualnya; ialah kira-kira RM69.094 juta.  

Selain Hutan Tadahan Air, Kerajaan Negeri juga turut memberi fokus kepada perkara-perkara lain yang masih berkaitan dengan usaha memelihara dan memulihara hutan termasuk yang khusus melibatkan daerah-daerah tertentu.

Misalnya, ia (Kerajaan Negeri) juga telah baru-baru ini meluluskan kawasan seluas 50,000 hektar bagi pelaksanaan Projek Penghutanan Semula Kawasan Terosot di daerah-daerah Rompin, Temerloh dan Kuantan. 

Kawasan terosot atau juga dikenali sebagai ‘hutan miskin’, ialah kawasan hutan yang kurang produktif yang dengan itu akan dipulihkan dengan penanaman pelbagai spesies pokok hutan.

Bagi menangani isu berkaitan penjagaan hutan di Tasik Chini, Pekan pula, ia telah turut memperkenalkan dasar khas dengan tidak lagi meluluskan pajakan melombong baharu di sekitar tasik tersebut.

HENDAKLAH BUKAN SETAKAT ‘INDAH DI ATAS KERTAS’ SAHAJA

Sehubungan itu juga, Kerajaan Negeri mewartakan kawasan seluas 4,497.25 hektar di sekitar Tasik Chini tersebut sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK) – satu tindakan tegas demi memelihara secara khusus, alam sekitar di tasik tersebut.

Ini sepertimana juga dilaksanakan di Cameron Highlands apabila Kerajaan Negeri juga pada Oktober lepas, bersetuju mewartakan kawasan hutan seluas 2,289.62 hektar di kawasan tanahtinggi itu sebagai Hutan Taman Negeri.  

Dengan ini menjadikannya sebagai Hutan Taman Negeri kedua terbesar di negeri ini selepas Hutan Simpan Taman Negeri Endau Rompin yang berkeluasan kira-kira 31,797 hektar.

Demi memastikan segala inisiatif ini terlaksana dan berjaya – dan bukan setakat ‘indah di atas kertas’ sahaja; sudah tentulah aspek penguatkuasaan turut diutamakan, selain meminta kerjasama semua pihak agar patuh kepada apa yang telah ditetapkan berkaitan pemeliharaan hutan di negeri ini. 

“Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan saya, amat komited untuk memastikan agar sumber hutan kita ini yang tidak ternilai harganya, diuruskan secara mampan dan berkekalan.

“Jangan akibat ketidak-pandaian kita generasi sekarang dalam menguruskan hutan kita ini, sampai anak cucu kita dan generasi seterusnya mengutuk kita (kelak) kerana kecuaian kita sendiri,” demikian tegasnya Dato’ Sri Wan Rosdy. – Khabar