Tuesday, 1 September 2020

Kerajaan Negeri terus bertegas tanpa kompromi dalam isu pekebun haram durian Musang King

FOTO SEKADAR HIASAN...
 
 
KENYATAAN MEDIA 
MENTERI BESAR PAHANG
 
Kerajaan Negeri terus bertegas tanpa kompromi dalam isu pekebun haram durian Musang King
 
Kerajaan Negeri mengulangi ketegasan dan komitmen untuk bertindak tegas ke atas tanah-tanah diusahakan secara haram oleh pekebun-pekebun durian Musang King di Raub, yang kini tertangguh ekoran keputusan Mahkamah Tinggi mengenainya baru-baru ini.
 
Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Dato’ Zainal Azman Ab Aziz pada 28 Ogos yang lalu membenarkan agar pendengaran permohonan kebenaran oleh 111 pekebun haram di Raub bagi semakan kehakiman untuk membatalkan notis pengosongan tanah yang melibatkan kebun-kebun berkenaan yang dikeluarkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Raub dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, ditangguhkan sehingga 28 Oktober 2020.  
 
Sehingga permohonan tersebut didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi, Kerajaan Negeri terpaksa menangguhkan buat sementara semua tindakan bagi menguatkuasakan notis pengosongan berkenaan.
 
Dalam hal ini saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tiada berhasrat untuk menindas pekebun-pekebun terbabit. Sebaliknya ia sekadar bertindak sebagaimana yang dibenarkan oleh undang-undang dan pekebun yang terbabit sewajarnya menjadi warga yang patuh undang-undang dengan mengosongkan tanah kerajaan yang mereka duduki secara haram selama ini.
 
Oleh itu, Kerajaan Negeri berharap, kerjasama dapat diberikan oleh semua pihak terutamanya dalam kalangan petani-petani haram berkaitan penanaman durian Musang King di daerah Raub.
 
 
DATO’ SRI WAN ROSDY BIN WAN ISMAIL
Menteri Besar Pahang
1 September 2020 - Khabar