Friday 5 March 2021

Penguatkuasaan tanpa kira kaum ke atas tanah terokaan/perlombongan haram

NOTA EDITOR ;

Tulisan berikut ialah sebagai tindak balas kepada tuduhan yang dilemparkan oleh segelintir pihak kononnya Kerajaan Negeri bertindak ‘pilih bulu’ menurut kaum, dalam kerja-kerja penguatkuasaannya ke atas gejala penerokaan tanah/perlombongan secara haram di negeri ini. 

Menerusi tulisan ini -- bersandarkan fakta-fakta dan bersifat lebih realistik dan menyeluruh; diharapkan dapat sedikit-sebanyak menjawab tuduhan liar berkenaan yang lebih kepada kecenderungan memainkan sentimen perkauman.  

KERJA-KERJA PENGUATKUASAAN KE ATAS TANAH TEROKAAN HARAM YANG MELAMPAUI BATASAN KAUM... 

 

kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Adalah mengecewakan apabila ada segelintir pihak menuduh atau menyindir Kerajaan Negeri kononnya bersifat berpilih-pilih menurut kaum, dalam kerja-kerja penguatkuasaan ke atas tanah-tanah diterokai atau dilombong haram di negeri ini.

Sedangkan, tindakan penguatkuasaan sama dikenakan ke atas tanah-tanah terbabit dan ke atas sesiapa sahaja pelakunya tanpa mengira kaum. Ini sepertimana terbukti dengan langkah-langkah Kerajaan Negeri di bawah Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail ketika ini.

Banyak yang boleh diberikan contoh tetapi cukup sekadar empat (4) utama, yang turut mendapat liputan meluas media – sama ada media arus perdana termasuk stesen televisyen, mahupun media sosial.

Keempat-empatnya ialah berkaitan penerokaan tanah untuk tanaman sayur-sayuran dan bunga-bungaan di Sungai Ichat dan Lembah Bertam – kedua-duanya di Cameron Highlands, untuk tanaman durian Musang King di Raub, dan terkini, bagi kerja-kerja perlombongan emas di Kechau, Lipis.

Di Sungai Ichat, pelaku ialah dalam kalangan kaum Cina, 24 orang dan India, juga 24 orang; di Lembah Bertam membabitkan 99 Cina dan 21 India; di Raub membabitkan 625 Cina, 78 Melayu dan empat India; manakala di Kechau, Lipis membabitkan kaum Melayu kesemuanya di atas 14 lot tanah milik sendiri. 

ARTIKEL SAMA TERSIAR DALAM AKHBAR BERITA HARIAN HALAMAN 13 TERBITAN SABTU, 6 MAC...

SALAH TETAP SALAH

Namun bagi Dato’ Sri Wan Rosdy, salah tetap salah tidak kiralah di mana juga lokasi penerokaan tanah atau perlombongan haram itu berlaku, mahupun latar belakang termasuk kaum pelaku-pelakunya.

Ekoran itu, kerja-kerja penguatkuasaan digerakkan dan seperti dijangkakan, mendapat bantahan daripada pelaku-pelaku terbabit. Mereka turut meraih simpati dan memperolehi campur tangan politik daripada parti-parti berkenaan.

Pada awal kerja-kerja penguatkuasaan di Sungai Ichat misalnya, bantahan dalam pelbagai bentuk Kerajaan Negeri terima termasuk isunya di bawah ke mahkamah tetapi akhirnya, mereka sendiri menariknya balik.

Mereka juga khususnya dalam kalangan pelaku India, melancarkan bantahan secara fizikal dengan cubaan menghalang kerja-kerja penguatkuasaan dan turut menerima sokongan beberapa ahli politik ‘tak tahu hujung-pangkal’ daripada parti pemerintah sendiri.

Oleh sebab ketegasan Kerajaan Negeri secara konsisten, kerja-kerja penguatkuasaan akhirnya berjaya juga. Bukan setakat kebun-kebun haram dimusnahkan sebaliknya di kawasan yang sensitif alam sekitar, ditanami semula dengan pokok-pokok hutan.

KERJA PENGUATKUASAAN LANCAR DI LEMBAH BERTAM

Air sungai tercemar teruk tahap 4 di situ, berjaya dikembalikan jernih hingga ke tahap 1, seterusnya kembali sebagai sumber utama pembekalan air mentah yang diproses menjadi air terawat, bagi menampung keperluan sebahagian besar penduduk kawasan tanahtinggi tersebut.

Kemudian, kerja-kerja penguatkuasaan dijalankan di Lembah Bertam pula dan kali ini, kerja-kerjanya berjalan lancar tanpa sebarang insiden buruk, mungkin susulan pelaku terbabit telah pelajari daripada kegagalan bantahan di Sungai Ichat.

Di Raub pula, corak bantahan pelaku terbabit hampir sama dengan corak bantahan di Sungai Ichat – bantahan menerusi pembawaan kes ke mahkamah dan secara fizikal, turut disertai ahli-ahli politik pembangkang pula.

Sungguhpun akhir tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuantan menolak permohonan bagi mendapatkan semakan kehakiman terhadap notis arahan pengosongan tanah namun mereka membuat rayuan, menyebabkan kerja-kerja penguatkuasaan di Raub itu terpaksa ditangguhkan lagi sehingga kini.

“Dan ini adalah keputusan mahkamah dan perjalanan proses undang-undang yang tentunya Kerajaan Negeri perlu patuh kepadanya,” kata seorang pegawai kerajaan, seterusnya menempelak sikap segelintir pihak yang sengaja enggan menerima hakikat tersebut.

LOMBONG HARAM DI TANAH SENDIRI?

Yang terkini di Kechau, Lipis. Sungguhpun ia membabitkan tanah milik sendiri –setiap satu (1) lot dimiliki secara bersama oleh ramai individu menurut bahagian masing-masing; tetapi, tindakan penguatkuasaan serupa Kerajaan Negeri jalankan adalah atas asas undang-undang.

Menurut Seksyen 40 Kanun Tanah Negara, sebarang galian dan bahan batuan yang terkandung di dalam atau di atas mana-mana tanah, adalah terletak hak hanya kepada Kerajaan Negeri. 

Oleh itu, turut menjadi kesalahan jika pengambilan bahan mineral tersebut dibuat tanpa kebenaran dan permit daripadanya (Kerajaan Negeri) lalu mewajarkan kerja-kerja penguatkuasaan dilaksanakan.

Sungguhpun dengan kerja-kerja penguatkuasaan tanpa mengira batas kaum, Kerajaan Negeri turut mengemukakan penyelesaian bercirikan menang-menang kepada semua, dengan pelantikan agensi-agensi berkaitan Kerajaan Negeri untuk menyelaraskan kerja agar pertanian mahupun perlombongan, dijayakan semula dengan lebih sempurna.

Di Sungai Ichat dan Lembah Bertam, Pahang Corporation Sdn Bhd (Pahang Corp) dilantik untuk menyelaraskannya. Tugasnya termasuk memastikan, pekebun yang benar-benar ‘genuine’, diberi kebenaran mengusahakan tanah secara sah di kawasan-kawasan yang ditentukan, serta tidak mencemarkan alam sekitar.

PERANAN AGENSI SEBAGAI PENYELARAS

Di Raub pula, tugas penyelarasan itu diserahkan kepada Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) yang bekerjasama dengan Royal Pahang Durian Group (RPD Group), membentuk Royal Pahang Durian Produce-PKPP Sdn Bhd (RPDP-PKPP).

Manakala di Kechau, Lipis, Pahang Mining Corporation Sdn Bhd (PMC) yang baharu Kerajaan Negeri tubuhkan, dipertanggungjawabkan untuk menyelaras kegiatan perlombangan emas di sana.

PMC juga bertanggungjawab melaksanakan Skim Pelombong Kecil (SPK) yang Kerajaan Negeri baru perkenalkan, khusus untuk memudahcarakan kerja-kerja perlombongan bahan mineral tersebut bagi tanah sendiri seluas 4.05 hektar dan ke bawah.

Mungkin terdapat perselisihan tentang beberapa perkara yang ditetapkan oleh agensi-agensi penyelaras berkenaan sepertimana dilaporkan berlaku di Raub. Namun, sudah pasti ia boleh diselesaikan menerusi meja perundingan dan hanya masa akan menentukan.

Hakikatnya ialah, Kerajaan Negeri secara konsisten sangat tegas dalam kerja-kerja penguatkuasaan tanpa mengira kaum tetapi, turut menawarkan penyelesaian kepada isu sama yang diharapkan, semua pihak berlapang dada menjayakannya. – Khabar