Sunday 14 March 2021

Peranan State-GLC selanjutnya, bantu majukan kampung

“Ini adalah cadangan saya sebab, apabila saya mendapati State-GLC telah berjaya mengurangkan ketirisan, kebocoran dan mana ‘break even’ telahpun mencipta keuntungan; dan pada tahun lepas sahaja, State-GLC menyumbang sebanyak RM38 juta kepada Kerajaan Negeri daripada ‘zero-based (budgeting)’,” kata Menteri Besar. 

PERUNTUKAN RM1.5 JUTA BAGI UJIAN MAMMOGRAM... Selain Dato' Sri Wan Rosdy, yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Sri Shahaniza (kanan sekali) dan Ketua Pengarah, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Encik Abdul Shukur Abdullah (barisan depan, kiri sekali).

Ahli-ahli MMK yang turut hadir pada majlis ini ialah Dato' Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Dato' Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff (kiri sekali, dalam foto sama ini).  


LAMAN SEJAHTERA, SUNGAI KOYAN, LIPIS – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail telah meminta Syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (State-GLC @ S-GLC) meluaskan peranan dengan membantu memajukan kampung-kampung tertentu yang memerlukan.

“Ini adalah cadangan saya sebab, apabila saya mendapati State-GLC telah berjaya mengurangkan ketirisan, kebocoran dan mana ‘break even’ telahpun mencipta keuntungan; dan pada tahun lepas sahaja, State-GLC menyumbang sebanyak RM38 juta kepada Kerajaan Negeri daripada ‘zero-based (budgeting)’.

“Jadi saya mencadangkan – setelah saya mengadakan perbincangan; apa salahnya State-GLC ini memilih kampung-kampung di pedalaman atau kampung-kampung kurang maju, untuk mereka sama-sama membantu membangunkan kampung tersebut.

“Bukan (untuk) mencampuri urusan (pentadbiran dan perjalanan kampung-kampung) tetapi membantu,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy pada persidangan media sempena Majlis Pelancaran Program Cakna Suri dan Jelajah Peduli Keluarga Pahang pagi Ahad, 14 Mac di sini.

Beliau diminta mengulas peranan baharu S-GLC itu sepertimana disebutnya dalam ucapan pada majlis sebelumnya di Kampung Sungai Ular berdekatan – Majlis Penyerahan Kedai Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) di Rancangan Tanah Pemuda (RTP) Kampung Sungai Ular.

MENURUNKAN TANDA TANGANNYA... Dato' Sri Wan Rosdy semasa menjengah ke satu daripada empat kedai PKPP di RTP Kampung Sungai Ular.

KEDAI 4-PINTU UNTUK KAMPUNG SUNGAI ULAR

Pada majlis tersebut, PKPP – sebuah daripada 51 buah S-GLC, menyelaraskan usaha mendapatkan peruntukan RM470,000 daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bagi pembinaan empat (4) kedai di situ.

Setelah siap, kedai-kedai ini diserahkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) berkenaan untuk kemudian disewakan kepada peniaga kecil setempat dengan sewaan cuma RM100 sebulan.    

Selain menjadi punca pendapatan tetap bulanan kepada JKKK, ia turut membantu peniaga-peniaga kecil berkenaan untuk berniaga dalam premis yang selesa dan dengan kadar bayaran sewa bulanan yang berpatutan.

Dato’ Sri Wan Rosdy seterusnya memberi beberapa contoh tentang peranan yang S-GLC turut boleh mainkan dalam memajukan kampung-kampung berkenaan termasuk memberi khidmat-nasihat seterusnya membangunkan tanah-tanah terbiar.     

Begitu juga usaha membantu kampung-kampung berkenaan katanya, dalam mengaktif/mengimarahkan surau-surau di sana dengan aktiviti-aktiviti seperti bergotong-royong.

SATU DARIPADA EMPAT KEDAI PKPP...

S-GLC TURUT BOLEH BANTU KEMASKAN AKAUN JKKK

“JKKKnya pula, kalau didapati akaunnya tidak diuruskan dengan baik, mungkin mereka (S-GLC) boleh membantu untuk membuat akaun JKKK (secara kemas dan tersusun).

“Tapi, selepas didapati kampung tersebut boleh berdiri sendiri, berdaya saing; S-GLC tersebut bolehlah pindah (alih, dan beri tumpuan) ke kampung lain pula,” katanya serta menambah, kerja-kerja ini akan diselaras dan dipengerusikan oleh Pegawai Daerah di kampong-kampung terlibat.

Mengenai Program Cakna Suri dan Jelajah Peduli Keluarga Pahang anjuran Majlis Pembangunan Wanita Pahang (MPWP) di bawah seliaan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin katanya;

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1.5 juta bagi manfaat 6,000 golongan wanita di negeri ini, supaya mereka dapat menjalani saringan mammogram demi mengesani awal penyakit kanser payu dara.

Menurutnya, pengesanan awal penting agar penyakit tersebut – kanser pembunuh utama di negara ini; dapat dibendung seterusnya menyembuhkan pesakit. 

DALAM UCAPAN LUAR TEKS 25-MINIT DI RTP KAMPUNG SUNGAI ULAR... Dalam ucapannya ini juga beliau menasihati penduduk dan rakyat Pahang supaya tidak membenarkan pihak ketiga mengganggu-gugat persepakatan baik dan kukuh yang terjalin dalam kerjasama UMNO dan PAS di bawah Muafakat Nasional (MN). Kemenangan majoriti besar Encik Ramli Mohd Noor (BN - Cameron Highlands) pada Pilihanraya Kecil Parlimen berkenaan 26 Januari 2019 ialah buktinya. – Khabar