Thursday 8 July 2021

ECRL; Dilancar, dibatal, digantung kini diteruskan semula

Dilancar tahun 2017 semasa di bawah BN, dibatal dan digantung disusuli cadangan jajaran asalnya ditukar ke jajaran baharu di bawah kerajaan 22-bulan PH, dan diteruskan semula kini di bawah PN.

HALAMAN 16 RUANGAN RENCANA AKHBAR UTUSAN MALAYSIA TERBITAN JUMAAT, 9 JULAI 2021...

 

Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Dilancar, dibatal tetapi kemudian digantung dan kini diteruskan semula. Semua dalam tempoh lima (5) tahun meliputi tiga (3) pentadbiran Kerajaan Persekutuan daripada komponen parti berbeza – Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Dilancar tahun 2017 semasa di bawah BN, dibatal dan digantung disusuli cadangan jajaran asalnya ditukar ke jajaran baharu di bawah kerajaan 22-bulan PH, dan diteruskan semula kini di bawah PN.

Penerusan semula pula kembali menurut jajaran asal dengan kos kira-kira RM50 bilion daripada asal RM81 bilion, manakala jangkaan tarikh siapnya kini ialah tahun 2027 daripada asalnya tahun 2024.

Maka, ternampaklah cahaya di hujung terowong daripada ‘kepala gerabak keretapi’ projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) oleh penggeraknya, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) menerusi pelaburan tempatan dibiayai 85 peratus oleh pinjaman mudah daripada Export-Import Bank of China, dan selebihnya melalui penerbitan sukuk.

Pengumuman tentang penerusan semula ini dibuat oleh Menteri Pengangkutan Dato’ Sri Dr Wee Ka Siong pada 5 April 2021, segera disambut baik oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail pada hari sama.

MEMANG INI DIPERJUANGKAN SELAMA INI

“Keputusan baharu sebagaimana dinyatakan oleh Menteri Pengangkutan Dato’ Sri Dr Wee Ka Siong disokong penuh dan memang ini yang kita usahakan (perjuangkan) selama ini,” katanya.

Sebelum itu, Dato’ Sri Wan Rosdy telah menyatakan pendirian tegasnya semasa projek ini – dibatal ketika Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat pengumuman mengenainya semasa lawatan ke Beijing, China pada 21 Ogos 2018, kemudian digantung bagi mengkaji kos ketika Menteri Kewangan ketika itu, Encik Lim Guan Eng membentangkan Belanjawan Negara 2019 pada 2 November 2018. 

Projek sejauh 688 KM menurut jajaran asal bermula Wakaf Bharu-Kota Bharu-Tok Bali  hingga ke sempadan, seterusnya Kampung Raja-Kuala Terengganu-Dungun hingga ke sempadan, dan Cherating-Kuantan-Temerloh-Bentong, serta Gombak-Serendah di Selangor sampailah ke Pelabuhan Kelang.

Tahap kemajuannya kini ialah 21.39 peratus setakat Mac 2021 tetapi yang melalui bumi Pahang sejauh 232.5 KM atau kira-kira 34 peratus daripada keseluruhan panjang laluan, ialah kira-kira 23.01 peratus setakat 28 Jun lepas.

Luas tanah bagi 232.5 KM ini pula ialah 1,394.4 hektar yang daripadanya, 385 hektar atau 27.6 peratus ialah Tanah Kerajaan manakala selainnya tanah rizab hutan serta milik persendirian, merentasi daerah-daerah Kuantan, Maran, Temerloh dan Bentong.

PEMBANGUNAN DIRANGKA DALAM RADIUS 15 KM DARI STESEN-STESEN

Selain rel, yang akan turut dibina di sepanjang laluan ECRL di Pahang ini juga ialah 42 jejambat, 22 terowong serta lapan (8) stesen meliputi empat (4) stesen penumpang sahaja di Cherating, KotaSAS, Kuantan Sentral dan Gambang, serta empat (4) lagi stesen penumpang dan kargo di Kuantan Port City, Maran, Temerloh dan Bentong.

Di Temerloh khususnya pekan kecil Mentakab misalnya, jajaran sisihan akan turut dibina bagi menghubungkannya dengan laluan kereta api sedia ada yakni Tumpat, Kelantan ke Gemas, Johor kendalian Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB).

Apabila siap kelak, untuk perkhidmatan penumpang sahaja; ECRL keseluruhannya dijangka mampu menarik minat dan mengendalikan 4.83 juta orang pada tahun 2027 dan meningkat sehingga 7.19 juta pada tahun 2037.

Manakala perkhidmatan kargonya pula dijangka mengangkut 37.28 juta tan barangan import dan eksport dalam kontena, serta bahan mineral bijih besi, arang batu, simen dan keluli pada tahun 2030, yang dijangka menambah kepada 44.08 juta tan pada tahun 2040.

Dan dalam radius antara lima (5) KM dan 15 KM dari stesen-stesen yang disebutkan tadi, Kajian Pelan Induk Bersepadu Guna Tanah ke arah membangunkannya sedang dilaksanakan oleh pasukan tenaga pakar Plan Malaysia sejak 15 Mac lepas (2021) dan dijangka siap September 2022.

INPUT-INPUT TEMPATAN AKAN TURUT DIAMBIL KIRA

Sudah pasti input-input tempatan akan turut diperolehi daripada Pihak Berkuasa Tempatan-Pihak Berkuasa Tempatan di daerah-daerah terlibat demi menepati kehendak dan kewajaran penduduk setempat demi kesejahteraan mereka juga.

Sepertimana semua sedia maklum, projek ECRL dikemukakan bertujuan untuk merangsang ekonomi bagi Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) meliputi Pahang, Terengganu dan Kelantan khususnya.

Ia juga dicadangkan ekoran tiadanya laluan keretapi terus antara negeri-negeri pantai timur dengan pantai barat. Yang ada hanyalah laluan kendalian KTMB dari Tumpat ke Kuala Lumpur menerusi Gemas.

ECRL dengan itu, dijangkja dapat menambah baik kesalinghubungan antara bandar, kawasan-kawasan perindustrian dan pelancongan, pelabuhan laut, depoh kontena dalaman, lapangan terbang seterusnya, meningkatkan lagi kemudahan pengangkutan rakyat Pahang serta di negeri-negeri pantai timur.

Sehubungan itu, ECRL dapat mengurangkan tempoh perjalanan dan kos pengangkutan kargo antara destinasi-destinasi terlibat, mengurangkan jumlah kenderaan termasuk kenderaan berat di atas jalan raya sekaligus mengelak berlaku kesesakan lalu lintas terutamanya pada waktu puncak serta musim-musim perayaan.

POHON TIDAK ALAMI NASIB-NASIB BERBEZA LAGI

Dengan segala perkara positif yang dijangka diperolehi daripada pelaksanaan projek ECRL ini, adalah dijangkakan juga agar kerjasama semua pihak diberikan supaya projek ini berjalan lancar serta menepati tempoh siap dan operasinya pada tahun 2027 kelak.

Jika sebelum ini projek ini terpaksa melalui nasib-nasib berbeza terutamanya peringkat dibatal kemudian ditangguh menurut parti komponen yang menguasai Kerajaan Persekutaan, diharap kini ia tidak berlaku lagi. – Khabar