Wednesday 7 July 2021

Isu kebun haram Raub; Haram tetap haram

… waima apa sekali pun alasan atau ‘reverse psychology’ yang diberikan untuk meraih simpati serta cuba menghalalkannya.

ARTIKEL SAMA DISIARKAN DALAM RUANGAN CETUSAN HALAMAN 18 AKHBAR SINAR HARIAN TERBITAN KHAMIS, 8 JULAI 2021...

 

Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN“Saya berharap, ini tidak dijadikan isu perkauman kerana sebelum ini, kerja-kerja penguatkuasaan kita turut dilakukan di Sungai Ichat dan Lembah Bertam, Cameron Highlands serta di Kechau, Lipis” kata Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail. 

Menurut rekod, kerja-kerja penguatkuasaan membanteras penerokaan tanah secara haram  di Sungai Ichat, membabitkan masing-masing 24 pekebun India dan Cina; di Lembah Bertam, 99 pekebun Cina dan 21 pekebun India.

Manakala di Kechau ialah penguatkuasaan ke atas pelombongan emas tanpa kebenaran membabitkan Melayu, kesemuanya atas 14 lot tanah milik sendiri dengan setiap lot ada senarai nama panjang pemilik bersama. 

Kata-kata Dato’ Sri Wan Rosdy tadi ialah sebagai maklum-balas kepada pihak media tentang isu penguatkuasaan ke atas kebun-kebun haram dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) Batu Talam khususnya di kawasan seluas 101.17 hektar (250 ekar) di situ.

Ini adalah sangat difahami ekoran sudah ada suara-suara sumbang yang mempertikaikan kerja-kerja penguatkuasaan tersebut yang didakwa bersifat perkauman, apabila pekebun-pekebun haram di situ ialah dalam kalangan kaum Cina.

ARTIKEL SAMA SIARAN PADA HALAMAN 16 AKHBAR UTUSAN MALAYSIA TERBITAN 21 JULAI 2021...

OPERASI PENGUATKUASAAN BIASA

Sepertimana semua sedia maklum, penguatkuasaan kali ini melibatkan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) serta beberapa lagi agensi penguatkuasaan termasuk Unit Penguatkuasa Negeri Pahang (UPNP) dengan mendapat kerjasama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bermula 3 Julai sehingga 2 Ogos 2021.

Operasi penguatkuasaan termasuk menahan mana-mana individu/pekebun haram yang memasuki kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) Batu Talam tanpa kebenaran dan turut menyita apa juga barangan dan kenderaan.

Operasi penguatkuasaan ini sebenarnya ialah operasi penguatkuasaan biasa tetapi telah mendapat tentangan serta provokasi dengan kata-kata kesat dikeluarkan ke arah pegawai-pegawai dan kakitangan penguatkuasa.

Yang menakjubkan ialah dengan kehadiran pemimpin sebuah parti politik pembangkang – boleh lepas merentas negeri dalam pada negara tempohi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang tidak membenarkannya; semata-mata untuk menunjukkan sokongan.

Dan antara sokongan itu termasuk mendakwa kononnya operasi penguatkuasaan kali ini melanggar perintah Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 5 Januari 2021 susulan pekebun haram terbabit memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran menyemak notis pengosongan tanah yang ditanam pokok durian ‘Musang King’ berkenaan.

PENGUATKUASAAN LUAR KAWASAN DIMAKSUDKAN

Dakwaan ini tidak benar kerana kerja-kerja penguatkuasaan kali ini ialah di luar kawasan kebun durian yang dimaksudkan yang dipajakkan kepada Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd (RPDRP) – usahasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) – sebuah agensi Kerajaan Negeri, dengan pihak swasta.

Operasi penguatkuasaan serta kawasan dijalankan penguatkuasaan ini juga ialah setelah mendapat pandangan perundangan daripada Pejabat Penasihat Undang-undang (LA) Negeri yang sebelum itu telah merujuk perkara ini kembali ke Mahkamah Rayuan yang sama.

Sebelum keputusan ‘injunksi’ oleh Mahkamah Rayuan berkenaan, Mahkamah Tinggi Kuantan pada 23 Disember 2020, telahpun menolak permohonan pekebun haram tersebut untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap notis arahan pengosongan tanah yang sama.

Mahkamah Tinggi sama turut mendapati pekebun terbabit adalah penceroboh di tanah berkenaan dan tidak mempunyai hak di sisi undang-undang (locus standi) untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman.

Maka daripada segi perundangan adalah jelas bahawa, kerja-kerja penguatkuasaan yang Kerajaan Negeri jalankan berlunaskan undang-undang manakala di pihak pekebun haram, mereka cuma mendapat perintah injunksi bagi pelaksanaan kerja-kerja penguatkuasaan di kawasan dipertikaikan (RPDRP) sementara menunggu perbicaraan di Mahkamah Rayuan kelak.

‘ELEMENTS OF RISK’ – UNTUNG SABUT TIMBUL, UNTUNG BATU TENGGELAM

Dalam pada itu, sentimen simpati dimainkan termasuklah mempertikaikan kenapa kerja-kerja penguatkuasaan kali ini dibuat ketika pokok-pokok durian berkenaan sedang berbuah, seolah-olah satu tindakan kejam dan menganiaya.

Begitu juga dipertikaikan kenapa kononnya dakwa mereka, setelah 20 tahun pekebun haram bertanam di kawasan HSK Batu Talam itu, baru sekarang hendak mengambil tindakan penguatkuasaan.

Kepada pertikaian-pertikaian ini, sudah tentu yang paling asas ialah – haram tetap haram, waima apa sekali pun alasan atau ‘reverse psychology’ yang diberikan untuk meraih simpati serta cuba menghalalkannya.

Sedar tentang status haram tersebut tentu pekebun haram terbabit sendiri sudah mengambil kira ‘elements of risk’ yang mana keadaannya bolehlah umpama – ‘untung sabut timbul, untuk batu tenggelam’.  

Penulis tertarik dengan analogi oleh seorang peguam yang lebih dikenali sebagai ‘Apek Cina’. Dia umpamakan serbuan polis ke atas premis memproses dadah ‘cannabis’ yang takkanlah pemprosesnya boleh meminta polis membenarkan mereka menghabiskan pemprosesan haram itu, sebelum ditahan.

KENAPA TIDAK BOLEH SEKARANG?

Kenapa sekarang, tidak 20 tahun lepas? Kita boleh bertanya kembali, kenapa tidak boleh sekarang? Apatah pula sekarang apabila kerja-kerja haram mereka di kawasan terpencil yang sukar dikesan sebelum ini, telah mula terbongkar dan pihak penguatkuasa mempunyai keupayaan untuk membanterasnya.

Sementelah pula, Kerajaan Negeri – yang cemerlang dengan kejayaan di Sungai Ichat dan Lembah Bertam dan dijadikan penanda aras bagi kerja-kerja penguatkuasaan ke atas apa juga jenis pencerobohan tanah secara haram di negeri; ingin terus konsisten dengannya.

Sudah tentu rakyat Pahang khususnya, turut memberi sokongan padu atas usaha-usaha dan ketegasan Kerajaan Negeri, dan sokongan ini akan dapat menaikkan lagi semangat untuk ia melakukan yang betul dan lebih baik lagi. – Khabar