Friday 3 September 2021

Inilah Pahang – negeri aman, politik harmoni

SIARAN DALAM HALAMAN 16 AKHBAR UTUSAN MALAYSIA TERBITAN SABTU, 4 SEPTEMBER 2021...
 

Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN“Inilah Pahang, This is Pahang – satu perkara yang boleh kita tonjolkan untuk menunjukkan negeri kita adalah istimewa berbanding negeri-negeri lain,” kata Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail pada 25 Ogos lepas.

Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan menjunjung kasih atas Titah DiRaja oleh KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Ke-14 dua (2) hari sebelumnya.  

Ia sebagai maklum balas kepada perbahasan oleh Dato’ Mustapha Long (BN – Padang Tengku) pada 24 Ogos, antara lain memuji pentadbirannya hingga menjadikan Pahang aman, tidak sepertimana di peringkat Kerajaan Persekutuan.

“Sukacita saya katakan bahawa, MN (Muafakat Nasional) serta kerjasamanya dengan BN Negeri, is our way forward, waima apapun yang mungkin berlaku di peringkat pusat (serta di negeri-negeri lain), kita akan teruskan kerjasama kita dalam MN, insyaAllah” kata Dato’ Sri Wan Rosdy merujuk kepada perbahasan yang menyentuh hal sama oleh Dato’ Sri Shahiruddin Ab Moin (BN – Dong) pula.

Pada malam 23 Ogos sebelum itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Encik Andansura Rabu dalam program bual bicara live secara atas talian, turut bercakap mengenai MN dan Perikatan Nasional (PN), serta isu tentang pendirian PAS terhadap kedua-duanya.

KEJUJURAN DAN KEIKHLASAN DATO’ SRI WAN ROSDY

“Ada kata (PAS) tak ada pendirian, ada yang kata main ‘dua-tiga kolam’. Bagi PAS, main 10 kolam sekalipun, asalkan ia mendatangkan kebaikan; apa salahnya,” kata Encik Andansura.  

Dalam konteks MN di negeri ini bagaimanapun, Encik Andansura menegaskan bahawa, Pahang ialah model terbaik apatah lagi dengan kejujuran dan keikhlasan yang ditunjukkan oleh Dato’ Sri Wan Rosdy sendiri.

Oleh itu beliau yang juga wakil rakyat (PAS – Beserah) berharap, parti-parti komponen dalam PN ditunjangi oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), perlu menerima hakikat tersebut.

Perkembangan terbaharu ini tentu menarik sekali setelah lama menyepi ekoran didominasi dan diselubungi kemelut apabila Kerajaan Persekutuan ketika itu yang dikemudi PN khususnya Bersatu pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, menerima tamparan hebat akibat penarikan sokongan UMNO terhadapnya.

Ekoran itu, Tan Sri Muhyiddin yang mengakui kehilangan majoriti dalam Dewan Rakyat, meletakkan jawatan pada 16 Ogos, digantikan oleh Naib Presiden UMNO, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob seterusnya dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9 pada 20 Ogos lepas.

PERJANJIAN MN NEGERI

Kali terakhir cakap-cakap mengenai MN di Pahang ialah kira-kira empat bulan lepas pada 28 April 2021, semasa kedua-dua UMNO Negeri dan Pas Pahang memeterai perjanjian MN pada majlis ringkas di Dewan Kediaman Rasmi Menteri Besar, Kuantan.

Perjanjian ditandatangani oleh Dato’ Sri Wan Rosdy yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang dan BN Negeri, dengan Pesuruhjaya Pas negeri, Encik Rosli Abdul Jabar. Perjanjian ini ialah susulan majlis menandatangani Piagam MN peringkat pusat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 14 September 2019.  

Pejanjian ini antara lain memberi jaminan bahawa kedua-dua parti tidak akan meletakkan calon masing-masing bertanding di kerusi-kerusi Dewan Negeri (DN) yang telah sedia dimenangi calon daripada parti masing-masing pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lepas.

Kedua-dua parti juga bersetuju untuk tidak menjalinkan kerjasama atau menyokong mana-mana calon yang bertanding di mana-mana 33 kerusi Dewan Negeri yang telah sedia dimenangi oleh masing-masing parti pada PRU lepas.

Bagi sembilan (9) lagi kerusi yang kini diduduki oleh parti-parti Pakatan Harapan (PH) – tujuh (7) DAP dan dua (2) PKR; dipersetujui agar perbincangan lanjut diadakan bagi menentukan calon daripada manakah dalam kalangan UMNO/BN dan PAS, yang akan dicalonkan bertanding di sana.

BERSATU DIBERITAHU TIDAK BERTANDING DI PAHANG

Ketika ditemui oleh wartawan pada majlis sama, Encik Rosli ditanyakan tentang perjanjian tersebut dan katanya, “Sekarang ini, tindakan kita ialah untuk beritahu kepada Bersatu supaya tidak bertanding di Pahang, tidak mengambil (mana-mana) kerusi”.

Beliau juga berkata, “Tugas PAS Pahang sekarang ialah untuk maklum kepada (PAS) Pusat dan minta supaya – sebagaimana UMNO (Negeri) meminta kepimpinan UMNO Pusat memberi kebebasan kepadanya; kita juga PAS (Negeri) minta diberikan (kebebasan) sebagaimana UMNO (Negeri)”.   

Dan perjanjian bersejarah ini dilihat kemuncak kepada ‘momentum’ yang baik dan lancar sebelum itu, bermula dengan kerjasama kedua-dua UMNO/BN dan PAS pada Pilihanraya Kecil (PRK) Cameron Highlands, 26 Januari 2019 hingga menyaksikan calon UMNO/BN menang besar.

Ini disusuli Himpunan Perpaduan Ummah (HPU) Pahang menghimpunkan 10,000 ahli dari kedua-dua parti di Padang MPK 2, Kuantan pada 26 April 2019. Hasil kerjasama erat UMNO/BN dan PAS sekali lagi, telah memastikan kemenangan selesa calon UMNO/BN pada PRK Chini, 4 Julai 2020.

Tak sampaipun sebulan kemudian pada 20 Julai 2020, persepakatan keduanya-duanya terserlah lagi dengan memperolehi sokongan 33 Ahli Dewan Negeri iaitu kesemua 24 daripada UMNO, kelapan-lapan daripada PAS dan seorang daripada MCA; bagi maksud untuk meluluskan sebuah Rang Undang-undang (RUU).

PERSEPAKATAN MN NEGERI LEBIH JITU

Dengan sokongan 33 Ahli Dewan Negeri ini, berjaya memperolehi majoriti lebih dua pertiga dalam Dewan Negeri yang mempunyai 42 kerusi, untuk RUU berkenaan – Enakmen Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang (Bahagian Kedua) (Pindaan) 2020 berkaitan pelantikan tidak lebih lima (5) Ahli Dewan Negeri (Dilantik) tanpa melalui proses pilihanraya; diluluskan.

Begitulah sudah teruji dan terbukti persepakatan kukuh antara UMNO khususnya, dengan PAS dalam MN Negeri, seterusnya turut melibatkan BN Negeri yang mempunyai MCA dan MIC sebagai parti komponen di negeri ini.

Apa yang diperkatakan semula tentang MN Negeri dalam tempoh seminggu-dua kebelakangan ini, boleh dikatakan sebagai pengesahan semula lebih jitu kepada persepakatan MN Negeri, demi menghadapi dengan jaya PRU-15 kelak. – Khabar