Friday 10 September 2021

Pahang tubuh Ombudsman tangani isu rasuah, salah guna kuasa

… negeri kedua selepas Sarawak tubuhkannya, tanda serius Kerajaan Negeri tangani rasuah dalam perkhidmatan awam.

FOTO HIASAN...
 

KENYATAAN MEDIA

MENTERI BESAR PAHANG

 

Pahang setuju tubuh Jawatankuasa Ombudsman

Kerajaan Negeri menerusi mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Rabu lepas (8 September), bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Ombudsman Negeri Pahang (JONP).  

Ini selaras dengan saranan dan komitmen Kerajaan Negeri bagi memperkukuhkan lagi kualiti pengurusan aduan berkaitan integriti dalam urusan penyampaian perkhidmatan awam di negeri ini.

Dipengerusikan oleh Ahli MMK Negeri, Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak, keahliannya terdiri daripada Setiausaha Kerajaan Negeri; Penasihat Undang-undang Negeri; Pengarah, Jabatan Audit Negara Negeri; Pengarah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri; Ketua, Unit Integriti, Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri; dan, Ketua, Unit Audit Dalam, Pejabat SUK Negeri.

Unit Integriti, Pejabat SUK Negeri ialah urusetia kepada JONP dan ia (JONP) akan mengadakan mesyuaratnya secara berkala bagi menangani isu-isu berkaitan yang di bawah bidang kuasanya.

JONP adalah menurut model digunapakai oleh Kerajaan Negeri Sarawak, yang merupakan perintis dalam kalangan negeri-negeri dan Kerajaan Persekutuan memperkenal dan melaksanakannya.

Jawatankuasa ini telah pertama kali dicadangkan kepada Kerajaan Negeri oleh Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Jabatan Perdana Menteri tahun lepas (2020). Sejak itu, usaha untuk merealisasikannya dibuat termasuk kajian mendalam oleh pegawai-pegawai Unit Integriti, Pejabat SUK Negeri .

Antara peranan dan tanggungjawab JONP ialah –

Meneliti aduan salah laku jenayah rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan serta pelanggaran tata kelakuan dan etika organisasi yang melibatkan perkhidmatan awam negeri Pahang yang tidak dapat diselesaikan di peringkat jabatan dan agensi.

Melantik Pasukan Siasatan Dalaman (PSD) bagi aduan-aduan salah laku jenayah rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan serta pelanggaran tata kelakuan dan etika organisasi yang memerlukan siasatan terperinci.

Meneliti hasil siasatan atau maklum balas aduan dan membuat keputusan berkaitan salah laku jenayah rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan serta pelanggaran tata kelakuan dan etika organisasi yang melibatkan perkhidmatan awam negeri Pahang.

Dan,

Mempertimbangkan dan meluluskan sebarang syor dan cadangan penambahbaikan pengurusan aduan salah laku berkaitan integriti penjawat awam negeri.

Skop dan bidang kuasa JONP pula, antara lainnya ialah –

Bertanggungjawab untuk meneliti aduan-aduan berkaitan salah laku jenayah rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan serta pelanggaran tata kelakuan dan etika organisasi yang tidak dapat diselesaikan di peringkat jabatan dan agensi.

Unit Integriti, Pejabat SUK Negeri akan menerima dan melakukan saringan terhadap semua aduan melalui Jawatankuasa Menilai Maklumat (JMM) sebelum dibawa ke peringkat JONP.

Aduan-aduan yang akan diambil tindakan di bawah JONP antara lainnya ialah penyalahgunaan kuasa membabitkan penjawat awam, kelewatan atau tiada tindakan terhadap sesuatu permohonan di jabatan dan agensi.

Sungguhpun begitu, adalah di luar bidang kuasa JONP untuk bertindak ke atas aduan-aduan salah laku jenayah rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan berkaitan jika ia telah dirujuk kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM), SPRM, Jawatankuasa Kira-kira (PAC) Negeri, Mahkamah, MMK Negeri, Lembaga Rayuan Negeri yang diurusetiakan oleh PLANMalaysia@Pahang, dan Biro Pengaduan Awam (BPA).

Dengan pewujudan JONP diharapkan, sistem penyampaian perkhidmatan awam di negeri ini dapat dilaksanakan dengan lebih berintegriti dan berkesan, demi kebaikan semua khususnya rakyat yang menerima manfaat langsung dan tidak langsung daripadanya, In Sya Allah.

 

DATO’ SRI WAN ROSDY BIN WAN ISMAIL

Menteri Besar Pahang

10 September 2021 - Khabar