Thursday, 24 January 2013

Jangan gadai kesucian Islam hanya kerana hendak jaga hati pihak tertentu, titah KDYMM Sultan Pahang


… nasihat tegas Baginda dalam titah-ucapan 15-minit sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri 1434H/2013M.

RAMAINYA... Inilah ruang duduk muslimah, yang oleh kerana ramainya hadirin, lelaki turut mengambil peluang duduk di ruangan ini manakala yang berdiri kelihatan ramai yang berhampiran dengan pintu-pintu di sisi Dewan. 


DEWAN JUBLI PERAK SULTAN HJ AHMAD SHAH, KUANTAN “Janganlah kerana hendak menjaga hati dan perasaan pihak-pihak, kumpulan atau individu tertentu, sehingga kita menggadai kesucian dan kemuliaan Islam,” demikian nasihat tegas  KDYMM Sultan Pahang.

Baginda meluahkannya dalam titah-ucapan 15-minit sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri 1434H/2013 pagi Khamis, 24 Januari di sini, yang dihadiri pemimpin dan rakyat hingga tidak tinggal satupun kerusi kosong dalam Dewan.  

Sungguhpun Baginda tidak menyebut secara khusus isu mahupun pihak yang dimaksudkan, namun umum dapat kaitkannya dengan isu semasa yang negara hadapi tentang penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam kitab injil berBahasa Melayu.

Penggunaan kalimah ini telah disepakati setuju oleh kepimpinan parti-parti pembangkang yang diterajui parti-parti politik PAS, DAP dan PKR, tetapi ditolak oleh Majlis Syura – badan tertinggi PAS, kemudiannya.

“Walaupun kita mengamalkan toleransi beragama,” titah KDYMM Sultan Pahang, “namun perlu diingatkan bahawa dalam masyarakat majmuk yang berbilang kaum, berbilang agama, dan budaya ini, pasti akan wujud isu sensitif yang boleh menimbulkan ketegangan dalam negara”.

'SPORTING'NYA TUANKU... Sungguhpun dalam berjalan keluar untuk ke majlis santapan di luar Dewan, KDYMM Sultan Pahang masih secara 'sporting', berkenan berhenti untuk memberikan 'pose' untuk dirakamkan gambar Baginda oleh hadirin. Yang menyusul di belakang Baginda ialah DYMM Sultanah Pahang; KDYTM Tengku Mahkota Pahang dan KDYTM Tengku Puan Pahang;, serta Menteri Besar.  


TANGANILAH DENGAN PENUH BIJAKSANA

Lalu Baginda bertitah lagi, “Saya berharap, apabila kita berhadapan dengan isu-isu yang menyentuh tentang sensitiviti agama dan nilai budaya masyarakat setempat, ianya perlu ditangani dengan penuh bijaksana…

“Dan berhati-hati, saling memahami, menghormati antara satu sama lain, bertolak ansur serta menjunjung tinggi prinsip perpaduan dan tolerasnsi sejagat demi memelihara keamanan”.

Lanjutan itulah, Baginda bertitah ‘mengingatkan diri saya dan tuan-tuan serta puan-puan’, “Janganlah kerana hendak menjaga hati dan perasaan pihak-pihak, kumpulan atau individu tertentu, sehingga kita menggadai kesucian dan kemuliaan Islam”.

Menurut-titah Baginda lagi, Nabi Muhammad SAW telah mewariskan kepada umatnya al-Quran dan sunnahnya untuk dijadikan sebagai panduan ke arah mencorak hidup umatnya yang lebih bermakna.

Sehubungan itu juga Baginda bertitah, “Maulidur Rasul yang kita sambut dan raikan setiap tahun ini, hendaklah dijadikan sebagai momentum untuk mempertingkatkan lagi gerak langkah ke arah cara hidup yang sepertimana dikehendak oleh Allah SWT”.

PENCETUS ISU... Siri terbaharu mengenai isu kalimah 'Allah' dipercayai bermula dengan perutusan Hari Krismas 2012 oleh pemimpin DAP ini (yang terkedepan dalam foto pada 'banner' ini), yang antara lain meminta agar kalimah suci ini turut dibenarkan dipakai dalam kitab injil berBahasa Melayu di Semenanjung Malaysia. 

Mengenai 'banner' ini sendiri yang direntangkan di tempat-tempat tertentu di negeri Pulau Pinang pimpinan parti pembangkang DAP itu bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul 2013, wajarkah?      


TANGGUNGJAWAB SEMUA PELIHARA PERPADUAN

Mengenai sambutan Maulidur Rasul ini titah Baginda, ia bukan setakat memberi ruang kepada umat Islam untuk memperingati dan meraikan bersama tarikh kelahiran Nabi Muhammad SAW, malah ia juga merupakan wadah untuk mengukuhkan lagi ukhwah dan perpaduan dalam kalangan mereka.

Dan ukhwah dan perpaduan ini perlu sentiasa dijiwai dan disemarakkan kerana ia titah Baginda, begitu penting dalam mewujudkan keadaan yang lebih aman dan  harmoni, ke arah mencapai kemajuan dan kejayaan yang lebih bermakna.

“Islam membenarkan sikap toleransi dalam urusan kehidupan di dunia namun permuafakatan tersebut perlu bersandarkan petunjuk-petunjuk. Setiap anggota masyarakat hendaklah bertanggungjawab memelihara asas agama sebagai ‘framework’ kepada perpaduan ummah,” titah Baginda.

Sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW titah Baginda, bermula sejak keputeraan sehinggalah saat kewafatan Baginda dan perjuangan itu meliputi soal-soal membimbing,  mengukuhkan nilai hidup dan mengajak umat ke jalan yang diredhai oleh Allah SWT.

Seterusnya Nabi Muhammad SAW, titah Baginda lagi, telah membangunkan umat Islam yang kuat dan hebat hingga turut disegani oleh bangsa-bangsa lain.

‘BAHAN YANG SALING MENYOKONG’

“Rasulullah SAW memberi peringatan supaya kita memelihara perpaduan dan kesatuan ummah serta menjauhkan sama sekali sebarang permusuhan dan perbalahan yang boleh mengakibatkan perpecahan dan menghancurkan negara.

“Rasulullah SAW memberi panduan ke arah mewujudkan suasana harmoni dalam hidup masyarakat. Rasulallah SAW pernah menggambarkan mengenai perpaduan dan kesatuan ini, sabdanya yang bermaksud;

“Ibarat seorang mukmin dengan seorang mukmin, yang baik ialah sebuah binaan yang terdiri daripada bahan yang saling menyokong satu sama lain, sehingga tercipta sebuah binaan. Hadith riwayat  Muslim,” titah Baginda.

Yang turut berangkat mengiringi KDYMM Sultan Pahang pada sambutan ini ialah DYMM Sultan Pahang; serta KDYTM Tengku Mahkota Pahang dan isteri, KDYTM Tengku Puan Pahang.

Selain Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob yang sebelum itu turut menyampaikan ucapan, dan isteri, Datin Sri DiRaja Junaini Kassim; yang turut hadir ialah Speaker, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Sri Wan Razali Wan Mahussin; ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri dan wakil-wakil rakyat; serta ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Disamping persembahan ucapan, acara sambutan pagi Khamis ini turut dipenuhi dengan ceramah agama 45-minit oleh penceramah – Encik Haslin Baharin yang terkenal dengan bacaan-bacaan ayat al-Quran dan hadith ala-Hindi serta syair Urdu, yang diselang-selikan dengan persembahan kumpulan muzik/nyanyian ‘unplugged’ tema ketuhanan dari Sarawak – Silica. – Khabar     



Tuesday, 22 January 2013

MCKIP; Jaminan peluang-niaga, kesan 'spin-off' ekonomi yang luas kepada peniaga dan rakyat tempatan

… selain usaha untuk terus merapatkan hubungan Malaysia-Republik Rakyat China, yang pelancarannya oleh Perdana Menteri kita dan wakil Perdana Menteri negara itu pada 5 Februari.   

MENTERI BESAR YANG JUGA MESRA-OKU, DAN MESRA-BINATANG... Mesranya Dato' Sri DiRaja Adnan dengan semua termasuk OKU dan binatang tidak dinafikan lagi sepertimana terserlah pada foto ini.

Dan pada persidangan media 12-minitnya kemudian, Tan Sri Abdul Aziz ada menyebutnya; "Kita kalau naik motorsikal besar, itu ‘machine’. Tapi naik kuda ada ‘attachment’, macam Menteri Besar tadi, dia peluknya kuda, kuda terus sayang dia…"

Kata pula Dato' Sri DiRaja Adnan; "Sebenarnya, Tan Sri khabar tu betul. Macam tadi, yang saya buat tu betul. Dia (kuda tersebut) sayang saya. (Saya) panggil dia ‘girl’. Gelaran dia ‘girl’. ‘How are you girl’, ‘good girl’. Peluk, cium. ‘Communicate’, baharu kita naik". 


PUSAT EKUESTRIAN NEGERI PAHANG, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – Peluang-niaga dan kesan ‘spin-off’ ekonomi yang luas yang semestinya turut dinikmati oleh golongan peniaga dan rakyat tempatan.

Inilah yang ditekankan oleh Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob apabila bercakap mengenai pengwujudan Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP) di Gebeng dekat sini, yang pelancarannya dijadualkan pada Selasa, 5 Februari ini.

Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak, dan wakil kepada Perdana Menteri Republik Rakyat China, akan bersama-sama menyempurnakan pelancaran taman perindustrian seluas 607.5 hektar dengan permulaan ‘start-up zone’ seluas 20.25 hektar, pada hari tersebut.

MCKIP merupakan ‘sister-park’ kepada China-Malaysia Qingzhou Industrial Park (CMQIP) di Qingzhou, China seluas 5,467.5 hektar, yang telah dlancarkan bersama oleh Dato’ Sri Mohd Najib dengan Perdana Menteri republik itu, Wen Jiabao pada 1 April lepas (2012).

“Yesterday, we had a meeting to prepare for the launching of the MCKIP project,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan yang ditanya mengenai perkembangan projek MCKIP tersebut pada Majlis Pelancaran Riding for the Disabled (RDA) Pahang, petang Selasa, 22 Januari di sini.

MESRANYA DENGAN OKU... 'Human touch' Menteri Besar dengan kanak-kanak OKU ini benar-benar menyentuh hati dan perasaan mereka yang menyaksikannya.


MCKIP WILL ENTAIL SPIN-OFF EFFECTS

Mesyuarat yang dimaksudkan ialah Mesyuarat Penyelarasan Majlis Pecah Tanah MCKIP yang dipengerusikannya, dan diadakan di Bilik Mesyuarat, Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (B-PEN), Tingkat 4, Blok B, Wisma Sri Pahang dekat sini.

Antara yang turut hadir pada mesyuarat petang Isnin itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Dato’ Jebasingam Issace John serta wakil daripada syarikat-syarikat pelaksana yakni Rimbunan Hijau Sdn Bhd dan SP Setia Sdn Bhd.

“And, I am very confident that this project will entail a lot of spin-off effects, a lot of other economic activities,” katanya penuh yakin tentang potensi besar yang akan dibawa menerusi pengwujudan MCKIP ini.

Dalam pada itu katanya, beliau telah menegaskan kepada pegawai-pegawai ECERDC serta wakil syarikat-syarikat berkenaan betapa;

“They need to give emphasis to the chances, opportunities (that should be made) available to the local businessmen because I got representation from the (Pahang) Chinese Chamber of Commerce, that they need to know what are they going to benefit from this project.


OKU TUNGGANG KUDA... Seorang daripada kanak-kanak Orang Kelainan Upaya (OKU) ini sedang dibawa menunggang kuda, sebagai satu daripada kaedah pemulihan 'hippo-therapy'. Yang membantu, mengiringnya ialah pembantu sukarela yang amat diperlukan bagi menjayakan usaha murni ini.


NO WORRY, OPPORTUNITIES APLENTY

“And I am sure in the Prime Minister’s (launching) speech, he will highlight/emphasizes on this. There will be opportunities for local businessmen. A lot of business opportunities. Do not have to worry,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi.

Kepada soalan lanjutan tentang kemungkinan isu projek pemprosesan tanah jarang oleh Lynas Malaysia Sdn Bhd di kawasan berhampiran, boleh menjejaskan kelancaran pelaksanaan dan kejayaan projek MCKIP katanya;

“I don’t think so. Because the last (activity organized by) Himpunan Hijau (were) attended by about 400 people. Very dwindling figure, very small figure (that are) getting smaller and smaller. Even that, (most came) from outside, not from Kuantan.

“(Yet) we have got to give (due) respect to them. They want to express their opinion (so) let them; as long as the (majority of ) people are with us,” tegasnya lagi merujuk kepada konvoi yang tidak sampaipun 140 kenderaan daripada 10,000 buah yang disasarkan, dari Kuala Lumpur dan berkumpul tanda protes di depan pintu masuk Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) menjelang tahun baharu (1 Januari) 2013 lepas.

Pada persidangan media 12-minit yang sama itu, Dato’ Sri DiRaja Adnan yang juga Pengerusi, Barisan Nasional (BN) Negeri, turut ditanya mengenai calon-calon pilihanraya serta pembahagian kerusi sesama komponen BN itu bagi menghadapi Pilihanraya Umum akan datang.  

'SHOW JUMPING'... Dengan penuh bergaya, atlet SUKMA kita sedang menunjukkan kehebatan dalam menunggang kuda. Mengenai sukan berkuda sebegini, Tan Sri Abdul Aziz mengulasnya pada persidangan media yang sama;
"Saya dulu sebagai Setiausaha Agung kepada Riding in Polo, kita buat ‘anniversary’ 80 tahun, sekarang ini sudah 90 tahun.

"Ia mula dengan Almarhum Sultan Abu Bakar, sultan sekarang Sultan Haji Ahmad Shah, Tengku Mahkota Pahang dan sekarang ni cucu-cucu Sultanpun naik kuda. Empat ‘generation’. Pahang ni istimewalah.

"Tempat lain, Perak dah tak ada dah. It started dengan Perak dulu, dengan Johor; sekarang ni Pahang lebih menyerlah. Hinggakan polo sampai ke seluruh dunia, Royal Pahang Polo Club terkenal.

"Itu yang kita nak bawa RDA sampai sini, semua 'riding' di sini sahaja. SUKMA punya projek bawah Kerajaan Negeri ni, is ‘legacy’ untuk 'riding' kepada orangramai di Pahang. Very good, thank you very much Dato’ Sri DiRaja. A very good programme".


TERIMA HAKIKAT, MANUSIA SABAGAI MANUSIA

“Terus terang saya cakaplah ya. PresidenUMNO/Pengerusi Barisan Nasional, telahpun berpesan (agar mereka yang tidak dipilih sebagai calon, tidak mensabotaj parti). Kalau kita lihat reaksi, memanglah kita nampak seluruh lapisan kepimpinan parti akan menerima.

“Tetapi manusia sebagai manusia, kita kena terima hakikatlah. Kita kena hadapi ini. Saya tidak tolak ada kemungkinan tokoh-tokoh akan sabotaj parti sebab tidak terpilih. Yang penting ialah bagaimana kita menanganinya. Macam mana kita ‘manage’.  

“Dan ini bukan sahaja terkena kepada Barisan Nasional. Jangan lupa, Pakatan Rakyat dengan komponennyapun akan menghadapi masalah yang sama. Jadi itu dunia politiklah,” katanya.

Mengenai senarai calon tersebut, “It’s all depend on the party leadership. The final choice will be determined by the party leadership, in this case it is by the Prime Minister himself.

“As far as I am concerned, I have already submitted the list – not the final list, seven-eight months ago but we have yet to finalise the list. That much I can say,” tegasnya.

                                   
DALAM SIDANG MEDIA 12-MINITNYA... Diapit oleh Tan Sri Abdul Aziz dan Tan Sri Richard (di sebelah kirinya) dan Dato' Othman (di sebelah kanannya), Dato' Sri DiRaja Adnan sedang mengendalikan sesi sidang medianya.


TUNGGANG KUDA UNTUK OKU SEBAGAI ‘HIPPO-THERAPY’

Mengenai Majlis Pelancaran RDA Pahang katanya, Kerajaan Negeri akan memberi geran pelancaran RM50,000 kepada persatuan tersebut untuk menjayakan aktiviti khususnya memberi peluang kepada anak-anak kelainan upaya untuk menunggang kuda sebagai satu daripada kaedah ‘hippo-therapy’.

Antara yang turut hadir pada majlis pelancaran tersebut ialah Pengerusi, RDA Malaysia, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman; Pengerusi, RDA Pahang yang juga ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Sahfri Ab.Aziz;

Naib Presiden, Equestrian Association Malaysia, Dato’ Othman Talib; serta, Pengerusi, Selangor Turf Club, Tan Sri Richard Cham Hak Lim. – Khabar   

Saturday, 19 January 2013

'Terpulang kepada rakyat Selangor untuk tukar Kerajaan'


 … ekoran kedegilan dan dolak-dalik Kerajaan tersebut untuk menyetujui projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 yang merupakan lanjutan kepada Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (PPAMPS)

'BACKDROP' MENARIK MAJLIS DI SK PELANGAI, KAMPUNG JAWI-JAWI...  Sebelum ke SMK (LKTP) Chemomoi, Menteri Besar ke sekolah rendah ini terlebih dahulu bagi menyampaikan bantuan khas awal tersebut kepada 13,200 murid dari tujuh (7) sekolah kebangsaan dalam Dewan Undangan Negeri Pelangai yang mana beliau ialah juga wakil rakyatnya. 


SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN (LKTP) CHEMOMOI, BENTONG – Terpulang kepada rakyat Selangor bagi menentukan nasib Kerajaan Negeri itu pada pilihanraya umum kelak ekoran kedegilan Kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat itu meluluskan projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2.

Inilah yang dikatakan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob sebagai merujuk kepada projek Loji Rawatan Air Langat 2 yang tergendala itu, yang merupakan lanjutan kepada Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (PPAMPS).

Kata-kata ini sebagai menjawab soalan wartawan tentang perkembangan terkini mengenai projek projek ribuan juta ringgit tersebut ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 petang Jumaat, 18 Januari lepas di sini.  

“Saya hari itu (ketika) ditanya oleh pihak wartawan, kita ingat nak batalkan sahaja perjanjian itu. Rupa-rupanya, setelah diberikan nota-nota, kita dapati pembatalan itu hanya boleh dengan kelulusan Menteri.

“Tapi, kalau Kerajaan Selangor masih lagi degil, terpulang kepada rakyat Selangorlah untuk tukar Kerajaan tu. Sebab ini soal air ni. Nak naik ke atas tiga tingkat, tujuh tingkat (bagi penghuni rumah-rumah pangsa)  bawa baldi (air) bukan senang. Tak boleh…,” katanya.  

RAMAH-MESRA DENGAN IBUBAPA PELAJAR, YANG JUGA PENGUNDINYA... 


PERJANJIAN 22 NOVEMBER 2007

Perjanjian yang dimaksudkan ialah yang ditanda tangani oleh kedua-dua Kerajaan Negeri Pahang dan Selangor pada 22 November 2007 yang antara lain menetapkan untuk Pahang membekalkan air mentah kepada Selangor pimpinan Barisan Nasional (BN) ketika itu, 1.893 juta meter padu sehari pada kadar 10 sen semeter padu.

Segala-galanya kelihatan berjalan lancar selepas itu hinggalah kepada pilihanraya umum pada Mac 2008, yang menyaksikan Kerajaan Selangor diambil-alih oleh PR daripada BN, yang sejak itu Kerajaan PR tersebut berdolak-dalik khususnya tentang Loji Rawatan Air Langat 2.

Dan, selepas kira-kira empat (4) tahun berlalu, dengan Kerajaan PR Selangor terus menunjukkan sikap degil dan berdolak-daliknya dengan Kerajaan Persekutuan berhubung dengan projek Loji Rawatan Air Langat 2, ia telah turut mengecewakan Dato’ Sri DiRaja Adnan.

Ia kerana, projek Loji Rawatan Air Langat 2 ialah lanjutan kepada PPAMPS. Kerajaan Pahang tiadapun masalah dalam menyumbang kepada kelancaran pelaksanaannya maka tentu mengecewakan apabila mendapati ia akan menjadi sia-sia hanya kerana projek Loji Rawatan Air Langat 2 menghadapi masalah pelaksanaan ekoran gelagat Kerajaan PR Selangor sekarang.

Lalu, kekecewaan itu dihamburkan buat pertama kalinya pada pagi Ahad, 23 September lepas dalam ucapan sempena Mini MAHA dan Jelajah Kesihatan Daerah Bentong yang turut dihadiri oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Sri Noh Omar yang juga Timbalan Pengerusi, BN Selangor.

BERATUR UNTUK DAPATKAN BANTUAN KHAS AWAL... Inilah sebahagian daripada 445 pelajar SMK (LKTP) Chemomoi yang berbaris, menunggu giliran untuk menerima bantuan tersebut daripada Menteri Besar. 


HARGA LAIN, BUKAN LAGI 10 SEN SEMETER PADU SELEPAS INI

“Saya akan dapatkan nasihat Penasihat Undang-undang (Negeri). Kalau perlu batal, (kita akan) batal(kan). Tak apalah, dia tak nak (pembekalan air mentah berkenaan).

“Tapi esok (atau pada hari-hari kemudian), kalau dia (Kerajaan Selangor) nak balik (pembekalan air mentah tersebut), tak boleh 10 sen dah. Harga lainlah,” kata  Dato’ Sri DiRaja Adnan pada persidangan media pagi Ahad, 23 September itu.

Mengenai majlis petang Jumaat, 18 Januari kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, pemberian RM100 seorang murid/pelajar mungkin dianggap kecil nilainya namun ia melibatkan ramai murid/pelajar lalu menyumbang kepada peruntukan yang besar.

Bagi majlis di sini dan majlis yang sama yang trut dihadirinya di Sekolah Kebangsaan Pelangai, Kampung Jawi-jawi yang berdekatan katanya, ia melibatkan RM132,200 kepada 13,200 murid sekolah-sekolah rendah dalam Dewan Undangan Negeri Pelangai, serta RM44,500 kepada 445 pelajar sekolah menengah SMK (LKTP) Chemomoi ini.

“… yang penting ialah keprihatinan Kerajaan. Simbolik disebalik pemberian itu sendiri. RM100 itu bukan satu amaun yang besar tetapi dari segi pengertian, ingatan Kerajaan di bawah kepimpinan YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, RM100 ini membawa makna yang sangat besar.

MENTERI BESAR YANG SENTIASA 'HANDS-ON'... Pada majlis-majlis sebeginilah juga, Dato' Sri DiRaja Adnan tidak terlepas daripada melayani, mendengari serta menangani bagi mengatasi apa juga aduan yang ditimbulkan oleh rakyat kepadanya. Yang turut kelihatan ialah pembantu khasnya di DUN pelangai ini, Encik Ghafar (kiri beliau). 


BUKAN GIMIK PILIHANRAYA  

“Dan ini bukan pula kita katakan sebagai satu gimik pilihanraya. Sebelum ini lagipun. Tahun lepaspun, Kerajaan telah meluluskan BR1M, bantuan ‘voucher’ (buku) dan kali ini dapat bantuan awal persekolahan,” tegasnya.

Menurutnya lagi, Kerajaan Persekutuan pimpinan Dato’ Sri Mohd Najib sentiasa melakukan yang terbaik untuk rakyat dan pula ia dilaksanakan secara berterusan, bukannya bermusim-musim.

“Secara kebetulan, pilihanraya (kini) sudah dekat. Takkanlah kerana untuk kita tunjukkan bukan kerana pilihanraya , kita tak nak beri (apa-apa bantuan yang telah menjadi amalan betreusan Kerajaan BN selama ini,” katanya. – Khabar


Sunday, 13 January 2013

Perumahan - agenda tumpuan Kerajaan Negeri seterusnya, kata Menteri Besar


## Beliau turut umumkan kelulusan peruntukan Kerajaan Persekutuan RM11.8 juta untuk projek-projek pembangunan di Bentong khususnya Karak, hasil lawatan-kerja dua (2) hari Timbalan Perdana Menteri ke Pahang termasuk pekan kecil dan daerah-sub Karak, Bentong

TINJAUAN MESRA DI PEKAN KECIL KARAK... Diiringi Dato' Sri DiRaja Adnan dan Dato' Sri Liow yang juga ahli parlimen Bentong yang mana Karak ialah sebahagian daripada kawasannya; Tan Sri Muhyiddin sedang beramah mesra dengan mereka yang sedang bersarapan pagi di gerai di pekan ini pada pagi Sabtu, sebelum ke Perhimpunan Rakyat 1Malaysia di Kampung Karak Setia yang berdekatan. 


KAMPUNG KARAK SETIA, KARAK, BENTONG – Usaha untuk menyediakan perumahan mampu-milik bagi rakyat Pahang ialah agenda tumpuan Kerajaan Negeri seterusnya setelah berjaya dengan tumpuannya kepada pendidikan selama ini.

“Kita tumpukan perumahan (pula). Agenda kita akan datang ialah perumahan,” kata Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob dalam ucapan 16-minit luar teksnya pada Perhimpunan Rakyat 1Malaysia pagi Sabtu, 12 Januari di sini.

Berdepan hadirin kira-kira 20,000 orang termasuk Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dalam rangka lawatan kerja dua (2) hari (Jumaat, 11 Januari dan Sabtu, 12 Januari) ke negeri ini, beliau turut menyingkap kejayaan Kerajaan Negeri pimpinannya dalam aspek pendidikan selama ini.    

Tanpa mengira latar kaum, ugama mahupun fahaman politik katanya, Kerajaan Negeri menerusi Yayasan Pahang (YP), sentiasa membantu bagi menjayakan pendidikan anak-anak negeri khususnya dalam kalangan keluarga yang memerlukan.

“… kita di negeri Pahang ini sebagai contoh, agenda kita dahulu (ialah) pendidikan. Anak-anak tak kira Melayu, Cina, India, Orang Asli; tak kira ugama, tak kira fahaman politik – orang PAS ke, orang DAP ke, UMNO ke, (bila pelajar dapat keputusan) cemerlang (dan didapati) patut kita bantu, sebab susah (maka) patut kita bantu, kita bantu.

PERSEMBAHAN KOIR PEJABAT SUK... Foto ini dirakam pada petang Jumaat, 11 Januari di Bukit Gambang Resort City, Gambang, Kuantan sempena perjumpaan Timbalan Perdana Menteri dengan kira-kira 5,000 penjawat awam negeri dan pesekutuan. 


PROJEK RIMBUNAN KASIH @ PR1MA PAHANG

“Dari tahun 1983 hingga tahun 2013 sekarang ini, Yayasan Pahang (YP) sudah membelanjakan hampir RM800 juta, dekat RM1 bilion. Perbelanjaan paling besar ialah dari tahun 2000 hingga tahun 2012, (sebanyak) RM600 juta,” katanya yang juga Pengerusi YP.

Lanjutan kepada kejayaan itu katanya, tumpuan Kerajaan Negeri kini ialah ke arah memajukan sektor perumahan khususnya yang mampu dimiliki oleh rakyat-jelata negeri ini.   

Projek yang dikenali sebagai ‘Rimbunan Kasih’pun diperkenalkan yang hampir bersamaan dengan projek Kerajaan Persekutuan – Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dengan nilai jualan seunit rumah di Kuala Lumpur antara RM400,000 dan RM500,000.

“Kita ada PR1MA Pahang (projek ‘Rimbunan Kasih’). Kita telah perkenalkan PR1MA Pahang yang rumahnya (ber)harga antara RM120,000, RM180,000 (yang) tak lebih RM200,000 untuk mereka yang berpendapatan RM5,000 ke bawah suami-isteri.

“Dan kita telahpun mulakan empat (4) di Kuantan, dua (2) di Lipis, (dan) dua (2) di Cameron Highlands.

SEBAHAGIAN DARIPADA 5,000 PENJAWAT AWAM YANG HADIR... Mereka juga ialah sebahagian daripada kira-kira 65,000 penjawat awam di negeri ini, dengan cuma 20 peratus daripadanya atau kira-kira 13,000 orang ialah penjawat awam negeri dan selebihnya, 80 peratus atau kira-kira 52,000 orang ialah penjawat awam persekutuan. 

Dan daripada kira-kira 65,000 penjawat awam ini, mereka daripada perkhidmatan pelajaran atau guru, membentuk golongan yang paling ramai iaitu 37 peratus atau kira-kira 24,000 orang. 

Butiran ini seperti yang diberikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Sri Muhammad Safian Ismail dalam ucapan alu-aluannya pada majlis petang Jumaat itu.  

HARGA PR1MA PAHANG ½ DARIPADA HARGA SWASTA

“Di Cameron Highlandspun, pemajunya boleh jual RM200,000, satu unit apartment, tiga-bilik, dua-bilik air; berbanding dengan yang dijual oleh pihak swasta (bernilai) RM400,000,” katanya.

“Agenda (tumpuan Kerajaan Negeri) akan datang ialah, Pe…ru…ma…han. Dan ini hanya boleh dilaksanakan kalau kita dipilih, dan kalau kita kuat sebagai sebuah Kerajaan,” katanya lagi.

Dato’ Sri DiRaja Adnan juga menyebut tentang keperluan Barisan Nasional (BN) terus memerintah negara dan negeri ini sementelah banyak yang telah dilaksanakannya demi kepentingan dan manfaat rakyat.

Ini tidak sepertimana di negara-negara lain yang Kerajaannya tidak menunjukkan kecekapan dalam mentabdir negara masing-masing hingga menyukarkan kehidupan harian rakyatnya.     

“Kita pergi (ke) sesetengah negara, sampahpun tak berkutip. Sampah menggunung tak berkutip. Kita pergi sebuah negara (lain) pula, peminta sedekah lebih ramai (daripada) orang (yang) pergi ke pasar,” katanya.

PEMBANGKANG JANJI APA SAHAJA TAPI…

Dalam pada BN sibuk mentadbir negara dengan keutamaan diberikan kepada usaha untuk terus memelihara kebajikan rakyat katanya, parti-parti politik pembangkang pula bertekad untuk ‘merampas kuasa’.

Lalu, kata Menteri Besar, “Dia (parti-parti pembangkang) janji apa sahaja (dengan) dia menimbulkan persepsi, fitnah. Kalau tengok orang tu lain sikit, ‘Ha… sombong’. Kalau tengok lain sikit, ‘garang’. Lain sikit, ‘rasuah’. Lain sahaja sikit, ‘salah guna kuasa’.

“Jadi, jangan mudah percaya (kepada janji serta persepsi salah dan fitnah pembangkang ini).

“Saya teringat cerita nenek saya zaman Jepun dulu. Sebelum Jepun datang, tali barut-tali barut Jepun – orang Melayu, orang Cina berkempen ‘Marilah sambut kedatangan Jepun’. ‘Kalau Jepun datang, makan mewah, kain baju ‘free’.

“(Akhirnya) Bila Jepun datang, (rakyat) makan ubi kayu, tak ada kain-baju. Sembahyang suami-isteripun berkongsi kain. Ha… bayangkanlah. Kemudian tu mati, tak ada kain kapan. Jenazah dimandi dan disembahyangkan (kemudian) dikapankan dengan tikar, tikar mengkuang.

JANGAN PERCAYA PADA JANJI, PERSEPSI SALAH & FITNAH PEMBANGKANG

“(Oleh itu) Jangan kita percaya (janji serta persepsi salah dan fitnah pembangkang sekarang),” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi pada akhir ucapannya, sebelum menyilakan pula Tan Sri Muhyiddin untuk menyampaikan amanatnya.

Menteri Besar itu juga kemudian mengumumkan persetujuan Timbalan Perdana Menteri meluluskan peruntukan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM11.8 juta untuk memenuhi pelbagai permintaan pembangunan dalam daerah Bentong khususnya di Karak ini.

Daripada peruntukan RM11.8 juta itu ialah RM5 juta untuk kerja-kerja menaik-taraf Masjid Karak; RM4 juta untuk membina dan menyiapkan dewan di Kompleks Sukan Benus; RM2 juta untuk membina baharu, menaik-taraf serta menyelenggara infrastruktur awam dan asas dalam daerah Bentong;

Sebanyak RM500,000 untuk membaik-pulih bumbung Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Bentong; dan, RM300,000 untuk membina dewan terbuka di Sekolah Menengah Kebangsaan Karak Setia.  

Antara yang turut hadir pada majlis pagi Sabtu itu dan turut berucap sebelum Tan Sri Muhyiddin dan Dato’ Sri DiRaja Adnan ialah Timbalan Presiden, Persatuan Cina Malaysia (MCA), Dato’ Sri Liow Tiong Lai; Presiden, Kongres India Malaysia (MIC), Dato’ G.Palanivel;

Presiden, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Tan Sri Koh Tsu Koon; dan Presiden, Parti Progresif Rakyat (PPP), Dato’ M.Kayveas. Yang turut hadir ialah ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri; wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN); serta ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan. – Khabar   




Friday, 4 January 2013

Usahasama Pahang/Wilayah Ningxia majukan industri halal di Gambang

… mahu raih pasaran halal dunia yang tumbuh kira-kira RM7.46 juta juta (trillion) setahun, menerusi MoU antara ECERDC dengan Biro Industri Ringan dan Tekstil Ningxia   

PERSIDANGAN MEDIA BERSAMA... Apa yang diperkatakan oleh Encik Wang (di sebelah kanan Dato' Sri DiRaja Adnan) diterjemahkan ke Bahasa Inggeris oleh gadis kakitangan ECER (kanan sekali) selaku pengacara majlis. 


HOTEL ZENITH, KUANTAN – Pahang akan berusahasama dengan Wilayah Autonomi Ningxia Hui, Republik Rakyat China, dalam memajukan industri halal di Taman Industri Halal Gambang dekat sini.

Ke arah itu demi meraih pasaran halal dunia yang tumbuh kira-kira RM7.46 juta juta (trillion) setahun, Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani antara Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan Biro Industri Ringan dan Tekstil Ningxia (NLTIB).

Bersaksikan Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob dan Ketua Setiausaha, Biro Promosi Pelaburan, Wilayah Autonomi Ningxia Hui, Encik Wang Jing; MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif, ECERDC, Dato’ Jebasingam Issace John dengan Timbalan Ketua Setiausaha, Biro Pembangunan Industri Tekstil, wilayah berkenaan, Encik Ma Liting pada pagi Jumaat, 4 Januari, di sini.

Berbanding Pahang – berkeluasan 3.6 juta hektar dengan 1.5 juta penduduk; Wilayah Autonomi Ningxia Hui yang terletak di sebelah utara-tengah Negara China, seluas 6.6 juta hektar dengan 5.62 juta penduduk, 35.8 peratus atau 2.01 juta daripadanya ialah Muslim kaum Hui.

Ketika mengulas mengenai MoU ini pada persidangan media bersama, Dato’ Sri DiRaja Adnan mengalu-alukannya, termasuk menyambut baik kehadiran Encik Wang – beliau sendiri seorang Muslim kaum Hui, ke negeri ini.

SEPAKAT BAWA BERKAT... Sesi foto berkumpulan. Dengan termeterainya MoU ini maka akan terlaksanalah impian untuk memajukan industri halal di negeri, negara dan rantau ini. 


UMP TERLIBAT DALAM R&D KELUARKAN LEBIH BANYAK PRODUK HALAL

“Kedatangan rombongan dari Ningxia ini yang diketuai oleh Encik Wang Jing dan rakan-rakannya, adalah untuk kita majukan lagi Taman Industri Halal Gambang ini,” kata Menteri Besar.

Bagi memantapkan lagi usahasama itu, beliau menyarankan agar Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Gambang, turut dilibatkan dalam usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memperkenalkan lebih banyak produk halal di Taman Industri Halal Gambang tersebut.  

“Saya jangka, kita mampu memperkenalkan lebih banyak lagi produk halal (menerusi penglibatan UMP) yang mampu menarik pasaran – nilainya besar sekali (yakni) pada tahun 2011, nilai eksport produk halal negara ialah RM35,400 juta (RM35.4 bllion) atau kira-kira 5.1 peratus daripada nilai eksport Malaysia.

“Besar kemungkinan, dengan usahasama antara kedua-dua negeri dan wilayah ini, terdapat sinergi di sana; kita akan mampu menarik pasaran yang lebih, yang mungkin lebih besar daripada 5.1 peratus itu,” katanya lagi.

Dato’ Sri DiRaja Adnan seterusnya berkata, betapa dengan kedatangan rombongan pelabur dari Wilayah Autonomi Ningxia Hui ini membuktikan lagi tentang iklim pelaburan yang positif di negeri Pahang ini.

INILAH WILAYAH AUTONOMI NINGXIA HUI... Ningxia ialah satu (1) daripada hanya lima (5) wilayah yang diberikan kuasa autonomi (bebas) oleh Kerajaan China, dan pula, oleh kerana bilangan penduduk Muslim yang ramai, dilantik oleh Kerajaan negara  itu bagi membangunkan industri halal di sana.  


PELABUR TERUS MELABUR DI KUANTAN

“Sekurang-kurangnya kedatangan mereka ini membuktikan bahawa Malaysia terutamanya Pahang, terutamanya Kuantan; (masih) didatangi oleh pelabur-pelabur. Maknanya, Kuantan akan terus membangun,” katanya.

Pada persidangan media yang sama, Encik Wang – memulakan dengan salam, ‘Sarlare-mare-lare-kom’, mengesahkan Wilayah Ningxia Hui ialah asasnya wilayah Muslim yang dilantik oleh Kerajaan China untuk membangunkan industri halal di negara tersebut.

Oleh kerana Malaysia termasuk Pahang telah diiktiraf sebagai negara yang dipandang tinggi dalam pengeluaran produk halal khususnya dalam aspek persijilannya kata Encik Wang, maka Pahang dipilih untuk menjalinkan MoU berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menjemput Menteri Besar untuk berkunjung ke Ningxia bagi melihat kemajuan yang telah dicapai dalam membangunkan industry halal di wilayah autonomi tersebut.

Yang turut hadir pada majlis pagi Jumaat ini ialah Pengarah, Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (B-Pen), Dato’ Mahadiah Mohamed; Naib Canselor UMP, Dato’ Dr Daing Nasir Ibrahim; serta lagi enam (6) anggota rombongan Wilayah Autonomi Ningxia Hui termasuklah penolong kepada Encik Wang, Encik Wu Baocai. – Khabar   

Gerakan anti-Lynas tidak dapat sambutan, tapi hendak jatuhkan Kerajaan

... gelagat puak-puak penentang projek pemprosesan tanah jarang Lynas yang memualkan. 

LYNAS, BUKANLAH MENGENAI PENENTANGAN OLEH PUAK MINORITI SEMATA-MATA... Yang menyokong projek Lynas ini lebih besar cuma, mereka merupakan majoriti senyap (silent majority) yang apabila didesak, inilah reaksi mereka dengan menampilkan diri menyatakan sokongan.


HOTEL ZENITH, KUANTAN – Tidak sampaipun 140 kenderaan daripada 10,000 buah yang disasarkan oleh puak-puak anti-Lynas; yang berkonvoi dari Kuala Lumpur dan berkumpul di depan pintu masuk ke Lynas Advanced Manufacturing Plant (LAMP), Gebeng dekat sini menjelang tahun baharu (1 Januari) 2013.

Yang sekali lagi membuktikan gerakan mereka – kebanyakan pesertanya datang dari luar Kuantan, tidak mendapat sambutan rakyat khususnya penduduk tempatan di sekitar Balok dan juga Gebeng.

Namun, disebalik semua itu, gerakan anjuran Himpunan Hijau itu yang diketuai oleh Pengerusinya, Wong Tack, masih mampu memberitahu sebuah portal berita sehari sebelum bermula konvoi tersebut dari Gombak pada pagi Isnin, 31 Disember lepas;

“Inilah perjuangan rakyat yang sebenar… Dan sekarang, kami sudah menghampiri kejayaan,” Wong dipetik sebagai berkata oleh portal berita yang berat menyebelahi puak pembangkang itu.

Beliau juga dilaporkan memberitahu portal berita yang sama betapa, ‘menjatuhkan regim’ (ENG: Bringing down the regime) atau Kerajaan yang ada, ialah fokus utama mereka tahun 2013 ini.

MAHU KERJA KERAS JATUHKAN KERAJAAN

“Kami akan bekerja keras untuk menjatuhkan regim… Kami akan menjatuhkan Kerajaan,” katanya.

Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob yang ditemui pemberita pada Majlis Serah-menyerah Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Biro Industri Ringan dan Tekstil Wilayah Ningxia, Republik Rakyat China pagi Jumaat, 4 Januari, ditanya mengenai perkembangan terbaharu oleh puak-puak penentang ini.

Pertanyaan menjurus kepada sokongan yang semakin menipis kepada puak-puak tersebut khususnya gerakan penentangan mereka menerusi konvoi Gombak-Kuantan menjelang tahun baharu itu.

“Saya percaya, gerakan anti-Lynas ini ataupun gerakan yang menyokong Lynas ini, ianya akan ditentukan oleh rakyat, pengundi dalam pilihanraya akan datang. Kita tidak dapat pastikan sama ada kesemuanya telah faham ataupun kesemuanya tidak faham.

“Tapi kalau kita lihat dari gerakan yang dibuat oleh pihak anti-Lynas ini nyata sekali tidak mendapat sambutan. Saya tak mahu komen panjanglah. Terserah kepada rakyat untuk memikirkan,” katanya.

Kepada soalan tentang pengisytiraharan puak yang sama yang mahu menumbangkan  Kerajaan pada pilihanraya umum kelak katanya, “ Memang itu kita tak dapat nafikan. Memang ini gerakan pembangkang”. – Khabar





Wednesday, 2 January 2013

Tidak berbaloi dan mengarut; 'gula-gula' untuk mengabui mata!!!

Luas ladang milik Felda Plantations seluruh negara = 353,245 hektar
Jumlah anak-anak Felda generasi kedua sahaja        = 700,000 orang

Pembangkang mahu ladang ini diagih-agihkan kepada seluruh anak Felda generasi kedua dan ketiga, serta bekas kakitangan Felda dan anggota-anggota pasukan keselamatan negara.

Maka, jika diagih-agihkan kepada anak-anak Felda generasi kedua sahajapun, seorang akan memperolehi keluasan tidak ekonomikal – cuma 0.5 hektar (1.23 ekar), tidak seperti diperolehi oleh generasi pertama seluas 4.05 hektar (10 ekar) tanah ladang dan 0.1 hektar (1/4 ekar) tanah kediaman.

Keluasan ini tentu semakin kecil jika ia mahu turut diagih-bahagikan lagi kepada anak-anak generasi ketiga Felda, serta bekas kakitangan Felda dan anggota-anggota pasukan keselamatan.

CONTOH TAMBAH-NILAI; DARI PONDOK KE BANGLO INDAH... Inilah rumah peneroka - Encik Razali Baharuddin di alamat No. 366, Jalan Bunga Anggerik, Felda Kemasul, Bentong. Rumah Encik Razali inilah yang dalam ucapan 48-minit bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Majlis Bicara Tokoh pagi Rabu, 5 Disember lepas di sana, telah menyebut, "Rumah dia (Encik Razali) cantik sekali. Tak serupa pondok yang Kerajaan buat dulu".

Tun Dr Mahathir dan Dato' Sri DiRaja Adnan sebelum majlis tersebut, telah dibawa berkunjung untuk sarapan dan menukar baju di rumah Encik Razali ini. 


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Tidak berbaloi dan pula mengarut; ‘gula-gula’ yang sengaja di‘tabur’ bagi mengabui mata orangramai demi meraih sokongan pada pilihanraya.   

Inilah yang boleh dikatakan mengenai janji manis pembangkang untuk mengagih-agihkan keseluruhan tanah milik Felda Plantations di seluruh negara, kepada generasi kedua dan ketiga, serta bekas kakitangan Felda dan anggota-anggota opasukan keselamatan. 

Janji manis ini sepertimana tercatat dalam apa yang mereka kenali sebagai ‘Tawaran mega 3+6’ jika mereka dapat mengambil alih pemerintahan negara pada Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) kelak.

Menurut perangkaan, luas tanah milik Felda Plantations yang tidak berpeneroka di suluruh negara ketika ini ialah kira-kira 353,245 hektar. Diagih-bahagikan dengan kira-kira 700,000 anak-anak Felda generasi kedua sahaja;

Maka, setiap seorang anak generasi kedua berkenaan akan memperolehi keluasan yang tidak ekonomikal – cuma 0.5 hektar (1.23 ekar), yang pastinya sukar menyamai apatah pula menandingi pulangan daripada 4.05 hektar (10 ekar) tanah ladang milik generasi pertama yang merupakan ayahanda/bonda mereka.

SAMBUTAN HEBAT PENEROKA KEPADA PEMIMPIN KESAYANGAN KITA... Dengan segala 'gula-gula' yang ditaburkan puak-puak pembangkang; tidak mungkin dapat mempengaruhi para peneroka kita sepertimana sambutan hebat yang mereka berikan pada Majlis Bicara Tokoh di Felda Kemasul pagi Rabu, 5 Disember itu.


PAJAKAN TANAH 99-TAHUN KEPADA FELDA PLANTATIONS

Dan, keluasan 0.5 hektar (1.23 ekar) ini baharu melibatkan kira-kira 700,000 anak generasi kedua Felda.

Jika turut melibatkan anak-anak generasi ketiga seramai kira-kira 100,000 orang lagi, dan bekas kakitangan Felda dan anggota pasukan keselamatan mungkin beberapa puluhan ribu lagi; berapa luaskah tanah setiap orang akan perolehi?

Di Pahang – negeri terbesar yang mempunyai rancangan tanah (115 buah) dan juga peneroka Felda generasi pertama (seramai 43,123), terdapat kira-kira 270,000 anak-anak generasi kedua sedangkan keluasan tanah yang dipajak 99-tahun kepada Felda Plantations ialah 143,584 hektar.

Yang bermakna, anak-anak generasi kedua ini sahajapun, akan memperolehi kira-kira 0.53 hektar (1.309 ekar) – keluasan yang masih lagi tidak ekonomikal, yang boleh memberikan pulangan yang sewajarnya.

Inilah juga sepertimana yang disebutkan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, dalam ucapan penangguhan 28-minitnya, pada hari terakhir, petang Selasa, 11 Disember bagi mesyuarat ketiga, penggal kelima, Dewan Undangan Negeri ke-12 di Wisma Sri Pahang dekat sini.

TANAH TAK CUKUP UNTUK GENERASI KEDUA, KETIGA…

Kesemua 42 wakil rakyat, termasuk empat (4) dari pembangkang; menghadiri persidangan enam (6) hari bermula Isnin, 3 Disember itu (rehat pada Sabtu, 8 Disember dan Ahad, 9 Disember) – dikatakan yang terakhir sebelum PRU-13.

“Mereka (puak-puak pembangkang) menyatakan kalau mereka menawan Kerajaan Persekutuan, mereka akan menempatkan peserta Felda Plantations di kalangan warga generasi kedua (serta ketiga dan bekas kakitangan Felda dan pasukan keselamatan).

“Ini tidak praktikal. Tidak praktikal. Tak cukup tanah... Tanah yang dimiliki oleh Felda Plantations itu , kalau kita agih-agihkan kepada generasi kedua Felda (sahajapun, masih), tak cukup,” katanya. \

“Serupalah dengan negeri Pahang ini,” tambahnya. “Keluasan tanah 3.6 juta hektar, lebih kurang 8,000 ekar. Kalau kita agihkan kepada 1.5 juta rakyat Pahang, semuanya akan duduklah, atas Gunung Tahan, atas tebing sungai.

“Kemudian itu tak ada tanah (lagi, tinggal pula) atas pokok duduk sekali. Sebab, (keluasan) tanah yang boleh digunakan ataupun ‘useable land’ di Pahang ialah seluas 100,000 hingga 200,000 hektar (sahaja).  

NILAI TAMBAH DENGAN SENARAIKAN FGVH

“Maknanya, kalau kita bagi (agih-agihkan) sama banyak, tak boleh cukup. Begitu juga Felda Plantations ini. Tapi kita kesian, orang yang mudah kena tipu mungkin dia percaya. Kalau tanah Felda Plantations ini diberikan kepada semua generasi kedua Felda, tak boleh dapat macam sekarang, 10 ekar seorang,” katanya lagi.

Oleh itulah juga katanya, Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak sering menekankan keperluan untuk memberikan nilai-tambah kepada sesuatu perkara yang boleh dimanfaatkan oleh lebih ramai orang.

Perdana Menteri turut memberikan contoh bagaimana jika hendak menceburkan diri dalam perniagaan ‘kedai kopi’, ia hendaklah dilakukan dengan kelainan serta mempunyai elemen nilai-tambah kepadanya.

“Dan Perdana Menteri memikirkan, langkah terbaik (untuk memberi nilai tambah kepada ladang milik Felda Plantations seterusnya turut dimanfaati oleh para peneroka Felda) ialah dengan menyenaraikan FGVH (Felda Global Ventures Holdings Bhd),” katanya. - Khabar