Friday, 8 February 2013

'Selamat Tahun Baharu Cina 2013'


… kekalkan perpaduan dan terus beri sokongan kepada Perdana Menteri untuk memakmurkan lagi negara demi kesejahteraan rakyat berbilang kaum juga, kata Menteri Besar

GONG XI, GONG XI... Dengan kedua-dua tangan digenggam ke dada, Dato' Sri DiRaja Adnan mengucapkan 'Selamat Tahun Baharu Cina' kepada semua khususnya rakyat negeri dalam kalangan kaum Cina kita. 


NOTA EDITOR;

Berikut disiarkan Perutusan Tahun Baharu Cina 2013 Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob yang ditujukan kepada seluruh rakyat kaum Cina terutamanya di negeri ini. Semoga kita dapat turut sama-sama memanfatinya.    


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Saya ucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh rakyat kaum Cina khususnya di negeri Pahang, yang akan menyambutnya pada Ahad, 10 Februari ini.

Tahun 2013 ini sepertimana menurut kalendar Cina, ialah tahun ular atau secara khusus, ular air; yang bermula 10 Februari ini dan berakhir pada 30 Januari 2014.

Sempena sambutan Tahun Baharu ini, sukacitalah saya menyarankan agar kita sama-sama dapat terus mengekalkan perpaduan sesama kaum dan juga antara kaum, dalam negara kita yang majmuk ini.

Kepimpinan negara kita sendiri yang diketuai oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Hj Abdul Razak, telah bukan sahaja sering menyarankan tentang hal ini, malah membuktikannya.

Lihat sahaja kepada dasar-dasar dan tindakan-tindakan jangka sederhana dan panjang yang Kerajaan perkenalkan seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP), dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA); yang sasarannya ialah untuk memakmurkan negara demi perpaduan dan kesejahteraan hidup rakyat tanpa mengira kaum di negara ini.

IKLAN AKHBAR... Inilah iklan 'Selamat Tahun Baharu Cina' memaparkan Dato' Sri DiRaja Adnan yang disiarkan dalam akhbar China Press keluaran Sabtu, 9 Februari atau sehari sebelum hari perayaan pada Ahad, 10 Februari. 

Iklan ini disiarkan sehari awal memandangkan akhbar-akhbar Cina seperti China Press milik Media Chinese International Ltd kepunyaan Tan Sri Tiong Hiew King - yang juga Pengerusi Eksekutif, Kumpulan Rimbunan Hijau; tidak ber'siaran' pada Ahad, 10 Februari dan Isnin, 11 Februari berikutan 'press-holiday' yang diambil oleh staf dan wartawannya pada kedua-dua hari Sabtu, 9 Februari dan Ahad sendiri, 10 Februari.    


TINDAKAN JANGKA PENDEK BAGI RINGANKAN BEBAN RAKYAT

Tindakan-tindakan jangka pendek seperti pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 1.0 dan 2.0, begitu juga yang lain seperti Bantuan Buku 1Malaysia (BB1M) dan wang ihsan RM500 kepada mangsa-mangsa banjir; semuanya untuk dimanfaati oleh rakyat berbilang kaum lalu dapat mensejahterakan dan menyatu-padukan lagi perhubungan mereka.

Perdana Menteri juga sudah terkenal dengan program tinjauan mesranya (walkabout) dan tinjauan ini meliputi ke semua kawasan tumpuan kaum di negara ini, termasuklah sama ada di bandar mahupun di luar bandar.

Oleh itu, marilah kita sama-sama memberikan sokongan padu kepada kepimpinan Perdana Menteri khususnya kepada usaha-usahanya untuk terus memakmurkan lagi negara dan negeri ini, agar kita dapat terus hidup dalam keamanan dan kesejahteraan dalam sebuah masyarakat yang kukuh bersatu-padu.

Sekali lagi saya ucapkan, Selamat Tahun Baharu Cina 2013 kepada semua. – Khabar      

Thursday, 7 February 2013

Yang terlibat banjir tapi tak pindahpun dapat bantuan ihsan RM500


… hal dibangkitkan pada pertemuan tertutup dengan Perdana Menteri pada Selasa; beliau prihatin maka setuju, lalu arahkan bantuan ihsan turut diberi dan selang sehari, pada Khamis, ia disampaikan!  

BANTUAN IHSAN YANG DISEGERAKAN, ATAS KEPRIHATINAN KERAJAAN MENJELANG TAHUN BAHARU CINA... 


DEWAN JUBLI PERAK SULTAN HJ AHMAD SHAH, KUANTAN – Asalnya, cuma mereka yang terlibat banjir pada akhir tahun lepas dan berpindah ke pusat-pusat pemindahan yang disediakan sahaja yang diberi sumbangan bantuan ihsan RM500.

Ekoran itu, sungutan diterima daripada mangsa-mangsa banjir yang tidak berpindah, tentang mereka yang dikecualikan dan ini dibangkitkan pada pertemuan tertutup Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak dengan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) Negeri pada petang Selasa, 5 Februari.

Oleh kerana keprihatinannya, Dato’ Sri Mohd Najib bersetuju agar mangsa-mangsa banjir yang tidak berpindahpun wajar menerima bantuan ihsan lalu mengarahkan pembayaran segera dilakukan.

Hanya selang sehari, pada Khamis, 7 Februari, peruntukan RM3 juta dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) bukan sahaja disalurkan malah majlis bagi menyampaikannya di adakan pada sesi pagi dan petang Khamis di sini.

Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob sendiri hadir bagi menyampaikan bantuan ini, dibantu oleh wakil-wakil rakyat terlibat dan diiringi oleh ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan yang berkenaan.

TEKUN DAN SUKANYA DENGARI KELETAH/UCAPAN MENTERI BESAR... Ini merupakan sebahagian daripada mereka yang hadir pagi Khamis itu. 

Kelihatan mereka sama ada tekun mahupun gembira dengan keletah/ucapan luar teks 34-minit Dato' Sri DiRaja Adnan yang menurutnya, agak panjang ekoran terjemahan yang lebih panjang oleh gadis penterjemah ke atas ucapan bersahaja dalam Bahasa Malaysianya. 


YANG TERTINGGAL, BOLEH LAGI RAYU

Pada persidangan media kemudian, beliau berkata, yang terlibat dengan majlis penyamapaian pada hari ini sahaja ialah kira-kira 3,000 ketua keluarga dan dijangka lagi 3,000 ketua keluarga akan menerimanya kemudian.

“Kalau ada lagi mangsa-mangsa banjir yang ketinggalan, mereka boleh merayu, berjumpa dengan pihak Majlis Kesalamatan Negara di negeri Pahang ataupun Pejabat Daerah Kuantan.

“Kita akan insyaAllah, timbangkan,” katanya dan menambah, “Janganlah datang, tengok nama tak ada (pada senarai penerima bantuan ihsan), balik. Tak usahlah marah-marah. Insya-Allah, Kerajaan akan timbangkan”.

Pada persidangan media yang sama, Dato’ Sri DiRaja Adnan turut ditanya mengenai ugutan yang dibuat oleh Pengerusi kepada apa yang dikenali sebagai Himpunan Hijau, Encik Wong Tuck, yang mahu membakar kilang pemprosesan tanah jarang Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Gebeng jika BN masih berkuasa selepas pilihanraya umum kelak.

“Wong Tuck dah khabar dia mengikut macam MB jugalah, (kononnya menggunakan) bahasa kiasan. Saya, bahasa kiasan saya lain, dia lain,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan merujuk kepada bahasa kiasan yang digunanya sebelum ini bagi menyatakan keyakinan tingginya tentang peluang kemenangan BN di Bentong.

MESRA-RAKYAT, TERMASUKLAH DENGAN WARGATUA... Dato' Sri DiRaja Adnan sempat bergurau dengan penerima bantuan ihsan yang dalam kalangan wargatua Melayu ini. 
  

KESALAHAN UGUT YANG BOLEH DIDAKWA

“Dia (Wong Tuck) melakukan kesalahan tu, boleh didakwa di bawah – saya diberitahu oleh peguam-peguam; boleh didakwa di bawah Penal Code, Kanun Acara Jenayah, seksyen  28,  (kerana) mengugut,” katanya.

Kepada soalan sama ada ugutan tersebut boleh menjauhkan minat pelabur untuk melabur di negeri ini katanya, “Tindakan itu (ugut untuk bakal kilang LAMP) akan mendekatkan lagi pelabur dan akan menjauhkan (mereka daripada Wong Tuck). Kalau orang nak menyokong diapun, orang akan lari”.

“Kalau misalannya Lynas tak selamat,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, “… takkan yang datang hari tu (pada pelancaran rasmi Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China, Selasa, 5 Februari) orang nombor empat dikalangan herarki politik China datang bawa pelaburan lebih RM10.5 billion?”.

Antara yang turut hadir pada majlis pagi Khamis itu ialah Speaker, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Sri Wan Razali Wan Mahussin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail; wakil-wakil rakyat – Dato’ Chang Hong Seong (BN – Teruntum) dan Encik Mohd Shohaimi Jusoh (Bn – Lepar); dan Pegawai Daerah Kuantan, Dato’ Norhayad Ahmad.

Penyampaian sumbangan bantuan ihsan kepada 3,000 ketua keluarga pada hari ini dibahagi kepada dua sesi, 1,500 orang menerimanya pada sesi sebelah pagi dan selebihnya pada sesi petang. – Khabar  

Tuesday, 5 February 2013

The 'Kuantan Speed'!

... istilah baharu yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak ekoran ‘laju’nya usaha – dalam tempoh empat (4) bulan sahaja, bagi membangun seterusnya terlancarnya Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP).

Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob turut dipuji atas ‘unstinting support’ (kerjasama penuh) yang diberikan bagi menjayakan MCKIP.

IKLAN UCAP TAHNIAH... Ini seperti yang tersiar dalam akhbar Utusan Malaysia keluaran Selasa, 5 Februari.


TAMAN PERINDUSTRIAN KUANTAN MALAYSIA-CHINA (MCKIP), KAWASAN PERINDUSTRIAN GEBENG, KUANTAN‘Kuantan Speed’ atau Kelajuan Kuantan.

Inilah istilah baharu yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak merujuk kepada ‘laju’nya usaha dan tindakan dilakukan bagi membangunkan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) ini.  

Kelajuan itu begitu rupa – dalam tempoh empat (4) bulan sahaja, hinggakan seluruh kawasan kira-kira 607.5 hektar (1,500 ekar) ini berjaya dibangunkan dan bersedia menerima kemasukan pelabur dengan pelancarannya hari ini.

“… from the start, I advised Malaysian officials that this development must match the remarkable speed with which it’s Qinzhou counterpart was created. In fact, I coined the phrase that it must be the ‘Qinzhou speed’!

“The result? In just four months, the park is ready to be launched.  And now we have a new term for accelerated development here in Malaysia – ‘Kuantan speed’!” kata Perdana Menteri dalam ucapan pelancaran 20-minitnya itu, pagi Selasa, 5 Februari di sini.

MERCUTANDA BAHARU... Bakal jadikan seluruh Kawasan Perindustrian Gebeng sebagai hub perindustrian terpenting negara. 


TAMAN PERINDUSTRIAN BERSTATUS KEBANGSAAN PERTAMA

MCKIP ialah taman perindustrian berkembar (sister park) dan lanjutan kepada China-Malaysia Qinzhou Industrial Park (CMQIP) di Qinzhou, China sepertimana yang telah dilancarkan bersama oleh Dato’ Sri Mohd Najib dan Perdana Menteri, Republik Rakyat China, Wen Jia Bao pada 1 April lepas (2012).   

Sepertimana juga CMQIP, MCKIP juga diberikan ‘status kebangsaan’ – taman perindustrian pertama di Negara ini diberikan status tersebut, bermakna ia (MCKIP) akan dimajukan oleh sektor swasta dengan bimbingan Kerajaan.

Sehubungan itu, Dato’ Sri Mohd Najib telah menyatakan penghargaannya kepada pelbagai pihak dalam menjayakan pembangunan MCKIP khususnya Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan yang menurutnya, telah memberikan ‘unstinting support’ (kerjasama penuh) kepadanya.

Menurutnya, pelancaran rasmi MCKIP menandakan bab baharu (a new chapter) dalam perhubungan antara kedua-dua negara – Malaysia dan China; perhubungan yang telah matang lebih daripada yang dijangkakan.

“Today, our nations are closely connected. China is Malaysia’s largest export market, and accounts for a sixth of our imports. This year, we expect more than RM1 billion of Chinese foreign direct investment in Malaysia. Over the next five years, we expect two-way trade to reach US$100 billion,” katanya. 

MODEL PEMBANGUNAN MCKIP... 


RANGKA PROGRAM PEMBANGUNAN 5-TAHUN

Dato’ Sri Mohd Najib kemudian mengumumkan betapa kedua-dua negara sedang melakukan semakan akhir kepada Program Pembangunan 5-Tahun bagi Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan yang dijangka siap untuk pertimbangan dalam tempoh suku pertama tahun ini.

Program pembangunan ini katanya, akan merangka secara jelas, peluang-peluang untuk kerjasama antara kedua-dua negara dalam tempoh lima tahun antara tahun ini dan tahun 2017.  

“Over the past decade,” kata Perdana Menteri kita lagi, “… the world has come to terms with a model where China’s need for resources has created new patterns of trade and influence.

“Now the world is beginning to recognise that Chinese innovation and domestic demand will prove just as potent a force in the global economy. So on economic co-operation - and diplomatic; I am proud to say that Malaysia is ahead of the curve,” katanya.

Sehingga ini menurut Perdana Menteri lagi, MCKIP telah berjaya memperolehi komitmen pelaburan bernilai RM10,500 juta (RM10.5 billion) dengan kira-kira 8,500 peluang pekerjaan bakal disediakan.

KENANG-KENANGAN... Sesi foto berkumpulan di depan mercutanda MCKIP


PELABURAN RM2,500 JUTA BANGUNKAN INFRA DALAM MCKIP

Tambahan pelaburan lagi RM2,500 juta katanya, akan dikeluarkan oleh pemaju induk (master developer) kepada MCKIP ini sendiri – usahasama antara antara rakan-rakan kongsi kedua-dua Malaysia dan China, bagi membangunkan infrastruktur utama dalam kawasan MCKIP ini.

“I hope and trust that these investments will be the first of many. But the true impact of this park will be felt not just in economic terms, but in the legacy it leaves on the lives of local people.

“The Group (master developer) has committed to provide training for all levels of its workforce, and will work with local training institutions for skills development. And an internship programme at the Group’s existing plants in China will help young people learn new skills and a new culture,” katanya. 

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar dewan-dewan perniagaan tempatan, perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana (SME) serta golongan peniaga merebut peluang yang telah disediakan.

Dato’ Sri Mohd Najib turut mengumumkan bahawa Guangxi Beibu International Port Group akan berusahasama dengan syarikat tempatan –  IJM Corporation Bhd bagi mengusahakan kerja-kerja pembesaran Pelabuhan Kuantan yang berdekatan, bernilai pelaburan RM3,000 juta (RM3 billion).

SAMA-SAMA AMATI MODEL PEMBANGUNAN...


TANDA TANGANI LIMA (5) DOKUMEN STRATEGIK

Kerja-kerja pembesaran ini katanya, termasuk pembinaan sebuah terminal laut dalam yang baharu ke arah meningkatkan daya-saing serta menjadikan Pelabuhan Kuantan sebagai destinasi perkapalan utama.

“It will ensure that China and Malaysia remain closely connected at a time when the balance of global trade is tilting in Asia’s direction. With the Regional Comprehensive Economic Partnership set to bring half the world’s population within a single market, the importance of this connection will only increase by leaps and bounds,” katanya.

Sempena majlis pelancaran ini juga, lima (5) dokumen strategik turut ditanda tangani antara pihak-pihak terlibat, sebagai pemula (kick-start) kepada kemasukan pelaburan yang nyata ke MCKIP.

Kelima-limanya ialah; Pertama, Perjanjian Pemilik Saham antara Konsortium Malaysia dan Konsortium China bagi penubuhan syarikat usahasama MCKIP.

Kedua, Memorandum Persefahaman (MoU) Mengenai Pelaburan antara Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Guangxi Beibu Gulf International Port Group ke arah membangunkan projek-projek kilang keluli, kilang aluminium dan kilang penapisan minyak sawit.

“… TO A LONG AND FRUITFUL FUTURE FOR MCKIP”

Ketiga, MoU antara Guangxi Beibu Gulf International Port Group dan syarikat tempatan, Rimbunan Hijau Group bagi pelaburan dalam kilang penapisan minyak sawit.

Keempat, MoU antara IJM Corporation Bhd dan Guangxi Beibu Gulf International Port Group bagi kerja-kerja pembangunan dan pembesaran Pelabuhan Kuantan.

Dan kelima, Perjanjian Rangka Kerja mengenai Kerjasama Pembiayaan Kewangan antara China Development Bank Corporation dan pemaju induk (master developer) yang meliputi consortium dari kedua-dua Malaysia dan China.

“Each of these signings point to a long and fruitful future for the Malaysia-China Kuantan Industrial Park,” tegas Dato’ Sri Mohd Najib yang selepasnya, ialah ucapan 5-minit dalam Bahasa Mandarin oleh Pengerusi, Persidangan Perundingan Politik Rakyat China, Republik Rakyat China, Encik Jia Qinglin.

 Selain Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan, antara yang turut hadir pada majlis pelancaran ringkas tetapi bersejarah dan bermakna itu ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Sri Mustapa Mohamed; 

Menteri Kesihatan, Dato' Sri Liow Tiong Lai; Utusan Khas Perdana Menteri ke China, Tan Sri Ong Ka Ting; serta, Ketua Pegawai Eksekutif,ECERDC, Dato' Jebasingam Issace John.

GEBENG BAKAL JAGI HUB INDUSTRI UTAMA NEGARA

Sementara itu, dalam reaksi segeranya kepada majlis pelancaran ini, Dato’ Sri DiRaja Adnan yang sempat ditemui pemberita berkata, MCKIP bakal membawa banyak faedah kepada negeri dan rakyat negeri ini keseluruhannya.

Kewujudan MCKIP katanya, akan memungkinkan berlakunya kesan putaran ekonomi (economic spin-off effects) dan kesan berganda (multiplier effect), serta kesan tambah nilai sangat banyak.

“Ianya (MCKIP, akan) mewujudkan banyak peluang pekerjaan pada semua peringkat; professional dan bukan professional, mahir dan separuh mahir. Ianya merangsang kerancakan perniagaan berteraskan perkhidmatan.

“Ianya memberi nilai tambah kepada Kawasan Perindustrian Gebeng, (hingga bakal) menjadi hub perindustrian yang penting di negara ini,” katanya.  – Khabar


Sunday, 3 February 2013

Terapkan semula semangat gotong-royong, tolong-menolong dan setiakawan, saran Menteri Besar

… sempena pelancaran program belia bergotong-royong jagai alam sekitar ‘My Beautiful Malaysia’ peringkat negeri  

BERGOTONG-ROYONG KITA... Dato' Sri DiRaja Adnan ditemani Dato' Sri Ahmad Husni (terselindung) serta Dato' Maznah dan Dato' Dr Noorul Ainur; sedang bersama-sama mengecat tiang pondok wakaf di pantai Teluk Chempedak. 


TELUK CHEMPEDAK, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menyarankan agar program seperti ‘My Beautiful Malaysia’ diperbanyakkan bagi menerapkan kembali semangat gotong-royong khususnya dalam kalangan belia.

Ketika bercakap pada persidangan media selepas melancarkan program itu peringkat negeri pada pagi Ahad, 3 Februari di sini katanya, “Saya risau sikit kerana keadaan sekarang ini (masyarakat kita seolah-olah) telah mengenepikan nilai-nilai manusia sejagat.

“Oleh sebab itu, dengan ada program yang lebih banyak seperti program hari ini (‘My Beautiful Malaysia’), mungkin dapat terapkan semula gotong-royong, kemudian tu tolong-menlong, semangat setiakawan”.  

Menurutnya, program hari ini yang melibatkan kira-kira 6,000 orang khususnya belia, ialah lanjutan kepada pengumuman Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak tentang Tahun Kesukarelawan 2013 melibatkan peruntukan RM100 juta.

Pengumuman tersebut katanya lagi, telah dibuat oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, semasa membentangkan Bajet Negara 2013 pada persidangan Parlimen, akhir tahun lepas.

'I AM FOR YOU...I AM FOR YOU'... Menyanyikan lagu '1M4U' bersama-sama para belia-remaja kita dalam kalangan pelatih-pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kita.   


TIADA GARIS PEMISAH; PEMIMPIN DAN BELIA KITA... Bersama-sama dengari ucapan Perdana Menteri secara 'live' dipancar pada skrin elektronik besar di pantai ini.  


BERSIHKAN KAWASAN, ERATKAN PERPADUAN

Sebenarnya kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi, rakyat negara ini mempunyai semangat gotong-royong, tolong-menolong serta perasaan muhibbah yang sangat tinggi tetapi ‘agak ketinggalan’ sejak akhir-akhir ini.

Ia ekoran peredaran masa dan pula rakyat katanya, ‘berkejar-kejar mengejar’ kemewahan dan kesenangan sehingga seolah-olah mengabaikan nilai-nilai manusia sejagat yang positif, seperti semangat gotong-royong, tolong-menolong dan perasaan muhibbah itu.

“Dengan adanya program yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri ini saya percaya, bukan sahaja kita dapat sebagai contoh pada hari ini, membersihkan kawasan-kawasan tertentu;

“Tetapi juga pada ketika yang sama, boleh mengeratkan lagi semangat silaturrahim antara sesama Islam, semangat muhibbah antara orang Islam dan bukan Islam. Sementelah pula sekarang ini, berbagai-bagai isu yang ditimbulkan.

“Elok sangat program seperti ini diperbanyakkan lagi supaya semangat perpaduan, muhibbah antara kita rakyat Malaysia tak kira kaum, tak kira ugama; kalau boleh dieratkan seperti zaman kita dahulu sebelum ini, zaman pra-merdeka dan zaman post-merdeka”.

'BURGER, BURGER'... Oleh kerana petugas di restoran makanan segera di pantai ini tidak 'menang tangan' dengan kehadiran pelanggan yang ramai, Dato' Sri DiRaja Adnan yang berteduh seketika sementara menantikan hujan lebat reda di luar sana, telah tanpa kekok mengambil-alih tugas mengagih-agihkan 'burger' yang dipesan dan dibelanjanya, kepada para belia-remaja kita.   


BUKAN SETAKAT BELIA-REMAJA, ANAK KECILPUN SAYANG KEPADANYA... Foto ini dirakam semasa berehat di bawah khemah selepas bergotong-royong dan menanti siaran lintasan dari Taman Medan, Petaling Jaya bagi mengikuti ucapan pelancaran Perdana Menteri. 


PELANCARAN SERENTAK LIBATKAN 390 LOKASI SELURUH NEGARA

Pelancaran peringkat negeri di sini, ialah selari dengan pelancaran program ‘My Beautiful Malaysia’ peringkat kebangsaan serentak seluruh negara yang disempurnakan oleh Perdana Menteri di Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor pagi yang sama.

Termasuk di Teluk Chempedak ini, 389 lokasi lain turut terpilih yang menyaksikan kira-kira 1.1 juta orang khususnya dalam kalangan belia, menyertainya.

Antara yang turut hadir pada majlis pelancaran di sini ialah Menteri Kewangan II, Dato’ Sri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah yang mewakili Kerajaan Persekutuan; Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Maznah Mazlan; dan, Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Dr Noorul Ainur Mohd Nur. 

MAKA BERSIH LAGILAH PANTAI POPULAR KITA... 
Khabar            

Tuesday, 29 January 2013

"Ketahuilah batas sempadan masing-masing agar tidak cerobohinya," titah tegas KDYTM Tengku Mahkota Pahang


… berkaitan isu gesaan penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam kitab Injil berBahasa Melayu yang titah Baginda juga;   

“Menterjemahkan God atau Lord dengan Allah sangat bertentangan dengan nilai ilmiah dan tatacara terjemahan. Apatah lagi beberapa prinsip ketuhanan yang ada dalam ajaran Islam sangat berbeza dari perspektif Kristian”.

TITAH 18-MINIT BAGINDA TUANKU... Dengan diiringi di atas pentas oleh Dato' Sri DiRaja Adnan dan Dato' Sri Muhammad Safian; KDYTM Tengku Mahkota menyampaikan titah-ucapan  tegas Baginda mengenai isu kalimah 'Allah'


HOTEL M.S.GARDEN, KUANTAN – Acara rasmi pagi Selasa, 29 Januari di sini ialah Majlis Pelancaran dan Penyampaian Dana Tabung Palestin-Gaza di hotel milik Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) ini.

Namun, oleh kerana heboh diperkatakan tentang isu penggunaan kalimah 'Allah' dalam kitab Injil berBahasa Melayu, KDYTM Tengku Mahkota Pahang turut menyentuh mengenainya dalam titah-ucapan 18-minit Baginda semasa menyempurnakan Majlis tersebut.

“Mereka yang berkenaan,” titah Baginda, “Mesti mengetahui batas sempadan masing-masing agar tidak menceroboh sempadan tersebut, bagi mengelak wujudnya pra-sangka antara satu sama lain.

“Keharmonian negara mestilah dipelihara oleh semua pihak,” tegas Baginda dan menambah betapa golongan – baik pemimpin masyarakat, ahli politik, badan NGO atau ketua agama; mesti memahami sensiviti agama dan bangsa masyarakat majmuk negara ini.

Sehubungan itu, Baginda turut menegaskan betapa Islam sebagai agama negara, mesti dihormati dengan turut memastikan mana-mana hak yang khusus bagi agama itu tidak sepatutnya dicerobohi.

TURUT LANCARKAN 'WAQAF WATER 4-GAZA'... Bersempena majlis pagi Selasa itu, KDYTM Tengku Mahkota turut melancarkan program kebajikan Waqaf Water 4-Gaza.  


KALIMAH ‘ALLAH’ TAK BOLEH DITERJEMAH DALAM MANA-MANA BAHASA

“Kalimah 'Allah' merupakan kalimah khusus yang tidak boleh diterjemah dalam mana-mana bahasa di dunia. Ianya adalah penamaan khas bagi Allah sahaja,”titah Baginda.

“Menterjemahkan God atau Lord dengan Allah,” titah Baginda lagi, “… sangat bertentangan dengan nilai ilmiah dan tatacara terjemahan. Apatah lagi beberapa prinsip ketuhanan yang ada dalam ajaran islam sangat berbeza daripada perspektif Kristian”

Menurut titah Baginda juga, ‘Allah’ dalam ajaran Islam bermaksud Maha Esa, yang tidak beranak mahupun diperanakkan serta tiada sama dengan makhluknya seperti disebut dalam Surah Al-Ikhlas yang bermaksud;

“Katakanlah Wahai Muhammad. Allah itu Esa, Allahlah tempat bergantungnya seluruh makhluk, tidak beranak dan tidak pula diperanakkan, dan tiada sesuatupun yang setara denganNya”.

KDYTM Tengku Mahkota seterusnya menitah-sebut tentang betapa perbuatan mensyirikkan ‘Allah’ seperti penggunaannya pada yang tidak sewajarnya, merupakan ‘sebesar-besar dosa dalam Islam.

PERSEMBAHAN PENTOMIN... Majlis turut diserikan dengan pentomin 11-minit bertajuk 'Silence is betrayal' atau 'Senyap itu pengkhianatan'. 


BOLEH UNDANG KEMARAHAN, KETEGANGAN ANTARA AGAMA

Lalu Baginda mempersoalkan; “Apakah kita boleh menerima bila mereka menterjemahkan ‘Allah’ ada anak,  ‘Allah’ bersifat sebagaimana makhluk, ‘Allah’ digambarkan dengan sifat yang tidak layak baginya?

“Tentulah ini akan mengundang kemarahan, ketegangan antara agama. Ini merupakan penyalah gunaan nama ‘Allah’ yang akan pasti berlaku sekiranya dibenarkan terjemahan God atau Lord dengan Allah,” titah Baginda.

Dan Baginda terus berhujah bagaimana sepanjang pengetahuan Baginda, tiada  ‘Bible’ dalam mana-mana bahasa sekalipun termasuk Bahasa Tamil atau Cina, yang menterjemahkan God atau Lord dengan ‘Allah’.

“Kenapa ‘Bible’ Bahasa Melayu sahaja yang diterjemahkan dengan Allah. Pastinya ini akan mengundang pelbagai prasangka. Oleh yang demikian, menghindarkan keadaan ini daripada berlaku adalah lebih baik, demi menjaga keharmonian dan kestabilan negara,” titah Baginda. 

Baginda seterusnya merujuk kepada negeri Pahang ini sendiri yang sejak tahun 2008 lagi, telah memutuskan bahawa kalimah ‘Allah’ dan beberapa lagi istlah, tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam.

PENDERMA TERBESAR... Wakil daripada sebuah syarikat perlombongan emas di Selinsing, Lipis kelihatan sedang menyampaikan cek olok-olok bernilai RM200,000 - penderma terbesar pada Majlis tersebut. 


MAJLIS FATWA KEBANGSAAN TURUT BUAT KEPUTUSAN

Ketidak bolehan itu pula ialah sama ada dalam bentuk penggunaan, penyataan, penyebaran, percakapan, penerbitan sama ada menerusi media cetak ataupun elektronik.

Ini menurut-titah Baginda lagi, ialah sepertimana termaktub dalam Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam No.5 tahun 1989 dan lain-lain istilah agama islam adalah tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam.

Selain daripada itu, Majlis Fatwa Kebangsaan pada Muzakarah ke-82 antara 5 dan 7 Mei 2008 titah Baginda lagi, turut mengeluarkan fatwa bahawa kalimah ‘Allah’ tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam.

“Dan adalah wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalah gunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Disamping, mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang pada 16 Mei 1986 memutuskan empat (4) perkataan khusus iaitu ‘Allah’, ‘solat’, ‘kaabah’ dan ‘baitullah’ tidak dibenarkan penggunaannya oleh orang bukan Islam,” tegas Baginda.

SESI FOTO BERKUMPULAN... Para penderma sedang bersesi foto berkumpulan bersama-sama KDYTM Tengku Mahkota; serta Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri. 


BERDIRI TEGUH PERTAHANKAN KALIMAH ‘ALLAH’

“Justeru itu, saya menyeru seluruh umat Islam di negeri Pahang Darul Makmur khasnya dan di Malaysia amnya, untuk berdiri teguh mempertahankan kalimah ‘Allah’ dan kalimah lain yang dinyatakan (yang) tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam sama ada dalam media elektronik atau media cetak.

“Pihak lain seharusnya mengambil perhatian serta menghormati sensiviti agama masing-masing agar kesejahteraan rakyat berbilang bangsa dan agama ini tidak tergugat,” titah KDYTM Tengku Mahkota lagi.

Mengenai Majlis pagi itu, Baginda yang mencetuskan penganjurannya bertitah, rakyat Palestin tidak pernah mengecapi keamanan sebaliknya, sentiasa ditindas dan tidak mempunyai ruang untuk mendapatkan hak mereka.

Sungguhpun kuasa-kuasa besar dunia menyedarinya namun titah Baginda, tiada usaha yang benar-benar serius dilaksanakan atau satu rancangan berkesan dilakukan untuk menyelamatkan Palestin.

“Sekatan demi sekatan telah dilakukan di sempadan laut dan daratan oleh Israel, menambahkan lagi penderitaan mereka. Rakyat Palestin terpaksa membina terowong-terowong bawah tanah bagi mendapatkan bekalan makanan dan ubat-ubatan. 

HADIRIN DAN HADIRAT... Yang turut kelihatan dalam foto ini ialah ketua-ketua organisasi Kerajaan Negeri seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) yang diwakili Ketua Eksekutifnya, Dato' Lias Mohd Nor (berbaju merah); dan Pengurus Besar, Yayasan Pahang (YP), Dato' Saariah Saad. 
  

KEPRIHATINAN PM HARUS DICONTOHI

“Dilema kesengsaraan Palestin ini akhirnya mendapat perhatian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di merata pelusuk dunia yang bertujuan membantu meringankan penderitaan rakyat Palestin,” titah Baginda.

Baginda seterusnya menitah-nyatakan kesyukuran ekoran komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh Perdana Meneri, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak yang turut melakukan lawatan kemanusiaan ke sana 23 Januari lepas.

“Keperihatinan YAB Perdana Menteri kita itu seharusnya menjadi contoh dan pendorong kepada kita semua untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

“Saya berharap usaha murni negara kita ini akan mendapat perhatian pihak terlibat serta dunia demi merealisasikan keamanan di bumi Palestin,” titah Baginda lagi sambil menyebut tentang inisiatif Baginda menitah-cadangkan Majlis pagi Selasa ini.

“Dan Alhamdulillah,” titah Baginda, “… saya merasa amat bangga dengan sambutan yang begitu menggalakkan , dimana begitu ramai penyumbang yang tampil, terdiri daripada individu, agensi-agensi kerajaan, syarikat perbadanan kerajaan dan syarikat swasta serta orang ramai melalui tabung masjid;

RM1.1 JUTA TERKUMPUL

“Secara sukarela menghulurkan sumbangan kepada Dana Tabung Palestin-Gaza ini. Jumlah kuitipan tabung masjid sahaja telah berjaya dikumpul RM117,118.10 manakala jumlah keseluruhan ialah RM1.1 juta.

“Ini menunjukkan bahawa kita semua terutamanya rakyat negeri Pahang ini, sentiasa mengambil berat dan bersimpati terhadap penderitaan yang dihadapi oleh rakyat Palestin.

“Saya berharap, usaha ini akan diteruskan ke seluruh daerah di mana Pegawai Daerah hendaklah mengadakan usaha seumpamanya, bagi membolehkan orangramai terus menyumbang kepada tabung ini,” titah Baginda.

Selain Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob; yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Paduka Mukhriz Mahathir yang juga Penasihat, Perdana Global Peace Foundation (PGPF);

Tengku Besar Pahang, Tengku Kamil Ismail Tengku Idris Shah; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail, Pengerusi PGPF, Tan Sri Norian Mai; Presiden Haluan Palestin, Prof Madya Dr Abdullah Sudin Ab. Rahman; serta kenamaan-kenamaan dan ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan. – Khabar 

Saturday, 26 January 2013

"Berapa banyak Kerajaan (lain) yang jalankan tanggungjawab bantu rakyat sebagaimana Kerajaan BN jalankan tanggungjawab kita?"


… persoalan dilontarkan oleh Menteri Besar bagi menempelak puak-puak pembangkang yang asyik meremeh-temehkan pelbagai usaha Kerajaan membantu rakyat, dengan menganggapnya sebagai tanggungjawab sesebuah Kerajaanlah untuk melakukannya.     

SEORANG DEMI SEORANG DISAMPAIKANNYA SENDIRI... Dato' Sri DiRaja Adnan menyampaikan sendiri bantuan tersebut kepada setiap seorang daripada kesemuanya 1,319 pelajar dan murid dari dua buah sekolah bersebelahan ini. Di sebelahnya (terlindung) ialah Dato' Phang yang membantu menyampaikan buah limau - sempena Tahun  Baharu Cina yang bakal jelma, kepada mereka. 


SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN (SMK) SEMAMBU, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menempelak puak-puak pembangkang yang sering meremeh-temehkan pelbagai usaha Kerajaan Barisan Nasional (BN) membantu rakyat, dengan menganggapnya sebagai tanggungjawab Kerajaanlah untuk melakukannya.

“Memang kita boleh katakan ini merupakan tanggungjawab Kerajaan, seperti juga kita katakan tanggungjawab ibubapa (terhadap menjaga dan memelihara kebajikan anak-anaknya),” katanya.

“Tapi,” menurutnya, “Berapa ramai orang yang menjalankan tanggungjawab? Berapa banyak Kerajaan (lain) menjalankan tanggungjawab sepertimana Kerajaan kita menjalankan tanggungjawab kita?

“Soal ‘ini tanggungjawab, itu tanggungjawab’ (Kerajaan), tak perlu dibangkitkan. Yang penting ialah, sejauh mana seseorang yang diberikan tanggungjawab itu menjalankan tanggungjawabnya,” tegasnya.

Dato’ Sri DiRaja Adnan berkata demikian pada persidangan media sempena Majlis Penyampaian Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 kepada 954 pelajar sekolah ini dan 365 murid sekolah rendah bersebelahan – Sekolah Kebangsaan (SK) Air Putih pada pagi Sabtu, 26 Januari di sini.

SETIA MENANTI... Kelihatan sebahagian daripada pelajar SMK Semambu yang daripada 954 orang, 55 peratus ialah Melayu; 43 peratus Cina; dan, dua (2) peratus India. Penantian merekapun tidak lama kerana pada 10.15 pagi, Menteri Besarpun tiba itupun setelah mengadakan perjumpaan 'over breakfast' di sebuah hotel di bandar Kuantan dengan beberapa wakil Orang Asli.   


KERAJAAN BN YANG BERTANGGUNGJAWAB

Beliau mengulas lanjut pada persidangan media 18-minitnya itu tentang perkara yang sama yang turut diperkatakan dalam ucapan luar teks 25-minitnya, di hadapan para pelajar dan murid berkenaan disertai ibubapa mereka, sebelum itu.

“Dan kita (Kerajaan BN) telah melaksanakan tanggungjawab kita. Ini (penyampaian Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100) salah satu bantuan yang diberikan.

“Bukan tujuan kita untuk membangkit-bangkit, mengungkit-ungkit. Tapi kita kagumlah sebab setiap keluarga itu, ada sahaja bentuk bantuan yang diberikan oleh Kerajaan yang mereka pilih,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi.

Beliau turut membertahu betapa, wang yang Kerajaan kutip melalui cukai yang dikenakan ke atas orang perseorangan atau syarikat, di‘pulangkan semula’ kepada rakyat dalam pelbagai bentuk bantuan.

“Ini mustahaknya satu sistem iaitu orang yang wajar dicukai ,dicukai kemudian hasilnya di‘pulangkan’ kepada rakyat untuk dinikmati oleh semua pihak.

PELBAGAI KAUM DAN BUDAYA, TAPI, TETAP 1MALAYSIA... Pelajar-pelajar SMK Semambu ini sedang membuat persembahan tarian yang turut menarik perhatian Menteri Besar. 


MENGURUS NEGARA BUKAN MUDAH SEPERTI MEMETIK JARI

“Ini penting. Mentadbir, mengurus negara bukanlah semudah kita memetik jari di tangan, tidak. Ia perlukan kebijaksanaan, kebolehan untuk menyusun, mengatur dan yang pentingnya, setiap yang direncanakan itu dapat dilaksanakan,” katanya lagi.

Beliau juga ditanya tentang soal nilai (values) yang turut disentuh dalam ucapannya, dengan membuat rujukan khusus kepada peristiwa kehilangan selama seminggu sejak 16 Januari adik enam (6) tahun, William Yau Zhen Zong yang kemudian ditemui mati di sebuah jeti dekat Pelabuhan Kelang, petang Khamis, 24 Januari.    

“Saya sebenarnya hari semalam, saya menitiskan air mata bila baca kisah William (ditemui mati) sebab perkara ini, perasaan ini, sebenarnya (soal berkaitan) sejagat. Kita melihat William sebagai sebagai anak kita, cucu kita, waris kita.

“Sepatutnya perkara ini tidak berlaku melainkan kalau ada unsur-unsur jenayah. Mungkin William telah dicampak ke sungai, dibiarkan lemas, kita tidak tahu. Terpulanglah kepada pihak polis untuk menyiasat,” katanya.

Dalam peristiwa ini yang dikaitkannya dengan soal nilai katanya, ialah ekoran semakin kurangnya sikap prihatin dalam masyarakat sekarang yang dilihat lebih menjurus kepada soal untuk ‘mencari kehidupan, mencari wang ringgit’.

NILAI MULIA DENGAN BERSIKAP PRIHATIN

Beliau memberikan contoh bagaimana beliau pernah terserempak sebuah keluarga dalam kenderaan dengan dua daripada anak mereka mengeluarkan kepala daripada tingkap di tempat duduk penumpang bahagian belakang, tanpa disedari kedua-dua ibubapa tersebut.

Kejadian itu katanya, tidak dibiarkan lalu mengejar dan merapati kenderaan tersebut kemudian menyedarkan kedua-dua ibubapa berkenaan tentang gelagat merbahaya anak-anak mereka.

“Fasal apa? (Sebab) prihatin. Kalau tak prihatin, biar dialah…,” katanya. “Siapa nak dipersalahkan. Memanglah emak-ayah cuai tapi kita yang melihat mesti menegur perbuatan itu,” katanya lagi.

Yang turut hadir pada majlis pagi Sabtu itu ialah wakil rakyat-wakil rakyat Dato’ Phang Tsu Ming (BN – Semambu) dan Dato’ Chang Hong Seong (BN – Teruntum); serta Pengetua sekolah ini, Encik Chan Kok Wai; dan, Naib Yang Dipertua, Persatuan Ibubapa dan Guru-guru (PIBG) sekolah yang sama, Encik Abdul Rahim Mohd Ali. – Khabar   

Thursday, 24 January 2013

Merdeka 'tak' Centre


… analisis kita pula mengenai kedangkalan kaedah penyelidikan Merdeka Centre.

LOGO MERDEKA CENTRE... Boleh percaya?


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Jika orang utara kata; ‘Otak hang tak centre’, ia merujuk kepada seseorang yang dikatakan sebagai tidak siuman atau tidak berapa ‘betul’.

Apabila penulis menempelak Merdeka Centre – firma penyelidikan pendapat (ENG: An opinion research firm) sebagai Merdeka ‘tak’ Centre, ia bermaksud, ada yang tidak kena pada kaedah penyelidikan mereka.

Yang daripada kaedah penyelidikan yang tidak kena inilah juga, memberi kesan kepada analisis seterusnya kesimpulan tidak tepat mengenai sesuatu perkara oleh firma ini sepertimana yang telah terbukti selama ini.

Baharu petang tadi, Khamis, 24 Januari, penulis menerima panggilan daripada yang tertera pada skrin telefon – ‘Unknown Number’. Oleh kerana biasanya yang sebegini ialah panggilan daripada ‘Big Boss’ maka bersegeralah penulis menjawab, sungguhpun sudah berwuduk untuk menunaikan solat Asar.

Rupa-rupanya bukan daripada ‘Big Boss’ tetapi daripada seorang bersuara gadis, memperkenalkan diri daripada Merdeka Centre, mahu bertanyakan katanya 20 soalan, mengenai negeri Pahang.

CUMA 1,000 RESPONDEN BERBANDING 1.5 JUTA RAKYAT PAHANG?

“Ok,” kata penulis. “Tapi sebelum itu, berapa ramai responden yang ‘you’ nak kena dapat ni?” tanya penulis yang dijawabnya tanpa ragu-ragu, “1,000 orang”.

“1,000 sahaja? Kita ada 1.5 juta penduduk Pahang. Takkanlah dengan 1,000 orang (yang tak sampaipun 1 peratus atau lebih tepat, 0.06 peratus) maka pendapat 1,000 orang ini boleh mewakili 1.5 juta penduduk negeri ini?” tanya penulis lagi.

“Katalah apa yang saya nak jawab kepada soalan ‘you’ ni, adalah sepenuhnya berbeza daripada apa yang akan dijawab oleh 999 lagi responden lain. Adakah ini bermakna kesimpulan you nanti ialah 99.9 peratus penduduk Pahang mempunyai pendapat yang berbeza sama sekali daripada saya?” tanya penulis lagi.

“Saya cuma disuruh tanya soalan Encik,” jawab gadis Merdeka Centre berkenaan, lalu penulispun bersimpati dan memintanya memulakan sesi pertanyaan menurut soalan-soalan yang telah disedia-bekalkan kepadanya.

Pada peringkat awal sepertimana biasa, persoalan berkisar kepada latar belakang penulis seperti umur, pendapatan bulanan keluarga; menjalar kepada persoalan tentang tarikh mula mengundi pada pilihanraya serta parti manakah pilihan penulis ketika itu.

‘SEMESTINYA TETAP UNDI BN’

Kepada soalan tentang masihkah parti yang penulis undi itu akan kekal menjadi pilihan pada pilihanraya umum kali ini, dengan segera penulis menjawab, “Sudah semestinya tetap undi BN, sama ada peringkat Dewan Undangan Negeri mahupun Parlimen”.

Selepas daripada inilah, soalan-soalan yang ditanyakan lebih bersifat ‘leading questions’ dan pula menjurus kepada ‘semuanya yang tidak betul sahaja’ mengenai Kerajaan Pusat mahupun Kerajaan Negeri pimpinan BN dan responden jika tidak berhati-hati, tentu akan terjerumus untuk mengiyakannya.

Misalnya, ada soalan yang ditanyakan meminta penulis memilih dua (2) sahaja daripada tujuh (7) perkara yang tidak baik tentang Kerajaan BN. Jawab penulis, “Tidak satupun” yang segera cuba diperbetulkan oleh gadis tersebut, “Tak boleh Encik. Encik kena pilih dua (2)”.

“Kalau begitu, jawapan saya, ‘Tidak satupun daripada ketujuh-tujuh perkara’. Jadikan ia sebagai tambahan, sebagai perkara kelapan (8),” kata penulis mengarahkan, entah diakurkannya ke tidak.

Penulis lebih terhidu tentang sifat ‘leaning’ (yang sudah tentunya bukan terhadap Kerajaan BN) firma penyelidikan ini apabila tiba kepada soalan berkaitan isu-isu semasa, dan sekali lagi meminta penulis memilih dua (2) daripada tujuh (7) isu tersebut yang dianggap lebih menjadi perhatian penulis.

‘TIDAK SATUPUN’

Kata penulis, “Tengok. Semua ketujuh-tujuh isu ini you kutip daripada apa yang dimainkan oleh pihak pembangkang sedangkan sebenarnya, ia bukan isu di negeri ini. Jawapan saya, nombor lapan (8), ‘Tidak satupun’”.

Elemen mengadu-dombapun penulis terasa apabila ada soalan yang menanyakan pendapat penulis mengenai kepimpinan negeri BN yang ada, dan apakah pula pendapat penulis dengan beberapa tokoh lain dari BN yang sama, yang nama-nama tersebut sering sengaja diuar-uarkan oleh puak-puak pembangkang.  

Akhirnya gadis itu meminta penulis seolah-olah membuat ‘summary’ kepada apa yang hendak penulis katakan maka katalah penulis antara lainnya, “Mohon Merdeka Centre buat kajian lebih profesional lagi dengan soalan-soalan bersifat lebih ‘neutral’ dan benar, lalu tidak menyebabkan orang seperti saya was-was kepadanya”.

Sama-samalah kita nantikan ‘outcome’ kepada penyelidikan terbaharu oleh Merdeka Centre ini, dengan berasaskan kepada cuma 1,000 responden termasuklah kakitangan kerajaan seperti penulis ini.

Dan ‘outcome’ ini penulis percaya, pasti segera dilaku dan diumumkan sebelum pilihanraya umum ke-13 ini, yang tarikh akhir sah-laku Parlimen kita ialah pada 28 April ini. – Khabar