Thursday 7 February 2013

Yang terlibat banjir tapi tak pindahpun dapat bantuan ihsan RM500


… hal dibangkitkan pada pertemuan tertutup dengan Perdana Menteri pada Selasa; beliau prihatin maka setuju, lalu arahkan bantuan ihsan turut diberi dan selang sehari, pada Khamis, ia disampaikan!  

BANTUAN IHSAN YANG DISEGERAKAN, ATAS KEPRIHATINAN KERAJAAN MENJELANG TAHUN BAHARU CINA... 


DEWAN JUBLI PERAK SULTAN HJ AHMAD SHAH, KUANTAN – Asalnya, cuma mereka yang terlibat banjir pada akhir tahun lepas dan berpindah ke pusat-pusat pemindahan yang disediakan sahaja yang diberi sumbangan bantuan ihsan RM500.

Ekoran itu, sungutan diterima daripada mangsa-mangsa banjir yang tidak berpindah, tentang mereka yang dikecualikan dan ini dibangkitkan pada pertemuan tertutup Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak dengan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) Negeri pada petang Selasa, 5 Februari.

Oleh kerana keprihatinannya, Dato’ Sri Mohd Najib bersetuju agar mangsa-mangsa banjir yang tidak berpindahpun wajar menerima bantuan ihsan lalu mengarahkan pembayaran segera dilakukan.

Hanya selang sehari, pada Khamis, 7 Februari, peruntukan RM3 juta dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) bukan sahaja disalurkan malah majlis bagi menyampaikannya di adakan pada sesi pagi dan petang Khamis di sini.

Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob sendiri hadir bagi menyampaikan bantuan ini, dibantu oleh wakil-wakil rakyat terlibat dan diiringi oleh ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan yang berkenaan.

TEKUN DAN SUKANYA DENGARI KELETAH/UCAPAN MENTERI BESAR... Ini merupakan sebahagian daripada mereka yang hadir pagi Khamis itu. 

Kelihatan mereka sama ada tekun mahupun gembira dengan keletah/ucapan luar teks 34-minit Dato' Sri DiRaja Adnan yang menurutnya, agak panjang ekoran terjemahan yang lebih panjang oleh gadis penterjemah ke atas ucapan bersahaja dalam Bahasa Malaysianya. 


YANG TERTINGGAL, BOLEH LAGI RAYU

Pada persidangan media kemudian, beliau berkata, yang terlibat dengan majlis penyamapaian pada hari ini sahaja ialah kira-kira 3,000 ketua keluarga dan dijangka lagi 3,000 ketua keluarga akan menerimanya kemudian.

“Kalau ada lagi mangsa-mangsa banjir yang ketinggalan, mereka boleh merayu, berjumpa dengan pihak Majlis Kesalamatan Negara di negeri Pahang ataupun Pejabat Daerah Kuantan.

“Kita akan insyaAllah, timbangkan,” katanya dan menambah, “Janganlah datang, tengok nama tak ada (pada senarai penerima bantuan ihsan), balik. Tak usahlah marah-marah. Insya-Allah, Kerajaan akan timbangkan”.

Pada persidangan media yang sama, Dato’ Sri DiRaja Adnan turut ditanya mengenai ugutan yang dibuat oleh Pengerusi kepada apa yang dikenali sebagai Himpunan Hijau, Encik Wong Tuck, yang mahu membakar kilang pemprosesan tanah jarang Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Gebeng jika BN masih berkuasa selepas pilihanraya umum kelak.

“Wong Tuck dah khabar dia mengikut macam MB jugalah, (kononnya menggunakan) bahasa kiasan. Saya, bahasa kiasan saya lain, dia lain,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan merujuk kepada bahasa kiasan yang digunanya sebelum ini bagi menyatakan keyakinan tingginya tentang peluang kemenangan BN di Bentong.

MESRA-RAKYAT, TERMASUKLAH DENGAN WARGATUA... Dato' Sri DiRaja Adnan sempat bergurau dengan penerima bantuan ihsan yang dalam kalangan wargatua Melayu ini. 
  

KESALAHAN UGUT YANG BOLEH DIDAKWA

“Dia (Wong Tuck) melakukan kesalahan tu, boleh didakwa di bawah – saya diberitahu oleh peguam-peguam; boleh didakwa di bawah Penal Code, Kanun Acara Jenayah, seksyen  28,  (kerana) mengugut,” katanya.

Kepada soalan sama ada ugutan tersebut boleh menjauhkan minat pelabur untuk melabur di negeri ini katanya, “Tindakan itu (ugut untuk bakal kilang LAMP) akan mendekatkan lagi pelabur dan akan menjauhkan (mereka daripada Wong Tuck). Kalau orang nak menyokong diapun, orang akan lari”.

“Kalau misalannya Lynas tak selamat,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, “… takkan yang datang hari tu (pada pelancaran rasmi Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China, Selasa, 5 Februari) orang nombor empat dikalangan herarki politik China datang bawa pelaburan lebih RM10.5 billion?”.

Antara yang turut hadir pada majlis pagi Khamis itu ialah Speaker, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Sri Wan Razali Wan Mahussin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail; wakil-wakil rakyat – Dato’ Chang Hong Seong (BN – Teruntum) dan Encik Mohd Shohaimi Jusoh (Bn – Lepar); dan Pegawai Daerah Kuantan, Dato’ Norhayad Ahmad.

Penyampaian sumbangan bantuan ihsan kepada 3,000 ketua keluarga pada hari ini dibahagi kepada dua sesi, 1,500 orang menerimanya pada sesi sebelah pagi dan selebihnya pada sesi petang. – Khabar