Thursday, 14 May 2020

Syarat dilonggarkan bagi premis perniagaan, sektor pembinaan


DEMI PENJAJA... Faham dengan nasib penjaja yang tidak dapat berniaga dalam tempoh PKP lalu menghadapi masalah untuk memperolehi pendapatan seterusnya menyara diri dan keluarga, Kerajaan Negeri telah melonggarkan sikit syarat lalu membenarkan mereka berniaga semula. 

Namun, kelonggaran ini hendaklah dimanfaati dengan penjaja/peniaga mahupun pembeli, mestilah berdisiplin dengan mengamalkan langkah-langkah yang ditetapkan oleh SOP. Foto ini ialah sehadar hiasan. 
   

KENYATAAN MEDIA
MENTERI BESAR PAHANG

Kelonggaran syarat bagi operasi premis perniagaan dan sektor pembinaan


Kerajaan Negeri hari ini memperkenalkan beberapa kelonggaran pada syarat-syarat berkaitan premis perniagaan dan sektor pembinaan di Pahang, berkuatkuasa serta-merta.  

1) Semua premis perniagaan dibenarkan beroperasi kecuali yang dilarang di bawah Warta Kerajaan Persekutuan (P.U. (A) 136).

Premis perniagaan yang dimaksudkan termasuk gerai makan tepi jalan (berbumbung), pusat penjaja, penjaja tepi jalan (sementara) dan penjaja beredar di seluruh Pahang kecuali di kawasan/lokaliti mempunyai  kes positif baharu iaitu –

i) Pekan Dong (sehingga dimaklumkan kelak).
ii) Pasaraya TF Raub (sehingga 24 Mei 2020).
iii) Pasar Mini Bentong Segar (sehingga 20 Mei 2020).
iv) Flat Benus Bentong (sehingga 24 Mei 2020).
v) Kilang Rubber Flex, Bentong (sehingga 24 Mei 2020).
vi) Pasar Mentakab (sehingga 24 Mei 2020).

Ini adalah selain daripada kawasan/lokaliti yang akan dimaklumkan dari masa ke semasa. Maklumat berhubung kawasan/lokaliti yang mempunyai kes positif baharu akan dikemaskini melalui laman sesawang pentadbiran SUK Pahang.

2) Ujian saringan COVID-19 tidak perlu dilaksanakan sebelum premis dibuka kecuali bagi pekerja warga asing terutamanya dalam sektor pembinaan sebagaimana syarat yang dikenakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Saringan suhu badan pekerja hendaklah dibuat setiap hari dan direkodkan. Hanya pekerja/peniaga yang mempunyai suhu badan tidak melebihi 37.5 darjah selsius dibenarkan berada dalam premis.

3) Waktu operasi premis perniagaan dibenarkan bermula 7 pagi hingga 7 malam (kecuali bagi sektor yang diperincikan secara khusus).

4) Bagi sektor pembinaan, tidak perlu membuat permohonan kebenaran melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tetapi, pengisytiharan/akujanji perlu dilaksanakan melalui sistem CIMS CIDB.


Dato’ Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail
Menteri Besar Pahang
14 Mei 2020 – Khabar

Wednesday, 13 May 2020

Bantuan Khas Aidil Fitri RM500 untuk 8,000 penjawat awam Pahang


DUIT RAYA...

 
KENYATAAN MEDIA
MENTERI BESAR PAHANG

Bantuan Khas Aidil Fitri RM500 untuk 8,000 penjawat awam Pahang


Sukacita saya umumkan Bantuan Khas Aidil Fitri sebanyak RM500 seorang kepada kira-kira 8,000 penjawat awam di Pahang, sempena sambutan Hari Raya Aidil Fitri 1441 Hijrah tahun ini.

Penjawat awam yang dimaksudkan ialah daripada Gred JUSA dan ke bawah.

Bayaran akan dibuat pada 19 Mei ini, melibatkan implikasi kewangan kepada Kerajaan Negeri kira-kira RM4 juta.

Bantuan Khas ini sebagai tanda penghargaan atas khidmat bakti dan kesetiaan penjawat awam kepada Kerajaan Negeri selama ini. 

Saya juga meminta semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Badan-badan Berkanun Negeri supaya turut melaksanakan pembayaran yang sama.

Terdapat kira-kira 3,500 pegawai dan kakitangan yang berkhidmat di PBT-PBT serta Badan-badan Berkanun di negeri ini.

Saya berharap, Bantuan Khas ini dapat dimanfaatkan sewajarnya, bagi meraikan Hari Raya Aidil Fitri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sekarang.


Dato’ Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail
Menteri Besar Pahang
13 Mei 2020 – Khabar

Tuesday, 12 May 2020

29 Inisiatif Bantuan COVID-19 Pahang bernilai/implikasi kewangan RM26.4 juta, memanfaatkan lebih 140,000 keluarga

BAK KATA PEPATAH; ORANG BERBUDI, KITA BERBAHASA... Menteri Besar memberi, rakyatpun berterima kasih kepadanya.



NOTA EDITOR;

Bagi memudahkan dan memahamkan tentang inisiatif bantuan yang Kerajaan Negeri perkenal dan laksanakan bagi membantu rakyat-jelata khususnya yang terkesan teruk dengan tempoh Perintah Kawalan Perdegarakan (PKP) disusuli Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung penularan wabak pandemikCOVID-19;

Diperturunkan berikutnya kesemua 29 inisiatif tersebut yang telah Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail umum atau/serta laksanakan dalam 5 Fasa;

Fasa 1, sebanyak lapan (8)  inisiatif (diumumkan pada 23 Mac 2020); Fasa 2, sebanyak lima (5) inisiatif (diumumkan pada 30 Mac 2020); Fasa 3, sebanyak sembilan (9) inisiatif (diumumkan pada 8 April 2020); Fasa 4, sebanyak enam (6) inisiatif (diumumkan pada 22 April 2020); dan Fasa 5, sebanyak satu (1) inisiatif yang dilaksanakan menjelang Hari Raya Aidil Fitri 2020 .


Nilai peruntukan/implikasi kewangan yang Kerajaan Negeri tanggung bagi kesemua inisiatif ini ialah lebih RM26.4 juta (RM26,436,270) atau kira-kira 3.57 peratus daripada Bajet Negeri Pahang 2020 sebanyak RM739.89 juta.

Jumlah penerima keseluruhannya kira-kira 141,894 Ketua Isi Rumah (K.I.R) atau kira-kira 38.79 peratus daripada kesemua 365,800 Ketua Isi Rumah di negeri ini.

Kesemua 29 inisiatif ini ialah –

1) Peruntukan RM3.587 juta disediakan sebagai pemberian bantuan khas tunai secara ‘one-off’ sebanyak RM150 dan barangan makanan seperti beras, tepung dan gula bernilai RM50 seorang.

Bantuan tunai dan barangan bernilai ini diberikan kepada kira-kira 17,935 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terdiri daripada mereka yang terkesan secara langsung dan terputus sumber pendapatan disebabkan PKP ini.

Proses agihan bantuan khas ini bermula 24 Mac 2020 dan diuruskan oleh Pegawai Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di setiap daerah.

2) Peruntukan khas kepada setiap 42 Ahli Dewan Negeri di Pahang – tanpa mengira parti pemerintah atau pembangkang; bagi membantu secara terus rakyat yang terjejas dengan penularan wabak pandemik Covid-19 ini.

Nilai keseluruhan peruntukan ialah RM252,000.

3) Memberikan potongan 100 peratus atau percuma, daripada kadar sewa bulanan Projek Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) dan Rancangan Rumah Murah (RRM) di seluruh Negeri Pahang bagi bulan April 2020.

(Asalnya, diumumkan potongan 50 peratus tetapi mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 8 April 2020 putuskan potongan 100 peratus).

Inisiatif ini memberi faedah kepada 2,453 penyewa/Ketua Isi Rumah dan melibatkan implikasi kewangan kepada Kerajaan Negeri sebanyak RM300,000.

4) Sebagai tanda sokongan dan simpati Kerajaan Negeri Pahang dan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Negeri Pahang kepada golongan penjaja dan peniaga kecil, Kerajaan Negeri bersetuju memberikan potongan 100 peratus atau percuma juga bagi bayaran bulan April 2020 untuk sewaan gerai dan lain-lain kemudahan PBT, bayaran permit pasar tani, pasar pagi, pasar malam dan ‘car boot sale’.

(Asalnya, diumumkan potongan 50 peratus tetapi mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 8 April 2020 putuskan potongan 100 peratus).

Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada 6,238 peniaga kecil dan penjaja serta melibatkan implikasi kewangan kepada PBT sebanyak RM2.586 juta.

5) Pembayaran bulan April bagi penerima Bantuan Am Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seramai 2,895 penerima diawalkan kepada 27 Mac 2020.

JKM Negeri Pahang turut mempercepatkan pembayaran bagi lain-lain jenis Bantuan Kewangan JKM kepada tarikh yang sama pada 27 Mac 2020.

Ini merangkumi Bantuan Kanak-Kanak, Elaun Pekerja Cacat, Bantuan Penjagaan Orang Kelainan Upaya (OKU) Terlantar/Pesakit Kronik Terlantar, Bantuan OKU Tidak Bekerja, Bantuan Orang Tua, Bantuan Anak Pelihara dan Bantuan Latihan Perintis.

Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada 26,806 penerima melibatkan peruntukan sebanyak RM8.95 juta.

6) Sebagai menghargai jasa dan pengorbanan petugas-petugas di bilik gerakan operasi serta anggota-anggota pasukan keselamatan yang terlibat dengan operasi penguatkuasaan PKP di Negeri Pahang, Kerajaan Negeri Pahang bersetuju untuk meluluskan peruntukan sebanyak RM765,800 bagi menampung kos penyediaan makanan kepada petugas-petugas yang terlibat.

7) Bagi meringankan beban penyewa-penyewa premis milik Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), Kerajaan Negeri bersetuju menangguhkan pembayaran sewa berkenaan untuk bulan-bulan April, Mei dan Jun 2020.

Implikasi kewangan yang dihadapi PKNP ialah RM1.5 juta.

8) Kepada Pekerja Sambilan Harian (PSH) di bawah Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang pula, mereka akan menerima elaun penuh sepanjang tempoh PKP ini. Jumlah PSH ini ialah 128 orang manakala peruntukan terlibat ialah kira-kira RM69,120. 

9) Sumbangan tunai RM100 dan barangan bernilai RM50 kepada 500 orang atau 21,000 orang lagi penerima/Ketua Isi Rumah yang sangat memerlukan di semua 42 kawasan Dewan Negeri (DN) di Pahang.

Senarai penerima akan ditentukan dengan kerjasama Penghulu-penghulu serta Ketua Kampung-Ketua Kampung berkenaan.

Nilai peruntukan bagi melaksanakan inisiatif ini ialah RM3.15 juta.

10) Bantuan tunai RM300 kepada Penghulu-penghulu serta RM200 kepada Pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK).

Terdapat 80 orang Penghulu dan 542 Pengerusi J.K.K.K seluruh Pahang.

Nilai peruntukan yang disediakan untuk maksud ini ialah RM132,400.

11) Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan pemberian 500 kampit beras kepada semua 42 kawasan Dewan Negeri (DN) untuk disumbangkan juga kepada golongan yang memerlukan kira-kira 21,000 orang lagi.

Nilai peruntukan untuk ini pula ialah RM304,500.

12) Sumbangan barangan keperluan bernilai RM50 kepada 1,500 orang dalam kalangan miskin tegar di negeri ini.

Nilai peruntukan untuk bantuan ‘one-off’ ini ialah RM75,000.

13) Sumbangan tunai RM100 dan barangan keperluan bernilai RM50 kepada masyarakat Orang Asli di seluruh negeri, melibatkan 3,975 orang.

Nilai peruntukan untuk maksud ini ialah RM596,250. 

14) Sumbangan masing-masing 1,500 kampit beras 5 kg setiap kampit, kepada pemimpin masyarakat di 14 kawasan Parlimen di Pahang yang akan melibatkan 21,000 orang penerima (1,500 kampit/penerima X 14 kawasan Parlimen) dengan nilai keseluruhannya, RM304,500.

15) Sumbangan tunai RM100 dan barangan keperluan bernilai RM50 kepada seramai 426 orang yang dalam kalangan Pemandu Pelancong Semulajadi Taman Negara, Pemandu Pelancong Biasa dan Pemandu Bot Pelancong Taman Negara.

Nilai peruntukan keseluruhannya untuk golongan berkaitan pelancongan ini ialah RM63,900.

16) Barangan keperluan bernilai RM50 kepada 3,500 Ketua Isi Rumah di bawah Program Ziarah Prihatin. KIR yang terlibat ialah dalam kalangan mereka dikuarantin di rumah masing-masing yang di bawah kategori Pesakit Di bawah Pemantauan (PUS; Patient Under Surveillance).

Nilai peruntukannya pula ialah RM175,000.

17) Sumbangan tunai RM100 dan barangan keperluan bernilai RM50 kepada 70 buah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda seluruh Pahang melibatkan 3,500 orang penerima.

Nilai peruntukan ialah RM525,000.

18) Sumbangan tunai RM100 dan barangan keperluan bernilai RM50 kepada 62 buah Jawatankuasa Kemajuan dan Kesalamatan Kampung Baharu (JKKKB) melibatkan 3,100 orang penerima.

Nilai peruntukan ialah RM465,000.   

19) Sumbangan tunai RM150 kepada 2,232 siswa-siswi anak Pahang yang kekal tinggal di asrama kampus masing-masing ekoran akur kepada PKP.

Nilai peruntukan untuk maksud ini ialah RM334,800.

20) Sumbangan barangan keperluan bernilai RM200 bagi setiap KIR yang terjejas dengan keputusan memperketatkan lagi PKP di satu-satu kawasan berkenaan. Jumlah terlibat dipuratakan 200 Ketua Isi Rumah setiap 11 daerah bersamaan 2,200 KIR di seluruh Pahang.

Nilai peruntukan ialah RM440,000.    

21) Sumbangan sebagai bantuan pengurusan sebanyak RM5,000 kepada setiap 11 Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah bagi menguruskan pembekalan dan pengagihan barangan keperluan kepada KIR sepertimana di atas.

Nilai peruntukan ialah RM55,000.   

22) Sumbangan RM30,000 sebagai membantu usahawan mikro ‘E-Hailing’ khususnya di Kuantan yang terkesan teruk dengan PKP.  

23) Sumbangan tunai RM100 dan barangan keperluan dapur bernilai RM50 seorang kepada 2,400 veteran tentera berpencen tanpa gaji dan menjadi ahli Persatuan Veteran Tentera Negeri Pahang.

Nilai peruntukan ialah RM360,000.

24) Sumbangan tunai RM100 dan barangan keperluan dapur bernilai RM50 seorang kepada 600 bekas polis yang menjadi ahli Persatuan Bekas Polis Pahang.

Nilai peruntukan ialah RM90,000.

25) Sumbangan tunai RM100 dan barangan keperluan dapur bernilai RM50 seorang kepada 300 anggota sukarela Rejimen 505 Askar Wataniah.

Nilai peruntukan ialah RM45,000.

26) Sumbangan tunai RM100 dan barangan keperluan dapur bernilai RM50 seorang kepada 300 nelayan tidak berlesen.

Nilai peruntukan ialah RM45,000.

27) Barangan keperluan dapur bernilai RM50 seorang kepada 300 penerima sepertimana dipohon oleh beberapa Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO).

NIlai peruntukan ialah RM15,000.

28) Sumbangan kepada pengurusan Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) kerana menanggung perbelanjaan makan-minum 60 pelajar anak Pahang yang kekal tinggal di rumah-rumah sewa.

Nilai peruntukan ialah RM20,000

29) Sumbangan barangan keperluan dapur termasuk pulut bernilai RM30 seorang kepada 40,000 penerima sebagai persiapan menjelang Hari Raya Aidil Fitri. 

Nilai peruntukan ialah RM1.2 juta.   

Adalah diharapkan, kesemua 29 inisiatif ini dapat dilaksanakan dengan berkesan seterusnya membantu rakyat yang terkesan teruk dengan PKP mahupun PKPB dalam usaha membendung penularan wabak pandemikCOVID-19 ini, In Sya Allah. – Khabar   


Saturday, 9 May 2020

SOP bagi pelaksanaan PKPB di Pahang


DATO' SRI DR SALLEHUDDIN... 

 
NOTA EDITOR ;

Berikut pula ialah kenyataan media oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Sri DR Sallehuddin Ishak berkaitan Prosedur Operasi Standard (SOP) berhubung dengan pengesahan dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Pahang.

Sepertimana disebut sebelum ini, kenyataan media ini adalah saling melengkapi dengan kenyataan media oleh Menteri Besar.    


KENYATAAN MEDIA
SETIAUSAHA KERAJAAN PAHANG

Bagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti yang diputuskan Kerajaan Persekutuan, Pihak Berkuasa Negeri (PBN) bersama Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) yang bermesyuarat pada 8 Mei 2020 memutuskan supaya semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melaksanakan syarat-syarat pengoperasian dan aktiviti yang dibenarkan seperti berikut:

1. Syarat-syarat Am Operasi Premis

Premis yang hendak dibuka semula mestilah berada dalam Zon Hijau sahaja (zon
merujuk kepada mukim, bandar dan pekan mengikut Seksyen 11, Kanun Tanah
Negara 1965).

Semua pekerja yang berada di dalam premis hendaklah menjalani saringan dan bebas
daripada jangkitan COVID-19. Saringan pekerja mestilah ditanggung oleh pihak
majikan/syarikat terutamanya untuk ujian COVID-19.

Saringan suhu badan pekerja hendaklah dibuat setiap hari dan direkodkan.

Menjalankan saringan suhu badan ke atas semua pelanggan, pelawat dan semua
yang berurusan di premis dan direkodkan dengan mencatatkan data pelanggan
termasuk nama, alamat dan nombor telefon.

Premis hendaklah dinyah kuman setiap hari.

Menyediakan hand sanitizer untuk semua pekerja dan pelanggan.

Semua pekerja dan pelanggan hendaklah memakai penutup mulut dan hidung
sepanjang masa semasa berada di dalam premis.

Tiada waktu rehat pekerja serentak.

Premis yang mempunyai 10 pekerja ke atas hendaklah menubuhkan Jawatankuasa Tindak Balas Kecemasan (Emergency Response Team).

2. Syarat-syarat Khusus Operasi Premis

I. Restoran

i) Jarak antara meja: 2 meter.
ii) Jarak antara kerusi pelanggan: 1 meter.
iii) Waktu operasi (Bulan Ramadan): Muslim (12.00 tengah hari – 12.00 tengah malam), Bukan Muslim (7.00 pagi – 7.00 petang).
iv) Waktu operasi (Luar Ramadan): 7.00 pagi – 7.00 petang.

II. Kilang yang Dibenarkan Beroperasi Sebelum 4 Mei 2020

i) Semua kilang dibenarkan beroperasi pada kadar 100 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerja sehingga semua pekerja lulus saringan COVID-19.
ii) Dibenarkan beroperasi sebagaimana kelulusan lesen.

III. Food Court dan Food Truck  (Operasi Food Court dan Food Truck adalah secara bungkus (take away) sahaja buat masa ini).

IV. Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lebuhraya Karak-KL, LPT 1 dan LPT 2

Operasi R&R dibenarkan dengan syarat-syarat berikut:

i) Restoran: Satu meja hanya dibenarkan untuk seorang pelanggan.
ii) Surau: Surau hanya dibenarkan digunakan oleh pelanggan yang membawa sejadah dan telekung sendiri. Pengurusan Lebuh raya hendaklah meletakkan pengawal bagi menguatkuasakan arahan ini.
iii) Hand sanitizer disediakan di semua kaunter restoran / gerai, surau.
iv) Sabun pencuci tangan hendaklah disediakan di semua sinki, tempat wudhu’ dan tandas.

V. Stesen Minyak

i) Waktu operasi adalah menurut kebenaran lesen sedia ada sebagai mana kelulusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
ii) Hendaklah menyediakan sarung tangan atau hand sanitizer di setiap pam minyak (island).
iii) Setiap ‘nozzle’ hendaklah dinyah kuman setiap jam.
VI. Tatacara Pasar Awam

i) Dibenarkan beroperasi pukul 5.00 pagi – 2.00 petang.
ii) Pasar hendaklah dinyah cemar setiap hari selepas waktu operasi.
iii) Memastikan pelanggan:

a) Berada di gerai tidak melebihi 5 minit untuk satu pembelian barang atau
tidak melebihi 20 minit untuk lebih 10 barang.

b) Elakkan dari menyentuh barang-barang jualan, memadai dengan meminta
peniaga terus membungkus barangan yang hendak dibeli.

c) Penjual hendaklah memberi jaminan untuk mengembalikan wang kepada
pembeli sekiranya barang yang dibeli tidak memenuhi kehendak pembeli
selagi tidak meninggalkan kawasan pasar.

d) Hanya seorang pelanggan di setiap gerai pada satu masa.

VII. Premis Dobi Layan Diri

i) Waktu operasi pukul 7.00 pagi hingga 7.00 petang.

ii) Menyediakan hand sanitizer.

iii) Mesin basuh dan mesin pengering perlu dinyah kuman setiap kali digunakan.

iv) Menandakan tempat yang dibenarkan pelanggan berada pada sepanjang masa di dalam premis dengan jarak sekurang-kurangnya 1 meter antara pelanggan.

v) Jumlah pelanggan di dalam ruang menunggu hendaklah mengikut keluasan ruang lantai iaitu 5 meter persegi bagi seorang pelanggan.

vi) Tidak dibenarkan melipat pakaian di dalam premis.

vii) Menyediakan petugas sepanjang masa operasi bagi memastikan pelaksanaan syarat-syarat dipatuhi.

3. Kompleks Membeli Belah

i) Waktu operasi pukul 7.00 pagi hingga 7.00 petang.

ii) Hanya aktiviti perniagaan dari sektor yang dibenarkan sahaja boleh beroperasi.

iii) Operasi premis berbentuk hiburan dan permainan seperti Kiddie Ride, Game  Centre, Panggung Wayang, Karaoke, Snooker, Boling, Claw Game, dan Taman Permainan / Taman Tema indoor yang terdapat di dalam kompleks tidak dibenarkan.

iv) Kapasiti petak parkir yang boleh digunakan di setiap kompleks perniagaan dihadkan kepada 50% sahaja pada satu-satu masa.

v) Menghadkan laluan / pintu masuk ke kompleks. Hanya laluan / pintu masuk melalui kompleks sahaja dibenarkan, pintu masuk melalui premis sewaan (tenant) tidak dibenarkan.

vi) Penggunaan lif dihadkan mengikut keluasan lif dan mesti dibuat penandaan jarak 1 meter di antara pengguna.

vii) Penyewaan kiosk / gerai / push cart tertakluk kepada penjarakan (2 meter antara kiosk) pada kadar 50% dari kuantiti sedia ada. Pihak kompleks perlu menyediakan pelan lantai bagi sewaan kiosk / gerai / push cart.

viii) Hand Sanitizer / tisu / tong sampah perlu disediakan di setiap lokasi mesin pengeluaran wang (ATM).

ix) Pelanggan tidak dibenarkan mencuba (fitting) sebarang jenis pakaian dan kasut. Pelanggan juga tidak dibenarkan membuat penukaran / pemulangan semula pakaian yang telah dibeli.

x) Premis food court yang terdapat di dalam kompleks boleh beroperasi secara beli dan bungkus atau take away sahaja.

xi) Kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke bawah tidak dibenarkan memasuki bangunan kompleks.

xii) Kompleks akan ditutup selama tiga (3) hari untuk pembersihan sekiranya terdapat kes positif COVID-19.

xiii) Setiap tandas perlu dibuat sanitasi sekurang-kurangnya 3 kali sehari dan perlu direkodkan dalam buku rekod pembersihan.

xiv) Penggunaan surau hanya terhad kepada kakitangan kompleks dan penyewa premis sahaja tertakluk kepada syarat berikut:

a) Dibuka pukul 1.15 tengah hari – 6.00 petang sahaja.
b) Kakitangan perlu membawa sejadah dan telekung sendiri.
c) Sabun pencuci tangan disediakan.
d) Hendaklah melalui proses nyah kuman pada setiap hari.
e) Dihadkan pengguna kepada maksimum 5 orang pada satu-satu masa.
f) Menugaskan pengawal sepanjang waktu dibuka.

4. Riadah

a) Golf

i) Semua padang golf dan swasta hendahklah mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh MGA serta syarat –syarat berikut:

a) Kelab dibenarkan beroperasi pukul 7.00 pagi – 7.00 petang sahaja.

b) Semua Kelab dikehendaki mengikut semua SOP permainan yang telah ditetapkan.

c) Penggunaan driving range berdasarkan tempahan sahaja dan penggunaan bay secara berselang.

d) Caddy perlu sentiasa memastikan jarak 1 meter daripada pemain sepanjang tempoh permainan.

e) Penjarakan sosial antara pemain ialah 3 meter.

f) Semua kemudahan Kelab seperti gimnasium, kolam renang, surau dan bilik persalinan hendaklah ditutup.

g) Jumlah dan tempoh masa pelanggan berada di Pro Shop perlu dikawal oleh pengurusan Kelab.

h) Cafeteria Kelab perlu mematuhi SOP seperti mana yang telah ditetapkan untuk restoran.

i) Jumlah pelanggan di dalam ruang proshop hendaklah mengikut keluasan ruang lantai iaitu 5 meter persegi bagi seorang pelanggan.
ii) Tidak dibenarkan menganjurkan sebarang bentuk aktiviti berkumpulan, keraian dan pertandingan.

b) Jogging

i) Dibenarkan hanya di taman perumahan sahaja.
ii) Dilakukan secara sendirian (acara berkumpulan, berpasangan atau keluarga tidak dibenarkan).
iii) Tidak dibenarkan membawa kanak-kanak berumur di bawah umur 10 tahun.
iv) Penjarakan sosial 10 meter daripada individu lain.
v) Tidak dibenarkan menganjurkan sebarang bentuk aktiviti berkumpulan, keraian
dan pertandingan.
vi) Aktiviti tidak boleh dilakukan di jalan raya / persekutuan / negeri / kampung dan
semua trek taman hutan.

c) Berbasikal dan Motosikal

i) Tidak dibenarkan melebihi 5 kenderaan.
ii) 1 kenderaan hanya untuk 1 orang sahaja.

5. Penguatkuasaan Pematuhan Pengoperasian

a) Pihak Berkuasa Negeri Pahang bersama JKKN telah memutuskan supaya semua PBT hendaklah memantau semua perusahaan, perniagaan dan aktiviti berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah diputuskan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia (KPKM) melalui surat Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 5) 2020 [P.U.(A) 136/2020] bertarikh 6 Mei 2020 dan membuat penilaian.

b) JKKN telah bersetuju menubuhkan pasukan penguatkuasa bersama yang dianggotai oleh Jabatan Kesihatan Negeri, Polis DiRaja Malaysia, Unit Penguatkuasaan Negeri dan jabatan-jabatan lain supaya tiada pertindihan fungsi dan tiada kekeliruan orang ramai serta pengusaha premis. Lawatan pemantauan akan dilaksanakan secara bersama tetapi setiap penguatkuasa mempunyai bidang kuasa tersendiri.

c) Sebarang kesalahan dan pelanggaran pematuhan pengoperasian boleh dikenakan tindakan atau hukuman mengikut salah satu daripada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) atau Seksyen 101(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), atau kedua-duanya sekali.

Dato’ Sri Dr. Sallehuddin bin Ishak
YB. Setiausaha Kerajaan Pahang
8 Mei 2020 – Khabar